9 Mac 2009

Tugasan

Semua tugasan yang sudah selesai diminta dihantarkan kepada saya, sebaiknya melalui "comments" dalam blog ini.

5 Mac 2009

Tugasan pada 7 Mac 2009

Kuliah pada 7 Mac digantikan dengan tugasan berikut:

1. Sempurnakan nota kuliah setakat ini. (10 markah)
2. Buat esei mengenai objektif sukatan pelajaran Bahasa Melayu menurut sekolah Menengah dan Rendah tempat anda bertugas. Buat pelajar Thai, huraikan objektif pengajaran bahasa Melayu di sekolah anda sendiri. (10 markah)

Tugasan ini perlu diselesaikan dan diemelkan kepada saya sebelum 11 mac 2009.

3. Huraikan isu mengenai pengujian karangan, kefahaman, rumusan, tatabahasa, peribahasa dan komsas sebagai yang diajarkan di sekolah anda. Buat satu huraian bagi satu jenis topik ini. Gunakan contoh dalam pengajaran anda sendiri. (40 markah)

Tugasan 3 perlu diemelkan kepada saya pada akhir Mac 2009.

21 Februari 2009

PENILAIAN, PENGUKURAN DAN PENGUJIAN

Bacaan untuk pelajar Thai.

Pengenalan

Umumnya, pengujian digunakan untuk melihat darjah kemahiran bahasa, yang dicapai melalui pembelajaran bahasa. Oleh kerana proses pembelajaran itu penting di dalam sistem pendidikan, maka soalan pengujian haruslah diberi perhatian yang sewajarnya. Untuk tujuan perbincangan di sini, perkara-perkara yang dibincangkan seperti kesahan, kebolehpercayaan, ciri-ciri pengujian yang baik dan sebagainya akan dibincangkan. Ciri-ciri ini bukanlah khusus untuk bahasa Malaysia saja, tetapi adalah umum. Untuk tujuan perbincangan di sini, istilah pengukuran, penilaian dan pengujian merupakan tiga perkara yang berbeza tetapi perhubungan, malah saling bertindih dan mencakupi. Tujuan pengujian, pengukuran dan penilaian adalah berbeza, tetapi saling membantu untuk mencapai matlamat yang sama.

Penilaian

Istilah penilaian ini merujuk kepada satu proses sistematis bagi meninjau proses atau hasil sesuatu rancangan pengajaran-pembelajaran bahasa dengan memeriksa dan menilainya untuk melihat sama ada objektif-objektif tertentu yang telah ditetapkan, tercapai atau tidak. Sifat utama penilaian itu ialah memberi ‘penghakiman’ tentang kebaikan atau kelemahan sesuatu rancangan pengajaran-pembelajaran bahasa itu. Dua aspek penting dapat dilihat daripada definisi di atas. Pertama, ‘proses yang sistematis’ memberi maksud pemerhatian pelajar-pelajar yang dapat dikawal. Kedua, lazimnya objektif pengajaran bahasa itu telah pun ditetapkan terlebih dulu, tanpa penilaian ini, maka sukarlah untuk kita menilai kemajuan pelajar-pelajar.

Apabila kita menilai, kita mencuba meletakkan sesuatu itu di satu takat yang melambangkan nilai sebenar baginya. Biasanya nilai itu dilambangkan dengan markah, gred ataupun kedua-duanya sekali di dalam satu darjah. Penilaian tidak semestinya dijalankan melalui pengujian dan peperiksaan yang formal. Tetapi cara yang formal lebih sesuai. Contoh penilaian yang formal termasuk pengujian bulanan, pengujian dalam bilik darjah, pengujian lisan dan sebagainya. Penilaian perlu dijalankan dulu sebelum gred atau markah dapat diberi. Ini bermakna kualiti prestasi pelajar tidak boleh dilambangkan matlamat tanpa penilaian dijalankan.

Penilaian sama ada formal atau tidak formal, dapat menunjukkan kepada kita kesan daripada sesuatu aktiviti. Kesan ini merupakan perubahan-perubahan yang berlaku di dalam bidang kefahaman, lisan dan sebagainya. Perubahan ini penting dan perlu untuk mencapai matlamat pengajaran-pembelajaran.

Pengukuran

Mengikut kamus yang baku, pengukuran ialah tindakan, atau proses untuk menentukan sejauh manakah, setakat manakah, sebanyak manakah dan sebagainya keadaan ‘sesuatu perkara’ itu, dengan membandingkannya secara khusus dengan ukuran lain yang dianggap baku. Istilah sesuatu perkara di dalam definisi di atas itu memang dapat dipertikaikan. Apakah ‘sesuatu perkara’ yang diukur apabila kita mengukur kepintaran dan kepandaian? Kepintaran dan kepandaian merupakan kata nama mujarad yang merujuk kepada proses mental. Proses mental ini ada atau mungkin tidak ada mempunyai kebenaran empirikal.

Oleh kerana ini, pengukuran dapat dikatakan sebagai ‘penggunaan proses yang sistematis untuk menghitung variabel yang selanjar’ (D.F. Blood, 1972: 4). Mengikut definisi ini rangkai kata proses yang sistematis bermakna langkah-langkah mengukur itu mestilah eksplisit supaya setiap orang yang ada mempunyai latar belakang dan latihan yang sesuai akan dapat menggunakannya. Istilah variabel yang selanjar pula bermakna sesuatu perkara yang dihuraikan oleh variabel itu dapat ditentukan dari satu skala. Variabel pula ialah ciri-ciri dan tingkah laku yang boleh menerima nilai-nilai kuantitatif (markah) dan kualitatif (gred).

Daripada pengertian ini, dan untuk mengelakkan daripada masalah mengenai ketepatan pengukuran yang mungkin timbul, istilah penafsiran juga digunakan. Dengan kata lain, pengukuran merujuk kepada proses membezakan dan mengelaskan orang perseorangan berbanding dengan sesuatu tingkah laku atau ciri-ciri yang ditakrifkan. Ciri-ciri penting mengenai pengukuran di bawah ini dapat menjelaskan lagi makna pengukuran.

a. Pengukuran tidak melibatkan proses menilai seperti baik, buruk dan sebagainya. Nilai seperti ini dibuat di dalam proses penilaian.

b. Pengukuran membandingkan markah seseorang pelajar dengan satu skala. Biasanya skala yang digunakan adalah pencapaian pelajar lain atau sesuatu norma yang ditentukan.

Proses penilaian lebih luas daripada pengukuran kerana penilaian termasuk memberi nilai seperti baik atau buruk sesuatu pencapaian. Dengan kata lain, penilaian memperihalkan aspek-aspek kualitatif dan kuantitatif tingkah laku seseorang pelajar di samping memperhitungkan nilai mengenai tingkah laku yang diingini.

1. Tujuan penilaian

Penilaian dijalankan untuk beberapa tujuan seperti berikut:

b. Pemilihan Calon

Penilaian dilakukan untuk memilih calon bagi berbagai jurusan pelajaran dan pekerjaan. Ini memang benar apabila penilaian dibuat terhadap seluruh keputusan peperiksaan. Misalnya selepas peperiksaan SRP atau SPM pelajar-pelajar disalurkan ke jurusan-jurusan tertentu seperti sains, sastera dan vokasional. Tetapi tujuan ini tidak sesuai untuk satu-satu mata pelajaran yang khas seperti bahasa Malaysia. Sistem pendidikan Malaysia tidak membezakan atau memilih antara pelajar-pelajar yang baik dan lemah (kecuali yang gagal) di dalam bahasa Malaysia di peringkat SRP atau SPM untuk melanjutkan pelajaran. mungkin di peringkat universiti pihak berkuasa membuat penilaian terhadap gred, kemahiran dan kecekapan bahasa Malaysia seseorang pelajar yang ingin membuat pengkhususan di dalam pengajian bahasa Malaysia. Di dalam bidang pekerjaan, khasnya sektor kerajaan, pihak berkuasa (kerajaan) berkehendakkan calon yang memohon pekerjaan itu, mempunyai tahap pencapaian yang tertentu (kepujian) di dalam bahasa Malaysia di peringkat SPM. Ini lebih pada aspek menjamin pelaksanaan dan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

b. Untuk Mengawasi Mutu Pelajaran

Masyarakat, khasnya ibu bapa berharap pihak sekolah dan pusat pengajian lain dapat melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai mutu penguasaan bahasa yang baik. Penilaian sangatlah penting di dalam hal ini kerana darjah penilaian itu menentukan mutu pelajaran tersebut. Tetapi adakah kriteria yang sesuai digunakan supaya penilaian itu dapat dianggap baik? Untuk mengatasi masalah kesangsian masyarakat terhadap mutu pelajaran, digunakan ‘penilai luar’ yang bebas untuk menilai mutu pelajaran di peringkat universiti khasnya.

c. Makluman Balik kepada Pelajar

Sesuatu penilaian itu memberi kesan yang besar kepada pelajar. Pelajar memerlukan hasil penilaian itu dengan segera supaya dapat mengubah atau menetapkan pendapatnya dan kedudukannya yang sudah wujud. Makluman balik yang berkesan dapat membantu pelajar mengetahui kelebihan dan kelemahannya, dan menunjukkan bagaimana hendak memperbaiki kelemahan dan menentukan pemulihan jika perlu. Makluman daripada penilaian itu akan merupakan panduan yang dapat menggerakkan motivasi pelajar ke arah yang positif. Jenis makluman balik seperti gred (A, B atau C), markah (60% atau 52%) dan tafsiran (lulus, gagal) hanya dapat memberi gambaran kasar mengenai kemajuan pelajar itu. Penilaian itu tidak dapat memberi gambaran yang terperinci akan hasil usahanya kerana keputusan itu tidak konsisten. Lagipun makluman balik ini tidak menekankan aspek yang harus dibaiki oleh pelajar-pelajar untuk lulus jika dia gagal atau jika dia lulus; pada aspek mana pula yang harus ditekankan untuk mendapat kecemerlangan.

Makluman balik hanya memberi kesan jika ia termasuk ulasan lisan dari guru. Ini bermakna guru harus melahirkan reaksinya kepada tugasan pelajar dengan menyatakan aspek-aspek yang dianggapnya lemah atau baik. Cadangan-cadangan guru itu haruslah dapat membantu pelajar memperbaiki kerja-kerjanya.

d. Makluman Balik kepada Guru

Makluman balik kepada guru menjelaskan keberkesanan pengajaran guru itu. Makluman balik inilah yang perlu untuk penilaian kursus. Jika makluman balik bagi pelajar menunjukkan daerah-daerah kelemahan, maka guru harus melihat kelemahannya seperti penerangan konsep yang mengelirukan pelajar atau kekurangan latihan atau perkaedahannya yang tidak sesuai. Mengetahui dan mengkaji makluman ini dapat membantu guru memperbaiki teknik pengajarannya.

2. Kegunaan Penilaian

Ada beberapa kegunaan yang jelas daripada penilaian yang dijalankan.

a. Kegunaan di dalam Pentadbiran dan Pengelolaan

Makluman mengenai tahap bahasa Malaysia sesuatu atau kumpulan dapat membantu pihak pengelola menentukan keperluan atau mengubahsuai aktiviti kurikulum bahasa Malaysia. Makluman daripada penilaian juga penting untuk kemajuan pelajar supaya dapat digunakan untuk membuat laporan kepada pihak tertentu, seperti ibu bapa dan masyarakat. Seterusnya makluman itu dapat membantu pihak pentadbir di dalam proses penukaran pelajar, pengkelasan pelajar atau pengenalpastian pelajar-pelajar yang perlukan kelas pemulihan di dalam bahasa Malaysia.

b. Membaiki Pelajaran

Menilai taraf pencapaian bahasa Malaysia seseorang pelajar dapat membantu guru memperbaiki proses pengajaran-pembelajaran di dalam beberapa cara. Pertama, memberi maklumat atau menjelaskan apa yang pelajar perlu belajar. Kedua, memberi maklumat kepada pelajar mengenai kemajuan pelajarannya. Ketiga membolehkan pelajar mengenal daerah yang menjadi kesukarannya. Keempat, hasil penilaian menunjukkan kesediaan pelajar untuk menjalankan aktiviti pembelajaran selanjutnya.

c. Melaporkan Kemajuan Pelajar Kepada Ibu Bapa

Penilaian merupakan cara yang dapat digunakan oleh guru secara objektif dan menyeluruh untuk melaporkan kemajuan pelajaran pelajar kepada ibu bapa mereka. Maklumat yang objektif dan menyeluruh ini menjadi asas kerjasama yang penting di antara ibu bapa dan guru.

3. Proses Penilaian

Sebenarnya proses ini melibatkan perkara-perkara mengenai penilaian. Iaitu;

a. Mengapa menilai?
b. Apa yang hendak dinilai?
c. Bagaimana menilai?
d. Bagaimana mentafsir?

Perbincangan mengenai persoalan ini sebenarnya berkaitan dengan pengujian, kerana di dalam sekolah menengah, pencapaian di dalam bahasa Malaysia dilihat daripada jenis-jenis pengujian yang berbeza mengenai bahasa Malaysia; seperti ujian lisan, karangan, fahaman dan sebagainya. Untuk menjawab proses penilaian atau persoalan di atas, perlulah kita melihat perbincangan mengenai pengujian.

Pengujian

Pembelajaran telah dikaitkan dengan perubahan tingkah laku. Dengan itu ujian cara yang sistematis untuk mengukur tingkah laku seseorang. Pengujian dikatakan mengukur tingkah laku kerana ia memerlukan seseorang pelajar menunjukkan (dengan cara menanda, mengisi atau mengarang) perkara-perkara yang telah dipelajarinya. Yang dimaksudkan dengan sistematis ialah perkara atau butiran di dalam ujian itu, haruslah dibina berpandukan kepada peraturan tertentu. Cara melaksanakannya juga harus ditetapkan, dan cara memberi markat ditentukan dengan terperinci. Semua pelajar akan mengambil ujian yang sama di dalam keadaan yang sama. Oleh kerana pembelajaran ialah perubahan tingkah laku, maka sudah tentu ujian hanya dapat meliputi contoh butiran semata-mata dan butiran itu adalah contoh yang mewakili bidang pembelajaran yang sedang diuji.

Apabila dibandingkan definisi di atas dengan definisi ini “pengujian ialah cara yang sistematis untuk membandingkan prestasi seseorang dengan prestasi seorang lain yang dianggapkan baku”, didapati definisi pertama kurang memadai kerana faktor ‘perbandingan’ di dalam ujian adalah penting. Ini dapat dilihat daripada penjelasan definisi yang kedua. Makna sistematis di dalam definisi kedua adalah sama dengan definisi pertama. Makna berbanding di dalam definisi kedua penting, kerana markat ujian tidak memberi apa-apa makna kecuali ia dibandingkan dengan sesuatu. Asas untuk membandingkan markat dapat dibahagikan kepada dua rakan sebaya dan kemahiran minimum. Contoh di bawah dapat menjelaskan makna ini.

Katakanlah A telah mendapat 60 markah di dalam pengujian objektif bahasa Malaysia peringkat STPM, yang mempunyai seramai 1,000 calon. Markat purata pengujian itu ialah 60 dan yang tertinggi ialah 80 dan yang terendah ialah 25. Jika 500 orang pelajar memperolehi markah kurang daripada 60, maka markat A itu berbanding dengan rakan sebaya, menunjukkan darjat A secara relatif dalam ujian itu. Tetapi markat itu tidak menunjukkan sejauh mana A telah menguasai sesuatu kebolehan tertentu. Sekiranya A berada di kelas yang terbaik dan pihak sekolah menetapkan seseorang dari kelas terbaik itu seharusnya memperolehi 90 markat, mara markat A yang 60 itu menunjukkan bahawa A belum lagi mencapai tahap kemahiran minimum tersebut.
Kesimpulannya, jika hendak mennetukan tafar bahasa Malaysia seseorang pelajar, kita gunakan perbandingan berdasarkan kumpulan sebayanya. Jika kita hendak tahu setakat mana kebolehan tertentu telah dicapai, maka taraf kaedah kemahiran minimum digunakan.

1. Tujuan Pengujian

Pengujian mempunyai beberapa tujuan:

a. Menentukan Cara dan Tujuan Pengujian Yang Baik

Bagaimana dan apakah yang perlu dijalankan untuk membentuk satu ujian yang baik? Penganalisisan butir ujian dapat memberi maklumat yang diperlukan dan dijadikan dasar memperbaiki sesuatu pengujian itu.

b. Menguji Kefahaman

Ujian kefahaman adalah untuk mengetahui sejauh manakah murid-murid telah memahami isi kandungan yang telah diajarkan? Khasnya ujian di dalam bilik darjah seperti ujian bulanan, adalah umumnya untuk mengenali kelemahan dan kekuatan pelajar-pelajar di dalam pembelajaran.

c. Makluman Mengenai Kelemahan dan Kekuatan

Makluman ini memberi maklumat balik kepada guru dari segi kelemahan dan kekuatan pengajarannya.

d. Memberi Makluman Balik Kepada Murid

Hasil pengujian juga memberi makluman balik kepada pelajar dari segi kelemahan dan kekuatan pembelajarannya.

2. Kegunaan Pengujian

Pengujian juga mempunyai beberapa kegunaan penting.

a. Mendapatkan Pemerhatian Objektif

Pengujian adalah berguna untuk membolehkan guru atau pemeriksa membuat pemerhatian objektif khasnya terhadap tingkah laku pelajar. Pengujian sebagai pengukur membolehkan pemerhatian ini dicatatkan supaya ciri-ciri atau tingkah laku yang dikehendaki dinilai mengikut sesuatu norma baku yang tetap.

b. Menilai Prestasi Pelajar di Kawasan Terkawal

Pengujian membolehkan guru menilai prestasi pelajar supaya terkawal. Ada banyak variabel yang mengganggu prestasi pelajar, misalnya;keadaan alam, masa, bahan rujukan, bantuan nasihat dan sebagainya. Jenis-jenis variabel ini berubah mengikut tugasan yang dilakukan. Keadaan lingkungan sekeliling ujian merupakan salah satu daripada cara guru dapat memberi kawalan yang cukup untuk mengelakkan pengaruh variabel ini.

c. Meramalkan Tingkah Laku Masa Depan

Pengujian juga berguna untuk meramalkan tingkah laku masa depan. Ujian boleh dibentuk supaya berkait dengan hasil masa depan. Oleh itu pengujian digunakan untuk meramalkan kejayaan seseorang. Misalnya ujian ramalan di peringkat SRP, SPM dan STPM digunakan untuk meramal prestasi pelajar di dalam peperiksaan sebenar nanti.

Jenis Pengujian

Terdapat berbagai jenis ujian bahasa yang digunakan di sekolah. Jenis ini dapat digolongkan kepada tiga kumpulan besar: ujian pencapaian , ujian kemahiran dan ujian bakat.

Ujian Pencapaian.

Ujian pencapaian ini boleh dibahagikan kepada dua jenis umum, iaitu Ujian Kemajuan dan Ujian Pencapaian:

1. Ujian Kemajuan

Ujian ini kerap digunakan di dalam bilik darjah. Tiap-tiap ujian kemajuan yang di gunakan di dalam bilik darjah adalah khusus bagi sesuatu darjah dan hanya sesuai dinilai oleh guru darjah itu sendiri, kerana dia mempunyai pengetahuan penuh mengenai keperluan ujian yang direkabentuk olehnya itu. Tujuannya adalah berasaskan kepada objektif pengajaran, program pembelajaran yang telah diikuti oleh pelajar dan pengetahuan pelajar yang ingin diuji. Adalah tidak wajar untuk menggunakan ujian umum seperti SRP untuk memenuhi keperluan sesuatu keadaan yang khusus di dalam bilik darjah. Jadi, guru digalakkan membentuk ujiannya bagi memenuhi keperluannya sendiri.

Ujian kemajuan ini bertujuan untuk mengukur dan menilai, setakat manakah pelajar-pelajar telah menguasai bahan atau perkara-perkara yang diajarkan di bawah satu-satu tajuk tertentu. Ujian itu berasaskan kepada rancangan pelajaran yang telah diikuti oleh pelajar. Jadi ujian itu bukan saja penting untuk menilai kemajuan pelajar dalam pelajarannya, tetapi juga tugas-tugas guru itu sendiri dalam mengajar murid-muridnya.

Hasil daripada ujian kemajuan ini membolehkan guru mengetahui dengan lebih jelas tentang kemajuan setiap orang pelajarnya dan juga kemajuan darjahnya secara keseluruhan. Satu ujian kemajuan yang tinggi mutunya dapat mengerakkan motivasi pelajar ke arah pencapaian yang lebih tinggi dengan cara yang lebih positif. Jadi ujian ini merupakan satu teknik pengajaran dan pembelajaran dengan tujuan mengukuhkan pembelajaran dan aspek-aspek tertentu yang telah dipelajari. Biasanya satu ujian kemajuan harus menghasilkan markat pencapaian yang tinggi dan ini akan mendorong pelajar untuk berusaha lagi.

2. Ujian Pencapaian

Ujian ini tidak jauh berbeza daripada ujian kemajuan. Ujian pencapaian lebih rasmi dan bertujuan untuk mengukur pencapaian secara lebih menyeluruh, seperti ujian atau peperiksaan akhir tahun dan penggal sekolah. Kebanyakan ujian pencapaian merupakan ujian umum seperti SRP dan SPM. Ujian seperti ini adalah berasakan kepada apa yang dianggap telah dipelajari oleh pelajar. Ujian ini merupakan peperiksaan untuk menentukan penempatan jenis sekolah dan jurusan pelajar. Pembentukan ujian itu berasaskan kepada sukatan pelajaran rasmi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam peperiksaan umum seperti ini, bahan–bahan yang dibentuk biasanya diprauji dulu. Tiap-tiap butiran peperiksaan dianalisis melalui proses analisis butiran. Butir-butir yang sesuai dikekalkan dan lain-lain, sama ada dibuang, diubah atau diperbaiki, berasakan analisis tersebut. Kadang-kadang ujian pencapaian digunakan juga sebagai ujian kemajuan, jika tujuannya ialah khas untuk melihat kemajuan pelajar di dalam pelajarannya.

Ujian Kemahiran

Ujian ini ialah untuk menentukan sejauh mana kemahiran bahasa seseorang pelajar dan bagaimana dia menggunakan kemahiran ini untuk menghadapi sesuatu tugas tertentu seperti pelajaran lain atau bidang-bidang tertentu. Misalnya, ada ujian lisan bahasa Malaysia pada peringkat SPM, dan ada ujian untuk menguji kemahiran pelajar di dalam pertuturan. Ujian bahasa Inggeris TOEFL (Test of English as a Foreign Language) bertujuan untuk menguji kemahiran seseorang di dalam bahasa tersebut. Jadi ujian seperti ini bukanlah untuk mengukur pencapaian am, tetapi kemahiran khusus yang diperlukan untuk menghadapi pembelajaran.

Ujian Bakat

Ujian bakat di dalam bahasa Malaysia ialah ujian yang dibentuk untuk mengukur prestasi yang mungkin dicapai oleh pelajar di dalam bahasa itu. Adalah dianggapkan bahawa bukan semua orang, khususnya bukan Melayu, mempunyai bakat untuk mempelajari bahasa Malaysia. Bakat untuk mempelajari bahasa sangat kompleks dan melibatkan berbagai faktor seperti kecerdasan, umur, motivasi kuasa ingatan, kebolehan mengenal pasti bunyi bahasa dan pola-pola tatabahasa. Dengan itu tidak mungkin dan tidak perlu diuji semua aspek bahasa di dalam satu ujian. Oleh sebab itu, biasanya ujian bakat dibahagikan mengikut kemahiran-kemahiran khusus yang ingin dipelajari oleh pelajar, umpamanya kemahiran bertutur.

Ciri-Ciri Ujian yang Baik

Beberapa ciri penting mengenai ujian diperlukan untuk memastikan bahawa ujian bahasa Malaysia yang dibentuk, dilaksanakan dan digunakan untuk menilai bahawa pelajar itu adalah benar-benar berfungsi demikian. Ciri-ciri utama yang harus ada adalah seperti berikut: kesahan, kebolehpercayaan, keobjektifan dan kemudahan tafsiran.

Kesahan

Kesahan ujian bermakna kita memastikan bahawa sesuatu ujian bahasa Malaysia itu benar-benar menguji perkara-perkara yang harus diuji iaitu mencapai tujuannya. Bagi sesuatu ujian, ada tiga jenis kesahan yang harus diawasi iaitu: Kesahan Rupa, Kesahan Berhubung dengan Kriteria, dan Kesahan Isi.

a. Kesahan Rupa

Kesahan rupa bermakna bahawa sesuatu ujian itu harus kelihatan menguji perkara yang diuji. Ujian di bilik darjah harus mempunyai ciri kesahan yang tinggi, iaitu ujian tersebut harus kelihatan menguji apa yang hendak diuji. Misalnya ujian bahasa Malaysia harus kelihatan seperti mengandungi petikan untuk ujian fahaman dan kosa kata dan sebagainya, tidak banyak mengandungi angka, graf, jadual dan lain-lain yang lebih merupakan ujian matematik. Jika ujian itu kelihatan seperti ujian matematik, maka kesahan rupa ujian bahasa Malaysia tersebut adalah rendah.

b. Kesahan Berhubung dengan Kriteria

Sesuatu ujian yang baik juga mempunyai kesahan berhubung dengan kriteria. Ini bermakna bahawa pencapaian pelajar di dalam ujian tersebut dapat dihubungkan dengan sesuatu kriteria tertentu, seperti peperiksaan luar atau kejayaan pada masa depan. Misalnya ujian lisan di sekolah mempunyai kesahan berhubung dengan kriteria tinggi yang dapat dikaitkan dengan peperiksaan SPM. Pelajar yang mendapat pencapaian yang tinggi di dalam ujian ramalan, dapat diduga akan mencapai markat yang tinggi juga di dalam peperiksaan SPM nanti.

c. Kesahan Isi

Kesahan ini cuba melihat sejauh mana ujian tersebut meliputi bidang pelajaran yang harus diuji. Ujian yang mempunyai kesahan isi yang tinggi akan mencerminkan isi dan pengajaran yang telah dilaksanakan sebelum ujian. Semua objektif pengajaran yang penting bagi sesuatu pelajaran, dinyatakan di dalam isi yang mewakili pelajaran tersebut. Dengan itu tidak ada perkara penting dari segi isi pelajaran akan tertinggal. Kesahan isi bagi ujian bilik darjah yang disediakan oleh guru harus dipertimbangkan oleh guru yang telah mengajar isi tersebut bagi kelasnya.

Kebolehpercayaan

Kebolehpercayaan merujuk kepada keselarasan sekumpulan skor ujian mengukur. Jadi, kebolehpercayaan itu ialah ketetapan atau konsistensi ujian tersebut. Ujian yang tinggi kebolehpercayaannya ialah ujian yang menghasilkan skor-skor ujian yang hampir sama bagi sekumpulan pelajar di dalam keadaan yang berbeza. Tidak semestinya satu-satu bahan ujian yang menghasilkan keputusan analisis kebolehpercayaan yang tinggi itu, sah terutamanya jika bahan itu menguji aspek-aspek yang tidak relevan dengan objektif pengajaran, kerana, analisis statistik kebolehpercayaan tidak dapat menguji kesahan isi. Sebaliknya jika sesuatu ujian itu terdiri daripada butiran yang dianggap tepat dan penting, maka, bahan ujian itu akan menjadi sah, dan boleh dipercayai.

Sekurang-kurangnya ada tiga faktor besar yang dapat mempengaruhi kebolehpercayaan satu-satu hasilan bahan ujian.

a. Kesesuaian dan Ketepatan Tugas-Tugas yang Diberi

Sesuatu soalan ujian yang senang, susah atau yang boleh dibuat berbagai tafsiran, tidak mungkin boleh menghasilkan markah-markah yang tinggi kebolehpercayaannya. Misalnya bahagian karangan di dalam peperiksaan SPM, seperti ‘Pilih satu tajuk di bawah dan kemudian buatkan satu karangan yang panjangnya kira-kira 350 hingga 450 patah perkataan’.

1. Filem tempatan lebih baik daripada filem asing. Bincangkan.
2. Budaya asing
3. Pengaruh muzik barat

Tajuk-tajuk ini kurang jelas maknanya. Skop penulisannya luas dan akan menimbulkan berbagai tafsiran. Akibatnya kelemahan ini akan mengurangkan kebolehpercayaan hasil ujian tersebut. Keadaan ini bukan saja memerlukan pelajar menghadapi tugas-tugas yang kabur, malah mereka perlu menggunakan daya pemikiran yang lebih daripada kebolehan bahasa. Pemeriksa pula terpaksa membuat tafsiran tentang jawapan yang diterimanya mengikut pendapat dan kemampuannya yang tersendiri.

b. Keobjektifan Pemeriksa yang Memeriksa Ujian

Faktor ini berhubung rapat dengan faktor (a) di atas. Jika pemeriksa memberi markah mengikut perasaannya dan bukan mengikut suatu norma baku yang sudah tetap untuk keseluruhan pemeriksaan, maka markah tersebut akan kurang kebolehpercayaannya. Perkara ini mungkin timbul di dalam contoh soalan di atas.

Keobjektifan

Tujuan mengadakan ujian adalah untuk mengurangkan pertimbangan subjektif mengenai pencapaian pelajar. Guru ingin memastikan bahawa pencapaian pelajar di dalam ujian bahasa Malaysia itu benar-benar mencerminkan kebolehannya, iaitu melalui satu penentuan yang objektif. Guru tidak seharusnya dipengaruhi oleh sifat peribadi pelajar atau perkara-perkara luar daripada ujian. Hanya ujian objektif yang memerlukan jawapan betul-salah di dalam jawapannya aneka pilihan saja yang mempunyai objektif yang tepat. Bagi ujian subjektif, guru harus menyediakan satu jawapan sebagai rangka untuk menetapkan skema pemarkahan supaya keobjektifan ujian tercapai.

Kebolehtadbiran

Sesuatu ujian itu harus boleh dilaksanakan di dalam tempoh masa yang tertentu atau mempunyai ciri kebolehtadbiran. Misalnya ujian subjektif harus jangan mengandungi jawapan yang terlalu panjang supaya pelajar dapat menyudahkannya di dalam masa yang ditetapkan. Begitu juga dengan ujian objektif kerana jika pelajar tidak dapat menjawab semua soalan, maka objektif dan isi kandungan tertentu dari ujian tersebut terpaksa ditinggalkan. Dengan itu hasil markah tidak dapat mencerminkan kebolehannya yang sebenar.

Tafsiran

Tafsiran markat dari ujian adalah berdasarkan kepada perkara-perkara yang diuji tersebut. Jika kesahan isi kandungan yang menjadi persoalan utama, maka guru harus merujuk kembali kepada bidang-bidang pelajaran dan butiran ujian tersebut, iaitu membuat analisis butiran. Tafsiran markat harus mudah digunakan oleh pelajar, ibu bapa dan guru untuk tujuan tertentu.

Bentuk Ujian

Ujian dan peperiksaan bahasa Malaysia dapat dijalankan di dalam dua bentuk iaitu: ujian objektif dan ujian esei.

Ujian Objektif

Ujian objektif itu bermaksud bahawa bahan atau perkara yang hendak diuji itu telah ditentukan sebagai objektif ujian tersebut. Di samping itu juga pemarkahannya dapat dikawal secara objektif, walaupun bilangan pelajar yang terlibat itu ramai. Ujian objektif itu amat berguna di dalam keadaan apabila pelajar yang hendak diuji itu ramai jumlahnya, dan bahan ujian yang dibentuk itu boleh pula diulang penggunaannya pada masa depan. Ujian objektif ini juga dapat meningkatkan pembelajaran aspek-aspek formal bahasa seperti tatabahasa dan ejaan, dan kita dapat menguji kefahaman dan kebolehan mereka di dalam menggunakan prinsip-prinsip dan rumusan-rumusan tatabahasa yang telah diajarkan kepada mereka. Ujian objektif yang baik juga biasanya dapat menjamin wujudnya kesaksamaan di dalam pemarkahan, sebab jawapan-jawapan yang terlibat adalah sama saja. Pemarkah tidak mempunyai ruang untuk berlaku tidak adil. Pihak guru pun boleh menjadi lebih yakin untuk membentuk bahan ujian objektif yang bermutu. Ini biasanya didapati lebih mudah untuk dilakukan daripada ujian berbentuk karangan atau esei.

Ujian Esei

Ini ialah cara ujian tradisional. Pelajar diminta mengarang esei untuk menjelaskan jawapannya. Inilah perbezaan di antara ujian objektif dengan ujian jenis esei. Istilah ini kerap disalahfahami dengan pemakaian istilah subjektif. Ujian jenis esei ini bukanlah ujian subjektif. Pemarkahannya boleh juga objektif (adil dan tidak mengambil kira perkara-perkara yang tidak ada hubungan dengan ujian itu). Cuma, memang agak sukar untuk bersifat objektif dalam memarkahkan esei.

Ujian berbentuk esei ini dapat digunakan di dalam banyak keadaan. Ujian esei ini berkesan kalau bilangan pelajar yang hendak diuji itu tidak ramai. Bahan ujian itu biasa juga diulang penggunaannya, walaupun ada pihak yang menganggap ujian itu tidak boleh digunakan kembali. Ujian ini juga berkesan kalau guru ingin memberi galakan untuk perkembangan kemahiran menulis dan mengarang. Ujian begini juga memerlukan guru mempunyai kemampuan menjadi pembaca yang kritis, menilai jawapan-jawapan yang diberi. Dengan cara begini daya kreatif bahasa pelajar betul-betul dapat berkembang dan boleh diuji, dan tidak semata-mata melihat kebolehannya di dalam mempelajari aspek-aspek formal bahasa saja.

Perbandingan Ujian Objektif dan Esei

Setiap satu bentuk ujian ini memang mempunyai banyak kelebihan dan kekuatan. Ujian objektif tidak dapat mengukur dorongan dan kreativiti pelajar, dan juga tidak memberi peluang kepada pelajar untuk melahirkan perasaan mereka dengan berkesan. Oleh itu ramai ahli pedagogi bersetuju dengan penggunaan ujian objektif di dalam bilik darjah terutamanya bagi ujian kemajuan dan pencapaian. Butiran ujian objektif mempunyai aneka pilihan, dan secara perbandingannya, cara ini mempunyai kemampuan yang tinggi untuk mendiskriminasikan pelajar-pelajar yang baik dari pelajar-pelajar yang lemah. Jadi butiran ujian objektif aneka pilihan boleh digunakan untuk mengukur pencapaian bahasa Malaysia di dalam bilik darjah.

Ujian jenis esei pula agak unik dan membawa fungsi yang istimewa. Esei merupakan satu teknik untuk mengeluarkan dan mengungkapkan idea dengan melibatkan suasana yang melibatkan permasalahan. Pelajar dikehendaki menggunakan segala keupayaannya untuk mengatasi permasalahan tersebut. Ini adalah satu kemahiran menyeluruh yang diperlukan di dalam mempelajari sesuatu bahasa.

Jenis dan Penggunaan Ujian Objektif dalam Pengujian Bahasa

Ujian objektif boleh digunakan untuk menguji semua aspek bahasa seperti tatabahasa, kefahaman, kosa kata dan lisan (walaupun penggunaannya di dalam ujian lisan mungkin tidak begitu ketara). Ujian objektif dapat dibahagikan kepada empat jenis: Bentuk Betul Salah, Bentuk Pasangan, Bentuk Soalan Pendek dan Bentuk Aneka Pilihan. Saya akan cuba menghuraikan bentuk beraneka pilihan dengan mendalam, kerana jenis beraneka pilihan ini merupakan jenis yang paling biasa digunakan dalam menyediakan ujian objektif terutamanya di peringkat SRP. Jenis-jenis lain akan dibincangkan juga dengan ringkas.

Jenis Benar-Salah

Jenis benar-salah ini juga dapat dilihat mempunyai dua bentuk.

a. Bentuk Biasa

Jenis ini terdiri daripada satu ayat kenyataan yang memberi pernyataan, penegasan atau cadangan dan perlu menimbang sama ada kenyataan itu benar atau palsu

Contoh: Mati ialah kata nama. Betul ( ) salah ( )

b. Bentuk Pembetulan

Jenis ini memerlukan pelajar membuat pertimbangan sama ada sesuatu kenyataan itu betul atau salah. Sekiranya salah, maka pelajar dikehendaki menulis jawapan yang betul.

Contoh: Ayat pasif bagi ‘saya membaca buku’ ialah ‘Buku itu dibaca oleh saya’.

Betul ( ) salah ( ) Jawapan yang betul …………….

Jenis Pasangan

Biasanya bentuk ini terdiri daripada satu set butiran di sebelah kiri dan satu set jawapan di sebelah kanan. Pelajar dikehendaki memilih jawapan yang sesuai untuk butiran di sebelah kiri.

Contoh: Tulis nombor jawapan yang betul di dalam kurungan yang diberi:

A B

1. Bermimpi ( ) kata nama
2. Fikiran ( ) kata sifat
3. Ipoh ( ) kata kerja
4. Hijau ( ) kata nama khas

Jenis Soalan Pendek

Ada dua bentuk umum jenis soalan pendek.

a. Bentuk Isi Tempat Kosong

‘Isi tempat kosong’, memerlukan pelajar mengisi ruang kosong yang disediakan dengan memberi jawapan yang tepat.

Contoh: Mereka __________untuk mendapat borang itu. Jawapan berebut.

b. Bentuk Soalan dan Jawapan Pendek

Ujian Soalan Pendek ini biasanya terdiri daripada satu soalan pendek dan pelajar dikehendaki memberi jawapan pendek dan kemas.

Contoh: Beri contoh kata kerja transitif dan tak transitif di dalam bahasa Malaysia.

1. _______________________________________________________________

2. _______________________________________________________________


Jenis Aneka Pilihan

Soalan objektif beraneka pilihan mengandungi sekurang-kurangnya bahagian pokok dan bahagian pilihan jawapan. Bahagian pokok merupakan soalan, dan membentangkan tugas, masalah atau soalan yang harus diselesaikan. Bahagian pilihan jawapan pula mungkin terdiri daripada tiga hingga tujuh pilihan. Salah satu daripada pilihan itu adalah jawapan betul, dan yang lain merupakan butir pengeliru. Bahagian ini dapat dilihat daripada contoh di bawah:

Pokok: Perkataan ‘DIPERLUKAN’ mempunyai imbuhan:

Pilihan jawapan: (A) per-, (B) pe- Butir Pengeliru (C) -an, (D) -kan

Jawapan -------

Contoh ini mengandungi empat pilihan (A), (B), (C), dan (D). Jawapan yang betul adalah (D) manakala (A),(B), dan (C) hanya merupakan butir pengeliru. Fungsi butir-butir pengeliru ialah untuk menguji kecekapan dan untuk menentukan pelajar-pelajar yang pandai, daripada pelajar-pelajar yang kurang pandai dan hanya meneka-neka saja.

Biasanya empat hingga lima pilihan digunakan untuk setiap soalan. Jika terlalu sedikit pilihan diberikan, misalnya dua atau tiga saja, maka calon akan mudah membuat tekaan. Jika diberi lebih daripada lima, mungkin pilihan yang sesuai sudah didapati. Ada beberapa ciri penting untuk pokok dan pilihan yang baik.

1.Pokok

a. Tugas Pokok Soalan Mesti Jelas

Pokok soalan itu mesti membawa tugas atau masalah yang di maksudkan itu dengan jelas.

Contoh:

1. Makna simpulan bahasa ‘bau bacang’ adalah:

(A) Kawan karib
(B) Adik-beradik
(C) Pertalian saudara yang jauh
(D) Buah yang sedap dihidu

2. Apakah makna simpulan bahasa ‘bau bacang’?

(A) Kawan karib
(B) Adik-beradik
(C) Pertalian saudara yang jauh
(D) Buah yang sedap dihidu

Contoh (1) di atas tidak menerangkan tugas yang tertentu. Pokok soalan yang diperbaiki ialah seperti contoh (2) yang menyoal satu tugas tertentu.

b. Soalan Perlu Berlainan

Tiap-tiap soalan mesti berlainan daripada yang lain. Elakkan daripada membuat soalan-soalan yang berkaitan kerana soalan seperti itu mungkin akan membayangkan jawapan yang betul untuk soalan lain. Ini adalah perlu dijaga betul-betul apabila membentuk soalan untuk ujian kefahaman.

Contoh:

1. Adakah En. Awang seorang guru?

(A) Ya
(B) Tidak
(C) Mungkin
(D) Tidak tahu

2. En. Awang bekerja di sekolah mana?

(A) Sekolah St. George
(B) Sekolah Penang Free
(C) Sekolah St. Xavier
(D) Sekolah Sri Mutiara

Soalan (2) telah membayangkan jawapan untuk soalan (1). Seorang pelajar akan cepat mengetahui bahawa jawapan untuk contoh (1) ialah (A) setelah melihat soalan (2).

c. Pemakaian Bahasa yang Tepat

Pokok soalan perlulah dibentuk dengan menggunakan bahasa yang tepat. Elakkan daripada menggunakan perkataan yang sukar difahami. Soalan yang dibentuk itu juga tidaklah perlu terlalu panjang.

Contoh:

Dalam pembangunan negara, apakah yang menjadi daya penggerak Dasar Ekonomi Baru?

(A) Falsafah Tun Abdul Razak, yang dihasilkan melalui pemikirannya.
(B) Bagi meningkatkan penyertaan bumiputera di dalam ekonomi.
(C) Bagi memajukan ekonomi luar bandar di negara Malaysia.
(D) Untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum.

Dalam contoh di atas pilihan jawapan yang diberi adalah panjang, kabur dan boleh mengelirukan.

Soalan-soalan seperti ini biasanya timbul di dalam bahagian kefahaman.

d. Bahasa Perlu Kemas

Elakkan daripada menggunakan ayat-ayat yang tidak diperlukan di dalam soalan.

Contoh:

Imbuhan di dalam bahasa Malaysia mempunyai maksud-maksud tertentu. Apakah maksud imbuhan ‘ter-’ di dalam perkataan “tersepak”?

(A) Menunjukkan perbuatan itu dibuat dengan sengaja
(B) Menunjukkan perbuatan itu dibuat dengan tidak sengaja
(C) Menunjukkan perbuatan itu dilakukan berulang-ulang
(D) Untuk menguatkan makna ‘sepak’

Dalam contoh di atas, sebenarnya ayat pertama di dalam pokok soalan itu harus ditinggalkan. Pokok soalan ‘Apakah maksud imbuhan ter- di dalam perkataan tersepak’, sudah memadai.

2. Pilihan Jawapan

Ciri-ciri pilihan di dalam soalan aneka jawapan ialah:

(a) Satu Saja Pilihan Betul

Tiap-tiap satu butiran ujian aneka pilihan harus mempunyai satu saja pilihan yang betul. Jawapan ini mestilah yang paling tepat, melainkan soalan memerlukan calon memilih pilihan yang terdekat sekali.

Contoh:

En. Saad telah biasa …… ke Jepun

(A) datang
(B) pergi
(C) balik
(D) tidur

Pilihan (A), (B) dan (C) adalah tidak sesuai kerana ketiga-tiganya boleh digunakan sebagai jawapan kepada soalan tersebut. Pilihan jawapan itu harus diperbaiki seperti: (A) datang, (B) tinggal, (C) duduk dan (D) tidur.

b. Tatabahasa yang Betul

Setiap pilihan, pilihan betul dan pengeliru, hendaklah betul dari segi tatabahasa dan penulisan.

Contoh:

Cikgu Kee …… buku itu kepada Siti.

(A) Menunjukkan
(B) Ditunjukkan
(C) Pertunjukan
(D) Tertunjukkan

Butir-butir pengeliru (C) tidak mengikut ejaan yang betul dan pengeliru (D) tidak mengikut sistem imbuhan yang betul. Di samping itu tiap-tiap pilihan termasuk pilihan betul dimulakan dengan huruf besar. Ini tidak sesuai kerana perkataan di dalam ayat harus bermula dengan huruf kecil.

c. Satu Soalan Menguji Satu Aspek

Tiap-tiap satu butiran harus hanya menguji satu aspek saja, tidak harus dicampurkan berbagai aspek di dalam satu soalan. Umpamanya, jika ingin menguji kosa kata, janganlah juga dicampurkan dengan masalah tatabahasa. Dari contoh di atas, pengeliru (C) ‘Pertunjukan’ bukan saja menguji imbuhan, ia juga menguji kebolehan mengeja perkataan. Ini harus dielakkan.

d. Soalan Perlu Sama Panjang

Secara umumnya pilihan jawapan haruslah sama panjang agar dapat memberi kesan bahawa keterangan yang sama harus dipertimbangkan pada setiap pilihan itu.

e. Soalan Tidak Boleh Bertindih

Pilihan jawapan tidak sepatutnya bertindih atau memberi erti yang sama di antara satu dengan lain.

Contoh:

Apakah makna peribahasa ‘cahaya mata’?

(A) Cahaya dari matahari
(B) Orang yang dicintai
(C) Anak yang disayangi
(D) Sejenis sifat mata

Pilihan (B) dan (C) adalah bertindih erti di antara satu dengan lain. Satu daripadanya patut ditinggalkan.

f. Pengeliru Hendaklah Meyakinkan

Penguji harus membentuk butir pengeliru yang menarik perhatian orang yang diuji. Setelah daripada cadangan di atas, cara lain yang dapat menghasilkan butir-butir pengeliru yang menarik termasuk menggunakan perkataan yang meyakinkan. Misalnya kata-kata yang tepat, penting dan selalu digunakan.

g. Dulukan Soalan Mudah

Biasanya pilihan jawapan disusun dari yang mudah menuju yang sukar. Ini dibuat dengan tujuan menimbulkan satu suasana yang selesa bagi pelajar yang diuji. Pelajar akan berasa senang bila dapat menjawab soalan yang mudah pada mulanya, dan seterusnya ini akan menimbulkan keyakinan untuk mencuba lagi. Walau bagaimanapun susunan ini tidaklah perlu diikuti setiap kali dengan tidak bertolak ansur langsung.

Ujian Berbentuk Esei

Ujian esei dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu, bentuk esei yang mempunyai jawapan terhad atau tidak terhad. Telah dikatakan di atas bahawa objektif membawa dua makna, iaitu: perkara yang diuji dan pemarkahan yang tidak terpengaruh oleh pilihan atau fikiran pemarkah. Ujian berbentuk esei juga boleh diberi markah secara objektif, tetapi biasanya agak sukar dan pemarkah cenderung untuk menjadi subjektif, cuma pemarkahannya saja yang kadang-kadang sukar dibuat secara objektif iaitu menjadi subjektif. Cara pemarkahan pertama yang boleh digunakan oleh guru di sekolah ialah cara pandangan sepintas lalu. Cara yang kedua yang lebih saintifik ialah cara analitis.

Cara Pandangan Sepintas Lalu

Cara ini dilakukan dengan membaca esei tersebut dan memberi gred nilainya menurut beberapa kategori seperti cemerlang (A), baik (B), sederhana (C), lemah (D) dan gagal (G). Gred diberi semata-mata kepada esei itu berasaskan ‘pandangan’ saja. Kesukaran dihadapi oleh guru terutama, mereka yang baru mengajar kerana, tidak ada ukuran daripada pengalaman untuk memastikan gred yang ingin diberi itu tepat. Lagipun pandangan dan rasa penilai berbeza dari semasa ke semasa yang lain.
Cara ini agak popular diamalkan oleh guru bahasa Malaysia di peringkat sekolah menengah, untuk memeriksa esei ialah secara rambang. Satu norma baku ditentukan berdasarkan prestasi pelajar yang menghasilkan esei berkenaan. Biasanya pemberian markah mengikut cara ini eloklah dilakukan oleh seorang pemeriksa saja supaya markah yang diberinya itu konsisten dan tidak wujud perbezaan dengan penilai lain. Tajuk esei yang sama harus disemak pada waktu yang sama, agar pandangannya seragam dan munasabah. Guru memberi markah dengan cara sekaligus. Cara ini tidak menggunakan skema pemarkahan.

Cara Analitis

Cara ini mengambil beberapa ciri esei berkenaan sebagai asas untuk diberi markah. Untuk memudahkan guru yang memeriksa esei tersebut, biasanya satu skema pemarkahan disediakan. Akan tetapi, skema pemarkahan tersebut hanya merupakan satu panduan, seorang pemeriksa masih perlu bersikap rasional dan terbuka semasa mempertimbangkan isi dan hujah yang di luar skema pemarkahan. Perkara seperti ejaan, penggunaan aspek bahasa, keaslian esei haruslah diberi kewajaran di dalam skema pemarkahannya. Sebaik-baiknya seorang pemeriksa harus mempertimbangkan lima komponen am sesuatu penulisan seperti di bawah (D.P. Harris, 1969).

1. Skema Pemarkahan

Penilaian guru ke atas karangan bahasa Malaysia mestilah berpandukan kepada satu skema tertentu. Skema pemarkahan mengandungi kriteria tertentu sebagai kayu ukur untuk menilai serta menentukan mutu sesuatu aspek atau demensi penulisan dan seterusnya menilai seluruh karangan itu. Skema pemarkahan hendaklah dibina berdasarkan tujuan-tujuan penulisan seperti yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan I-III Atau Tingkatan IV-V atau Tingkatan VI. Sebagai contoh; karangan bahasa Malaysia seorang pelajar menengah atas (Tingkatan IV-V)patutlah dinilai daripada ada tiga segi kebolehan, iaitu:

(1) isi
(2) penyusuan, dan
(3) bahasa

Dari segi isi, guru hendaklah menaksir perkaitan dan kerelevanan isi dan bahan dengan tajuk karangan. Dari segi penyusunan, guru hendaklah menilai kebolehan pelajar untuk menyusun dan menstruktur isi dan bahan di dalam satu keseluruhan yang wajar dan menarik. Manakala dari segi bahasa pula, guru hendaklah menggunakan gaya yang menarik.

2. Darjat Pemarkahan Menurut Koh Boh Boon (1981)

Pemarkahan boleh terdiri daripada tiga darjat iaitu cemerlang, sederhana dan lemah. Dari segi isi, kriteria bagi darjat masing-masing adalah disenaraikan di bawah:

Cemerlang: Idea pokok dibincang secara jelas, dan disokong dengan jelas dan disertakan dengan butir-butir yang konkrit dan bersangkutan.

Sederhana: Idea pokok dibincang tetapi terlalu ringkas dan am. Perbincangan disokong dengan butir-butir konkrit tetapi kadang kala butir-butir itu diulang, dan tidak berkait atau tidak lengkap.

Lemah: Idea pokok kurang jelas, keliru, atau tidak disokong dengan butir- butir konkrit dan tidak berhubungan.

Syarat-syarat dari segi penyusunan adalah seperti berikut:

Cemerlang: Tema dikembangkan dengan teratur selangkah demi selangkah; perenggan-perenggannya adalah bersepadu, dan satu perenggan beralih ke perenggan yang lain dengan licin. Perenggan berkenaan dikembangkan secara menarik dan seimbang dengan penekanan yang wajar.

Sederhana: Pelan tema kadang kala tidak teratur, diperkembangkan secara tidak seimbang atau memberi penegasan yang tidak sesuai; perenggan berkaitan tetapi peralihan dari satu perenggan ke satu perenggan lain kadang kala tidak licin dan membosankan.

Lemah: Tema tidak dikembangkan atau dikembangkan dengan tidak konsisten, tidak kena-mengena dan diulangi; perenggan-perenggan tidak bertalian dan peralihan dari satu perenggan ke satu perenggan lain adalah tidak jelas dan tidak berkesan.

Dari segi bahasa, kriteria-kriteria berikut patutlah digunakan:

Cemerlang: Ayat-ayat dibina dengan baik: bersepadu, berkesan dan menggunakan berbagai ragam. Perkataan-perkataan dipilih dan digunakan dengan sangat berkesan: menarik, tepat dan penuh dengan bunga bahasa. Penggunaan tatabahasa, tanda bacaan dan ejaan yang baku.

Sederhana: Ayat-ayat digunakan secara betul tetapi tidak bersifat luar biasa
dan juga kadang kala bersifat seragam saja. Perkataan-perkataan dipilih dan digunakan secara sesuai: jelas dan kadang kala berbunga. Kadang kala terdapat penyelewengan dari tatabahasa, tanda baca dan ejaan baku.

Lemah: Ayat-ayat tidak bersepadu, tidak berlainan, keliru, tidak sempurna dan membosankan. Perkataan-perkataan dipilih dan digunakan dengan tidak munasabah: kabur, tidak berbunga bahasa atau kurang baku. Penglahiran idea-idea terhalang kerana sering terdapat penyimpangan daripada tatabahasa, tanda baca dan ejaan yang baku.

Dengan itu, Koh telah membina satu skema pemarkahan untuk menilai karangan bahasa Malaysia Tingkatan IV dan V. Setiap aspek penulisan, iaitu isi, penyusunan dan bahasa diberi markah antara satu hingga sepuluh. Kerangkanya adalah seperti berikut:

Darjat Gred Markah Markah

Cemerlang A 10 28-30
B 8-9 24-27
Sederhana C 6-7 18-23
D 4-5 12-17
Lemah E 3 9-11
F 1-2 1-8

Persoalan yang timbul di sini, ialah sama ada patut diberi nisbah agihan markah karangan menurut misalnya nisbah 1:1:2 bagi isi: penyusunan: bahasa. Ini bermakna kita tidak perlu patut pada satu sistem saja.

Kelemahan Ujian Esei

Karangan mengukur kebolehan seseorang pelajar untuk menyusun ideanya, memilih kosa katanya, untuk melahirkan ayatnya. Secara ringkas, dia menilai bagaimana seseorang mencetuskan idea pada kertas. Walaupun karangan boleh digunakan sebagai alat ujian, tetapi ada beberapa kekurangannya. Menurut R. Lado (1980:20), terdapat tiga kekurangan karangan bertulis.

a. Aspek Bahasa yang Digunakan Terhad

Sebuah karangan tidak mengandungi semua pola ayat di dalam bahasa itu, begitu juga kosa kata, ejaan dan tanda baca juga adalah terhad. Di dalam sebuah karangan tidak terdapat satu pun ayat perintah. Kosa kata yang diperlukan bagi sebuah karangan itu amat terhad dan khusus. Di dalam karangan pelajar boleh meninggalkan sesuatu yang menjadi masalah baginya.

b. Pengetahuan Pelajar Mempengaruhi Pengolahan

Sebuah karangan juga tidak dapat memberi kenyataan sepenuhnya tentang kebolehan pelajar menyusun fikirannya atau mengolah sebuah tajuk yang matang. Sekiranya tajuk yang diberi kepada pelajar itu melibatkan sesuatu yang sudah diketahuinya, maka pengetahuannya mengenai tajuk tersebut akan menentukan penyusunan dan cara dia mengolah karangan tersebut. Sekiranya dia tidak mengetahui tajuk tersebut, maka dia tidaklah dapat menunjukkan apa-apa kemampuan bahasa.

c. Kesukaran Pemeriksa

Dari segi praktisnya pula, amatlah sukar memeriksa sebuah karangan. Menulis sebuah karangan memakan masa dan berubah dari semasa yang lain. Oleh itu pemarkahannya mungkin tidak tepat. Lagipun, pernah terdapat guru memberi markah yang berbeza-beza semasa memarkahkan karangan yang sama. Jadi, amat bersukar mendapat keadilan di dalam pemarkahan karangan.

Cara Memperbaiki Keberkesanan Ujian Esei

Untuk tujuan guru yang ingin memperbaiki rekabentuk dan pemarkahan ujian esei, Harris (1996) telah mengemukakan syor-syornya di dalam dua peringkat.

a. Penyediaan Ujian

Biasanya ujian karangan patut diadakan sebanyak dua kali, atau kalau karangan pendek patut diadakan beberapa kali untuk menjadikannya lebih sah daripada membuat satu karangan panjang saja. Beberapa karangan yang dikehendaki ditulis pada masa yang berlainan, ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan karangan-karangan yang terpaksa disiapkan di dalam satu masa yang sama. Prestasi pelajar untuk menghasilkannya terjejas apabila diminta menulis beberapa buah karangan sekaligus.

b. Tajuk Perlu Sesuai Untuk Semua

Tajuk penulisan esei perlu diberi di dalam lingkungan kemampuan semua. Kita mesti berusaha mencari tajuk karangan yang dapat menimbulkan minat semua pelajar dan di samping itu dapat mencabar pelajar yang lebih berkebolehan. Kita mesti mengelakkan tajuk yang memerlukan darjah kekreatifan dan kepintaran yang tinggi. Tujuan ujian am kemahiran mengarang ialah untuk memperlihatkan sampel penulisan setiap pelajar bagi mengenalpasti kemahirannya mengutarakan sesuatu di dalam bentuk prosa yang jelas,berkesan dan bertatabahasa, bukan untuk mengukur daya kreatifannya. Tajuk yang berbentuk pemerian terus juga dapat mencapai objektif ini.

c. Tajuk dan Arah Perlu Khusus

Tajuk esei perlulah jelas dan khusus, serta memberi arahan jelas. Tajuk karangan yang terlalu umum dan tidak terhad akan menyebabkan pelajar menghasilkan karangan yang terkeluar daripada dugaan penilai. Karangan yang dihasilkan oleh pelajar itu menjadi amat berbeza sekali isinya.

d. Pilihan Tajuk Ditiadakan

Setiap pelajar harus dapat memilih dan membuat tajuk yang berlainan daripada pelajar yang lain. Oleh itu, masalah timbul kerana guru menghadapi kesukaran untuk membuat perbandingan prestasinya. Untuk memastikan semua pelajar membuat tugasan yang serupa, elok jangan diberi pilihan tajuk di dalam latihan.

e. Tajuk Karangan Diuji Sebelum Ditugaskan

Seorang penilai seharusnya mencuba membuat karangan itu sendiri sebelum tajuk karangan diberi kepada pelajar-pelajarnya. Masa yang digunakannya dicatat supaya tidak berlaku kesuntukan masa. Seelok-eloknya jangka masa yang dipakai oleh guru itu sendiri untuk dijadikan masa ujian karangan.

Pengujian Lisan

Dalam analisis proses pertuturan, ada lima komponen yang dapat dipertimbangkan untuk menguji kemahiran yang kompleks ini. Komponen-komponennya ialah:

a. Penyebutan (termasuk ciri-ciri segmental dan bukan segmental: vokal,konsonan, pola tekanan dan intonasi)

b. Tatabahasa

c. Kosa kata

d. Kelancaran (keselesaan dan kelajuan perjalanan pertuturan)

e. Kefahaman (penting kerana untuk berhubung secara lisan dan memberi tindak balas untuk sesuatu atau memulakan pertuturan)

Masalah di dalam Pengukuran Kebolehan Bertutur

Secara am, pengukuran kelancaran bertutur senang dibuat. Biasanya seseorang penilai perlu hanya menggunakan beberapa minit saja, dengan mendengar pelajar bertutur, untuk memastikan kelancarannya. Dapat juga cara ini digunakan untuk penutur asing,dengan melihat sama ada dia bertutur selesa seperti jalan ujaran yang dihasilkan oleh penutur bahasa kandung. Walaupun demikian, apabila kita mendalami komponen penyebutan, kita akan menyedari bahawa ada masalah yang serius di dalam pengukurannya. Masalah utama menilai penyebutan ialah, tidak ada persetujuan am tentang apa penyebutan yang baik bagi pertuturan bahasa kedua. Adakah kebolehan kefahaman merupakan asas pengukuran yang tunggal?

Atau adakah kita mengkehendaki ketepatan sebutan dan alofan pada peringkat yang tinggi? Kalau kita mengukur ujaran seseorang penutur asing dengan pertuturan dua orang atau lebih penutur bahasa kandung, kita masih ragu-ragu sama ada mereka mempunyai daya memahami yang sama. Sehubungan dengan ini, bahasa Malaysia mempunyai beberapa dialek yang berbeza. Oleh kerana perbezaan ini, maka daya kefahaman pelajar-pelajar adalah amat sukar diuji. Mungkin kita akan mengatakan dialek Johor-Riau digunakan sebagai penyebutan bahasa Malaysia baku. Walau bagaimanapun persoalan masih timbul di dalam menentukan corak pertuturan yang diperlukan, sama ada di dalam bentuk bertulis atau pertuturan. Sehingga kita mencapai persetujuan tentang cara pertuturan dapat diukur, maka pengukuran lisan yang dijalankan akan terus menjadi satu ujian subjektif.

Jenis Ujian Lisan

Ujian lisan dapat digolongkan kepada beberapa jenis:

(a) Temuduga

Temuduga yang tidak berstruktur, tetapi dinilai berdasarkan skala yang disusun rapi.

(b) Pertuturan Berstruktur

Sampel pertuturan yang berstruktur, dan biasanya diramalkan, dinilai berdasarkan kriteria yang sangat khusus.

(c) Kertas dan Pensel

Ujian objektif dapat dilakukan terhadap penyebutan dengan menggunakan kertas dan pensel. Pelajar diberi ujian pendengaran dan mereka mencatatkan bukti kebolehannya di dalam mendengar, dengan menulis atau menanda jawapan pada kertas.

Tujuan Ujian Lisan Bahasa Malaysia di Sekolah

Ada tidak seragaman pertuturan di dalam pengucapan bahasa Malaysia di kalangan penduduk negara ini. Jadi tujuan pengujian lisan bahasa Malaysia yang diadakan itu ialah untuk meninggikan tahap penyebutan bahasa Malaysia baku. Tambahan pula, negara Malaysia dapat menghasilkan suatu identiti kebangsaan melalui pengucapan bahasa Malaysia. Pengujian lisan bahasa Malaysia di sekolah pada peringkat SRP dan SPM, adalah memerlukan pencapaian pelajar, supaya dapat bertutur di dalam bahasa Malaysia baku yang boleh difahami umum.

Corak Ujian Lisan di sekolah

Ujian lisan untuk SRP dan SPM biasanya dijalankan lebih awal daripada peperiksaan bertulis. Calon yang akan menjalani ujian lisan hendaklah menunggu gilirannya. Sebelum masuk ke bilik ujian, seseorang calon itu ditempatkan dulu di dalam sebuah bilik yang dinamakan bilik menyemak. Di dalam bilik menyemak ini, calun diberi satu petikan karangan untuk disemak. Masa yang diberi untuk menyemak ini ialah tiga minit. Selepas itu calon tadi dipanggil masuk ke dalam ‘bilik ujian’ untuk peperiksaan dijalankan.

Di bilik ujian, calon akan diberi petikan karangan yang disemaknya tadi untuk dibaca kuat. Kemudian calon akan diberi soalan menguji kefahaman berdasarkan petikan karangan itu. Setelah habis ujian membaca, ujian kefahaman pula dijalankan, kemudian barulah ujian perbualan diadakan, iaitu berdasarkan satu-satu tajuk yang telah ditetapkan oleh pemeriksa.

Markah untuk ujian lisan ini, diberi berdasarkan ketiga-tiga ujian di atas iaitu membaca, kefahaman dan perbualan.

1. Bacaan dan Kefahaman

Ujian bacaan diperuntukkan 5 markah. Diantara perkara-perkara yang dipertimbangkan di dalam pemberian markah ialah kelancaran membaca, intonasi membaca, intonasi bacaan, sebutan perkataan dan kefasihan.

a. Kelancaran

Seseorang calon juga akan diuji dari segi alunan dan kepantasan suaranya. Tanda baca seperti titik, koma, koma bertitik, tanda soal, seruan dan lain-lain lagi, menentukan nada dan tempat seseorang calon patut berhenti atau tempat mengambil nafas sebentar dan sebagainya.

b. Intonasi

Intonasi perlu diambil perhatian di dalam pemarkahan. Ada masanya kita mesti menekankan suara bila menyebut sesuatu perkataan di dalam potongan karangan itu. Di sini, seorang penguji mengesan sama ada sesuatu perkataan dibaca dengan tanda soal dan seruan.

c. Kefahaman

Pada peringkat peperiksaan SRP, tiga soalan biasanya dikemukakan berdasarkan petikan karangan yang telah diberikan untuk dibaca tadi. Semasa soalan menguji kefahaman dikemukakan, calon dibenarkan melihat petikan karangan kembali supaya calon itu dapat mencari jawapannya. Walaupun demikian, calon diharap menjawab dengan seberapa segera yang boleh. Soalan akan ditanya satu demi satu. Pada peringkat peperiksaan SPM, sebanyak lima soalan akan dikemukakan berhubung dengan petikan karangan itu. Tiga markah diperuntukkan bagi setiap soalan yang dapat dijawab dengan betul.

2. Perbualan

Selain daripada ujian bacaan dan kefahaman, perbualan juga merupakan sebahagian daripada ujian lisan. Tujuan perbualan diadakan untuk mengetahui sejauh mana kebolehan seseorang calon itu bertutur di dalam bahasa Malaysia. Bolehkah seseorang calon mengeluarkan fikirannya dengan teratur dan fasih di dalam bahasa Malaysia yang betul dan boleh difahami oleh semua orang. Pemeriksa akan menetapkan satu tajuk bagi tiap-tiap calon. Di sekitar tajuk inilah perbualan itu akan dijalankan. Biasanya, tajuk-tajuk perbualan adalah mengenai perkara-perkara am ataupun hal-ehwal semasa yang berlaku di dalam atau luar negara.

Markah diberi berdasarkan kepada betapa petahnya calon itu bercakap, dengan menggunakan perkataan yang tepat dan gaya bahasa yang betul. Selain daripada itu, calon juga dijangka dapat mengeluarkan isi fikiran di dalam bahasa Malaysia dengan teratur. Markah yang diperuntukkan untuk perbualan ialah 20.

Isi perbualan memang tidak dipentingkan sangat. Apa yang dipentingkan ialah kefasihan bercakap. Calon diuji dari segi kelancaran bercakap; tidak teragak-agak, dapat menyebut sesuatu perkataan dengan jelas dan menggunakan gaya bahasa yang baik.

Pemarkahan Ujian Lisan

Markah yang diberi bergantung kepada seseorang penilai dan kecekapannya menilai prestasi pertuturan seseorang calon ujian tersebut. Azman Wan Chik (1989:78) telah mencadangkan teknik umum skala 5 mata untuk ujian bertutur. Di bawah ini disenaraikan kerangkanya:

Skala: 0; Respons: Tidak ada respons; Penerangan: Pertuturan tidak dapat difahami.

Skala: 1; Respons: Lemah; Penerangan: Percubaan bersungguh-sungguh, tetapi masih masih tidak dapat difahami dengan baik.

Skala: 2; Respons: Sederhana; Penerangan: Penghasilan pertuturan yang banyak kesalahan tetapi boleh difahami.

Skala: 3; Respons: Memuaskan; Penerangan: Dapat difahami dengan kesalahan kecil.

Skala: 4; Respons: Baik; Penerangan: Pertuturan yang baik tetapi tidak begitu tepat sebagai bahasa Malaysia baku.

Skala: 5; Respons: Cemerlang; Penerangan: Pertuturan yang tepat, sebagai penutur bahasa Malaysia baku.


Kesimpulan

Pengujian bahasa Malaysia yang semata-mata bergantung kepada penulisan adalah tidak memadai, kerana bidang lain seperti lisan juga penting. Pemeriksaan secara berasingan dibuat ke atas aspek lisan dan aspek bahasa yang lain adalah sangat munasabah.

Seseorang boleh gagal di dalam ujian lisan tetapi lulus Peperiksaan bertulis bahasa Malaysia pada peringkat SPM. Kegagalan ujian lisan tidak menjelaskan peluangnya untuk mendapat keputusan cemerlang sungguhpun gred itu tidak membawa nilai. Ini adalah kerana ujian lisan penting mendapatkan pekerjaan di dalam perkhidmatan awam.
Justifikasi tertentu patut diletakkan di dalam komponen-komponen bahasa yang hendak dinilai itu. Gred cemerlang diberi kepada orang yang benar-benar fasih di dalam bahasa Malaysia selepas dia membuktikan penguasaan bahasa dalam komponen yang paling sukar sekalipun.

Oleh kerana pengujian bahasa Malaysia dapat diasingkan kepada dua bahagian iaitu: tahap lisan dan tahap penulisan, maka seseorang yang gagal di dalam ujian lisan, tidaklah semestinya gagal juga di dalam peperiksaan bertulis bahasa Malaysia. Seseorang yang tidak lancar dalam pertuturan kerana kecacatan alat pertuturan dan sebagainya, mungkin dapat menulis dengan memuaskan. Jadi calon tersebut dapat lulus di dalam kertas bertulis bahasa Malaysia. Demikian juga, jika seseorang pelajar gagal di dalam kertas bertulis, mungkin dia fasih di dalam lisan kerana kedua-dua hal ini tidaklah selaras seratus peratus walaupun berkaitan.

Struktur soalan kertas I bahasa Malaysia pada peringkat SPM mengandungi enam soalan dan mengehendaki setiap orang calon menjawab salah satu daripadanya. Ini menyebabkan pelajar menumpukan kepada sebahagian daripada bidang penulisan saja iaitu jenis karangan tertentu. Oleh itu pengujian aspek in tidak memuaskan kalau tidak semua jenis karangan diuji.

8 Februari 2009

Noorhayati

NOORHAYATI BT MUSHROOM
M20071000113
SMK TAT BENG, SG. NYIOR, 34800 TRONG PERAK.
019-4372896

Nota kuliah kelima pada 24 Januari 2009.

Soalan 1 : Kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu.

Unsur sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu telah diperkenalkan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sebagai komponen wajib dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sejak tahun 2000 di Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di seluruh negara. Pelajar mengkaji dan membaca pelbagai karya sastera berdasarkan genre novel, cerpen, drama, puisi tradisional, puisi moden dan prosa tradisional.
Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ini diperkenalkan bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar, serta memperkukuh kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Di samping itu, pengajaran komponen Kesusasteraan Melayu diharap dapat menyumbang kepada pembentukan sahsiah, peluasan pengetahuan dan persepsi pelajar, serta meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang kemanusiaan, kemasyarakatan dan budaya.
Komponen Kesusasteraan Melayu telah dijalankan secara berperingkat-peringkat di sekolah mulai bulan Mac 2000 seperti yang berikut:

Mac 2000 : Tingkatan 1 dan Tingkatan 4
Tahun 2001 : Tingkatan 2 dan Tingkatan 5
Tahun 2002 : Tingkatan 3


Melalui pelaksanaan komponen ini, setiap pelajar akan membaca dan mengkaji novel-novel secara berasingan mengikut zon yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Satu novel bagi setiap tingkatan ditetapkan mengikut zon, iaitu daripada pilihan 4 judul. Ini bermakna, seorang pelajar hanya wajib membaca dan mempelajari satu novel sahaja bagi setiap tingkatan. Novel-novel yang ditetapkan adalah seperti berikut:





Tingkatan 1 - 1. Meniti Kaca (R. Sabarudin R. Abdullah)
2. Anak Din Biola (Maaruf Mahmud)
3. Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj.Yusuf)
4. Limpahan Darah Di Sungai Semur (Zakaria Salleh)

Tingkatan 2 - 1. Pahlawan Pasir Salak (Mohd.Ismail Sarbini)
2. Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnain)
3. Timulak Kapal Perang (Azmah Nordin)
4. Kapten Hassan Wira Bangsa (Harun Johari)

Tingkatan 3 - 1. Panas Salju (Talib Samad)
2. Merdeka! Merdeka! (A. Rahman Hanafiah)
3. Ekspedisi (Mohd.Ghazali Tocheh)
4. Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Noordin)

Tingkatan 4 - 1. Terminal Tiga (Othman Puteh)
2. Perlumbaan Kedua (Marwilis Hj.Yusuf)
3. Di Hadapan Pulau (A.Samad Said)
4. Bukit Kepong (Ismail Johari)

Tingkatan 5 - 1. Konserto Terakhir (Abdullah Hussain)
2. Seteguh Karang (Tuan Faridah Syed Abdullah)
3. Julia (Abu Hassan Morad)
4. Putera Gunung Tahan (Ishak Haji Muhammad)

Di samping itu, pelajar juga dikehendaki membaca dan mengkaji teks antologi yang sama bagi semua zon. Teks antologi ini mengandungi 6 cerpen, 3 drama, 6 puisi moden (sajak), 6 puisi tradisional, dan 4 prosa tradisional seperti yang berikut:
Tingkatan 1- Sehijau Warna Daun
Tingktan 2 - Seuntai Kata untuk Dirasa
Tingktan 3 – Anak Bumi Tercinta
Tingktan 4 – Anak Laut
Tingkatan 5 – Kerusi
Bagi mempelajari komponen Kesusasteraan Melayu ini, dua waktu diperuntukkan daripada enam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu. Sementara, penaksiran pada peringkat sekolah dan peringkat pusat dilaksanakan dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai pada Tahun 2001dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai pada Tahun 2002.


Soalan 2 : Perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009.
Nota kuliah pada 24 Januari 2009 membincangkan beberapa topik. Antara topik penting yang dibincangkan adalah seperti berikut:
1. Tujuan ujian dalam pendidikan adalah untuk mendapat kembali maklumat, memastikan objektif pengajian guru tercapai, menggred pelajar, ujian sebagai penggerak atau motivasi dan bagi tujuan penempatan (sederhana, baik dan lemah).
2. Ciri-ciri ujian yang dibincangkan meliputi perkara-perkara berikut:
i. Kesahan ujian – ujian itu mengambarkan atau menguji apa yang hendak diuji. Contoh, jikalau objektif guru mahu pelajar menguasai tema, maka ujian yang diadakan adalah berkaitan tema.
ii. Kebolehpercayaan atau kestabilan - ciri ini dilihat dari segi ketepatan dan kejituan ukuran yang dibuat. Ujian yang stabil atau boleh dipercayai.
iii. Keobjektifan atau ketepatan ujian – Item-item yang dibina tidak memberi peluang kepada sesuatu interpretasi berlainan daripada apa yang telah ditentukan terlebih dahulu. Bahasa hendaklah tepat dan bersesuaian dengan peringkat umur pelajar. Skema pemarkahan juga disediakan terlebih dahulu sebelum guru memeriksa.
3. Jenis-jenis Ujian. Jenis-jenis ujian merangkumi ujian berikut:
i. Ujian penempatan – bertujuan menguji pelajar agar mempunyai keterampilan yang disyaratkan bagi sesuatu kursus.
ii. Ujian formatif – menguji pelajar dari masa ke masa serta memberi maklumat kepada guru.
iii. Ujian Diagnostik – mencari punca kelemahan pelajar.
iv. Ujian Sumatif – untuk penggredan dan pensijilan(UPSR,PMR,SPM,STPM).

4. Asas-asas Penilaian. Asas-asas penilaian digariskan mengikut domain-domain berikut:
i. Penilaian Domain Kognitif – ditumpukan kepada kemampuan proses berfikir. Bermula daripada peringkat rendah iaitu aras ingatan sehingga yang tertinggi,iaitu kompleks. Bentuk ujian adalah pelbagai seperti aneka pilihan, subjektif, lisan, tulisan, ujian bulanan dan lain-lain.
ii. Penilaian Domain Afektif – berhubung dengan masalah sikap, pandangan dan nilai-nilai yang dipercayai seseorang. Penilaian ini diuji dan dikesan melalui aktiviti seperti wawancara, pengamatan terhadap tingkah laku atau aktiviti bertulis. Pengukuran menggunakan skala Likert . Di samping itu, boleh juga menggunakan respon pilihan ya atau tidak.
iii. Penilaian Domain Psikomotor – berhubung dengan aktiviti otot dan pergerakan yang menggunakan anggota tubuh badan. Penilaian menggunakan pengamatan berbeza dengan bidang sukan. Aktiviti seperti mendeklamasi puisi, berlakon, bergerak, beraksi dan lain-lain (ada kaitan dengan kognitif dan afektif).
5. Aras-aras Ujian. Antara aras ujian yang digariskan adalah seperti berikut:
i. Kategori Moody – Aras informasi, Aras Konsep, Aras perspektif, Aras Apresiasi/penghayatan.
ii. Taksonomi Bloom – Aras pengetahuan, Aras pemahaman, Aras Aplikasi, Aras Analisis, Aras Sintesis dan Aras Penilaian.
6. Aras-aras Ujian Sastera.

i. Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan – memerlukan pelajar berkeupayaan mengungkapkan kembali daya atau kebolehan mengingati hal-hal yang berhubungan dengan fakta, konsep, pengertian,definisi,deskripsi atau penamaan berkenaan sesuatu hal dan sebagainya. Ujiannya mudah, hanya menghendaki pelajar menamakan,memberi definisi,nama pengarang dan sebagainya. Contoh ujian aras ingatan ini adalah seperti berikut; Apakah yang diertikan dengan perkataan “cemara”? Butiran ujian juga boleh direncanakan dalam bentuk aneka pilihan.
ii. Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman – memerlukan para pelajar berkeupayaan memahami,membezakan dan menjelaskan fakta, atau hubungan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan sekadar untuk mengingat dan meluahkan kembali fakta yang dibaca sahaja. Pelajar berkeupayaan menangkap isi prosa atau puisi yang dipelajarinya, berkeupayaan meringkaskan atau membuat rangka novel atau cerpen atau mencari isi-isi utama dan menyalin kembali karya-karya klasik ke dalam bahasa moden. Contoh soalan, Apakah tema yang hendak dikemukakan oleh Latifah Hj Shebli dalam sajaknya Aku Menjadi Lebih Berani.
iii. Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi – menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat-maklumat yang diperolehnya itu ke dalam suatu situasi baru. Dengan cara ini membolehkan para pelajar menerapkan pengetahuan teoritisnya ke dalam kegiatan praktis dan konkrit. Pada aras ini pelajar berkeupayaan mengubah, memodifikasi, mendemonstrasi, mengoperasi dan menerapkan sesuatu hal atau sesuatu kemampuan. Contoh soalan, Sudut pandangan apakah yang digunakan oleh dalam Novel Julia karya Abu Hassan Morad.
iv. Ujian Kesusasteraan Aras Analisis - berfungsi mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera. Sebelum diuji aras ini, pelajar harus benar-benar sudah membaca karya yang ditetapkan dan pelajar mampu melakukan kerja analisis terhadap karya tersebut. Sikap dan aras membaca seharusnya lebih luas. Pelajar bukan sekadar berkeupayaan memahami isi cerita tetapi lebih jauh daripada itu berkemampuan membuat kritikan terhadap unsur-unsur yang terkandung dalam karya tersebut atau karya sastera tersebut sebagai hasil secara keseluruhan. Keupayaan menyelesaikan tugasan analisis ini memberatkan identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman karya tersebut. Contoh soalan, Bagaimanakah sifat-sifat watak utama dalam Novel Perlumbaan Kedua?
v. Ujian Kesusasteraan Aras Sintesis – mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur karya sastera dan unsur-unsur antara karya sastera, kemampuan untuk menyelesaikan tugasan berbentuk sintesis antara lain pelajar berkeupayaan mengkategorikan sesuatu ciri atau keadaan yang sejenis, contohnya, puisi, cerpen atau novel yang mempunyai persamaan unsur tertentu seperti gaya, tema plot dan latar.Pelajar juga berkeupayaan menunjukkan dan menjelaskan perkaitan antara beberapa buah karya sastera. Butiran soalan bagi mengukur kemampuan sintesis dapat dicontohkan seperti berikut; Jelaskan persamaan watak Julia dalam novel Julia dan watak Tuk Kura dalam novel Perlumbaan Kedua.
vi. Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian – peringkat tertinggi dalam kayu ukuran aspek kognitif. Item-item ujian aras penilaian mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu karya sastera. Contoh soalan, Mengapakah sajak-sajak ciptaan Amir Hamzah dikira lebih menampakkan permainan kata-kata dibandingkan dengan sajak-sajak yang dihasilkan sebelumnya.
7. Ujian Kesusasteraan Kategori Moody.

i. Ujian Kesusasteraan Aras Informasi – berfungsi menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera.Item-item soalan yang dirancang dan diajukan kepada pelajar amat mudah disediakan kerana selalunya merujuk kembali kepada karya sastera yang dipelajari dan murid melakukan aktiviti hafalan bagi mengingati fakta-fakta penting dalam karya tersebut. Contoh soalan, Siapakah watak utama novel Perlumbaan Kedua?
ii. Ujian Kesusasteraan Aras Konsep – berkaitan dengan persepsi bagaimana maklumat-maklumat atau unsur-unsur karya sastera itu diorganisasikan. Unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera adalah hal pokok yang dipersoalkan dalam ujian aras ini. Contoh soalan, Apakah konflik yang dialami oleh watak Tuk Kura?
iii. Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif - penumpuan kepada pandangan pelajar atau pembaca dengan karya sastera yang dibaca. Pandangan dan tindak balas pelajar terhadap sesebuah karya sastera ditentukan oleh keupayaannya memahami karya sastera yang berkaitan. Item-item soalan ujian aras ini adalah ujian kemampuan kognitif yang paling tinggi arasnya. Contoh soalan, Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel Julia?
iv. Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi/Penghayatan – ujian aras ini berkisar pada permasalahan dan atau yang berkaitan antara bahasa sastera dengan linguistik. Keperluan kognitif yang diperlukan untuk mengerjakan butiran-butiran ujian aras apresiasi juga memerlukan kemampuan kognitif aras tinggi. Pelajar harus berupaya mengenali, menganalisis, membandingkan, menggeneralisasi dan menilai bentuk-bentuk kebahasaan yang digunakan dalam sesebuah karya sastera yang dikaji dan dibahaskan. Contoh soalan, Mengapakah Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang jalan dan Azizi Hj Abdullah dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung banyak memilih kata-kata dan ungkapan daerah utara (Kedah) bagi melahirkan maksud-maksud tertentu.

Soalan 3 : Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran sastera dalam bahasa Melayu.
Pengujian dan penilaian memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan bahasa. Apabila unsur sastera diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu secara berperingkat mulai 2000, pengujian dan penilaian bahasa turut berubah. Jikalau dahulu pelajar didedahkan dengan item-item ujian yang menjurus kepada penulisan karangan, tatabahasa, rumusan dan ringkasan karangan, pemahaman, kini item-item ujian yang dibina perlu berlandaskan teks-teks kesusasteraan yang ditetapkan oleh kementerian.
Pada asasnya, penilaian adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas tentang keberkesanan mengajar sesuatu kemahiran bahasa, iaitu kemahiran yang telah dapat diajar dan dikuasai oleh murid, dan aspek-aspek yang masih lemah dan memerlukan tumpuan dalam pengajaran yang akan datang. Mulai tahun 2001, Komponen Sastera (KOMSAS) mula diuji dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM). Dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang disemak semula pada tahun 2002 (Pusat Perkembangan Kurikulum), ditegaskan KOMSAS dimasukkan ke dalam bidang estetik dan bertujuan membolehkan pelajar menguasai aspek bahasa, keindahan dan kehalusan bahasa. Di samping mementingkan penikmatan hasil karya, antara perkara-perkara yang dititikberatkan ialah:
10.1 Menceritakan semula sesebuah karya secara keseluruhan
10.2 Mengenal pasti perkara yang menarik dalam sesebuah karya
10.3 Menyatakan jenis, ciri tema dan persoalan,pemikiran,latar,plot,gaya bahasa dan sudut pandangan.
Bagi membolehkan pelajar menikmati dan menghayati sesebuah karya sastera dari aspek kandungan mesej dan keindahan bahasanya, pelajar perlu memahami karya tersebut dari aspek luaran dan dalaman. Dalam pengujian dan penilaian KOMSAS, soalan aneka pilihan digunakan bagi menguji KOMSAS bagi tingkatan satu hingga tiga. Item-item soalan dibina berdasarkan petikan yang terdapat dalam antologi yang ditetapkan oleh Kementerian. Soalan esei dikemukakan berasas novel yang dipelajari semasa tingkatan satu, dua dan tiga. Isu yang timbul di sini, ialah bentuk-bentuk soalan aneka pilihan yang disoal lebih cenderung ke arah mencungkil pemahaman pelajar semata-mata. Item soalan yang dibina adakalanya tidak menguji apa yang sepatutnya diukur. Seimbas lalu ujian itu kelihatan seperti mengukur apa yang sepatutnya diukur. Oleh itu, sebelum membina ujian yang bertujuan untuk menguji sesuatu kemahiran atau aspek bahasa, eloklah guru menyemak semula setiap item atau soalan supaya jangan ada yang terkeluar daripada batasan atau tujuan ujian itu dibina.

Isu seterusnya yang dapat dilihat dalam pengujian dan penialaian KOMSAS adalah berkait dengan kesahan isi. Kesahan isi mempersoalkan sama ada sesuatu ujian itu mengandungi satu sampel yang seimbang tentang perkara yang telah diajar menurut sukatan pelajaran atau program pengajaran. Ini adalah penting bagi kedua-dua jenis ujian,iaitu yang bercorak formatif atau sumatif. Sebagai contoh, jika guru hendak menguji aspek-aspek yang telah dibincangkan dengan pelajar bagi sesebuah novel dalam bulan Februari, maka kesahan isi ujian tersebut adalah tinggi sekiranya item ujian yang dibina mewakili semua aspek novel yang telah diajar dalam bulan ini. Oleh itu, bagi menjaga kesahan isi ini, guru perlu merujuk semula rekod-rekod pengajarannya seperti buku rekod mengajar dan sukatan pelajaran. Skop isi ujian tersebut, iaitu sama ada untuk hujung penggal, pertengahan tahun atau hujung tahun, hendaklah mewakili pengajaran dan pembelajaran yang telah berlaku dalam tempoh tersebut.

Seterusnya, pengujian dan penilaian KOMSAS turut dikaitkan dengan kesahan konstrak. Konstrak ialah satu konsep atau gagasan tentang sesuatu perkara atau benda yang abstrak atau maujud. Dalam bidang pengajaran sastera dalam bahasa Melayu, kemahiran pelajar menaakul konsep-konsep abstrak seperti unsur-unsur gaya bahasa, tema, persoalan dan sebagainya merupakan antara aspek yang sering diuji oleh guru. Dalam menguji kemahiran murid memahami konsep-konsep ini, guru harus memahami terlebih dahulu konstruk –konstruk yang ingin diuji.
Selain itu, isu pengujian dan penilaian pengajaran sastera turut dikaitkan dengan kebolehpercayaan item. Kebolehpercayaan item kadang kala disebut sebagai ketekalan dalam sesuatu ujian, sebab setiap item dalam ujian tersebut berfungsi dalam kebolehpercayaan atau ketekalannya membezakan murid yang bagus dengan murid yang lemah tentang kemahiran yang diukur oleh ujian tersebut. Bagi menjaga kebolehpercayaan item sesuatu ujian, guru perlulah mengikuti garis panduan berikut:
i. Jangan menggunakan item soalan yang terlampau senang. Hal ini demikian kerana murid yang bagus dan yang lemah pun boleh menjawabnya dan oleh hal yang demikian item-item tersebut tidak dapat berfungsi dalam membezakan antara kedua-dua golongan murid.
ii. Jangan menggunakan item soalan yang terlampau susah. Hal ini demikian kerana murid yang lemah dan yang bagus sekalipun tidak boleh menjawabnya dengan betul. Oleh hal yang demikian item tersebut juga tidak dapat membezakan antara kedua-dua golongan murid.
iii. Berdasarkan maklum balas daripada faktor (i) dan (ii), maka sebaik-baiknya dari segi ketekalan dalam sesuatu ujian,item yang akan digunakan oleh guru adalah item soalan yang bercorak susah, sederhana dan senang,, dan bukan yang terlampau susah atau terlampau senang.
iv. Sekiranya item soalan dalam sesuatu ujian itu berbentuk aneka pilihan, adalah dicadangkan supaya item yang kabur atau yang mempunyai dua pilihan yang boleh dianggap betul digugurkan daripada ujian tersebut.

Soalan 4 : Bina lima soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah anda.
Soalan 1 - Petikan Prosa Klasik
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta dengan demikian maka Laksamana pun sampailah ke balai gendang. Maka Laksamana berhenti di balai gendang mendengar bunyi rebana itu terlalu ramai, Si Jebat makan minum dengan segala isi istana. Setelah dilihatnya hampir tengah hari, maka didengar oleh Laksamana bunyi rebana dan redap itu berhenti, hingga bunyi rebana kecil juga lagi bunyinya mengulit Si Jebat tidur. Maka Laksamana pun tahulah akan Si Jebat tidur itu. Maka Laksamana pun melihat ketika dan edaran. Setelah sudah sampai ketikanya maka Laksaman pun turun dari balai gendang itu lalu berjalan masuk ke pagar lalu berdiri di tengah halaman istana itu. Maka segala orangnya empat puluh itu pun berdiri di belakang Laksamana. Maka segala orang banyak pun berdiri dari jauh melihat tenasya: ada yang naik pohon kayu, ada yang naik bumbungan, ada yang naik ke haling jambatan raja; maka sekalian yang berani masuk berdiri di belakang Laksamana.
(Dipetik daripadacerita “Pertarungan Tuah dengan Jebat”dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata “melihat ketika dan edaran”? [2 markah]
(ii) Bagaimanakah Laksamana meyakinkan dirinya bahawa Jebat telah tidur? [3 markah]
(iii) Pada pandangan anda, mengapakah kehadiran Laksamana di hadapan istana menarik minat orang ramai? [3 markah]
Soalan 2 - Petikan Puisi Tradisional
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

PANTUN ENAM KERAT

Ular tedung jangan dipermudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.

Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat daripada kayu,
Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar berita,
Bunga kembang sudah pun layu,
Gugur ke bumi tak harum lagi.

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul Cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah sekah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi.
[Permatang Budi, 1991 Fajar Bakti Sdn. Bhd. ]

i. Apakah maksud baris –baris berikut?
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi [2 markah]

ii. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara mengatasi masalah kehilangan tempat bergantung dahan berpijak. [3 markah]

iii. Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam pantun di atas. [4 markah]

Soalan 3 - Sajak
Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

AKU MENJADI LEBIH BERANI
Kali ini
kau berbaju biru
dan bajuku ungu.
Sayang, hanya aku tahu
hatimu
tidak setulus hatiku
yang berbaju ungu.

Bila begini,
sebilah pisaumu aku tidak gentar
sepatah kata
bisa,
aku merasa.

Hati dan rasa mengajarku
aku menjadi lebih berani.

Latifah Haji Shelbi (Antologi Anak Laut,Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah maksud baris “Hati dan rasa mengajarku”? [2 markah]
(ii) Apakah bukti yang menunjukkan bahawa pensyair seorang yang berani? [3 markah]
(iii) Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]

Soalan 4 - Petikan Cerpen
Baca petikan drama di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Setiap kali, cikgu melihat kereta-kereta besar melalui jalan besar di tepi kampungmu, cikgu berasa sedih. Kaummu masih jauh ketinggalan.
Daneng mengerut keningnya yang lebat. Dia menghela nafas panjang.
Jo menjadi serba salah ketika menatap wajah Daneng yang keruh seperti air danau yang timbul kelodaknya.
“Adakah aku sudah menyinggung perasaannya, adakah nasihatku keterlaluan?” bentak suara hati Jo.
Tetapi niatnya harus diteruskan. Bara yang digenggam perlu menjadi arang!
“Daneng, kau terlalu sayang akan hutan ini bukan?”
“Janganlah memisahkan saya dengan hutan ini, cikgu,” terkeluar kalimat rayuan daripada mulut Daneng.
“Demi hutan malar hijau yang kamu cintai, kamu perlu belajar. Hutan ini memerlukan kamu.”
“Apa maksud cikgu?”
“Tidakkah kamu tahu bahawa di seluruh dunia, hutan diancam pembalakan. Sindiket yang gila akan duit menceroboh dan membunuh fauna dan flora di kawasan hutan simpan. Bukan sahaja di Malaysia, malah hutan malar hijau di Lembangan Amazon juga terancam.

(Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau, oleh Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

( i ) Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata Bara yang digenggam perlu menjadi
arang dalam petikan cerpen di atas? [2 markah ]

( ii ) Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ancaman yang dihadapi oleh
hutan malar hijau. [3 markah]

( iii ) Huraikan dua persoalan dalam petikan dan dua persoalan yang terdapat dalam
cerpen di atas. [4 markah ]


Soalan 5 - Petikan drama
Baca petikan drama di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
PUTERI HANG LI PO: Pandai Orang Kaya mengolah bicara hingga tujuan asal beta untuk
melamar cinta telah tuan hamba ubah pula menjadi seolah-olah beta hanya menguji Orang Kaya.

HANG JEBAT : Sememangnya pada hemat patik, Tuanku Puteri hanya menguji patik.
Adalah wajar perbuatan Tuanku Puteri itu tadi untuk mengukur kesetiaan hamba sahaya. Atas anggapan itu akan patik tanam lagi dengan sekukuh-kukuhnya akan kesetiaan hamba sahaya seperti patik ini untuk panduan Tuanku Puteri. Percayalah Tuanku Puteri bahawa atas nama hulubalang Melayu tidak terlintas di hati lelaki yang perwira dan taat pada rajanya untuk menderhaka sedemikian rupa. Mereka akan lebih rela mati daripada menjejas kedaulatan raja. Apatah lagi Sultan Melaka sungguh adil dan saksama serta bijaksana pula. Jika ada sesuatu kedurjanaan akan segera dikesan oleh baginda.

PUTERI HANG LI PO: Malu amat beta dibuat oleh kata-kata Orang Kaya. Apalah lagi
yang ada pada beta selepas ini. Sudahlah dagang di negeri orang, menumpang kasih pula dilarang.

HANG JEBAT: Sudahlah Tuanku Puteri. Bersabarlah menanti kedatangan Sultan.
Apabila baginda kembali dari berburu pelanduk di hutan, patik akan sampaikan betapa rindunya Tuanku Puteri semoga segera dikunjungi baginda. Mohon patik minta diri dahulu Tuanku Puteri, takut geruh pula nanti terlalu lama berdua-duaan begini. Ampun Tuanku Puteri.

[Dipetik daripada drama Puteri LI Po, karya Rahmah Bujang, dalam Antologi Kerusi]

( i ) Apakah sifat-sifat yang dimiliki oleh hulubalang Melayu Melaka? [3 markah]

( ii ) Pada pendapat anda, mengapakah Hang Jebat menolak cinta Puteri Hang Li Po?
[3 markah]

( iii ) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam petikan dan dua pengajaran yang terdapat dalam drama ini. [4 markah]


Soalan 5: Dua cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera
di sekolah pada masa ini


Pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah kini sememangnya berdepan dengan beberapa masalah. Antara masalah yang dihadapi oleh guru dan murid adalah penggunaan genre yang terlalu banyak dalam peruntukan waktu yang terlalu singkat. Dalam situasi ini guru sering berdepan dengan dilema untuk menghabis pengkajian novel atau genre yang ditetapkan demi keperluan peperiksaan semata-mata. Dalam keadaan ini sudah pasti nilai estetika genre berkenaan tidak dititikberatkan oleh guru. Guru hanya mengajar KOMSAS berlandaskan alasan untuk memenuhi keperluan peperiksaan. Dalam hal ini sudah pasti matlamat tujuan KOMSAS diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tersasar daripada matlamat asasnya. Guru tidak berkesempatan mengungkapkan nilai-nilai estetika sesebuah genre berkenaan, malahan adalah lebih tragis, murid tidak langsung mengenali penulis karya berkenaan. Hal ini demikian kerana soalan tentang latar belakang penulis tidak dijadikan item dalam pembinaan soalan sama ada di peringkat sekolah, mahupun peringkat PMR atau SPM. Dalam keadaan ini adalah wajar pihak-pihak berkenaan memastikan bahawa genre yang dipilih dihadkan bilangannya, ibarat pepatah “ukur baju di badan sendiri”. Ukur keupayaan guru dan ukurlah keupayaan murid kerana jika kita bersikap hanya melepaskan batuk di tangga, maka matlamat kurikulum untuk mengungkap nilai-nilai estetika dalam karya-karya sastera sukar direalisasi oleh pendidik. Sesebuah karya harus dikupas dengan teliti agar murid benar-benar dapat melihat nilai-nilai estetika karya berkenaan. Waktu yang diperuntuk sekitar 35 hingga 40 minit, (dua kali seminggu) tidak mencukupi bagi murid menilai keindahan karya berkenaan. Tambahan pula, lambakan genre yang pelbagai tidak dapat membantu murid menghayati genre-genre berkenaan dengan sewajarnya. Oleh itu, adalah wajar pihak berkenaan mengehadkan bilangan genre dan novel yang perlu dikaji oleh murid di sekolah. Sekiranya bilangan genre ini tidak dihadkan, alternatif kedua yang perlu difikirkan oleh pihak terbabit adalah menambah bilangan waktu pengajaran KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Di samping itu, pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah juga memerlukan guru-guru yang mempunyai pendedahan dalam bidang kesusasteraan. Walaupun pengetahuan guru mungkin tidak mendalam, namun adalah lebih baik berbanding jika guru-guru yang mengajar KOMSAS atau mata pelajaran Bahasa Melayu adalah guru-guru yang mempunyai latar belakang akademik atau bidang kemahiran yang berbeza. Situasi ini menyebabkan guru-guru tidak dapat menyampaikan apa yang sepatutnya disampaikan kepada murid. Situasi di sekolah kini memperlihatkan bahawa kebanyakan guru yang mengajar bahasa Melayu adalah terdiri daripada guru-guru yang mempunyai latar belakang teknologi maklumat, perakaunan, ekonomi dan sebagainya. Dasar kerajaan 60:40, iaitu 60 pemberatan ke arah sains dan 40 sastera, menyebabkan guru-guru yang keluar dari institusi pendidikan mempunyai latar belakang yang majoritinya bukan aliran kesusasteraan. Bagaimana mungkin seorang guru yang tidak berminat langsung dengan karya-karya sastera, dapat menterjemahkan nilai-nilai estetika yang terkandung di dalam genre atau sesebuah novel berkenaan. Jika terdapat guru yang sedemikianpun, adalah sukar untuk dicari. Jika ditinjau di sekolah-sekolah, rungutan yang pasti kedengaran adalah kekurangan guru opsyen bahasa Melayu. Guru-guru yang mempunyai opsyen lain rela atau terpaksa, harus mengajar subjek ini. Realitinya, sukar kita mengungkap nilai-nilai estetika karya-karya sastera jika pendidik yang menjadi wadah ilmu ini sendiri tidak mempunyai kesediaan ilmu yang mencukupi dalam bidang berkenaan. Pihak-pihak yang berkenaan perlu merenung kembali permasalahan ini, agar KOMSAS yang diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, benar-benar dapat menyedarkan murid tentang keindahan karya-karya sastera di negara kita

Rusuhaiza

Rusuhaiza Bt Sulaiman
M20071000114
Sekolah Kebangsaan Perpaduan
Taman Perpaduan, 31150 Ipoh, Perak
019-5740982

Tugasan Kuliah Kelima (24 Januari 2009)
BMP6123 Pengujian dan Penilaian

Jawapan Soalan 1:
Kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu bagi tingkatan 1-3 untuk zon di utara melibatkan pemahaman KOMSAS. KOMSAS ialah akronim bagi perkataan-perkataan ‘komponen’ dan ‘kesusasteraan Melayu’. KOMSAS ialah komponen penting dalam subjek Bahasa Melayu. Kertas 1 hanya merangkumi pemahaman komsas yang melibatkan 3 buah buku antologi iaitu:
a) Tingkatan Satu: Antologi Sehijau Warna Daun
b) Tingkatan Dua: Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa
c) Tingkatan Tiga: Antologi Anak Bumi Tercinta

Manakala dalam kertas 2 bahasa Melayu (zon utara) , untuk PMR melibatkan 3 buah novel seperti Aku Anak Timur (Tingkatan 1), Kapten Hassan Wira Bangsa (Tingkatan 2), dan Merdeka! Merdeka! (Tingkatan 3). Kemahiran yang diajarkan melibatkan berikut:
a) Mengenal genre novel
b) Memahami makna dan konsep diksi dalam bahan novel
c) Memahami sinopsis, tema atau pemikiran, persoalan, latar serta perwatakan
d) Memahami istilah bagi kesusasteraan bagi genre novel
e) Memahami mesej dan pengajaran serta nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan
kebudayaan dalam novel
f) Memahami binaan dan teknik plot
g) Menilai dan mengulas gaya bahasa dalam novel

Mulai PMR 2005, aspek sastera yang diterapkan melibatkan tema, persoalan, watak, perwatakan, latar, plot (binaan plot, teknik plot) dan gaya bahasa serta pengajaran dalam setiap tajuk dalam pemahaman KOMSAS. Kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu Kertas 1 ini mengandungi pengetahuan tentang prosa moden (drama dan cerpen) dan prosa tradisional, puisi moden (sajak) dan puisi tradisional (pantun dan syair). Antara isi kandungan sastera adalah seperti berikut:

CERPEN
Tingkatan 1: Antologi Sehijau Warna Daun
1. Hadiah Hari Guru
2. Gema Menggegar Kota
3. Diari Seorang Pengawas
4. Makmal ZNF
5. Sehijau Warna Daun
6. Pak Usu

Tingkatan 2: Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa
1. Tina
2. Batu
3. Buku Catatan Farid Badrul
4. Mama
5. Erti Kasih Makna Sayang
6. Tangan Kanan Kiri atau Kedua-duanya

Tingkatan 3: Antologi Anak Bumi Tercinta
1. Sayang Ayah
2. Pertemuan
3. Dugong
4. Hikayat Mat Jenin
5. Rahsia
6. Anak Bumi Tercinta


DRAMA
Tingkatan 1: Antologi Sehijau Warna Daun
1. Baju Emas Sang Maharaja
2. Bila Retak Kota Melaka
3. Jerat

Tingkatan 2: Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa
1. Penunggu Pusaka
2. Angin
3. Buyung

Tingkatan 3: Antologi Anak Bumi Tercinta
1. Asar Belum Berakhir
2. Adik Berjasa
3. Jalan Sempit

PROSA TRADISIONAL/CERITA KLASIK
Tingkatan 1: Antologi Sehijau Warna Daun
1. Lebai Malang
2. Tujuh Puteri Turun Ke Dunia
3. Susur Galur Asal Usul Negeri Melaka
4. Keberanian Lima Bersaudara

Tingkatan 2: Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa
1. Pak Kaduk
2. Putera Besar Lahir Ke Dunia
3. Puteri Buluh Betung
4. Cerita Kera Dengan Buaya

Tingkatan 3: Antologi Anak Bumi Tercinta
1. Pak Belalang
2. Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari
3. Raja Bersiung
4. Patung Kencana dari Kuripan


SAJAK
Tingkatan 1: Antologi Sehijau Warna Daun
1. Negeri Cinta
2. Seorang Guru Tua
3. Surat Dari Kampus
4. Puisi Buat Mama
5. Tasik Biru Bau, Sarawak
6. Burung Tempua

Tingkatan 2: Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa
1. Mata Ayah
2. Seuntai Kata Untuk Dirasa
3. Bicara Buat Guru
4. Pesan Tangan Kanan Kepada Jari
5. Cinta
6. Ruang

Tingkatan 3: Antologi Anak Bumi Tercinta
1. Rumah Baru
2. Bahasa
3. Bila Berjauhan
4. Wanita Zaman Ini
5. Ketika Kami Bercerita Tentangnya
6. Usia



PUISI TRADISIONAL: Pantun & Syair
Tingkatan 1: Antologi Sehijau Warna Daun
1. Pantun Dua Kerat
2. Pantun Budi
3. Pantun Kanak-kanak
4. Syair Badrul Zaman
5. Syair Ken Tambuhan
6. Syair Menyambut Pelajaran

Tingkatan 2: Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa
1. Pantun Perpisahan
2. Pantun Joget Pahang
3. Pantun Teka-teki
4. Syair Pesanan Ibu
5. Syair Nur Alam Shah Lela Putera
6. Syair Mungkir Janji

Tingkatan 3: Antologi Anak Bumi Tercinta

1. Pantun Budi
2. Pantun Nasib
3. Pantun Peribahasa
4. Syair Yatim Nestapa
5. Syair Cintai Alam Sekitar
6. Syair Tenaga Pemuda

Dalam peperiksaan SPM pula, kandungan kursus sastera hanya terdapat dalam Kertas 2 yang melibatkan dua buah buku iaitu Buku Antologi Anak Laut (Tingkatan 4) dan Buku Antologi Kerusi (Tingkatan 5) bagi soalan no. 2. Manakala soalan no.4 melibatkan 2 buah novel iaitu Novel Perlumbaan Kedua karya Marwills Hj Yusof (Tingkatan 4) dan Novel Julia karya Abu Hassan Morad (Tingkatan 5).

Antara isi kandungan dalam buku antologi seperti berikut:
CERPEN
Tingkatan 4: Buku Antologi Anak Laut
1. Menatap Wajahnya (8ms)
2. Annyss Sophilea (10ms)
3. Kerana Mansinya Epal (10ms)
4. Lambaian Malar Hijau (11ms)
5. Pusaran (12ms)
6. Budi Yang Tak Terbeli (10ms)

Tingkatan 5: Buku Antologi Kerusi
1. Tragedi (8ms)
2. Virus Zel Untuk Abah (10ms)
3. Aku, Kris dan Kristal (11ms)
4. Sebutir Pasir Di Kaki (12ms)
5. Di Sisi Rinda (13ms)
6. Mariah (8ms)

DRAMA
Tingkatan 4: Buku Antologi Anak Laut
1. Serunai Malam (19ms)
2. Titik-titik Perjuangan (12ms)
3. Seri Nara (14ms)

Tingkatan 5: Buku Antologi Kerusi
1. Jangan Bunuh Rama-rama (15ms)
2. Puteri Li Po (33ms)
3. Kerusi (14ms)



2(c)Petikan Prosa Klasik/Tradisional (8 markah)
Tingkatan 4: Buku Antologi Anak Laut
1. Cerita Bayan Tiada Menurut kata Ibu Bapanya (19ms)
2. Peminangan Puteri Gunung Ledang (12ms)
3. Pertarungan Tuah dengan Jebat (14ms)
4. Sikap Terburu-buru Akan Membawa Padah (15ms)

Tingkatan 5: Buku Antologi Kerusi
1. Sabor (6ms)
2. Kezaliman Membawa Padah (4ms)
3. Asal Usul Raja Kecil (4ms)
4. Kepahlawanan Tun Beraim Bapa (5ms)


2(d)Petikan Puisi Tradisional ( 9 markah): Pantun/Syair/Seloka/Gurindam
Tingkatan 4: Buku Antologi Anak Laut
1. Pantun Mengenang Nasib (1ms)
2. Pantun Kiasan (1ms)
3. Syair Pembunuhan Angreni (2ms)
4. Syair Dandan Setia dan Intan Terpilih (1ms)
5. Gurindam Baris Hadapan (1ms)
6. Seloka Pak Kaduk (1ms)

Tingkatan 5: Buku Antologi Kerusi
1. Pantun Enam Kerat (1ms)
2. Pantun Lapan Kerat (1ms)
3. Syair Jong Pecah (2ms)
4. Syair Kelebihan Ilmu (1ms)
5. Gurindam Memelihara Anggota dan Hati Daripada Kejahatan (1ms)
6. Seloka Pandai Pak Pandir (1ms)




Jawapan Soalan 2:
Sepuluh perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009 antaranya

Proses pengajaran adalah aktiviti yang berterusan dan ujian bertujuan ujian untuk mendapatkan kembali maklumat, memastikan objektif pengajaran guru tercapai, menggredkan pelajar, untuk memotivasikan pelajar dan tujuan penempatan tahap pelajar mengikut pencapaian.

Ciri-ciri ujian seperti keesahan ujian,kebolehpercayaan atau kestabilan ujian dan keobjektifan atau ketepatan ujian Jenis-jenis ujian:
• Ujian Penempatan – menguji ketrampilan yang disyaratkan bagi kursus.
• Ujian Formatif – ujian yang dilakukan dari semasa ke semasa.
• Ujian Diagnostik – ujian untuk mencari punca kelemahan pelajar.
• Ujian Sumatif – ujian untuk penggredan dan pensijilan, contohnya ujian PMR dan SPM.

Asas Penilaian:
• Penilaian Domain Kognitif
• Penilaian Domain Psikomotor



Aras-aras Ujian Sastera
Ujian kesusasteraan melibatkan tingkat-tingkat ujian kognitif yang selalunya mempunyai enam aras utama (Taksonomi Bloom) iaitu bermula dengan tingkat ingatan sehingga menjurus kepada tingkat penilaian.

i. Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan hanya sekadar memerlukan pelajar berkeupayaan mengungkapkan kembali daya atau kebolehan mengingat hal-hal yang berhubungan dengan fakta, konsep, pengertian, definisi, deskripsi atau penamaan berkenaan sesuatu hal dan sebagainya. Ujiannya begitu mudah yang hanya menghendaki pelajar menamakan, memberi definisi, nama pengarang, buku-buku yang dihasilkan dan sebagainya.Tugasnya hanya meluahkan kembali butiran fakta yang dibacanya dengan secara langsung dan soalannya juga tidak disamar-samarkan. Contoh ujian aras ingatan ini seperti berikut:
a) Apakah yang diertikan dengan perkataan ‘cemara’?
b)Sebutkan pembahagian angkatan kesusasteraan yang terdapat di Malaysia.
c) Siapakah yang dikenali sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden?
d) Sebutkan dua antologi sajak yang ditulis oleh Usman Awang.


ii. Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman memerlukan para pelajar berkeupayaan memahami, membezakan dan menjelaskan fakta, atau hubungan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan sekadar untuk mengingat dan meluahkan kembali fakta yang dibaca sahaja. Pelajar berkeupayaan menangkap isi prosa atau puisi yang dipelajarinya, berkeupayaan meringkaskan atau membuat rangka novel atau cerpen atau mencari isi-isi utama dan menyalin kembali karya-karya klasik ke dalam bahasa moden. Pelajar juga berkemampuan dan berkeupayaan menyimpulkan beberapa ciri perbezaan antara syair dengan pantun umpamanya. Contoh-contoh butiran ujian dalam kelompok ini berbunyi seperti:
a)Buat satu sinopsis cerpen berjudul Anak Bumi Tercinta karya Fatimah Busu.
b)Apakah tema yang hendak dikemukakan oleh Rahman Shaari dalam sajaknya Bahasa?
c)Terdapat beberapa perbezaan dibandingkan antara pantun dengan syair, apakah ciri-ciri persamaan dan perbezaan tersebut ?
d)Buat ringkasan cerita cerpen yang berjudul Buku Catatan Farid Badrul karya Mohd. Tajudin Abdul Rahman.


iii. Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat-maklumat yang diperolehnya itu ke dalam suatu situasi baru. Misalnya penggunaan pengetahuan berkenaan ciri-ciri pantun untuk mencipta pantun. Kebolehan menggunakan maklumat yang diperolehi daripada prosedur kritikan bagi menilai sesebuah karya.
Bagi memanfaatkan ujian ke aras ini adalah dikira tugasan berbentuk esei dan perlakuan lebih menampakkan keserasian ujian. Ini kerana pelajar diberi kebebasan mengemukakan jawapan dan jawapan-jawapan sokongan bagi mempertahan dan menguatkan hujahnya.

Contoh soalan berbentuk aplikasi ialah :
a)Diturunkan sebuah wacana berbentuk prosa, misalnya daripada novel Senjakala, sepanjang lebih kurang satu muka surat (perlu diingatkan pemilihan wacana itu perlulah bersesuaian) dan pelajar ditugaskan supaya :
b)Ubahkan bentuk cerita yang dilampirkan menjadi sebuah dialog.
c)Sudut pandangan apakah yang digunakan dalam cerita di atas, ungkapkan kembali cerita di atas dengan sudut pandangan yang berbeza, contohnya daripada gaya dia kepada aku atau sebaliknya.
d)Tunjukkan dan huraikan kembali semua gaya bahasa yang terdapat dalam wacana di atas.
Soalan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran juga boleh ditanyakan kepada pelajar. Puisi yang dipilih itu haruslah tidak terlalu panjang, contohnya sajak berjudul Ke Makam Bonda oleh Usman Awang dan tugaskan pelajar menjawab soalan seperti:
• Berikan tanda-tanda penjedaan ke atas puisi di atas
(tugasan ini berkaitan dengan psikomotor).
• Buatkan parafrasa puisi di atas atau tuliskan kembali puisi Ke Makam Bonda di atas menggunakan gaya dan bahasa anda sendiri.
• Tunjukkan beberapa gaya bahasa yang terdapat dalam puisi di atas.

iv. Ujian Kesusasteraan Aras Analisis berfungsi mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera. Kebolehan pelajar melihat perkaitan dan hubungan antara unsur-unsur yang dapat dikesan dan kebolehan menggunakan organisasi, susunan sistematik binaan, kesatuan yang membangunkan sesebuah karya sastera. Keupayaan menyelesaikan tugasan ini memberatkan identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman (lahiriah dan batiniah) karya tersebut. Contoh soalan pada aras ini ialah :
• Bagaimanakah caranya pengarang melukiskan watak dan perwatakan setiap tokoh dalam novel Senjakala ?
• Bagaimanakah sifat-sifat watak utama novel Senjakala?
• Huraikan dengan contohnya sekali tema pokok dan tema sampingan, plot utama dan anak plot sebagaimana yang terdapat dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung.
• Jelaskan keberkesanan unsur-unsur bunyi dalam sajak yang berjudul Ketika Kami Bercerita Tentangnya karya Lim Swee Tin.


v. Ujian Kesusasteraan Aras Sintesis mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur karya sastera dan unsur-unsur antara karya sastera. Butiran soalan bagi mengukur kemampuan sintesis dapat dicontohkan seperti berikut:
• Jelaskan benarkah kaitan antara latar, perwatakan dan tema dalam novel Senjakala bersifat padu dan wajar.
• Jelaskan persamaan antara watak Saaman dalam Keluarga Gerilya dan Busat dalam novel Sandera.


vi. Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian adalah peringkat yang tertinggi dalam ukuran ujian aspek kognitif. Item-item ujian aras penilaian mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu karya sastera. Keupayaan berfikir aras penilaian ini antara lain berbentuk kemampuan menilai sesuatu perkara. Contoh soalan aras penilaian ialah:
• Bandingkan drama Anna karya Kemala dengan Jebat karya Hatta Azad Khan dari segi:
Latar masa, latar tempat dan latar masyarakat yang terdapat dalam kedua-dua drama tersebut dan unsur-unsur kemanusiaan.

• Mengapakah sajak-sajak ciptaan Amir Hamzah dikira lebih menampakkan permainan kata-kata dibandingkan dengan sajak-sajak yang dihasilkan sebelumnya?


Ujian Kesusasteraan Kategori Moody
Aras ujian kategori Moody memang secara khusus direncanakan bagi menguji kesusasteraan dan ianya sama sekali berbeza dengan pendekatan Taksonomi Bloom.

i. Ujian Kesusasteraan Aras Informasi dimaksudkan berfungsi menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera. Contoh soalan yang boleh diuji antara lain:
a)Siapakah pengarang novel Badai Semalam? Sekarang beliau tinggal di mana dan apakah pekerjaannya?
b) Siapakah watak utama novel Badai Semalam? Ke manakah watak utama pergi di akhir cerita novel tersebut dan untuk apakah beliau pergi ke tempat baru tersebut?

ii. Ujian Kesusasteraan Aras Konsep berkaitan dengan persepsi bagaimanakah maklumat-maklumat atau unsur-unsur karya itu diorganisasikan. Unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera adalah hal pokok yang dipersoalkan dalam ujian aras ini. Sebagai contoh di bawah ini diturunkan beberapa contoh soalan menguji pelajar pada aras konsep:
a) Apakah hubungan antara Kinto dengan Noor, apakah hubungan antara Damid dengan Dasima?
b)Apakah konflik atau masalah utama yang terdapat dalam novel tersebut? Apakah faktor yang selalu membebani penderitaan batin dan jiwa Kinto?
c) Mengapakah Kinto begitu sayang kepada Noor dan Dasima?
d) Mengapa Kinto akhirnya tidak dapat terlepas daripada perasaan kesal yang berpanjangan dalam hidupnya?

iii. Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif lebih diberi penumpuan kepada mendapatkan pandangan pelajar atau pembaca dengan karya sastera yang dibaca. Di bawah ini diturunkan beberapa soalan aras ujian perspektif:
a) Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel Senjakala?
b)Adakah sesuatu yang bersifat tipikal dalam novel Senjakala?
c) Unsur apakah yang bersifat tipikal itu dan realiti kehidupan yang manakah yang anda maksudkan itu?

iv. Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi/Penghayatan selalunya berkisar pada permasalahan dan atau yang berkaitan antara bahasa sastera dengan linguistik. Item-item soalan yang dimaksudkan untuk mengungkapkan aras apresiasi ini seperti dicontohkan di bawah ini:
a)Mengapakah Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan dan Azizi Hj. Abdullah dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung banyak memilih kata-kata dan ungkapan daerah utara (Kedah) bagi melahirkan maksud-maksud tertentu?


Dipungut beberapa buah sajak karya Amir Hamzah yang mengandungi kata-kata arkis, seperti dalam sajak “Hanya Satu”.
b) Apakah fungsi dan efek penggunaan kata-kata arkaik dalam sajak itu?
c) Seandainya kata-kata arkis itu digantikan dengan kata-kata lain yang ‘baru’, apakah ianya dikira tepat?



Jawapan Soalan 3:
Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran sastera dalam bahasa Melayu tingkatan 1-3 (PMR) bermula tahun 2005 memuatkan dua petikan pemahaman KOMSAS (soalan objektif no 31- 40 sahaja) dan diletakkan dibahagaian akhir selepas soalan tentang sistem bahasa. Petikan prosa dan puisi adalah sedutan daripada mana-mana cerpen, drama, dan prosa tradisional yang terdapat dalam buku antologi tingkatan 1-3 dan bagi soalan prosa moden dan prosa tradisional, yang dikemukan hanyalah sebahagian daripada teks asal, iaitu petikan sepanjang antara 200 – 250 patah perkataaan. Manakala puisi tradisional dan sajak, keseluruhan teks puisi akan dikemukan. Petikan prosa moden dan tradisional dikemukan dalam soalan 31 hingga soalan 35 manakala petikan puisi moden dan puisi tradisional dikemukan sebagai soalan 36 hingga soalan 40.
Pada umumnya, soalan-soalan ini dapat dikategorikan kepada tiga bentuk iaitu:
a) soalan pemahaman berdasarkan teks
b) soalan pemahaman KOMSAS berdasarkan teks
c) soalan pemahaman KOMSAS berdasarkan bahan; yakni keseluruhan cerpen,
drama atau prosa tradisional

Pengujian dan penilaian dalam kertas 2 dalam PMR yang melibatkan kajian novel mulai PMR 2005 dikemukan dalam Bahagian D yang terdiri daripada satu atau dua soalan yang merupakan soalan esei dan wajib dijawab. Jawapan hendaklah didasarkan pada sebuah novel yang dikaji dan markah diperuntukkan ialah 10 markah. Skema pemarkahan untuk novel ini isi (6 markah) dan bahasa (4 markah).

Manakala pengujian dan penilaian dalam SPM untuk tingkatan 4 dan 5 pula hanya dalam kertas 2 dengan kategori pemarkahan seperti berikut:

2(b)Petikan Cerpen Atau Drama ( 9 markah)

2(c)Petikan Prosa Klasik/Tradisional (8 markah)

2(d)Petikan Puisi Tradisional ( 9 markah): Pantun/Syair/Seloka/Gurindam

Soalan 4: Novel ( 15 markah)

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu merupakan asas penting Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memenuhi Falsafah Pendidikan Negara. Mulai tahun 1999, Kementerian Pelajaran melalui Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah mengeluarkan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (Edisi Penyesuaian) yang memasukkan Kesusasteraan Melayu sebagai Komponen Wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.Menurut Dr. Sharifah Maimunah Syed Zain, Timbalan Pengarah PPK dalam wawancara yang disiarkan dalam Dewan Sastera (Februari 2000), “Komponen Kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan memperkenalkan kepada pelajar tentang enam genre sastera yang meliputi genre novel, cerpen, drama, puisi dan prosa tradisional, dan puisi moden (sajak).” Dua waktu daripada enam waktu seminggu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dikhususkan untuk menghayati teks sastera.

Guru yang mengajar komponen sastera terdiri daripada guru bahasa Melayu dan kesusteraan Melayu yang sedia ada. Mereka telah dan akan diberikan pendedahan dan ilmu pedagogi tentang pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini.Beberapa penekanan diberikan dalam pengajaran dan pembelajaran komponen sastera seperti tema dan persoalan, pemikiran, gaya bahasa, plot, watak dan perwatakan, nilai murni, pengajaran, falsafah di samping unsur luaran karya seperti biodata penulis dan sinopsis serta rumusan mahupun tanggapan.



Jawapan Soalan 4:
Lima soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera dalam bahasa Melayu PMR (Penilaian Menengah Rendah) Kertas 1(02/1):

Soalan 31 hingga soalan 35

Baca pantun di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
PANTUN BUDI

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Bunga cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.

Anak beruk di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari;
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.

(Dipetik daripada Antologi Anak Bumi Tercinta,
Tingkatan 3, Dewan Bahasa dan Pustaka)

31 Bagaimanakah caranya kita menghargai budi baik seseorang?

A Menjunjung orang tersebut
B Mengenang dan menghargainya
C Selalu menyebut dan memujinya
D Mengingati di hati






32 Hina manusia tidak berbudi yang terdapat dalam rangkap kedua pantun
tersebut bermaksud

A manusia dan besi akan dipandang hina kerana berkarat
B biar manusia hina, asalkan berbudi
C manusia akan dipandang hina lantaran tidak memiliki sifat-sifat terpuji
D manusia yang tidak berbudi akan dipandang mulia



33 Kata pandai yang terkandung dalam rangkap keempat pantun tersebut
merupakan

A inversi
B personafikasi
C simile
D repitisi


34 Gaya bahasa perlambangan bagi emas membawa maksud

A harta benda atau kekayaan
B keturunan dan status seseorang
C barang kemas yang menjadi perhiasan wanita
D kedudukan seseorang dalam masyarakat


35 Berikut merupakan pengajaran yang diperoleh menerusi Pantun Budi kecuali

A amalan hidup berbudi akan dipandang mulia
B kita hendaklah memandang harta berbanding budi
C walaupun hidup miskin, tetapi kita perlu berbudi
D orang yang berjasa akan dikenang



Jawapan Soalan 5:
Cadangan Pertama:
Cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa ini bagi tingkatan 1-3 adalah dengan mengkreatif dan mengkritiskan bahan bantu mengajar. Ini adalah perlu bagi tajuk-tajuk dalam buku antologi kerana tajuk terlalu banyak tetapi soalan yang ditanya hanya sepuluh daripada 75 tajuk (dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3) . Ini jelas seperti berikut:

Pemahaman KOMSAS
Soalan no 31-35: Prosa Moden Dan Prosa Tradisional (5 SOALAN)
1. Drama (9 tajuk)
2. Cerpen (18 tajuk)
3. Prosa Tradisional/Cerita Klasik(12 tajuk)

Soalan no 36- 41 : Puisi Moden Dan Puisi Tradisional (5 SOALAN)
1. Puisi Moden :Sajak (18 tajuk)
2. Puisi Tradisional : Pantun & Syair(18 tajuk)

Tujuan utama mengkreatifkan dan mengkiritskan tajuk-tajuk dalam pemahaman komsas ketika pengajaran dan pembelajaran adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk menghayati dan memahami unsur genre dalam sastera supaya lebih berfokus agar tidak belajar hanya untuk lulus peperiksaan sahaja (membaca tajuk tertentu). Misalnya dibuatkan peta minda yang lebih mudah semasa menyampaikan isi kandungan atau menciptakan dialog kartun dalam setiap tajuk dalam pemahaman KOMSAS agar lebih menarik dan tidak membosankan. Bahan teks tersebut perlulah lebih diinovasikan dengan pelbagai mutiara kata yang secara tidak langsung menerapkan nilai dan pengajaran dengan illustrasi gambar yang berwarna dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan komputer. Di samping itu, adakan juga bunyi-bunyi atau suara latar yang menghidupkan watak tersebut. Cara seperti ini pastinya akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah lebih berkesan dan efektif serta berjaya mencapai objektif dan falsafah pendidikan agar dapat membudayakan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian. Setiap guru yang mengajar perlulah ada keyakinan dan ilmu pendidikan yang baik agar segala perancangan dalam pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Cadangan Kedua:
Pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa ini bagi novel tingkatan 1- 3 (Kertas 2) dicadangkan agar dilakonkan semula oleh pelajar agar mereka mudah ingat mengikut bab demi bab supaya semua pelajar main peranan dan secara tidak langsung akan ada penerapan nilai murni dan semangat satu hati dalam menyiapkan tugasan. Setiap dialog yang hendak dilakonkan hendaklah disediakan oleh para pelajar mengikut kumpulan dan guru hanyalah sebagai pemantau yang pembimbing pelajar. Namun begitu, penggunaan perlalatan perlulah ada agar dan disediakan oleh jawatankuasa tertentu.

Di samping itu, pengajaran dan pembelajaran sastera seperti novel boleh juga diselitkan pesanan datuk kepada cucu melalui penggunaan bahan inovasi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu seperti radio, komputer, laman sesawang dan sebagainya. Kesannya akan lebih menarik dan para pelajar akan lebih minat terhadap unsur sastera dalam bahasa Melayu. Namun begitu, setiap aktiviti yang dilakukan hendaklah dirumuskan oleh guru agar ada kesudahan yang berjaya diterapkan dalam cara hidup seharian agar sentiasa mengutamakan kesopanan dan nilai dalam diri setiap pelajar. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan jika setiap guru itu mengaplikasikan ilmu pedagogi dan ilmu pendidikan dengan pelbagai kaedah dan teknik yang bersepadu, unsur sastera akan hidup dan terus hidup sebagai salah satu ilmu yang bermanfaat.