8 Februari 2009

Siti Mahirah

Siti Mahirah binti Ramlay @ Ramly.
M20071000109.
Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kompleks Sukan Negara, 57000 Kuala Lumpur.
012-3333952.

Tugasan Kuliah Kelima pada 24 Januari 2009.

Soalan 1 : Kandungan kursus sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu.

Pengenalan

Insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipercayai akan dapat dicapai melalui pendidikan bahasa dan kesusasteraan. Menyedari hal ini, pada 22 Jun 1999 Menteri Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa semua pelajar sekolah menengah aliran sastera, sains, teknik, vokasional, dan agama diwajibkan mempelajari Kesusasteraan Melayu. Bagi memastikan semua pelajar sekolah menengah rendah dan atas mempelajari kesusasteraan, maka penggunaan karya sastera diwajibkan sebagai komponen dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Komponen Sastera dalam Pendidikan Bahasa Melayu (Komsas) dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, bermula pada Mac 2000 untuk tingkatan satu dan tingkatan empat. Kemudian, pada tahun 2001 Komsas diperluas ke tingkatan dua dan tingkatan lima. Pengajaran Komsas dilaksanakan sepenuhnya daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima pada tahun 2003 dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sulung mengambil peperiksaan dengan kurikulum baru ini pada tahun 2001, manakala calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2002.

Matlamat

Matlamat pengajaran dan pembelajaran Komsas ialah :
i. melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis
ii. meningkatkan kekuatan rohani dan intelek
iii. memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa
iv. mengenali dan mengurus perasaan pelajar
v. meningkatkan kemahiran interapersonal dan interpersonal

Senarai judul pilihan

Kementerian Pelajaran Malaysia menetapkan dua teks digunakan di setiap tingkatan. Dua teks tersebut ialah sebuah novel daripada pilihan empat judul dan sebuah prosa tradisional, enam cerpen, dan tiga drama.

Antologi

i. Sehijau Warna Daun (tingkatan1)
ii. Seuntai Kata untuk Dirasa (tingkatan 2)
iii. Anak Bumi Tercinta (tingkatan 3)
iv. Anak Laut (tingkatan 4)
v. Kerusi (tingkatan 5)

Novel

Zon 1 : Selangor. Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis
Tingkatan 1 : Meniti Kaca (Raja Sabarudin Raja Abdullah)
Tingkatan 2 : Pahlawan Pasir Salak (Mohd Ismail Sarbini)
Tingkatan 3 : Panas Salju (Talib Samad)
Tingkatan 4 : Bukit Kepong (Ismail Johari)
Tingkatan 5 : Konserto Terakhir (Abdullah Hussain)

Zon 2 : Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang
Tingkatan 1 : Limpahan Darah di Sungai Semur (Zakaria Salleh)
Tingkatan 2 : Timulak Kapal Perang (Azmah Nordin)
Tingkatan 3 : Ekspedisi (Mohd Ghazali Tocheh)
Tingkatan 4 : Terminal Tiga (Othman Puteh)
Tingkatan 5 : Seteguh Karang (Tuan Faridah Syed Abdullah)

Zon 3 : Melaka, Johor dan Kelantan
Tingkatan 1 : Anak Din Biola (Maaruf Mahmud)
Tingkatan 2 : Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnain)
Tingkatan 3 : Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznah Nordin)
Tingkatan 4 : Di Hadapan Pulau (A. Samad Said)
Tingkatan 5 : Putera Gunung Tahan (Ishak Hj. Muhammad)

Zon 4 : Kedah, Pulau Pinang dan Perak
Tingkatan 1 : Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj. Yusuf)
Tingkatan 2 : Kapten Hassn Wira Bangsa (Harun Jihari)
Tingkatan 3 : Merdeka! Merdeka (A. Rahman Hanafiah)
Tingkatan 4 : Perlumbaan Kedua (Marwilis Hj. Yusof)
Tingkatan 5 : Julia (Abu Hassan Nordin)

Aspek yang dikaji

Aspek yang dikaji dalam antologi, iaitu:
i. sinopsis genre
ii. bentuk
iii. jenis
iv. tema / persoalan
v. gaya bahasa
vi. nilai murni
vii. pengajaran
Aspek yang dikaji dalam novel, iaitu:
i. sinopsis
ii. tema / persoalan
iii.plot
iv. watak dan perwatakan
v. latar
vii. gaya bahasa
viii. sudut pandangan
ix. teknik penceritaan
x. nilai murni
xi. pengajaran

Dalam masa yang sama, penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu dapat meningkatkan keupayaan pelajar dalam menggunakan bahasa yang meluas dan tinggi kerana karya-karya sastera mengandungi bahasa-bahasa yang indah, tinggi dan perbendaharan kata yang banyak. Aspek kemahiran asas bahasa juga diberi penekanan termasuklah kemahiran lisan, membaca dan menulis.
Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana kedua-dua aspek ini lahir daripada sosio budaya masyarakatnya. Tumpuan kepada pembelajaran bahasa semata-mata tidak memadai kerana pelajar mungkin dapat menguasai bahasa dengan baik dari aspek tatabahasanya, tetapi dalam aspek keindahan bahasa, diksi, daya intelek, daya kreatif dan seumpamanya dapat dikuasai melalui ilmu sastera. Atas dasar itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah tidak memisahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dan sastera. Hal ini harus disedari bukan sahaja oleh guru, tetapi juga oleh pelajar bagi mengikis sikap penguasaan ilmu bahasa dan sastera hanya untuk peperiksaan. Tetapi sebaliknya, penguasan ilmu bahasa dan sastera untuk membina dan meningkatkan jati diri pelajar. Hal ini jelas tergambar dalam matlamat pengajaran Komsas.

Kesimpulan

Pengajaran kesusasteraan dalam pengajaran Bahasa Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang, matang, prihatin, dan beretika tinggi. Pelajaran kesusasteraan penting kepada pelajar, bukan setakat menghafal cerita, malah karya kesusasteraan kaya dengan khazanah ilmu, nilai, budaya, pengalaman, dan etik. Malah, didapatidi dalamnya terangkum dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak ada akhrnya yang sekali gus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu bangsa, termasuklah budaya dan evolusi masyarakatnya.



Soalan 2 : Sepuluh perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009.

Kuliah oleh En. Arif bin Mohamad
Pensyarah Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

En. Arif telah menerangkan tentang tujuan ujian, ciri-ciri ujian, jenis-jenis ujian, aras-aras penilaian, aras-aras ujian kesusasteraan kategori Moody dan aras-aras ujian kesusasteraan taksonomi Bloom.

1. Tujuan ujian dalam pendidikan :
i. mendapatkan kembali maklumat
ii. memastikan objektif pengajaran guru tercapai
iii. menggredkan pelajar
iv. sebagai penggerak (motivasi belajar)
v. tujuan penempatan (lemah, sederhana dan baik)

2. Ciri-ciri ujian :
i. Kesahan ujian, iaitu sejauh mana ujian tu menggambarkan atau menguji apa yang hendak diuji.
ii. Kebolehpercayaan atau kestabilan, iaitu dilihat dari segi ketepatan dan kejituan ukuran dibuat.
iii. keobjektifan atau ketepatan ujian, iaitu item yang dibina tidak memberi peluang kepada sesuatu interpretsi berlainan daripada apa yang telah ditentukan dan skema pemarkahan disediakan terlebih dahulu.

3. Jenis ujian :
i. penempatan, iaitu menguji pelajar mempunyai keterampilan yang disyaratkan
ii. formatif, iaitu menguji pelajar dari masa ke masa
iii. diagnostik, iaitu mencari punca kelemahan pelajar
iv. sumatif, iaitu penggredan dan pensijilan

4. Aras penilaian

i. Penilaian domain kognitif
Penilaian ini lebih banyak ditumpukan kepada kemampuan pelajar. Proses berfikir dititik beratkan. Iaitu bermula dengan aras yang rendah kepada aras yang tinggi. Penilaian ini berupa aneka pilihan, subjektif, lisan, tulisan, ujian bulanan dan kuiz.

ii. Penilaian domain afektif
Penilaian ini berkaitan hubungan dengan masalah sikap, pandangan dan nilai-nilai yang dipercayai oleh seseorang. Penilaian ini juga dapat diuji dan dikesan melalui aktiviti wawancara dan pengaatan tingkah laku.

iii. Penilaian domain psikomotor
Penilaian ini melibatkan aktiviti otot dan pergerakan yang menggunakan anggoa tubuh badan. Pengamatan yang dibuat berbeda dengan bidang sukan, contohnya deklamasi puisi, berlakon, bergerak dan beraksi

4. Aras-aras ujian

i. Kategori Moody:
a. aras informasi
b. aras konsep
c. aras perspektif
d. aras apresiasi atau penghayatan

ii. Taksonomi Bloom
a. aras pengetahuan atau ingatan
b. aras pemahaman
c. aras aplikasi
d. aras analisis
e. aras sintesis
f. aras penilaian

Aras-aras ujian kesusasteraan kategori Moody

Aras 1 : Ujian kesusasteraan aras informasi

Ujian kesusasteraan aras informasi dimaksudkan berfungsi menguji kemapuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubungdengan sastera.

Contoh : Siapakah watak utama cerpen Lambaian Malar Hijau oleh Saroja Theavy?

Aras 2 : Ujian kesusasteraan aras konsep

Ujian kesusasteraan aras konsep berkaitan dengan persepsi bagaimanakah maklumat atau unsur karya sastera diorganisasikan.

Contoh : Apakah hubungan Mei Ling dengan Siti dalam cerpen Sehijau Warna Daun?

Aras 3 : Ujian kesusasteraan aras perspektif

Ujian kesusasteraan aras perspektif memberi tumpuan kepada mendapatkan pandangan pelajar tentang karya yang dibaca. Aras ini juga memerlukan pelajar berkeupayaan menghubungkan antara sesuatu yang ada dalam lingkungan karya dengan yang berada di luar karya tersebut.

Contoh : Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel Konserto Terakhir?

Aras 4 : Ujian kesusasteraan aras apresiasi atau penghayatan

Ujian kesusasteraan aras apresiasi atau penghayatan selalunya berkisar pada permasalahan atau yang berkaitan antara bahasa sastera dengan linguistik. Sering terdapat seolah-olah percanggahan dan perbezaan pendapat antara amalan bahasa mengikut rumus tatabahasa berbanding bahasa yang digunakan oleh ahli sastera.

Contoh : Apakah pemakaian kata-kata dan ungkapan dialek dalam Seorang Tua di Kaki Gunung itu berkeas,dan apakah memamng tepat dan jelas dibandingkan dengan kata-kata dan ungkapan bahasa Melayu baku?

Aras-aras ujian sastera taksonomi Bloom

Aras 1 : Ujian kesusasteraan aras ingatan

Ujian kesusasteraan aras ingatan ini hanya sekadar memerlukan pelajar berkeupayaan mengungkapkan kembali daya atau kebolehan mengingati hal-hal yang berhubung dengan fakta, konsep, pengertian, definisi, nama pengarang, buku-buku yang dihasilkan dan sebagainya. Butiran ujian boleh juga direncanakan dalam bentuk anke pilihan.

Contoh : Sebutkan dua antologi sajak yang ditulis oleh A. Samad Said..

Aras 2 :Ujian kesusasteraan aras pemahaman

Ujian kesusasteraan aras pemahaman memerlukan pelajar berkeupayaan memahami, membezakan dan menjelaskan fakta atau hubungan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan sekadar untuk mengingatkan dan meluahkan kembali fakta yang dibaca sahaja.

Contoh : Buat satu sinopsis cerpen yang berjudul Sayang Ayah karya Omar Mamat.

Aras 3 :Ujian kesusasteraan aras aplikasi

Ujian kesusasteraan aras aplikasi menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat yang diperolehnya itu ke dalam suatu situasi baru. Dengan cara ini membolehkan pelajar menerapkan pengetahuan teori ke dalam kegiatan praktis dan konkrit.

Contoh : Ubahkan bentuk sajak Tasik Biru, Bau, Sabah karya Kemala dalam bentuk dialog.

Aras 4 :Ujian kesusasteraan aras analisis

Ujian kesusasteraan aras analisis berfungsi mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera. Kebolehan pelajar melihat perkaitan dan hubungan antara unsur-unsur yang dapat dikesan dan kebolehan membangunkan organisasi, susunan sistemtik binaan, kesatuan yang membangunkan sesebuah karya sastera. Keupayaan menyelesaikan tugasan analisis ini memberatkan identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman karya tersebut secara kritis.

Contoh : Jelaskan dengan terperinci cara pengarang mengembangkan jalinan plot novel Konserto Terakhir oleh Abdullah Hussain

Aras 5 :Ujian kesusasteraan aras sintesis

Ujian kesusasteraan aras sintesis mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur karya sastera dan unsur-unsur antara karya sastera. Kemampuan menyelesaikan tugasan berbentuk sintesis ini antara lain pelajar berkeupayaan mengkategorikan sesuatu ciri atau keadaan yang sejenis.

Contoh : Jelaskan perbezaan watak Hang Tuah dan Hang Jebat dalam Pertarungan Tuah dengan Jebat.

Aras 6 :Ujian kesusasteraan aras penilaian

Ujian kesusasteraan aras penilaian adalah peringkat yang tertinggi dalam kayu ukur aspek kognitif. Item-item ujian aras penilaian mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis,ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatau karya sastera.

Contoh : Bandingkan drama Serunai Malam karya Usman Awang dengan Titik-titik Perjuangan karya Kala Dewata daripada segi unsur-unsur kemanusiaan.



Soalan 3 : Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran sastera dalam bahasa Melayu.

a. Latar belakang budaya pelajar

Latar belakang budaya pelajar, termasuklah persepsi mereka tentang kemasyarakatan, politik dan ekonomi banyak menentukan pemahaman mereka tentang teks. Ada teks yang agak mudah dijangka dapat difahami oleh pelajar seperti teks yang berkaitan dengan sejarah tuntukan kemerdekaan tanah air. Namun,tidak mudah pelajar menghayati teks yang latar budayanya milik masyarakat luar yang tidak ada dalam jangkauan kognitifnya.

b. Latar belakang sastera pelajar

Ada pelajar yang dari awal terdedah kepada bahan sastera, baik prosa mahupun puisi. Bahan bacaan dalam bentuk buku cerita, misalnya cukup memeberi kesan positif kepada pelajar apabilia didedahkan kepada bahan sastera dalam pelajaran bahaasa. Mereka sudah ada pengalaman menghayati karya sastera dan sudah mempunyai kesediaan menerima karya sastera sebagai bahan pelajaran bahasa. Sebaliknya, ada pula pelajar yang kurang atau sama sekali tidak terdedah kepada bahan sastera dari usia awalnya dan tidak mempunyai kesediaan untuk menghayati sastera dalam pelajaran bahasa. Sastera menjadi sesuatu yang asing dalam kehidupannya.

c. Keterampilan linguistik pelajar

Aspek ini pun sukar dijadikan landasan yang tepat kerana tahap penguasaan bahasa pelajar yang berlainan antara satu sama lain. Ada pelajar yang pada tahap menguasai bahasa gaya sederhana. Ada pelajar yang menguasai bahasa yang baik sekalipun belum tentu mempunyai kecekapan sastera.

Kemahiran sastera yang diperlukan oleh seseorang untuk membaca dan menghayati sesebuah karya sastera amat penting. Sebelum menggunakan sesuatu teks sastera, guru perlu memastikan tahap kemahiran sastera pada pelajar-pelajarnya terlebih dahulu. Jika tahap kemahiran mereka cukup, mereka mestilah diperkenalkan pula secara sepintas lalu kepada beberapa konvensi, bentuk, aliran, dan gaya yang terdapat dalam sastera Melayu. Dengan persiapan seperti ini barulah sesebuah teks yang digunakan di dalam kelas itu boleh dihayati dan dimanfaatkan dengan baik oleh para pelajar.
Keistimewaan sastera sebenarnya terletak pada hakikat bahawa sastera menampilkan sebuah dunia imaginatif dengan latar, peristiwa, watak, imej, suasana, dan sebagainya. Konteks ini membolehkan pelajar meninjau manusia dan budaya sekali gus menganalisis struktur bahasa dan menikmati keindahannya. Pelajar yang dimaksudkan seharusnya sudah berada pada peringkat pertengahan atau maju, dan mempunyai kemahiran bahasa Melayu untuk merakamkan dan melaporkan mak1umat. Untuk memanfaatkan teks sastera ini sepenuhnya, maka perlulah guru memastikan bahawa pelajar dapat memasuki konteks tersebut dalam erti kata menghayati dunia cereka yang ditampilkan. Biasanya teks ini menampilkan peristiwa-peristiwa yang menarik dan yang dapat dikaitkan dcngan pengalaman peIajar.

Pelajar yang telah menguasai peringkat di atas mempunyai potensi untuk memasuki peringkat seterusnya bagi menghayati tema dan wawasan pengarang teks sastera berkenaan dengan baik. Perkara ini bukannya mudah, kerana pelajar perlu menggemblengkan daya intelektualnya bersama-sama kemahiran bahasa Melayunya. Pelajar harus dapat mengaitkan unsur-unsur yang konkrit dalam teks bagi menjana dan merumuskan makna serta membulatkan pemahamannva terhadap wawasan pengarang tentang manusia dan persoalan hidup yang ditampilkan sebagai tema karyanya. Pelajar yang mempunyai kebolehan menerawang pada peringkat abstrak seperti ini biasanya kurang bermasa1ah untuk berdepan dengan apa-apa sahaja teks, termasuk teks klasik dan teks-teks lain yang jauh jarak budayanya.

d. Bahan

Kemahiran sastera di pihak pelajar seperti yang dijelaskan, mempunyai kaitan terus dengan tingkat dan perspektif tentang teks sastera itu sendiri, yang perlu pula difahami oleh guru. Dalam konteks pengajaran bahasa terdapat sekurang-kurangnya empat tingkat berserta perspektif tentang teks sastera. Pertama, tiap-tiap teks sastera terdiri daripada struktur bahasa. Kedua, bahasa teks sastera memperlihatkan kepelbagaian gaya. Ketiga, setiap teks sastera menampilkan sebuah dunia cereka yang mengandungi watak, imej, latar, peristiwa, suasana, dan sebagainya yang semuanya dapat diteliti oleh pelajar secara konkrit. Akhirnya, setiap teks sastera mengungkap tema dan wawasan pengarangnya tentang manusia dan kehidupan. Guru bahasa Melayu yang menggunakan teks sastera dalam pengajarannya mestilah sentiasa peka tentang tingkat dan perspektif ini kerana kedua-duanya berkait rapat dengan tahap pembelajaran.
Sebagai bahan yang menampilkan struktur bahasa, teks sastera berpotensi dimanfaatkan oleh semua peringkat pelajar. Yang penting diperhatikan ialah kesesuaian teks dengan kelompok pelajar tertentu. Teks yang mengandungi struktur bahasa yang mudah sesuai digunakan untuk pelajar bahasa Melayu peringkat awal. Struktur-struktur ini senang digarapkan dan boleh diulang di dalam kelas serta diingati. Bagi pelajar peringkat pertengahan eloklah digunakan teks-teks dengan struktur yang agak rumit sedikit. Pelajar peringkat maju bolehlah digalakkan mendekati teks vang lebih rumit.

Teks sastera memang menampilkan gaya bahasa yang pelbagai. Justeru itu, pemilihan yang teliti hendaklah dibuat agar teks yang digunakan sesuai dengan keperluan pelajar. Bagi kelompok pelajar peringkat awal, dan mereka yang hanya inginkan kemahiran berbahasa secara fungsional, teks yang menampilkan gaya biasa adalah bersesuaian. Teks seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Abdullah eloklah digunakan hanya untuk pelajar peringkat maju. Dengan itu, mereka dapat diperkenalkan kepada gaya bahasa Melayu klasik dan gaya bahasa abad ke-19.

Kesimpulan

Teks sastera Melayu memang boleh dan amat wajar diintegrasikan da1am pengajaran bahasa Melayu. Cuma guru perlu sedar tentang wujudnya had-had sumbangan sastera, dan isu-isu yang berkaitan dengan penggunaannya. Guru juga perlu mengikuti prinsip-prinsip tertentu yang berkaitan dengan pedagogi umumnya dan pengajaran serta penghayatan sastera khususnya. Prinsip ini meliputi perkara yang berkait dengan tahap kebolehan pelajar, pemilihan tcks yang bersesuaian, dan penjanaan aktiviti yang wajar dan bermanfaat. Paling penting, guru yang ingin mengintegrasikan sastera dalam pengajaran bahasanya perlu sentiasa merancang dengan rapi, membuat persiapan dengan sistematik, dan mengajar dengan penuh minat.


Soalan 4 : Lima soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah.

Baca pantun di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pantun Kiasan

Tikar pucuk, tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Buah bacang masak serangkai,
Burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.

Tebang gelam, tebang kenanga,
Batangnya tumbang menimpa gedung;
Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.

Pokok terap tumbuh di bukit,
Belat berbanjar panjang ke hulu;
Jangan diharap guruh di langit,
Kilat memancar hujan tak lalu.

Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Kononlah pulak cicak mengkarung.

Antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

i. Senaraikan unsur flora dan fauna yang terdapat dalam pantun ini.
ii. Nyatakan nasihat yang tersirat dalam rangkap keempat pantun di atas.
iii. Nyatakan tiga persoalan yang tergambar dalam pantun ini.
vi. Mengapakah kita menggunakan kiasan untuk mengungkapkan sesuatu tujuan?
v. Pada pendapat anda, mengapakah amalan nasihat-menasihati sangat baik diamalkan dalam kehidupan kita?

Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Gurindam Baris Hadapan

Tidak berbuat walaupun tahu,
diambil pengayuh dibuang perahu.

Tidak tahu tapi berbuat,
kayuh perahu di atas darat.

Banyak bercakap tak baca buku,
macam membawa duit tak laku.

Kurang berfikir rajin membangkang,
bila-bila pun di baris belakang.

Jika ilmu dikaji teliti,
di sungai cabaran tersedia titi.

Ilmu dituntut dengan tabah,
yakin diri bertambah-tambah.

Membaca buku karangan tokoh,
bagai berpaut di dahan kukuh.

Kembang ilmu tegap wibawa,
seluruh rakyat tidak kecewa.

Rahman Shaari

i. Apakah maksudrangkap keempat guridam ini?
ii. Berdasarkan maksud rangap keempat gurindam, mengapakah penulis berpendapat demikian?
iii. Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam gurindam ini.
iv. Mengapakah kita diseru untuk menuntut ilmu?
v. Bagaimanakah caranya kita dapat menjadi pelajar yang berjaya?

Baca seloka di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.

i. Apakah tindakan sia-sia yang dilakukan oleh Pak Kaduk?
ii. Apakah peristiwa yang menggambarkan Pak Kaduk tidak membuat perancangan yang baik sebelum melakukan sesuatu perkara?
iii. Apakah yang perlu kita lakukan sebelum melakukan sesuatu perkara?
iv. Bincangkan latar masyarakat yang tergambar dalam seloka ini.
v. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat memandang rendah kepada orang yang melakukan perbuatan yang sia-sia?

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

SI ANAK : Apa kau buat di sini?
PERTAPA : Aku sentiasa di sini.
SI ANAK : Agaknya kau yang bawa celaka. Setiap hari tangkapan kami terlalu sedikit. Syaitankau. Berlalu kau dari sini!
NELAYAN TUA : Usah begitu kasar, anakku. Dia juga manusia…
SI ANAK : Dia bukan manusia. Dia syaitan. Dia bawa celaka. Kerana dia kita tak dapat banyak tangkapan. Cis! Berlalu kau!
PERTAPA : Aku selalu di sini. Ini tempatku!
NELAYAN TUA : Usah kasar begitu anakku. Belajarlah berbahasa walaupun pada orang yang kita tak tahu siapa. Budi bahasa itu lebih nilainya daripada ringgit dan harta.
PERTAPA : Orang tua yang bijaksana.
SI ANAK : Ahh, persetan budi bahasa! Aku mahu kaya. Mewah. Bukan budi bahasa. Budi bahasa boleh datang kemudian.
PERTAPA : Anak yang gopoh.
NELAYAN TUA : Maafkan dia, orang tua. Anak muda begitulah, darahnya panas, hatinya, mudah membara.
PERTAPA : Aku maafkan.
SI ANAK : Ah, bapak terlalu fikrkan budi bahasa! Puas sudah kita berbudi bahasa, tapi emas juga dipandang orang.
PERTAPA : Carilah emas.

(Dipetik daripada drama “Baju Emas Sang Maharaja” dalam antologi Sehijau Warna Daun, DBP)

1. Mengapakah Si Anak menaganggap bahawa Pertapa membawa celaka dalam hidupnya?
A. Ikan tidak suka berada di kawasan Pertapa.
B. Pertapa itu ialah syaitan yang menyamar sebagai manusia.
C. Hasil tangkapan ikannya semakin berkurang.
D. Banyak ikan yang mati di situ.

Puas sudah kita berbudi bahasa,
tapi emas juga dipandang orang.

2. Mengapakah Si Anak berpendapat seperti peribahasa di atas?
A. Orang yang berbudi bahasa akan disanjung sekiranya mereka kaya.
B. Orang yang berbudi bahasa belum pasti dihormati seperti orang kaya.
C. Orang yang kaya lebih disanjung tinggi daripada orang yang berbudi bahasa.
D. Orang yang kaya belum pasti disanjung seperti orang yang berbudi bahasa.

3. Apakah nilai yang cuba dipupuk oleh Nelayan Tua kepada anaknya?
A. berbudi bahasa
B. berani
C. pemurah
D. berterus terang

4. Yang berikut merupakan perwatakan Si Anak, kecuali
A. tidak menghormati orang tua.
B. suka menurut kata orang lain.
C. tamak dan mementingkan diri.
D. tidak berbudi bahasa.

5. Yang manakah bukan pengajaran yang terdapat dalam drama Baju Emas Sang Maharaja?
A. Janganlah bersikap gopoh.
B. Janganlah memungkiri janji.
C. Janganlah menyalahgunakan kuasa.
D. Janganlah mencari kesalahan ibu bapa.

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Seorang Guru Tua

Guruku yang baik
masih lagi mengajar
sedang aku kini sudah besar
dulu wajahnya muda
kini rambut memutih kepala
ada anak-anak muridnya
sudah menjadi menteri
ada anak-anak muridnya
kini memegang jawatan tinggi
tidak kurang pula
bergelar usahawan berjaya.

Guruku yang baik
masih di situ
masih memandu kereta lama
masih menuju sekolah yang sama
tidak kelihatan jemu
dari air mukanya
tiada kedengaran bosan
dari suara bibirnya
dia gigih menggenggam
tanggungjawab yang diamanahkan.

Seorang guru tua
dia masih di situ
berdiri sebagai guru
menabur jasa-jasa
dialah pendidik bangsa!

(Dipetik daripada antologi Sehijau Warna Daun, DBP)

1. Apakah perubahan fizikal yang dapat dilihat pada guru penyajak?
A. wajah guru penyajak sudah berkedut
B. langkah guru penyajak semakin perlahan
C. air muka guru penyajak tidak tenang
D. rambut guru penyajak sudah beruban

2. Penyataan yang berikut ialah tentang guru penyajak, kecuali
A. masih bekerja sebagai guru
B. masih memandu kereta lama
C. masih bergelar usahawan berjaya
D. masih berkhidmat di sekolah yang sama

3. Nilai murni yang tidak terdapat pada guru penyajak ialah
A. rajin
B. cekap
C. berdedikasi
D. bertanggungjawab

4. Pada pendapat anda, apakah nilai murni utama yang perlu ada pada bekas murid guru penyajak?
A. ketabahan
B. keinsafan
C. mengenang budi
D. bertimbang rasa

5. Apakah pengajaran yang terdapat dalam sajak Seorang Guru Tua?
A. Kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menjadi guru
B. Kita hendaklah menghargai jasa dan pengorbanan guru
C. Janganlah kita sombong setelah menjawat jawatan tinggi
D. Janganlah kita memandang rendah terhadap guru yang telah tua



Soalan 5 : Dua cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa ini.

Pengenalan

Menurut Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001: 31), melalui pembacaan karya sastera sebagai bahan pengajaran, murid-murid akan dapat menikmati serta menghayati kesusasteraan Melayu yang disampaikan dalam struktur bahasa yang indah. Bahan sastera biasanya digunakan untuk mengajar kefahaman, perbendaharaan kata, tatabahasa, lisan dan sebagainya. Kaedah dan teknik yang digunakan terpulang kepada guru, untuk menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran menarik minat murid-muridnya. Fokus pengajaran guru menggunakan bahan sastera ini ialah kepada objektif khusus bagi meningkatkan kemahiran berbahasa seperti membaca, lisan, menulis serta mempelajari peribahasa dan tatabahasa.

a. Pemilihan Bahan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Guru Bahasa Melayu perlu bijak dalam memilih bahan sastera untuk digunkan dalam pengajaran Bahasa Melayu. Guru perlu mengambil kira tentang objektif pengajaran, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan serta latar belakang pelajar yang akan diajar. Guru boleh saja memilih bahan daripada buku teks, tetapi tidak seharusnya bersandarkan kepada buku teks semata-mata. Guru perlu berusaha mencari atau memilih dari sumber-sumber lain yang bersesuaian seperti buku cerita rakyat, koleksi-koleksi sajak, pantun, cerpen dan sebagainya. Seterusnya akan disenaraikan beberapa prinsip pemilihan bahan sastera yang dianjurkan oleh ahli-ahli bahasa.

Menurut Asmah Hj Omar (1984), terdapat tiga aspek dalam pemilihan bahan berupa petikan seperti berikut:

i. Pandangan guru Bahasa Melayu. ‘Apakah tujuan ia memilih sesuatu petikan itu?’
ii. Kemampuan pelajar yang bergantung kepada umur, tingkat kesedaran, pengalaman, pencapaian bahasa, jantina dan sebagainya.
iii. Linguistik dan pedagogi. ‘Adakah teks yang dipilih sesuai dengan laras bahasa yang akan diajarkan?’

Selain itu, guru juga perlu menitikberatkan aspek lain seperti gaya bahasa yang baik, mempunyai unsur-unsur moral, nilai-nilai murni yang boleh diterapkan kepada pelajar, teknik penceritaan yang baik dan sebagainya. Pergerakan proses pembelajaran, iaitu daripada yang mudah kepada yang sukar dan daripada perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui juga menjadi sukat-sukat bagi prinsip pemilihan bahan sastera dalam pengajaran bahasa.

Manakala menurut EL Moody dalam Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001), selain prinsip-prinsip yang dikemukan, aspek psikologi juga perlu diambil kira kerana ia berkait rapat dengan dengan minat dan sikap pelajar dalam kesusasteraan. Peringkat tahap perkembangan psikologi kanak-kanak terbahagi kepada empat peringkat iaitu tahap khayal (umur 8-9 tahun), tahap romantik (umur 10-12 tahun), tahap realistik (umur 13-16 tahun) dan tahap generalisasi (umur 16 tahun).

Pemilihan bahan yang bersandarkan kepada tahap psikologi pelajar akan memudahkan pelajar memahami isi karya sastera yang guru sampaikan. Sebaliknya, jika guru menggunakan bahan seperti yang di luar dari latar belakang dan budaya pelajar, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi kurang berkesan atau tidak berkesan sama sekali.

Dalam pada itu EL Moody seterusnya menyatakan, terdapat empat prinsip penting dalam pemilihan bahan, iaitu:
i. Bahan-bahan hendaklah disusun daripada yang senang kepada yang sukar.
ii. Bermula daripada konkrit kepada yang abstrak.
iii. Adanya urutan kronologi.
iv. Disusun berdasarkan kepada strategi yang telah dirancangkan.

Daripada saranan mengenai prinsip pemilihan bahan sastera yang dianjurkan oleh ahli-ahli bahasa dan sastera, dapat dirumuskan bahawa prinsip-prinsip pemilihan bahan tersebut haruslah dilakukan dengan teliti serta mempertimbangkan perkara seperti latar belakang pelajar, bahan yang digunakan, objektif pengajaran dan sebagainya. Pemilihan bahan yang kurang teliti akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran tidak akan membuahkan hasil yang membanggakan dan tidak berkesan.

b. Penerapan Kemahiran Berfikir

Pengajaran dan pembelajaran sastera dalam bahasa Melayu dapat ditingkatkan dengan menerapkan kemahiran berfikir. Socrates menggalakkan pelajar-pelajarnya berfikir secara kritis dengan menggunakan soalan apa, mengapa dan bagaimana. Bloom (1956) pula menggalakkan pelajar berfikir dengan mengemukakan aras taksonomi, iaitu tahap-tahap soalan dari aras yang rendah ke aras yang tinggi :
a. aras pengetahuan atau ingatan
b. aras pemahaman
c. aras aplikasi
d. aras analisis
e. aras sintesis
f. aras penilaian

Menurut Raths, Jonas, Rothstein dan Wassermann (1967) penyerapan kemahiran berfikir dapat dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan menyuruh pelajar menjalankan operasi-operasi tertentu :
a. membuat perbandingan
b. merumus
c. membuat pemerhatian
d. mengkelaskan
e. membuat interpretasi
f. mengkritik
g. membuat andaian
h. mengimaginasi
i. mengumpul dan mengorganisasi data
j. membuat hipotesis
k. mengaplikasikan pengetahuan dalam situsi yang baru
l. membuat keputusan
m. mereka bentuk projek atau menjalankan penyiasatan
n. menilai atau mengedit penulisan orang lain

Dalam masa yang sama, sastera dalam pengajaran bahasa Melayu boleh dipulihkan melalui pemantapan pedagogi guru dengan menerapkan kemahiran berfikir melalui penggunaan komputer dan perisiannya seperti Power Point, Autoware, Flash dan Flip-album. Tidak ketinggalan, penggunaan bahan sastera dapat dipertingkatkan keberkesanannya apabila guru berupaya memberi kesegaran kepada mata pelajaran berkenaan melalui penyediaan animasi, muzik, grafik dan pergerakan aksi.

Kesimpulan

Kunci kejayaan pengajaran Bahasa Melayu bukan hanya terletak pada kecanggihan kurikulum atau kelengkapan kemudahan di sekolah. Namun ia terletak kepada kredibiliti guru dalam mengatur dan memanfaatkan bahan pengajaran di bilik darjah. Begitu halnya dalam penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa memerlukan kekreatifan guru dalam mengolah bahan-bahan tersebut mengikut kesesuaian dan keperluan murid-murid di bilik darjah.

Selain tujuan kita ingin memupuk minat murid terhadap karya-karya sastera terutamanya karya sastera tempatan, guru perlu juga memotivasi dirinya sendiri agar lebih kerap menggunakan dan mengenal karya-karya sastera yang pelbagai ini. Guru perlu rajin dalam mencari sumber lain selain daripada hanya bergantung kepada penggunaan buku teks sahaja.

Akhirnya, untuk memupuk minat murid terhadap karya sastera aktiviti berterusan juga perlu diusahakan bukan sahaja di bilik darjah, malahan aktiviti susulan di luar darjah seperti, pihak sekolah mengadakan pertandingan mendeklamasikan sajak, berbalas pantun, berpidato dan peraduan berbahas. Dengan yang demikian khazanah, kesusasteraan kita akan sentiasa disanjung dan menjadi kebanggaan oleh generasi masa kini.

Rujukan

Antologi Anak Laut (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Antologi Kerusi (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Antologi Sehijau Warna Daun (2004). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud. (2001). Integrasi Media; Pengajaran Bahasa dan Sastera. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Asmah Hj Omar. (1984). Kaedah Pengajaran Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

1 ulasan:

ilhamlara berkata...

AZIAWATI ABD AZIZ
M20081000094
BMP6123 PENGUJIAN DAN PENILAIAN



JAWAPAN

1. Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu meliputi karya sastera yang berbentuk cerpen, novel,drama,prosa klasik,puisi tradisional dan sajak. Buku-buku ini telah diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan diwajibkan diajar di sekolah-sekolah. Malah senarai karya komsas daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 adalah merujuk kepada surat Perkeliling Ikhtisas bil.5/2000 bertarikh 23 Februari 2000. Antara kandungan yang perlu ada dan diajarkan dalam sukatan dibahagiakan kepada 4 bidang.
Antaranya ialah bidang estetika. Bidang ini memberikan fokus kepada keupayaan murid dalam menguasai aspek-aspek seperti kebahasaan ,keindahan dan kehalusan bahasa. Bidang estetika ini juga mementingkan penikmatan hasil karya yang indah,penuh dengan mesej-mesej yang berguna,pelahiran perasaan,melihat keupayaan murid membuat apresiasi dan juga untuk menguji sejauh mana penghayatan murid terhadap sesuatu karya atau bahan prosa.
Terdapat juga beberapa kemahiran yang ingin diperoleh dalam kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu. Matlamatnya ialah melalui hasil pembelajaran utama dan hasil pembelajaran khusus, apa yang perlu dicapai oleh murid dalam bidang ini ialah memahami bahan prosa,menguasainya dan dapat menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif.
Penerapan unsur sastera dalam bahasa Melayu seperti dinyatakan adalah dengan harapan murid dapat memahami dan memberi respon peribadi tentang karya sastera yang dibacanya. Pemahaman murid dapat dilihat apabila murid-murid ini dapat menceritakan semula sesebuah karya secara keseluruhannya. Malah murid-murid ini juga dapat mengenal pasti isi-isi penting, peristiwa-peristiwa atau perkara-perkara menarik yang terdapat dalam sesebuah karya. Kefahaman murid-murid juga dapat dilihat apabila mereka dapat menyatakan secara tepat dan jelas bentuk dan nada sesebuah puisi.
Selain itu juga melalui teks sastera, murid-murid harus dapat menyatakan jenis, ciri, tema ,persoalan,pemikiran,nilai dan pengajaran yang terdapat dalam sesebuah teks komsas. Kefahaman juga dapat dilihat apabila murid-murid dapat menghuraikan sesuatu maksud,gaya bahasa dan unsur-unsur bunyi dalam sesebuah prosa atau puisi dalam sesebuah teks sastera.
Murid-murid juga diharap dapat mengulas karya sastera dari aspek watak perwatakan ,latar,plot, gaya bahasa dan sudut pandangan dalam sesebuah prosa. Selain untuk melihat kefahaman murid,kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu juga menekankan agar murid-murid dapat menguasai gaya bahasa dan laras bahasa dalam karya penulisan kreatif dan bukan kreatif. Hal ini bermaksud pada akhir pengajaran murid-murid dapat mengenal pasti gaya bahasa dalam karya bukan sastera dan dapat menggunakannya dalam penulisan bukan kreatif. Selain itu kandungan sukatan sastera ini juga menekankan agar murid-murid dapat menganalisis gaya bahasa dan unsur bunyi dalam karya sastera serta menggunakannya dalam penulisan kreatif. Malahan murid-murid juga diharapkan pada akhirnya dapat melakukan perbandingan dalam penggunaan laras bahasa dalam pelbagai genre.
Seterusnya kandungan sukatan sastera dalam pengajaran bahasa Melayu bertujuan untuk menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif.Melalui sukatan ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berharap murid-murid dapat menghasilkan prosa dan puisi secara terancang,mengikut tertibnya,kemas, serta menggunakan bahasa yang tepat,indah dan menarik. Murid-murid juga diharap dapat mengemukakan isi spontan, bernas dan juga dapat membina rangka penulisan dengan baik. Selain itu, kandungan dalam sukatan sastera ini juga menekankan agar murid-murid yang ada dapat membina ayat topik dan ayat huraian untuk membina perenggan yang kohesif. Murid-murid juga diharap dapat munyusun isi-isi penting dan menggunakan penanda wacana untuk menghasilkan perenggan yang koheren.
Selain itu,murid-murid juga diharap dapat membina baris-baris puisi dengan kemas dan indah serta dapat mengedit dan memurnikan sesuatu karya yang telah dihasilkan dengan baik.
Secara tuntasnya ,kandungan sukatan sastera ini diterapkan dalam bahasa Melayu dengan harapan murid-murid dapat mempelajari , mengukuhkan penulisan mereka dan seterusnya mencintai karya-karya sastera yang ada.


2. Nota kuliah pada 24 Januari 2009 membincangkan mengenai beberapa topik iaitu :-
i. Tujuan Ujian
a. Ujian diadakan bertujuan untuk mendapatkan kembali maklumat yang telah diajarkan oleh guru kepada pelajarnya.
b. Ujian juga diadakan untuk memastikan objektif pengajaran guru tercapai.
c. Ujian juga dilakukan dengan tujuan untuk memberi gred kepada pelajar tersebut
d. Ujian juga diadakan untuk proses pemilihan untuk memudahkan guru menempatkan para pelajar mengikut kumpulannya iaitu kumpulan baik, sederhana dan lemah.
e. Ujian juga dilakukan bertujuan untuk menimbulkan persaingan yang sekali gus akan menggerakkan motivasi pelajar tersebut untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
ii. Ciri-ciri sesebuah Ujian
Antara ciri-ciri Ujian ialah:-
a. Kesahan Ujian-iaitu guru ingin menguji sejauh mana apa yang diajarkan dapat difahami
oleh pelajar-pelajar berkaitan pengajaran yang telah diajarkan.
Contohnya,jika tujuan guru tersebut ingin pelajar menguasai tema, maka ujian yang
bakal dibina mestilah berkaitan tema.
b. Kebolehpercayaan atau kestabilan ujian tersebut
c. Keobjektifan atau ketepatan ujian tersebut-iaitu item-item yang dibina haruslah tepat
dan bahasanya haruslah bersesuaian dengan peringkat umur pelajar.
iii. Jenis-jenis Ujian
Terdapat empat jenis ujian yang boleh dilakukan oleh seseorang guru:-
a. Ujian Penempatan: Ujian ini dilakukan untuk menguji ketrampilan yang disyaratkan bagi sesuatu kursus itu dipatuhi atau ditepati.
b. Ujian Formatif : Ujian ini dijalankan secara berterusan iaitu daripada semasa ke semasa serta memberikan maklumat kepada guru.
c. Ujian Diagnostik: Ujian ini dilakukan untuk mencari atau mengetahui kelemahan pelajar terhadap sesuatu perkara.
d. Ujian Sumatif: Ujian ini dilakukan untuk tujuan penggredan atau pensijilan seperti PMR dan SPM.
iv. Asas Penilaian
Dibuat berdasarkan tiga domain utama iaitu:-
a. Domain Kognitif:tertumpu pada pemikiran. Penilaian ini bermula daripada aras rendah
hingga ke aras yang tinggi. Antara bentuk-bentuk ujiannya ialah soalan objektif,
subjektif,lisan,tulisan,ujian bulanan dan lain-lain.

b. Domain Afektif:tertumpu kepada kajian berkaitan sikap,pandangan dan nilai yang
dipegang oleh seseorang. Antara bentuk-bentuk pengujian yang digunakan ialah seperti
temuramah,ujian pengamatan dan tingkah laku serta ujian bertulis.Penilaian ini
dilakukan dengan menggunakan skala Likert. Di samping itu, soalan pilihan jawapan ya
atau tidak digunakan untuk mendapatkan respon.
c. Domain Psikomotor:penilaian dibuat berhubung dengan aktiviti pergerakan tubuh
badan.Penilaian pengamatan yang digunakan berlainan dengan bidang sukan. Antara
bentuk-bentuk aktivitinya adalah seperti mendeklamasikan
puisi, berlakon,bergerak,beraksi dan lain-lain(berkaitan dengan kognitif dan afektif).
v. Aras-aras Ujian Sastera
Merujuk kepada Taksonomi Bloom yang membahagikannya kepada enam aras utama iaitu:-
a. Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan
- Memerlukan pelajar berupaya untuk mengungkapkan kembali daya atau kebolehan mengingati hal-hal berhubung dengan fakta ,konsep,pengertian,definisi,deskripsi atau penamaan berkenaan sesuatu hal dan sebagainya.
- Ujian ini adalah mudah iaitu hanya menghendaki pelajar menamakan,memberi definisi,nama pengarang dan sebagainya.
- Contoh ujiannya: Apakah yang diertikan dengan perkataan ‘cemara’?

b. Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman
- Ujian ini memerlukan para pelajar berkeupayaan memahami,membezakan dan menjelaskan fakta atau hubungan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan sekadar untuk mengingat dan meluahkan semula fakta yang dibaca. Pelajar tersebut mestilah berupaya menangkap isi prosa atau puisi yang dipelajarinya, meringkas atau membuat rangka novel atau cerpen atau mencari isi-isi utama dan menyalin kembali karya-karya klasik ke dalam bahasa moden.
- Contoh bentuk soalannya: Apakah tema yang hendak dikemukakan oleh Latifah Hj Shebli dalam sajaknya Aku Menjadi Lebih Berani.

c. Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi
- Ujian ini dilakukan untuk menilai kebolehan pelajar dan usaha mengaplikasikan apa yang dipelajarinya ke dalam situasi baru.
- Bentuk soalannya adalah berbentuk esei
- Contoh soalannya: Ubahkan bentuk cerita yang dilampirkan menjadi sebuah dialog.

d. Ujian Kesusasteraan Aras Analisis
- Ujian ini digunakan untuk mengukur kebolehan pelajar untuk mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera.
- Ujian ini juga dilakukan untuk melihat perkaitan dan hubungan antara unsur-unsur yang dapat dikesan dan kebolehan menggunakan organisasi,susunan sistematik binaan,kesatuan yang membangunkan sesebuah karya sastera.
- Selain itu fokusnya ialah agar dapat membuat identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman bagi sesebuah karya.
- Contoh soalannya: Bagaimanakah caranya pengarang melukiskan watak perwatakan.

e. Ujian Kesusasteraan Aras Sintesis
- Ujian ini dilakukan untuk mengukur kebolehan pelajar mengkatogerikan,menghubungkan dan mengkombinasikan,menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur karya sastera atau antara sastera.
- Contoh soalannya: Jelaskan persamaan antara watak Julia dalam novel Julia dan watak Tuk Kura dalam novel Perlumbaan Kedua.

f. Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian
- Ujian ini dilakukan untuk mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang ditulis,ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat,dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu karya sastera.
- Merupakan pangkat tertinggi dalam kayu ukuran bagi aspek kognitif.
- Contoh soalannya: Mengapakah sajak-sajak ciptaan Amir Hamzah dikira lebih menampakkan permainan kata-kata dibandingkan dengan sajak-sajak yang dihasilkan sebelumnya.

vi . Ujian Kesusasteraan Katogeri Moody
Aras Ujian katogeri ini dibahagikan kepada empat iaitu:-
a. Ujian Kesusasteraan Aras Informasi
- Ujian dilakukan untuk menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera.
- Contoh soalannya : Siapakah watak utama novel Perlumbaan Kedua.

b. Ujian Kesusasteraan Aras Konsep
- Ujian ini berkaitan dengan persepsi bagaimana maklumat-maklumat atau unsur-unsur karya sastera itu diorganisasikan. Unsur-unsur yang terdapat dalam karya merupakan hal utama yang dipersoalkan dalam ujian aras ini.
- Contoh soalannya: Apakah konflik yang dialami oleh watak Tuk Kura.

c. Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif
- Ujian difokuskan kepada penumpuan untuk mendapatkan pandangan pelajar atau pembaca terhadap karya sastera yang dibacanya.
- Contoh soalannya: Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel Julia ?

d. Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi atau Penghayatan
- Ujian ini berfokus pada permasalahan atau mempunyai kaitan antara sastera dengan linguistik.
- Contoh soalannya: Mengapakah Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan dan Aziz Hj. Abdullah dalam novel Seorang Tua Di kaki Gunung banyak memilih kata-kata dan ungkapan daerah utara(Kedah) bagi melahirkan maksud-maksud tertentu.


3. Perubahan dalam sukatan pelajaran baru mata pelajaran bahasa Melayu turut melibatkan perubahan daripada pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Memasukkan unsur-unsur karya sastera ke dalam mata pelajaran bahasa Melayu merupakan usaha baik yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Malah tujuannya untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri para pelajar sekolah juga merupakan satu cadangan yang baik. Hal ini sekali gus akan melahirkan modal insan yang seimbang daripada segi sahsiah dan penerapan sastera ini juga bertepatan dengan Falsafah Negara.
Namun setelah pelaksanaan komsas pada 2001 dan 2002, terdapat beberapa isu yang timbul terhadap sejauh mana komsas ini dapat membantu para pelajar.Oleh itu, maka timbullah pelbagai isu pengujian dan penilaian yang melibatkan sastera dalam bahasa Melayu. Antaranya ialah mengapakah setelah beberapa perbincangan dan kajian dilakukan untuk membuat suatu set soalan sastera dalam bahasa Melayu, namun masih terdapat lagi pelajar yang tidak dapat menjawab soalan-soalan sastera dengan baik. Walaupun soalan yang dikeutarakan lebih pada aras sederhana, namun kenapa masih sukar untuk dijawab oleh sesetengah pelajar.Selain itu, walaupun para pelajar sudah membincangkan skop dan pembahagian tajuknya bersama guru, namun mereka ini masih juga tidak dapat menjawab dengan baik seperti yang dikehendaki dalam soalan. Jadi ini merupakan masalah kepada penguji kerana perlu memikirkan bahawa adakah soalannya terlalu sukar atau beraras tinggi sehingga pelajar sukar menjawabnya. Kita semua tahu bahawa para pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima perlu mengambil sebuah novel dan satu antologi untuk dikaji.
Dalam antologi pula, dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu enam puisi tradisional, enam sajak, empat prosa tradisional,enam cerpen dan empat drama. Pelajar dikehendaki mengkaji aspek-aspek komsas yang terdapat dalam setiapnya dengan kritis. Ada beberapa bahagian dalam prosa tradisional yang menyukarkan para pelajar untuk memahami apa yang ingin disampaikan oleh pengarang. Bahagian ini menggunakan istilah-istilah lama atau klasik yang menyukarkan para pelajar masa kini untuk memahaminya. Bukan setakat pelajar Cina dan India sahaja yang tidak memahaminya, malah ada juga segelintir pelajar Melayu yang tidak dapat memahami apa yang ingin diceritakan dalam karya tersebut. Contohnya petikan prosa dalam cerita Kepahlawanan Tun Beraim Bapa dalam Antologi Anak Laut.


“Maka dihujamkannya sepohon pisang;maka lalu dipancungnya oleh Tun Berahim Bapa dari atas pucuknya lalu ke bawah tiada rebah.Maka Tun Berahim Bapa pun melompat ke kanan sekali dan ke kiri sekali serta dikertangkannya perisai itu,lalu ghaib tiada kelihatan kiamnya pada tangan kirinya. Maka pedang itu diketarkannya lalu ghaib matanya tinggal ulunya pada tangan kanannya.”

Melalui cerita di atas terlalu banyak istilah klasik yang digunakan seperti dikertangkannya, kiamnya,diketarkannya, dan ayat yang berbelit-belit ini juga menyukarkan segelintir pelajar untuk memahaminya dengan baik.
Oleh itu , jelas di sini menunjukkan bahawa bahagian ini merupakan bahagian yang sukar untuk diuji .
Selain itu, penguji juga menghadapi masalah dalam membuat pengujian kerana isu-isu yang timbul seperti pelajar tidak dapat menjawab soalan dengan baik kerana kurangnya bahan rujukan di pasaran. Adakah kerana hal tersebut , maka menyebabkan pelajar tidak dapat menjawab soalan yang dikeutarakan dengan baik. Hal seperti ini menyukarkan pembentukan soalan yang ingin dibentuknya.
Seterusnya penguji akan melihat adakah pelajar tidak dapat menjawab soalan-soalan sastera dengan baik kerana mereka merasakan subjek ini kurang penting. Oleh sebab itu, pembacaan yang dilakukan hanya kadang-kadang dan kerana itulah, maka ada segelintir pelajar yang tidak dapat menjawab soalan dengan baik. Sememangnya kita tahu bahawa seandainya para pelajar tidak menganggap subjek ini penting, maka sudah tentu mereka tidak dapat memberikan jawapan yang tepat dan baik bagi sesuatu soalan.Hal ini akan menyebabkan markah yang diperoleh oleh mereka juga akan menjadi rendah.
Secara tuntasnya dapatlah kita lihat bahawa terdapat banyak isu-isu dalam pengujian dan penilaian dalam pengajaran bahasa Melayu yang timbul dari semasa ke semasa. Oleh sebab itu, kajian demi kajian perlu dilakukan untuk mengatasi masalah yang timbul ini. Apabila isu-isu ini dapat diselesaikan, maka tidak akan wujud lagi masalah dalam kalangan pelajar untuk menjawab soalan-soalan sastera yang diutarakan dengan baik dan tepat.


4. Bina 5 soalan Ujian berkaitan komsas

a. Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Keputusan Datuk Daneng 25 tahun dahulu telah mengubah dunia. Saya cukup bangga dengan kejayaan datuk,”ucap Jo sambil mengelap manik-manik peluh di dahinya yang sudah berkedut itu.
“Cikgu,tolong jangan ‘berdatuk’ dengan saya,siapalah saya di depan cikgu. Kalau tidak kerana cikgu, saya hanya Daneng,anak rimba,”ucap Daneng dengan penuh rasa hormat. Dia merenung wajah gurunya yang sudah diukir garis-garis usia. Suaranya juga agak lemah. Tetapi di sebalik lelaki tua itu,semangat Cikgu Jo masih kental dan kuat. Itulah yang dikagumi Daneng.
“Jasamu akan dikenang sepanjang zaman. Oh,Daneng!Usahamu itu tidak sia-sia. Datuk Daneng telah dapat menyelamatkan belantara ini. Malaysia telah diiktiraf sebagai negara yang memiliki hutan tropika terbanyak di dunia pada tahun 2020 ini. Negara memiliki lebih daripada 20 juta hektar hutan. Rancanganmu itu telah memulihara,memelihara,dan menambahkan kawasan hutan di negara kita,”ucap Cikgu Jo sambil merenung lelaki dewasa yang berusia hampir separuh abad itu.
(Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau oleh Saroja Theavy
dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka).


i) Apakah yang dimaksudkan oleh Cikgu Jo dengan kata-katanya “keputusan Datuk Daneng 25 tahun dahulu telah mengubah dunia? ( 3 markah)
ii) Pada pendapat anda,bagaimanakah cara yang sesuai bagi kita membalas jasa guru? (3markah)
iii) Nyatakan 2 pengajaran yang terdapat dalam petikan. (3 makah)


b. Petikan Prosa Klasik
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Setelah Hang Jebat mendengar kata Laksamana demikian,maka ia pun hairan,seraya berkata,”Hai orang kaya Laksamana,kerana kamulah maka aku berbuat pekerjaan ini! Pada bicaraku,engkau tiada dalam dunia ini lagi. Jika aku tahu akan engkau hidup, demi Allah dan Rasul-Nya, tiada aku berbuat pekerjaan ini.” Maka kata Laksamana,”Hai si Jebat,menyesalkah engkau?”Maka kata Hang Jebat,”Hai Laksamana,sekali-kali tiada aku menyesal dan takut akan mati,tetapi aku sudah tahu akan kematianku ini pada tanganmu,di mana dapat kusalahi lagi?Tetapi tuan hamba lihatlah tikam si Jebat derhaka ini,empat puluh hari orang Melaka membuangkan bangkai dalam negeri Melaka ini dan tiada menderita bau busuk bangkai. Sepala-pala jahat jangan kepalang;kuperbuat sungguh-sungguh.”
(Dipetik daripada Pertarungan Tuah dengan Jebat dalam
antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i) Apakah maksud rangkai kata “Sepala-pala jahat jangan kepalang,kuperbuat sungguh-sungguh?”. ( 2 markah)
ii) Mengapakah Hang Jebat berkata tidak menyesal mati di tangan Hang Tuah? ( 3 markah)
iii) Pada pendapat anda,mengapakah Hang Jebat tidak menyiasat hal Hang Tuah sebelum menderhaka kepada sultan? ( 3 markah)


c. Puisi Tradisional
Baca puisi di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk

(Dipetik daripada antologi Anak laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i) Nyatakan maksud baris berikut
Masa belayar kematian angin
Sauh berlabuh bayu berpuput ( 3 markah)
ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah Pak Kaduk dapat mengelakkan nasib malang yang menimpanya itu? ( 3 markah)
iii) Huraikan gaya bahasa yang digunakan oleh penyair dalam seloka tersebut. ( 3markah)


d. Sajak
Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Segar angin laut
Mengembalikan rindunya pada kolek
Bagai buih kecil terapung di air
Menjaringkan sedikit rezeki
Dan sisik ikan
Kulit ketam
Kepala sotong
Dan
Kaki udang yang bersimpati
Seperti kolek terdampar di pasir
Menampakkan urat jalur-jalur tua
Anak laut itu sudah dapat menerka
Langkahnya hampir tiba
Pada muara Pencipta

(Dipetik daripada antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i) Siapakah ‘anak laut’ seperti yang dinyatakan dalam sajak ini? ( 3markah)
ii) Seandainya anda nelayan, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk meningkatkan pendapatan? ( 3 markah)
iii) Huraikan tiga nilai kemanusiaan berdasarkan sajak di atas. ( 3 markah)


e. Petikan Drama
Baca petikan drama di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pegawai :Aku dapat tahu orang-orang di sini membuat perkumpulan,persatuan,mahu lawan
kerajaan. Orang-orang bodoh ini mesti dihukum.
Orang Tua: Apalah gunanya dihukum orang-orang bodoh,tuan?
Pegawai :Orang-orang itu mesti ditangkap,supaya dia tidak membodohkan orang lain lagi
Orang muda:Bodohkah orang-orang yang mahu lepas dan bebas daripada pemerintahan
Inggeris?
Gadis : Bodohkah orang-orang yang mahu merdeka?
Perempuan tua:(takut)Ya,tuan. Budak-budak ini semua bodoh,tuan,bodoh.
Pegawai : (pada gadis) Apa kata kau?Merdeka?Merdeka?Ha.ha..ha..ha..ha!Buat pensel
sebatang belum tahu lagi sudah mahu merdeka! Tangkap semua itu orang yang
mahu merdeka!!
Orang muda : Tuan,kalau kita sudah merdeka nanti kita akan dapat membuat semua yang kita
mahu. Sekarang kita tidak boleh,tidak diberi peluang,tidak diajar.
Pegawai :Tak diberi peluang?Tidak diajar?kurang ajar kamu!Kau tidak tahu lagi apa jasa
Inggeris pada negara kita ini. Kau tidak tahu lagi orang muda?
Perempuan tua:Budak-budak ini memang kurang ajar,tuan. Tolonglah,tuan!

(Dipetik daripada Drama Titik-titik Perjuangan oleh Kala Dewata
dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i) Apakah harapan orang muda terhadap kemerdekaan seperti yang terdapat dalam petikan?
( 3 markah)
ii) Pada pendapat anda,mengapakah mereka ingin mencapai kemerdekaan? (3 markah)
iii) Huraikan latar masyarakat dalam petikan drama tersebut . ( 3 markah)

5. Komponen sastera diperkenalkan mulai pada tahun 2000. Subjek ini mula dinilai dalam peperiksaan awam iaitu PMR pada 2002 dan SPM pada 2001. Mata pelajaran ini penting dan berperanan besar dalam pembangunan insan, minda dan negara. Dalam hal ini, Shahnon Ahmad dalam bukunya ‘Sastera sebagai Seismograf Kehidupan (1993:15)’ menyatakan bahawa kesusasteraan merupakan ilmu yang dinamik yang selalu mengubah pemikiran masyarakatnya. Malah kesusasteraan Melayu Juga merupakan satu mata pelajaran yang mementingkan perkembangan daya pemikiran yang kritis dan kreatif.
Apabila ditinjau dari sudut kurikulum ,pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu KBSM tingkatan 1 hingga tingkatan 5,pengajaran unsur sastera memang tidak dapat dipisahkan kerana unsur sastera adalah sebahagian daripada pendidikan bahasa Melayu. Hal ini, menyebabkan unsur sastera ini diterapkan ke dalam bahasa Melayu dan semua pelajar perlu mempelajarinya. Unsur sastera ini juga diterapkan dengan tujuan agar dapat membantu negara untuk mencapai matlamat seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang daripada segi intelek,rohani dan jasmani.
Hal ini terang lagi bersuluh,memperlihatkan kepada kita bahawa usaha-usaha yang lebih mantap perlu dilakukan untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera yang dilakukan di semua sekolah.
Terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak sekolah ,terutamanya guru-guru bahasa Melayu untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran sastera agar menjadi lebih menarik lagi. Guru-guru perlulah mempelbagaikan corak pengajaran dengan menerapkan pelbagai kaedah simulasi semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat pelbagai kaedah atau teknik simulasi yang boleh digunakan oleh guru-guru untuk membaiki pengajaran dan seterusnya menarik minat para pelajarnya. Antaranya ialah guru-guru boleh menukarkan atau menggunakan kaedah seperti melakonkan drama atau mengadakan deklamasi puisi dalam kelas. Guru-guru juga boleh mengadakan permainan mencari kad-kad,memadankan kad dengan betul,melagukan syair,dan pelbagai lagi permainan dalam pengajarannya.
Guru-guru juga boleh melakukan permainan-permainan kecil seperti kotak beracun,teka silang kata dan aktiviti menampal atau melukis gambar watak-watak yang terdapat dalam teks sastera yang dikaji. Guru bahasa Melayu juga boleh mengadakan pertandingan bercerita berkaitan sinopsis berkaitan bahan prosa dalam teks sastera yang dikaji. Guru-guru juga boleh mempelbagaikan corak pengajarannya dengan membahagikan tajuk-tajuk cerpen kepada kumpulan-kumpulan yang telah dibentuk. Selepas itu guru bahasa Melayu perlu memberikan peluang untuk para pelajar tersebut berbincang dan menyatakan pendapat masing-masing berkaitan tajuk yang diperolehi mereka. Setelah siap semuanya kumpulan tersebut dikehendaki membentangkan hasil perbincangannya di hadapan . Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan pelajar ruang untuk bergerak bebas dan tidak merasa bosan. Selain itu, para pelajar dapat membina keyakinan diri semasa memberikan pendapat atau semasa membentangkan hasil dapatan mereka.
Selain itu, penggunaan media elektronik seperti LCD, laptop, VCD, internet, televisyen dan pelbagai lagi teknologi ,juga dikatakan dapat menarik minat para pelajar untuk mengikuti sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Misalnya guru –guru bahasa Melayu boleh melakukan pengajaran dengan menggunakan bahan tayangan seperti gambar ,menggunakan bunyi untuk menjelaskan latar sesuatu tempat dalam teks yang dikaji. Selain itu penggunaan internet untuk mencari maklumat juga boleh dilakukan oleh pelajar dalam usaha mencari sajak atau puisi sebagai contoh .
Hal ini juga penting agar pelajar dapat menghayati unsur sastera yang diajarkan oleh gurunya itu. Selain itu minat pelajar untuk mengikuti pengajaran atau akan timbul. Secara tidak langsung ,guru dapat menanamkan minat para pelajar terhadap karya-karya sastera. Secara tuntasnya dapat dinyatakan bahawa penggunaan ilustrasi gambar ,warna dan bunyi dikatakan dapat merangsang otak dan minda pelajar.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa kaedah simulasi dan penggunaan teknologi amat penting untuk merangsang minda ,sekali gus dapat memudahkan para pelajar untuk memahami dan menghayati bahan sastera yang diajarkan .