8 Februari 2009

Noorhayati

NOORHAYATI BT MUSHROOM
M20071000113
SMK TAT BENG, SG. NYIOR, 34800 TRONG PERAK.
019-4372896

Nota kuliah kelima pada 24 Januari 2009.

Soalan 1 : Kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu.

Unsur sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu telah diperkenalkan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sebagai komponen wajib dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sejak tahun 2000 di Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di seluruh negara. Pelajar mengkaji dan membaca pelbagai karya sastera berdasarkan genre novel, cerpen, drama, puisi tradisional, puisi moden dan prosa tradisional.
Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ini diperkenalkan bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar, serta memperkukuh kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Di samping itu, pengajaran komponen Kesusasteraan Melayu diharap dapat menyumbang kepada pembentukan sahsiah, peluasan pengetahuan dan persepsi pelajar, serta meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang kemanusiaan, kemasyarakatan dan budaya.
Komponen Kesusasteraan Melayu telah dijalankan secara berperingkat-peringkat di sekolah mulai bulan Mac 2000 seperti yang berikut:

Mac 2000 : Tingkatan 1 dan Tingkatan 4
Tahun 2001 : Tingkatan 2 dan Tingkatan 5
Tahun 2002 : Tingkatan 3


Melalui pelaksanaan komponen ini, setiap pelajar akan membaca dan mengkaji novel-novel secara berasingan mengikut zon yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Satu novel bagi setiap tingkatan ditetapkan mengikut zon, iaitu daripada pilihan 4 judul. Ini bermakna, seorang pelajar hanya wajib membaca dan mempelajari satu novel sahaja bagi setiap tingkatan. Novel-novel yang ditetapkan adalah seperti berikut:





Tingkatan 1 - 1. Meniti Kaca (R. Sabarudin R. Abdullah)
2. Anak Din Biola (Maaruf Mahmud)
3. Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj.Yusuf)
4. Limpahan Darah Di Sungai Semur (Zakaria Salleh)

Tingkatan 2 - 1. Pahlawan Pasir Salak (Mohd.Ismail Sarbini)
2. Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnain)
3. Timulak Kapal Perang (Azmah Nordin)
4. Kapten Hassan Wira Bangsa (Harun Johari)

Tingkatan 3 - 1. Panas Salju (Talib Samad)
2. Merdeka! Merdeka! (A. Rahman Hanafiah)
3. Ekspedisi (Mohd.Ghazali Tocheh)
4. Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Noordin)

Tingkatan 4 - 1. Terminal Tiga (Othman Puteh)
2. Perlumbaan Kedua (Marwilis Hj.Yusuf)
3. Di Hadapan Pulau (A.Samad Said)
4. Bukit Kepong (Ismail Johari)

Tingkatan 5 - 1. Konserto Terakhir (Abdullah Hussain)
2. Seteguh Karang (Tuan Faridah Syed Abdullah)
3. Julia (Abu Hassan Morad)
4. Putera Gunung Tahan (Ishak Haji Muhammad)

Di samping itu, pelajar juga dikehendaki membaca dan mengkaji teks antologi yang sama bagi semua zon. Teks antologi ini mengandungi 6 cerpen, 3 drama, 6 puisi moden (sajak), 6 puisi tradisional, dan 4 prosa tradisional seperti yang berikut:
Tingkatan 1- Sehijau Warna Daun
Tingktan 2 - Seuntai Kata untuk Dirasa
Tingktan 3 – Anak Bumi Tercinta
Tingktan 4 – Anak Laut
Tingkatan 5 – Kerusi
Bagi mempelajari komponen Kesusasteraan Melayu ini, dua waktu diperuntukkan daripada enam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu. Sementara, penaksiran pada peringkat sekolah dan peringkat pusat dilaksanakan dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai pada Tahun 2001dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai pada Tahun 2002.


Soalan 2 : Perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009.
Nota kuliah pada 24 Januari 2009 membincangkan beberapa topik. Antara topik penting yang dibincangkan adalah seperti berikut:
1. Tujuan ujian dalam pendidikan adalah untuk mendapat kembali maklumat, memastikan objektif pengajian guru tercapai, menggred pelajar, ujian sebagai penggerak atau motivasi dan bagi tujuan penempatan (sederhana, baik dan lemah).
2. Ciri-ciri ujian yang dibincangkan meliputi perkara-perkara berikut:
i. Kesahan ujian – ujian itu mengambarkan atau menguji apa yang hendak diuji. Contoh, jikalau objektif guru mahu pelajar menguasai tema, maka ujian yang diadakan adalah berkaitan tema.
ii. Kebolehpercayaan atau kestabilan - ciri ini dilihat dari segi ketepatan dan kejituan ukuran yang dibuat. Ujian yang stabil atau boleh dipercayai.
iii. Keobjektifan atau ketepatan ujian – Item-item yang dibina tidak memberi peluang kepada sesuatu interpretasi berlainan daripada apa yang telah ditentukan terlebih dahulu. Bahasa hendaklah tepat dan bersesuaian dengan peringkat umur pelajar. Skema pemarkahan juga disediakan terlebih dahulu sebelum guru memeriksa.
3. Jenis-jenis Ujian. Jenis-jenis ujian merangkumi ujian berikut:
i. Ujian penempatan – bertujuan menguji pelajar agar mempunyai keterampilan yang disyaratkan bagi sesuatu kursus.
ii. Ujian formatif – menguji pelajar dari masa ke masa serta memberi maklumat kepada guru.
iii. Ujian Diagnostik – mencari punca kelemahan pelajar.
iv. Ujian Sumatif – untuk penggredan dan pensijilan(UPSR,PMR,SPM,STPM).

4. Asas-asas Penilaian. Asas-asas penilaian digariskan mengikut domain-domain berikut:
i. Penilaian Domain Kognitif – ditumpukan kepada kemampuan proses berfikir. Bermula daripada peringkat rendah iaitu aras ingatan sehingga yang tertinggi,iaitu kompleks. Bentuk ujian adalah pelbagai seperti aneka pilihan, subjektif, lisan, tulisan, ujian bulanan dan lain-lain.
ii. Penilaian Domain Afektif – berhubung dengan masalah sikap, pandangan dan nilai-nilai yang dipercayai seseorang. Penilaian ini diuji dan dikesan melalui aktiviti seperti wawancara, pengamatan terhadap tingkah laku atau aktiviti bertulis. Pengukuran menggunakan skala Likert . Di samping itu, boleh juga menggunakan respon pilihan ya atau tidak.
iii. Penilaian Domain Psikomotor – berhubung dengan aktiviti otot dan pergerakan yang menggunakan anggota tubuh badan. Penilaian menggunakan pengamatan berbeza dengan bidang sukan. Aktiviti seperti mendeklamasi puisi, berlakon, bergerak, beraksi dan lain-lain (ada kaitan dengan kognitif dan afektif).
5. Aras-aras Ujian. Antara aras ujian yang digariskan adalah seperti berikut:
i. Kategori Moody – Aras informasi, Aras Konsep, Aras perspektif, Aras Apresiasi/penghayatan.
ii. Taksonomi Bloom – Aras pengetahuan, Aras pemahaman, Aras Aplikasi, Aras Analisis, Aras Sintesis dan Aras Penilaian.
6. Aras-aras Ujian Sastera.

i. Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan – memerlukan pelajar berkeupayaan mengungkapkan kembali daya atau kebolehan mengingati hal-hal yang berhubungan dengan fakta, konsep, pengertian,definisi,deskripsi atau penamaan berkenaan sesuatu hal dan sebagainya. Ujiannya mudah, hanya menghendaki pelajar menamakan,memberi definisi,nama pengarang dan sebagainya. Contoh ujian aras ingatan ini adalah seperti berikut; Apakah yang diertikan dengan perkataan “cemara”? Butiran ujian juga boleh direncanakan dalam bentuk aneka pilihan.
ii. Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman – memerlukan para pelajar berkeupayaan memahami,membezakan dan menjelaskan fakta, atau hubungan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan sekadar untuk mengingat dan meluahkan kembali fakta yang dibaca sahaja. Pelajar berkeupayaan menangkap isi prosa atau puisi yang dipelajarinya, berkeupayaan meringkaskan atau membuat rangka novel atau cerpen atau mencari isi-isi utama dan menyalin kembali karya-karya klasik ke dalam bahasa moden. Contoh soalan, Apakah tema yang hendak dikemukakan oleh Latifah Hj Shebli dalam sajaknya Aku Menjadi Lebih Berani.
iii. Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi – menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat-maklumat yang diperolehnya itu ke dalam suatu situasi baru. Dengan cara ini membolehkan para pelajar menerapkan pengetahuan teoritisnya ke dalam kegiatan praktis dan konkrit. Pada aras ini pelajar berkeupayaan mengubah, memodifikasi, mendemonstrasi, mengoperasi dan menerapkan sesuatu hal atau sesuatu kemampuan. Contoh soalan, Sudut pandangan apakah yang digunakan oleh dalam Novel Julia karya Abu Hassan Morad.
iv. Ujian Kesusasteraan Aras Analisis - berfungsi mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera. Sebelum diuji aras ini, pelajar harus benar-benar sudah membaca karya yang ditetapkan dan pelajar mampu melakukan kerja analisis terhadap karya tersebut. Sikap dan aras membaca seharusnya lebih luas. Pelajar bukan sekadar berkeupayaan memahami isi cerita tetapi lebih jauh daripada itu berkemampuan membuat kritikan terhadap unsur-unsur yang terkandung dalam karya tersebut atau karya sastera tersebut sebagai hasil secara keseluruhan. Keupayaan menyelesaikan tugasan analisis ini memberatkan identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman karya tersebut. Contoh soalan, Bagaimanakah sifat-sifat watak utama dalam Novel Perlumbaan Kedua?
v. Ujian Kesusasteraan Aras Sintesis – mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur karya sastera dan unsur-unsur antara karya sastera, kemampuan untuk menyelesaikan tugasan berbentuk sintesis antara lain pelajar berkeupayaan mengkategorikan sesuatu ciri atau keadaan yang sejenis, contohnya, puisi, cerpen atau novel yang mempunyai persamaan unsur tertentu seperti gaya, tema plot dan latar.Pelajar juga berkeupayaan menunjukkan dan menjelaskan perkaitan antara beberapa buah karya sastera. Butiran soalan bagi mengukur kemampuan sintesis dapat dicontohkan seperti berikut; Jelaskan persamaan watak Julia dalam novel Julia dan watak Tuk Kura dalam novel Perlumbaan Kedua.
vi. Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian – peringkat tertinggi dalam kayu ukuran aspek kognitif. Item-item ujian aras penilaian mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu karya sastera. Contoh soalan, Mengapakah sajak-sajak ciptaan Amir Hamzah dikira lebih menampakkan permainan kata-kata dibandingkan dengan sajak-sajak yang dihasilkan sebelumnya.
7. Ujian Kesusasteraan Kategori Moody.

i. Ujian Kesusasteraan Aras Informasi – berfungsi menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera.Item-item soalan yang dirancang dan diajukan kepada pelajar amat mudah disediakan kerana selalunya merujuk kembali kepada karya sastera yang dipelajari dan murid melakukan aktiviti hafalan bagi mengingati fakta-fakta penting dalam karya tersebut. Contoh soalan, Siapakah watak utama novel Perlumbaan Kedua?
ii. Ujian Kesusasteraan Aras Konsep – berkaitan dengan persepsi bagaimana maklumat-maklumat atau unsur-unsur karya sastera itu diorganisasikan. Unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera adalah hal pokok yang dipersoalkan dalam ujian aras ini. Contoh soalan, Apakah konflik yang dialami oleh watak Tuk Kura?
iii. Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif - penumpuan kepada pandangan pelajar atau pembaca dengan karya sastera yang dibaca. Pandangan dan tindak balas pelajar terhadap sesebuah karya sastera ditentukan oleh keupayaannya memahami karya sastera yang berkaitan. Item-item soalan ujian aras ini adalah ujian kemampuan kognitif yang paling tinggi arasnya. Contoh soalan, Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel Julia?
iv. Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi/Penghayatan – ujian aras ini berkisar pada permasalahan dan atau yang berkaitan antara bahasa sastera dengan linguistik. Keperluan kognitif yang diperlukan untuk mengerjakan butiran-butiran ujian aras apresiasi juga memerlukan kemampuan kognitif aras tinggi. Pelajar harus berupaya mengenali, menganalisis, membandingkan, menggeneralisasi dan menilai bentuk-bentuk kebahasaan yang digunakan dalam sesebuah karya sastera yang dikaji dan dibahaskan. Contoh soalan, Mengapakah Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang jalan dan Azizi Hj Abdullah dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung banyak memilih kata-kata dan ungkapan daerah utara (Kedah) bagi melahirkan maksud-maksud tertentu.

Soalan 3 : Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran sastera dalam bahasa Melayu.
Pengujian dan penilaian memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan bahasa. Apabila unsur sastera diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu secara berperingkat mulai 2000, pengujian dan penilaian bahasa turut berubah. Jikalau dahulu pelajar didedahkan dengan item-item ujian yang menjurus kepada penulisan karangan, tatabahasa, rumusan dan ringkasan karangan, pemahaman, kini item-item ujian yang dibina perlu berlandaskan teks-teks kesusasteraan yang ditetapkan oleh kementerian.
Pada asasnya, penilaian adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas tentang keberkesanan mengajar sesuatu kemahiran bahasa, iaitu kemahiran yang telah dapat diajar dan dikuasai oleh murid, dan aspek-aspek yang masih lemah dan memerlukan tumpuan dalam pengajaran yang akan datang. Mulai tahun 2001, Komponen Sastera (KOMSAS) mula diuji dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM). Dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang disemak semula pada tahun 2002 (Pusat Perkembangan Kurikulum), ditegaskan KOMSAS dimasukkan ke dalam bidang estetik dan bertujuan membolehkan pelajar menguasai aspek bahasa, keindahan dan kehalusan bahasa. Di samping mementingkan penikmatan hasil karya, antara perkara-perkara yang dititikberatkan ialah:
10.1 Menceritakan semula sesebuah karya secara keseluruhan
10.2 Mengenal pasti perkara yang menarik dalam sesebuah karya
10.3 Menyatakan jenis, ciri tema dan persoalan,pemikiran,latar,plot,gaya bahasa dan sudut pandangan.
Bagi membolehkan pelajar menikmati dan menghayati sesebuah karya sastera dari aspek kandungan mesej dan keindahan bahasanya, pelajar perlu memahami karya tersebut dari aspek luaran dan dalaman. Dalam pengujian dan penilaian KOMSAS, soalan aneka pilihan digunakan bagi menguji KOMSAS bagi tingkatan satu hingga tiga. Item-item soalan dibina berdasarkan petikan yang terdapat dalam antologi yang ditetapkan oleh Kementerian. Soalan esei dikemukakan berasas novel yang dipelajari semasa tingkatan satu, dua dan tiga. Isu yang timbul di sini, ialah bentuk-bentuk soalan aneka pilihan yang disoal lebih cenderung ke arah mencungkil pemahaman pelajar semata-mata. Item soalan yang dibina adakalanya tidak menguji apa yang sepatutnya diukur. Seimbas lalu ujian itu kelihatan seperti mengukur apa yang sepatutnya diukur. Oleh itu, sebelum membina ujian yang bertujuan untuk menguji sesuatu kemahiran atau aspek bahasa, eloklah guru menyemak semula setiap item atau soalan supaya jangan ada yang terkeluar daripada batasan atau tujuan ujian itu dibina.

Isu seterusnya yang dapat dilihat dalam pengujian dan penialaian KOMSAS adalah berkait dengan kesahan isi. Kesahan isi mempersoalkan sama ada sesuatu ujian itu mengandungi satu sampel yang seimbang tentang perkara yang telah diajar menurut sukatan pelajaran atau program pengajaran. Ini adalah penting bagi kedua-dua jenis ujian,iaitu yang bercorak formatif atau sumatif. Sebagai contoh, jika guru hendak menguji aspek-aspek yang telah dibincangkan dengan pelajar bagi sesebuah novel dalam bulan Februari, maka kesahan isi ujian tersebut adalah tinggi sekiranya item ujian yang dibina mewakili semua aspek novel yang telah diajar dalam bulan ini. Oleh itu, bagi menjaga kesahan isi ini, guru perlu merujuk semula rekod-rekod pengajarannya seperti buku rekod mengajar dan sukatan pelajaran. Skop isi ujian tersebut, iaitu sama ada untuk hujung penggal, pertengahan tahun atau hujung tahun, hendaklah mewakili pengajaran dan pembelajaran yang telah berlaku dalam tempoh tersebut.

Seterusnya, pengujian dan penilaian KOMSAS turut dikaitkan dengan kesahan konstrak. Konstrak ialah satu konsep atau gagasan tentang sesuatu perkara atau benda yang abstrak atau maujud. Dalam bidang pengajaran sastera dalam bahasa Melayu, kemahiran pelajar menaakul konsep-konsep abstrak seperti unsur-unsur gaya bahasa, tema, persoalan dan sebagainya merupakan antara aspek yang sering diuji oleh guru. Dalam menguji kemahiran murid memahami konsep-konsep ini, guru harus memahami terlebih dahulu konstruk –konstruk yang ingin diuji.
Selain itu, isu pengujian dan penilaian pengajaran sastera turut dikaitkan dengan kebolehpercayaan item. Kebolehpercayaan item kadang kala disebut sebagai ketekalan dalam sesuatu ujian, sebab setiap item dalam ujian tersebut berfungsi dalam kebolehpercayaan atau ketekalannya membezakan murid yang bagus dengan murid yang lemah tentang kemahiran yang diukur oleh ujian tersebut. Bagi menjaga kebolehpercayaan item sesuatu ujian, guru perlulah mengikuti garis panduan berikut:
i. Jangan menggunakan item soalan yang terlampau senang. Hal ini demikian kerana murid yang bagus dan yang lemah pun boleh menjawabnya dan oleh hal yang demikian item-item tersebut tidak dapat berfungsi dalam membezakan antara kedua-dua golongan murid.
ii. Jangan menggunakan item soalan yang terlampau susah. Hal ini demikian kerana murid yang lemah dan yang bagus sekalipun tidak boleh menjawabnya dengan betul. Oleh hal yang demikian item tersebut juga tidak dapat membezakan antara kedua-dua golongan murid.
iii. Berdasarkan maklum balas daripada faktor (i) dan (ii), maka sebaik-baiknya dari segi ketekalan dalam sesuatu ujian,item yang akan digunakan oleh guru adalah item soalan yang bercorak susah, sederhana dan senang,, dan bukan yang terlampau susah atau terlampau senang.
iv. Sekiranya item soalan dalam sesuatu ujian itu berbentuk aneka pilihan, adalah dicadangkan supaya item yang kabur atau yang mempunyai dua pilihan yang boleh dianggap betul digugurkan daripada ujian tersebut.

Soalan 4 : Bina lima soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah anda.
Soalan 1 - Petikan Prosa Klasik
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta dengan demikian maka Laksamana pun sampailah ke balai gendang. Maka Laksamana berhenti di balai gendang mendengar bunyi rebana itu terlalu ramai, Si Jebat makan minum dengan segala isi istana. Setelah dilihatnya hampir tengah hari, maka didengar oleh Laksamana bunyi rebana dan redap itu berhenti, hingga bunyi rebana kecil juga lagi bunyinya mengulit Si Jebat tidur. Maka Laksamana pun tahulah akan Si Jebat tidur itu. Maka Laksamana pun melihat ketika dan edaran. Setelah sudah sampai ketikanya maka Laksaman pun turun dari balai gendang itu lalu berjalan masuk ke pagar lalu berdiri di tengah halaman istana itu. Maka segala orangnya empat puluh itu pun berdiri di belakang Laksamana. Maka segala orang banyak pun berdiri dari jauh melihat tenasya: ada yang naik pohon kayu, ada yang naik bumbungan, ada yang naik ke haling jambatan raja; maka sekalian yang berani masuk berdiri di belakang Laksamana.
(Dipetik daripadacerita “Pertarungan Tuah dengan Jebat”dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata “melihat ketika dan edaran”? [2 markah]
(ii) Bagaimanakah Laksamana meyakinkan dirinya bahawa Jebat telah tidur? [3 markah]
(iii) Pada pandangan anda, mengapakah kehadiran Laksamana di hadapan istana menarik minat orang ramai? [3 markah]
Soalan 2 - Petikan Puisi Tradisional
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

PANTUN ENAM KERAT

Ular tedung jangan dipermudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.

Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat daripada kayu,
Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar berita,
Bunga kembang sudah pun layu,
Gugur ke bumi tak harum lagi.

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul Cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah sekah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi.
[Permatang Budi, 1991 Fajar Bakti Sdn. Bhd. ]

i. Apakah maksud baris –baris berikut?
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi [2 markah]

ii. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara mengatasi masalah kehilangan tempat bergantung dahan berpijak. [3 markah]

iii. Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam pantun di atas. [4 markah]

Soalan 3 - Sajak
Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

AKU MENJADI LEBIH BERANI
Kali ini
kau berbaju biru
dan bajuku ungu.
Sayang, hanya aku tahu
hatimu
tidak setulus hatiku
yang berbaju ungu.

Bila begini,
sebilah pisaumu aku tidak gentar
sepatah kata
bisa,
aku merasa.

Hati dan rasa mengajarku
aku menjadi lebih berani.

Latifah Haji Shelbi (Antologi Anak Laut,Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah maksud baris “Hati dan rasa mengajarku”? [2 markah]
(ii) Apakah bukti yang menunjukkan bahawa pensyair seorang yang berani? [3 markah]
(iii) Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]

Soalan 4 - Petikan Cerpen
Baca petikan drama di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Setiap kali, cikgu melihat kereta-kereta besar melalui jalan besar di tepi kampungmu, cikgu berasa sedih. Kaummu masih jauh ketinggalan.
Daneng mengerut keningnya yang lebat. Dia menghela nafas panjang.
Jo menjadi serba salah ketika menatap wajah Daneng yang keruh seperti air danau yang timbul kelodaknya.
“Adakah aku sudah menyinggung perasaannya, adakah nasihatku keterlaluan?” bentak suara hati Jo.
Tetapi niatnya harus diteruskan. Bara yang digenggam perlu menjadi arang!
“Daneng, kau terlalu sayang akan hutan ini bukan?”
“Janganlah memisahkan saya dengan hutan ini, cikgu,” terkeluar kalimat rayuan daripada mulut Daneng.
“Demi hutan malar hijau yang kamu cintai, kamu perlu belajar. Hutan ini memerlukan kamu.”
“Apa maksud cikgu?”
“Tidakkah kamu tahu bahawa di seluruh dunia, hutan diancam pembalakan. Sindiket yang gila akan duit menceroboh dan membunuh fauna dan flora di kawasan hutan simpan. Bukan sahaja di Malaysia, malah hutan malar hijau di Lembangan Amazon juga terancam.

(Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau, oleh Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

( i ) Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata Bara yang digenggam perlu menjadi
arang dalam petikan cerpen di atas? [2 markah ]

( ii ) Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ancaman yang dihadapi oleh
hutan malar hijau. [3 markah]

( iii ) Huraikan dua persoalan dalam petikan dan dua persoalan yang terdapat dalam
cerpen di atas. [4 markah ]


Soalan 5 - Petikan drama
Baca petikan drama di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
PUTERI HANG LI PO: Pandai Orang Kaya mengolah bicara hingga tujuan asal beta untuk
melamar cinta telah tuan hamba ubah pula menjadi seolah-olah beta hanya menguji Orang Kaya.

HANG JEBAT : Sememangnya pada hemat patik, Tuanku Puteri hanya menguji patik.
Adalah wajar perbuatan Tuanku Puteri itu tadi untuk mengukur kesetiaan hamba sahaya. Atas anggapan itu akan patik tanam lagi dengan sekukuh-kukuhnya akan kesetiaan hamba sahaya seperti patik ini untuk panduan Tuanku Puteri. Percayalah Tuanku Puteri bahawa atas nama hulubalang Melayu tidak terlintas di hati lelaki yang perwira dan taat pada rajanya untuk menderhaka sedemikian rupa. Mereka akan lebih rela mati daripada menjejas kedaulatan raja. Apatah lagi Sultan Melaka sungguh adil dan saksama serta bijaksana pula. Jika ada sesuatu kedurjanaan akan segera dikesan oleh baginda.

PUTERI HANG LI PO: Malu amat beta dibuat oleh kata-kata Orang Kaya. Apalah lagi
yang ada pada beta selepas ini. Sudahlah dagang di negeri orang, menumpang kasih pula dilarang.

HANG JEBAT: Sudahlah Tuanku Puteri. Bersabarlah menanti kedatangan Sultan.
Apabila baginda kembali dari berburu pelanduk di hutan, patik akan sampaikan betapa rindunya Tuanku Puteri semoga segera dikunjungi baginda. Mohon patik minta diri dahulu Tuanku Puteri, takut geruh pula nanti terlalu lama berdua-duaan begini. Ampun Tuanku Puteri.

[Dipetik daripada drama Puteri LI Po, karya Rahmah Bujang, dalam Antologi Kerusi]

( i ) Apakah sifat-sifat yang dimiliki oleh hulubalang Melayu Melaka? [3 markah]

( ii ) Pada pendapat anda, mengapakah Hang Jebat menolak cinta Puteri Hang Li Po?
[3 markah]

( iii ) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam petikan dan dua pengajaran yang terdapat dalam drama ini. [4 markah]


Soalan 5: Dua cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera
di sekolah pada masa ini


Pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah kini sememangnya berdepan dengan beberapa masalah. Antara masalah yang dihadapi oleh guru dan murid adalah penggunaan genre yang terlalu banyak dalam peruntukan waktu yang terlalu singkat. Dalam situasi ini guru sering berdepan dengan dilema untuk menghabis pengkajian novel atau genre yang ditetapkan demi keperluan peperiksaan semata-mata. Dalam keadaan ini sudah pasti nilai estetika genre berkenaan tidak dititikberatkan oleh guru. Guru hanya mengajar KOMSAS berlandaskan alasan untuk memenuhi keperluan peperiksaan. Dalam hal ini sudah pasti matlamat tujuan KOMSAS diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tersasar daripada matlamat asasnya. Guru tidak berkesempatan mengungkapkan nilai-nilai estetika sesebuah genre berkenaan, malahan adalah lebih tragis, murid tidak langsung mengenali penulis karya berkenaan. Hal ini demikian kerana soalan tentang latar belakang penulis tidak dijadikan item dalam pembinaan soalan sama ada di peringkat sekolah, mahupun peringkat PMR atau SPM. Dalam keadaan ini adalah wajar pihak-pihak berkenaan memastikan bahawa genre yang dipilih dihadkan bilangannya, ibarat pepatah “ukur baju di badan sendiri”. Ukur keupayaan guru dan ukurlah keupayaan murid kerana jika kita bersikap hanya melepaskan batuk di tangga, maka matlamat kurikulum untuk mengungkap nilai-nilai estetika dalam karya-karya sastera sukar direalisasi oleh pendidik. Sesebuah karya harus dikupas dengan teliti agar murid benar-benar dapat melihat nilai-nilai estetika karya berkenaan. Waktu yang diperuntuk sekitar 35 hingga 40 minit, (dua kali seminggu) tidak mencukupi bagi murid menilai keindahan karya berkenaan. Tambahan pula, lambakan genre yang pelbagai tidak dapat membantu murid menghayati genre-genre berkenaan dengan sewajarnya. Oleh itu, adalah wajar pihak berkenaan mengehadkan bilangan genre dan novel yang perlu dikaji oleh murid di sekolah. Sekiranya bilangan genre ini tidak dihadkan, alternatif kedua yang perlu difikirkan oleh pihak terbabit adalah menambah bilangan waktu pengajaran KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Di samping itu, pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah juga memerlukan guru-guru yang mempunyai pendedahan dalam bidang kesusasteraan. Walaupun pengetahuan guru mungkin tidak mendalam, namun adalah lebih baik berbanding jika guru-guru yang mengajar KOMSAS atau mata pelajaran Bahasa Melayu adalah guru-guru yang mempunyai latar belakang akademik atau bidang kemahiran yang berbeza. Situasi ini menyebabkan guru-guru tidak dapat menyampaikan apa yang sepatutnya disampaikan kepada murid. Situasi di sekolah kini memperlihatkan bahawa kebanyakan guru yang mengajar bahasa Melayu adalah terdiri daripada guru-guru yang mempunyai latar belakang teknologi maklumat, perakaunan, ekonomi dan sebagainya. Dasar kerajaan 60:40, iaitu 60 pemberatan ke arah sains dan 40 sastera, menyebabkan guru-guru yang keluar dari institusi pendidikan mempunyai latar belakang yang majoritinya bukan aliran kesusasteraan. Bagaimana mungkin seorang guru yang tidak berminat langsung dengan karya-karya sastera, dapat menterjemahkan nilai-nilai estetika yang terkandung di dalam genre atau sesebuah novel berkenaan. Jika terdapat guru yang sedemikianpun, adalah sukar untuk dicari. Jika ditinjau di sekolah-sekolah, rungutan yang pasti kedengaran adalah kekurangan guru opsyen bahasa Melayu. Guru-guru yang mempunyai opsyen lain rela atau terpaksa, harus mengajar subjek ini. Realitinya, sukar kita mengungkap nilai-nilai estetika karya-karya sastera jika pendidik yang menjadi wadah ilmu ini sendiri tidak mempunyai kesediaan ilmu yang mencukupi dalam bidang berkenaan. Pihak-pihak yang berkenaan perlu merenung kembali permasalahan ini, agar KOMSAS yang diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, benar-benar dapat menyedarkan murid tentang keindahan karya-karya sastera di negara kita

Tiada ulasan: