8 Februari 2009

Normah Binti Ismail

Normah bt. Ismail (M20081000089)
Sek. Keb. Methodist (ACS),
Jalan Lahat,
30200 Ipoh.
No. telefon bimbit: 014 2546199


Jawapan untuk tugasan kuliah kelima pada 24 Januari 2009.

Soalan 1:
Kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu.

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu merupakan asas penting Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memenuhi Falsafah Pendidikan Negara. Mulai tahun 1999, Kementerian Pelajaran melalui Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah mengeluarkan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (Edisi Penyesuaian) yang memasukkan Kesusasteraan Melayu sebagai Komponen Wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Menurut Dr. Sharifah Maimunah Syed Zain, Timbalan Pengarah PPK dalam wawancara yang disiarkan dalam Dewan Sastera (Februari 2000), “Komponen Kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan memperkenalkan kepada pelajar tentang enam genre sastera yang meliputi genre novel, cerpen, drama, puisi dan prosa tradisional, dan puisi moden (sajak).”

Dua waktu daripada enam waktu seminggu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dikhususkan untuk menghayati teks sastera. Guru yang mengajar komponen sastera terdiri daripada guru bahasa Melayu dan kesusteraan Melayu yang sedia ada. Mereka telah dan akan diberikan pendedahan dan ilmu pedagogi tentang pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini.

Beberapa penekanan diberikan dalam pengajaran dan pembelajaran komponen sastera seperti tema dan persoalan, pemikiran, gaya bahasa, plot, watak dan perwatakan, nilai murni, pengajaran, falsafah di samping unsur luaran karya seperti biodata penulis dan sinopsis serta rumusan mahupun tanggapan.

Pada peringkat awal, ada pihak yang mempertikai tentang masa dan teknik pengajaran yang dicadangkan oleh pihak kementerian. Namun, anggapan itu telah diperjelas. Berkaitan perkara tersebut, Borhan Md. Zain menjelaskan, “Kebimbangan mengenai terlalu banyak genre yang akan diajarkan dalam waktu yang cukup terhad juga seharusnya tidak patut berlaku kerana pihak kementerian telah pun menyediakan modul yang sesuai dan sukatan yang relevan.”

Modul dasar bagi setiap tingkatan telah digubal oleh panel yang dilantik yang terdiri daripada kalangan guru dan sarjana sastera. Adalah wajar guru mematuhi kandungan modul ini di samping menyesuaikannya mengikut kreativiti sendiri dan suasana yang dihadapi. Jika berlainan atau bertentangan mungkin keseronokan dan penghayatan ilmu kesusasteraan akan terbantut.

Kesesuaian komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ini dapat dilihat dari segi beberapa perkara iaitu kesesuaian kandungan atau teks yang dipilih, pendekatan serta kaedah dan teknik pengajaran guru, pembelajaran yang dihadapi oleh para pelajar, dan penilaian yang dijalankan.

Kesesuaian Kandungan/ Teks
Teks dipilih oleh Kementerian Pendidikan melalui beberapa orang ahli panel secara berperingkat-peringkat bermula secara rawak hinggalah ke peringkat akhir yang lebih spesifik dan teliti. Garis panduan dan kriteria telah ditetapkan oleh pihak kementerian untuk dipatuhi oleh ahli panel. Antara ahli panel peringkat akhir ialah Dr. Othman Puteh, Prof. Madya Rahman Shaari, Mawar Shafie, T.Alias Taib, Prof. Madya Dr. Rahman Hanafiah, Prof. Madya Dr. Noriah Mohamad, dan Mahaya Mohd. Yassin.

Dari tingkatan satu hingga tingkatan lima, sebanyak 15 buah novel remaja dipilih. Antaranya ialah novel Meniti Kaca oleh Raja Sabaruddin Abdullah untuk tingkatan satu, Perlumbaan Kedua oleh Marwilis Haji Yusof untuk tingkatan dua, Merdeka! Merdeka! oleh A. Rahman Hanapiah, Panas Salju karya Talib Samat untuk tingkatan tiga, Di Hadapan Pulau oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (tingkatan empat), dan Julia oleh Abu Hassan Morad untuk tingkatan lima.

Sebanyak 28 buah cerpen, 30 buah puisi, dan 15 buah drama juga telah terpilih. Antara cerpen yang termasuk dalam senarai tersebut ialah “Di Sisi Rinda” oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, “Diari seorang Pengawas” oleh Ali Majod dan banyak lagi.

Karya-karya yang dipilih mengandungi mesej yang baik selain mempunyai keistimewaan yang tersendiri dari berbagai-bagai aspek meliputi tema, latar, plot, gaya, teknik, watak, dan sebagainya. Selain itu, karya yang dipilih juga mewakili karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara, sasterawan mapan dan berwibawa, pemenang hadiah-hadiah sastera, dan penulis-penulis muda yang berbakat besar.

Bagi karya puisi dan prosa tradisional pula kebanyakannya tidak mempunyai pengarang berdasarkan sifat karya itu yang berasal dari tradisi lisan dan sastera rakyat. Jika adapun hanyalah sebagai penyusun atau penyelenggara. Kebanyakan karya di atas telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Penerbit lain adalah seperti Marwilis Publisher dan Utusan Publication & Distributors.

Teks yang digunakan akan dibahagikan mengikut zon (utara, tengah, timur, selatan) Malaysia dan perincian serta modul setiap satunya telah dan akan diedarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah-sekolah. Tugas guru adalah untuk membaca dan mendalami isi karya untuk disampaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Teks dan bahan yang dipilih sudah semestinyalah bersesuaian dengan pelajar. Penerapan unsur moral dan penjanaan kreativiti tidak dikesampingkan dalam karya-karya yang dipilih. Walaupun banyak lagi bahan sastera yang bermutu dan baik tetapi tidak dipilih, teks atau bahan yang sedia ada ini adalah pemangkin atau pemula untuk pelajar menghayati karya sastera.


Soalan 2:
Sepuluh perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009.

Proses pengajaran adalah edaran yang berterusan. Tujuan ujian dalam pendidikan:
• mendapatkan kembali maklumat
• memastikan objektif pengajaran guru tercapai
• menggredkan pelajar
• sebagai penggerak (motivasi pelajar)
• tujuan penempatan – sederhana, baik, lemah

Ciri-ciri ujian:
• Kesahan ujian
Sejauh mana ujian itu menggambarkan atau menguji apa yang hendak diuji. Contoh: jika objektif guru mahu pelajar menguasai tema, maka ujian adalah berkaitan tentang tema.
• Kebolehpercayaan atau kestabilan ujian
• Keobjektifan atau ketepatan ujian

Jenis-jenis ujian:
• Ujian Penempatan – menguji ketrampilan yang disyaratkan bagi kursus.
• Ujian Formatif – ujian yang dilakukan dari semasa ke semasa.
• Ujian Diagnostik – ujian untuk mencari punca kelemahan pelajar.
• Ujian Sumatif – ujian untuk penggredan dan pensijilan, contohnya ujian PMR dan SPM.

Asas Penilaian:
• Penilaian Domain Kognitif
o Kemampuan proses berfikir.
o Bermula dari aras rendah hingga yang tertinggi.
o Bentuk ujian seperti ujian objektif, ujian subjektif, ujian lisan, tulisan dan ujian bulanan.
• Penilaian Domain Afektif
o Melihat hubungan sikap, pendangan dan nilai.
o Bentuk ujian seperti wawancara, pengamatan dan tingkah laku dan ujian bertulis.
o Skala Likert – contoh: sangat setuju, amat setuju, setuju, tidak setuju, sangat tidak setuju.
o Pilihan jawapan – YA atau TIDAK.
• Penilaian Domain Psikomotor
o Berhubung dengan aktiviti pergerakan yang menggunakan anggota tubuh badan.
o Penilaian menggunakan pengamatan berbeda dengan bidang sukan.
o Aktiviti seperti mendeklamasi puisi, berlakon, bergerak, beraksi dan lain-lain (ada kaitan dengan kognitif dan afektif).


Aras-aras Ujian Sastera
Ujian kesusasteraan melibatkan tingkat-tingkat ujian kognitif yang selalunya mempunyai enam aras utama (Taksonomi Bloom) iaitu bermula dengan tingkat ingatan sehingga menjurus kepada tingkat penilaian.
i. Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan hanya sekadar memerlukan pelajar berkeupayaan mengungkapkan kembali daya atau kebolehan mengingat hal-hal yang berhubungan dengan fakta, konsep, pengertian, definisi, deskripsi atau penamaan berkenaan sesuatu hal dan sebagainya. Ujiannya begitu mudah yang hanya menghendaki pelajar menamakan, memberi definisi, nama pengarang, buku-buku yang dihasilkan dan sebagainya.Tugasnya hanya meluahkan kembali butiran fakta yang dibacanya dengan secara langsung dan soalannya juga tidak disamar-samarkan. Contoh ujian aras ingatan ini seperti berikut:
• Apakah yang diertikan dengan perkataan ‘cemara’?
• Sebutkan pembahagian angkatan kesusasteraan yang terdapat di Malaysia.
• Siapakah yang dikenali sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden?
• Sebutkan dua antologi sajak yang ditulis oleh Usman Awang.

ii. Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman memerlukan para pelajar berkeupayaan memahami, membezakan dan menjelaskan fakta, atau hubungan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan sekadar untuk mengingat dan meluahkan kembali fakta yang dibaca sahaja. Pelajar berkeupayaan menangkap isi prosa atau puisi yang dipelajarinya, berkeupayaan meringkaskan atau membuat rangka novel atau cerpen atau mencari isi-isi utama dan menyalin kembali karya-karya klasik ke dalam bahasa moden. Pelajar juga berkemampuan dan berkeupayaan menyimpulkan beberapa ciri perbezaan antara syair dengan pantun umpamanya. Contoh-contoh butiran ujian dalam kelompok ini berbunyi seperti:
• Buat satu sinopsis cerpen berjudul Anak Bumi Tercinta karya Fatimah Busu.
• Apakah tema yang hendak dikemukakan oleh Rahman Shaari dalam sajaknya Bahasa?
• Terdapat beberapa perbezaan dibandingkan antara pantun dengan syair, apakah ciri-ciri persamaan dan perbezaan tersebut ?
• Buat ringkasan cerita cerpen yang berjudul Buku Catatan Farid Badrul karya Mohd. Tajudin Abdul Rahman.

iii. Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat-maklumat yang diperolehnya itu ke dalam suatu situasi baru. Misalnya penggunaan pengetahuan berkenaan ciri-ciri pantun untuk mencipta pantun. Kebolehan menggunakan maklumat yang diperolehi daripada prosedur kritikan bagi menilai sesebuah karya.
Bagi memanfaatkan ujian ke aras ini adalah dikira tugasan berbentuk esei dan perlakuan lebih menampakkan keserasian ujian. Ini kerana pelajar diberi kebebasan mengemukakan jawapan dan jawapan-jawapan sokongan bagi mempertahan dan menguatkan hujahnya. Contoh soalan berbentuk aplikasi ialah :
• Diturunkan sebuah wacana berbentuk prosa, misalnya daripada novel Senjakala, sepanjang lebih kurang satu muka surat (perlu diingatkan pemilihan wacana itu perlulah bersesuaian) dan pelajar ditugaskan supaya :
• Ubahkan bentuk cerita yang dilampirkan menjadi sebuah dialog.
• Sudut pandangan apakah yang digunakan dalam cerita di atas, ungkapkan kembali cerita di atas dengan sudut pandangan yang berbeza, contohnya daripada gaya dia kepada aku atau sebaliknya.
• Tunjukkan dan huraikan kembali semua gaya bahasa yang terdapat dalam wacana di atas.
Soalan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran juga boleh ditanyakan kepada pelajar. Puisi yang dipilih itu haruslah tidak terlalu panjang, contohnya sajak berjudul Ke Makam Bonda oleh Usman Awang dan tugaskan pelajar menjawab soalan seperti:
• Berikan tanda-tanda penjedaan ke atas puisi di atas ( tugasan ini berkaitan dengan psikomotor).
• Buatkan parafrasa puisi di atas atau tuliskan kembali puisi Ke Makam Bonda di atas menggunakan gaya dan bahasa anda sendiri.
• Tunjukkan beberapa gaya bahasa yang terdapat dalam puisi di atas.

iv. Ujian Kesusasteraan Aras Analisis berfungsi mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera. Kebolehan pelajar melihat perkaitan dan hubungan antara unsur-unsur yang dapat dikesan dan kebolehan menggunakan organisasi, susunan sistematik binaan, kesatuan yang membangunkan sesebuah karya sastera. Keupayaan menyelesaikan tugasan ini memberatkan identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman (lahiriah dan batiniah) karya tersebut. Contoh soalan pada aras ini ialah :
• Bagaimanakah caranya pengarang melukiskan watak dan perwatakan setiap tokoh dalam novel Senjakala ?
• Bagaimanakah sifat-sifat watak utama novel Senjakala?
• Huraikan dengan contohnya sekali tema pokok dan tema sampingan, plot utama dan anak plot sebagaimana yang terdapat dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung.
• Jelaskan keberkesanan unsur-unsur bunyi dalam sajak yang berjudul Ketika Kami Bercerita Tentangnya karya Lim Swee Tin.

v. Ujian Kesusasteraan Aras Sintesis mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur karya sastera dan unsur-unsur antara karya sastera. Butiran soalan bagi mengukur kemampuan sintesis dapat dicontohkan seperti berikut:
• Jelaskan benarkah kaitan antara latar, perwatakan dan tema dalam novel Senjakala bersifat padu dan wajar.
• Jelaskan persamaan antara watak Saaman dalam Keluarga Gerilya dan Busat dalam novel Sandera.

vi. Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian adalah peringkat yang tertinggi dalam ukuran ujian aspek kognitif. Item-item ujian aras penilaian mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu karya sastera. Keupayaan berfikir aras penilaian ini antara lain berbentuk kemampuan menilai sesuatu perkara. Contoh soalan aras penilaian ialah:
• Bandingkan drama Anna karya Kemala dengan Jebat karya Hatta Azad Khan dari segi:
o Latar masa, latar tempat dan latar masyarakat yang terdapat dalam kedua-dua drama tersebut.
o Unsur-unsur kamanusiaan.
• Mengapakah sajak-sajak ciptaan Amir Hamzah dikira lebih menampakkan permainan kata-kata dibandingkan dengan sajak-sajak yang dihasilkan sebelumnya.


Ujian Kesusasteraan Kategori Moody
Aras ujian kategori Moody memang secara khusus direncanakan bagi menguji kesusasteraan dan ianya sama sekali berbeza dengan pendekatan Taksonomi Bloom.

i. Ujian Kesusasteraan Aras Informasi dimaksudkan berfungsi menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera. Contoh soalan yang boleh diuji antara lain:
• Siapakah pengarang novel Badai Semalam? Sekarang beliau tinggal di mana dan apakah pekerjaannya?
• Siapakah watak utama novel Badai Semalam? Ke manakah watak utama pergi di akhir cerita novel tersebut dan untuk apakah beliau pergi ke tempat baru tersebut?

ii. Ujian Kesusasteraan Aras Konsep berkaitan dengan persepsi bagaimanakah maklumat-maklumat atau unsur-unsur karya itu diorganisasikan. Unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera adalah hal pokok yang dipersoalkan dalam ujian aras ini. Sebagai contoh di bawah ini diturunkan beberapa contoh soalan menguji pelajar pada aras konsep:
• Apakah hubungan antara Kinto dengan Noor, apakah hubungan antara Damid dengan Dasima? Apakah konflik atau masalah utama yang terdapat dalam novel tersebut? Apakah faktor yang selalu membebani penderitaan batin dan jiwa Kinto? Mengapakah Kinto begitu sayang kepada Noor dan Dasima? Mengapa Kinto akhirnya tidak dapat terlepas daripada perasaan kesal yang berpanjangan dalam hidupnya?

iii. Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif lebih diberi penumpuan kepada mendapatkan pandangan pelajar atau pembaca dengan karya sastera yang dibaca. Di bawah ini diturunkan beberapa soalan aras ujian perspektif:
• Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel Senjakala?
• Adakah sesuatu yang bersifat tipikal dalam novel Senjakala?
• Unsur apakah yang bersifat tipikal itu dan realiti kehidupan yang manakah yang anda maksudkan itu?

iv. Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi/Penghayatan selalunya berkisar pada permasalahan dan atau yang berkaitan antara bahasa sastera dengan linguistik. Item-item soalan yang dimaksudkan untuk mengungkapkan aras apresiasi ini seperti dicontohkan di bawah ini:
• Mengapakah Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan dan Azizi Hj. Abdullah dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung banyak memilih kata-kata dan ungkapan daerah utara (Kedah) bagi melahirkan maksud-maksud tertentu?
Dipungut beberapa buah sajak karya Amir Hamzah yang mengandungi kata-kata arkis, seperti dalam sajak “Hanya Satu”.
• Apakah fungsi dan efek penggunaan kata-kata arkaik dalam sajak itu?
• Seandainya kata-kata arkis itu digantikan dengan kata-kata lain yang ‘baru’, apakah ianya dikira tepat?


Soalan 3:
Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran sastera dalam bahasa Melayu.

Selain melaksanakan pengajaran, guru juga perlu menjalankan penilaian dan pengujian. Dalam usaha menilai dan menguji pemahaman pelajar terhadap sesebuah karya, beberapa aspek penting perlu diberi perhatian. Menurut Azman Wan Chik (1981) sebarang ujian mestilah menguji:
i. Penikmatan
ii. Penghayatan
iii. Pengalaman

Soalan-soalan boleh dibentuk secara objektif (aneka pilihan) seperti soalan pemahaman dan tatabahasa ataupun secara subjektif seperti melengkapkan teks, membuat rumusan, dan menulis karangan .Kedua-dua bentuk ini boleh dijalankan mengikut kesesuaian dan jenis ujian. Bagi peringkat menengah (Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia) terdapat kertas aneka pilihan dan secara subjektif dalam kertas Bahasa Melayu.

Bagi ujian biasa di dalam bilik darjah guru boleh menyediakan soalan ujian sendiri. Contohnya, soalan sastera yang bersifat subjektif boleh dibina mengikut kebolehan pelajar. Satu daripada caranya ialah menggunakan Taksonomi Bloom yang membahagikan objektif pendidikan kepada tiga bidang besar iaitu kognitif, afektif, dan psikomotor. Guru juga boleh menilai berdasarkan sudut yang difikirkan wajar seperti ketepatan memberi pendapat, membuat analisis, dan sebagainya.

Antara masalah dalam pengujian bahasa ialah:
• dialek yang berbeza
• tatabahasa
• falasi logik
• kekurangan kosa kata
• penulisan
• gaya

Semua pelajar dalam satu kumpulan atau tingkatan diuji dengan soalan atau masalah yang sama dan dengan cara yang sama di samping mendapat arahan yang sama. Markah atau skor yang diperolehi hasil daripada jawapan sesuatu ujian ialah sebagai indikator atau penunjuk numerik tentang prestasi pelajar. Numerik atau ketepatan inilah yang membedakan pencapaian antara pelajar dengan pelajar yang lain dan akan membantu guru membuat sesuatu keputusan berdasarkan ujian tersebut.

Maklumat daripada penilaian boleh digunakan untuk beberapa perkara. Pertama, guru dapat mendiagnos apakah kelemahan atau kekuatan bagi seseorang pelajar tentang sesuatu unit pelajaran atau sesuatu bahan sastera yang telah diajarkan di dalam kelas. Kedua, maklumat daripada penilaian boleh digunakan untuk memberi gred atau markah dan ketiga, untuk menempatkan pelajar dalam kelas-kelas tertentu mengikut aliran-aliran pengajian tertentu. Dalam konteks pendidikan, pencapaian objektif pengajaran boleh ditinjau dari tiga perspektif iaitu bidang kognitif, bidang afektif dan bidang psikomotor, tetapi adalah menjadi tugas guru untuk memastikan pelajar mereka menikmati dan menghargai apa yang telah dipelajari oleh pelajar.

Kesahan Ujian
Sesuatu ujian adalah sah jika ujian itu mengukur apa yang sepatutnya diukur. Contohnya jika sesuatu ujian sepatutnya mengukur penghayatan atau apresiasi pelajar terhadap suatu novel, soalan yang diajukan perlu ada kaitan dengan unsur penghayatan yang terdapat dalam novel tersebut, bukannya mengukur perubahan tingkah laku atau psikomotor pelajar tersebut. Begitu juga sekiranya guru ingin menguji tema yang terdapat dalam sesuatu bahan sastera, soalan yang diajukan mestilah berkaitan dengan tema.
Kesahan Isi
Terdapat beberapa cara untuk menentukan sama ada sesuatu ujian itu cukup sah dan berguna. Kaedah yang termudah ialah dari segi kesahan isi atau kandungan. Cara yang biasa digunakan adalah dengan menyemak sama ada soalan-soalan yang dikemukakan menepati isi yang patut diliputi oleh ujian tersebut. Kaedah ini adalah kaedah termudah bagi ujian untuk mengukur pencapaian kerana tidak sukar untuk menetapkan apa yang sepatutnya dimasukkan ke dalam isi sesuatu ujian. Bagi memudahkan lagi, seseorang guru yang hendak menggubal ujian sepatutnya merujuk pada objektif tingkah laku atau objektif perlakuan dan pelan tindakan atau jadual penentuan bagi memastikan soalan-soalan yang perlu dimasukkan ke dalam ujian. Satu masalah tentang kesahan isi adalah dari segi ujian yang kelihatan sah tapi sebenarnya tidak sah kerana ujian tersebut tidak mengukur apa yang sepatutnya diukur. Oleh itu, kesahan isi menjadi keperluan penting bagi sesuatu ujian yang berguna.
Kesahan Kriteria
Satu lagi bentuk kesahan ialah kesahan kriteria. Dalam menentukan kesahan kriteria, skor dari sesuatu ujian dikolerasikan dengan sesuatu kriteria luaran. Terdapat dua jenis kesahan kriteria iaitu kesahan serentak kriteria dan kesahan prediktif kriteria. Kesahan serentak kriteria melibatkan ukuran yang boleh dilaksanakan serentak dengan ukuran yang hendak disahkan. Kesahan prediktif kriteria merujuk pada setakat mana ujian itu dapat meramal tingkah laku pelajar pada masa hadapan. Bentuk kesahan ini contohnya amat berguna bagi ujian bakat yang cuba untuk meramal atau menjangkakan setakat mana pelajar yang menduduki ujian akan berjaya pada situasi akan datang.
Kebolehpercayaan Ujian
Konsep kebolehpercayaan memberi jawapan kepada soalan “Adakah hasil ujian itu boleh dipercayai?” atau “Adakah jawapan yang diberikan tidak berubah-ubah dan dapat mencerminkan kemahiran serta kebolehan pelajar?” atau “Adakah ujian yang diberi menghasilkan skor yang sama?” Ujian yang boleh dipercayai adalah ujian yang akan menghasilkan markah yang sama atau hampir sama apabila ujian tersebut diberi kepada pelajar yang sama berulang kali. Konsep kebolehpercayaan sesuatu ujian dibincang berdasarkan ciri ketekalan dan boleh ditelah (dependable). Contohnya, guru menyediakan satu ujian tentang watak yang terdapat dalam sesuatu karya cerpen. Untuk menentukan ujian itu tekal dan boleh dipercayai, guru tersebut boleh memberikan ujian itu sebanyak dua kali kepada pelajar yang sama. Ujian kedua diberi satu atau dua minggu selepas ujian pertama. Jika markah setiap pelajar dalam ujian pertama dan ujian kedua adalah lebih kurang sama, maka ujian itu dianggap tekal atau stabil. Selain daripada itu, hasil daripada penyediaan dan pentadbiran ujian tersebut dapat memberi maklumat yang boleh diguna pakai pada masa akan datang. Ujian yang telah dipastikan kebolehpercayaannya boleh digunakan pada masa akan datang untuk mengesan tahap kemahiran dan kebolehan pelajar serta menentukan persediaan lain yang diperlukan. Kedua-dua aspek tersebut (ketekalan dan boleh ditelah) merupakan aspek kebolehpercayaan yang penting.


Soalan 4:
Bina 5 soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah anda.

Soalan 1 : Puisi Tradisional – Pantun / Syair
PANTUN KANAK-KANAK

Baca pantun di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Jangan gergaji pohon
talas,
Nanti lesung dimakan pahat;
Jangan menjadi orang malas,
Perut kosong badan tak sihat.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendaklah dicari,
Apa yang dapat jangan dilupa.

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pokok kelapa ;
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada saudara, ibu dan bapa.

1. Berikan maksud rangkap pertama pantun ini.
A Orang yang malas tidak dapat menyara hidupnya dengan sempurna.
B Orang yang malas selalu mendapat sakit perut.
C Orang yang malas selalunya berpunca daripada badan yang tidak sihat.
D Orang yang malas selalunya berpunca daripada perutnya yang selalu sakit.

2. Apakah yang perlu dilakukan apabila kita telah mendapat ilmu ?
A Kita perlu mengamalkan ilmu itu untuk mencari kekayaan dan hidup mewah di dunia.
B Kita perlu mengucapkan terima kasih selepas mendapat ilmu daripada guru.
C Kita perlu mencari guru yang telah mengajar kita itu.
D Kita tidak melupakan pengajaran yang telah diperoleh.

3. Antara nilai kemanusiaan yang terdapat dalam pantun ini ialah...
A kerajinan.
B kesyukuran.
C kesetiaan.
D keadilan.

4. Apakah rima akhir pantun ini?
A abcd
B abab
C abba
D aabb

5. Yang berikut merupakan antara pengajaran yang dapat diperoleh daripada pantun ini, kecuali…
A sikap rajin perlu disemai sejak kecil lagi.
B ilmu penting untuk dipelajari sebagai bekalan hidup.
C kanak-kanak yang cerdas selalunya akan berjaya dalam hidup.
D kita perlu menunaikan tanggungjawab terhadap kedua-dua ibu bapa dan saudara mara.


Soalan 2 : Sajak – SEORANG GURU TUA, Gunawan Mahmood

Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Guruku yang baik
masih lagi mengajar
sedang aku kini sudah besar
dulu wajahnya muda
kini rambut memutih kepala
ada anak-anak muridnya
sudah menjadi menteri
ada anak-anak muridnya
kini memegang jawatan tinggi
tidak kurang pula
bergelar usahawan berjaya.

Guruku yang baik
masih di situ
masih memandu kereta lama
masih menuju sekolah yang sama
tiada kelihatan jemu
dari air mukanya
tiada kedengaran bosan
dari suara bibirnya
dia gigih menggenggam
tanggungjawab yang diamanahkan.

Seorang guru tua
dia masih di situ
berdiri sebagai guru
menabur jasa-jasa
dialah pendidik bangsa!

1. Perubahan nyata yang telah berlaku terhadap guru penyajak ialah…
A anak-anaknya sendiri sudah menjadi menteri.
B ada anaknya yang sudah menjadi usahawan.
C wajahnya sudah tua dan rambutnya sudah beruban.
D anak-anaknya juga sudah berjawatan tinggi.

2. Yang berikut merupakan antara penyataan yang benar tentang guru penyajak, kecuali…
A masih bertugas di sekolah yang sama.
B memiliki kereta yang sama seperti dahulu.
C masih setia dan tidak bosan dengan tugasnya.
D mendapat anugerah tertinggi dalam bidang pendidikan.

3. Frasa suara bibirnya dalam sajak ini ialah gaya bahasa…
A simile.
B personifikasi.
C peribahasa.
D hiperbola.


4. Apakah persoalan yang hendak dipaparkan oleh penyajak dalam sajak ini?
A Pendidik yang sangat mencintai ilmu.
B Dedikasi seorang pendidik walaupun sudah berusia.
C Kebanggaan anak kampung yang berjaya dalam bidang pendidikan.
D Perasaan megah seorang pendidik apabila berjaya melahirkan anak-anak muridnya yang kini berjawatan tinggi.

5. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penyajak dalam sajak Seorang Guru Tua ini?
A Setiap orang perlu bercita-cita untuk menjadi guru.
B Janganlah mudah melupakan kisah silam dalam hidup.
C Kita hendaklah menghormati insan yang banyak berjasa kepada masyarakat.
D Anggota masyarakat patut menambahkan pengetahuan dengan belajar.


Soalan 3 : Prosa Tradisional – TUJUH PUTERI TURUN KE DUNIA

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Maka Tuanku Malim Deman pun segeralah berangkat pergi merupakan dirinya orang tua yang teramat buruknya membawa sebaur kail lalu menghendap perlahan-lahan dekat ke tempat kain-kain layang dan baju layang Tuan Puteri Bongsu itu lalu diambilnya. Setelah dapat kepadanya ia pun langsung berjalan ke hilir sungai itu lalu mengail. Hatta, seketika lagi tuan puteri pun naiklah dari bersiram, tuan puteri enam pun lalulah bersalin kain basahan lalu memakai kain layang baju layangnya. Maka Tuan Puteri Bongsu pun naiklah bersalin kain basahan serta hendak memakai kain layang baju layang, dilihatnya sudah tiada, rata-rata dicarinya tiada dapat juga. Maka kata puteri enam, “Ayuhai adinda adik bongsu, sungguhlah seperti perkataan pantun adinda tadi: malam tadi kita berkampung adik-beradik; malam ini jikalau tiada dapat kain layang baju layang itu, tentulah kita bercerai, kerana kakanda yang keenam ini hendak kembalilah ke kayangan. Hari pun sudah petang; takut dimurkai oleh ayahanda bonda pula."
Telah didengari oleh Tuan Puteri Bongsu lalu ia menangis teramat sangat terkenangkan untung nasibnya sampai ia mencari kain layang baju layang juga ke sana ke mari ; tiada berhenti tiadalah dapat juga. Maka tuan puteri enam pun seraya bersabda, "Tinggallah adik bongsu, kakanda kembali ke kayangan, bolehlah kakanda sembahkan kepada ayahanda bonda akan hal adinda itu, jikalau ada upaya mengambil adinda."
Maka puteri enam pun langsung melayang ke kayangan masuk ke dalam istana mempersembahkan hal ehwal Puteri Bongsu itu. Maka sangat hairanlah ayahanda bonda mendengar dia, sepatah pun tiada apa katanya, diam sahaja.
Kalakian, tersebutlah perkataan Tuan Puteri Bongsu, antara beberapa lama ia mencari kain layang baju layang itu, ia pun berjalan ke hilir air itu. Maka dilihatnya seorang orang tua laki-laki mengail. Maka Tuan Puteri Bongsu pun segeralah datang mendapatkan orang itu seraya bersabda, "Ayuhai bapa, orang pengail adakah menengok kain layang baju layang saya tersangkut kepada ukiran taman itu ?"
(Antologi Sehijau Warna Daun,
halaman 29-30.)


1. Bagaimanakah cara Tuanku Malim Deman mengambil baju layang dan kain layang Tuan Puteri Bongsu ?
A menyamar sebagai seorang jejaka yang kacak
B bersembunyi di balik pokok-pokok di dalam taman itu
C menyamar diri menjadi seorang tua yang membawa kail
D meminta pertolongan daripada Nenek Kebayan untuk mengambilnya

2. Mengapakah puteri enam hendak pulang segera ke kayangan?
A kerana hendak meminta bantuan daripada ayahanda dan bondanya
B kerana hendak membantu Tuan Puteri Bongsu mencari baju dan kain layangnya
C kerana hendak mengambil kain dan baju layang yang lain
D kerana takut dimurkai oleh ayahanda dan bondanya

3. Berdasarkan petikan, kata berangkat dan bersiram ialah gaya bahasa…
A istana.
B klasik.
C peribahasa.
D asing.

4. Berdasarkan petikan, Tuan Puteri Bongsu ialah puteri yang…
A suka bernyanyi.
B penyedih.
C kuat azam.
D mudah marah.

5. Yang berikut merupakan antara nilai kemanusiaan yang terdapat dalam cerita Tujuh Puteri Turun ke Dunia, kecuali…
A hormat orang tua.
B gigih dan sabar.
C berbudi bahasa.
D kesyukuran.


Soalan 4 : Cerpen – ANAK BUMI TERCINTA, Fatimah Busu

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Matain melihat anak-anak terung pada batasnya. Ada dua pohon yang lebih besar daripada semua pokok terung di batas Sitiawa. Tingginya sudah lebih sejengkal. Pokok-pokok terung itu nampak layu dan tidak bermaya dalam panas terik tengah hari begitu. Matain tunduk mencabut sebatang pokok pegaga kecil pada umbi sebatang pokok terungnya.
Beberapa minggu dulu bapak membawa balik sekotak besar anak-anak terung yang hijau dan lemah. Besarnya cuma dua ruas jari. Lalu emak semaikan di dalam kerek daun kelapa yang dibuat bulat-bulat seperti kerek untuk bubuh manisan kelapa. Sungguh cantik kerek-kerek yang dibuat oleh emak. Emak atur kerek-kerek itu pada tempat lapang di belakang rumah. Matain tolong mengangkut dari hadapan tangga. Dan Matain tolong ambil air dari telaga untuk buat siram anak-anak terung yang baru disemai.
Pagi-pagi limun sebelum orang lain bangun, Matain sudah turun ke tanah melihat semaian anak-anak terung di dalam kerek di belakang rumah. Semua anak terung segar dan hijau. Matain amat gembira.
"Anak terung hidup segar, mak! Bagus betul! Tain mahu siram acap-acap!"
Kemudian bapak pergi seperti biasa membawa pulang alat-alat buat rumah. Emak membekalkan nasi untuk makan tengah hari yang dibubuh ke dalam periuk besi putih. Kemudian Kak Jarah dan Sitiawa pula pergi ke sekolah. Lepas itu Abang Jali pula pergi kerja pukul kain batik di Panambang. Pagi itu, Matain tidak cuba tolak basikal Abang Jali seperti pagi-pagi yang lain. Biasanya, Matain buat begitu untuk bergurau senda dengan Abang Jali. Kemudian seperti pagi-pagi yang lain,juga, dia tinggal berdua dengan emak di rumah untuk separuh hari sebelum Kak Jarah dan Sitiawa balik dari sekolah.
"Mari kita pergi bersihkan kebun ubi ketela. Kita tanam terung."
Matain bersorak-sorak riang mendengar emak mengajaknya ke kebun untuk tanam terung. Matain pakai seluar cepat-cepat. Emak sudah membawa cangkul dan parang. Matain ikut terkedek-kedek di belakang emak.
Emak mula membersihkan batas ubi ketela yang sudah digali dengan cangkul. Matain cabut pokok-pokok bayam peraksi dan membalingkannya ke luar pagar kebun.
(Antologi Anak Bumi Tercinta, halaman 128-129.)

1. Yang berikut merupakan keadaan anak-anak terung di batas Matain, kecuali…
A dua pokok terungnya lebih besar daripada pokok terung Sitiawa.
B tinggi pokok terung itu melebihi satu jengkal.
C anak-anak terungnya itu lebih subur daripada anak-anak terung Sitiawa.
D pokok-pokok terung itu kelihatan layu akibat terkena pancaran matahari.

2. Frasa pagi-pagi limun bermaksud…
A awal-awal pagi.
B tiap-tiap pagi.
C selepas waktu pagi.
D pagi semalam.


3. Berdasarkan petikan, perwatakan Matain yang menonjol adalah…
A jujur.
B rajin.
C suka menolong orang.
D menghormati orang lain.

4. Apakah gambaran masyarakat yang dipaparkan oleh pengarang dalam petikan cerpen di atas?
A masyarakat yang mengamalkan semangat kejiranan dan tolong-menolong antara satu sama lain
B masyarakat yang percaya akan kepercayaan tradisional dalam kehidupan
C masyarakat yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran dengan pekan
D masyarakat yang tinggal di tepi pantai dan bekerja sebagai nelayan yang mencari rezeki di laut.

5. Apakah tema cerpen Anak Bumi Tercinta?
A kehidupan masyarakat kampung yang miskin dan mengharungi rintangan dalam
meneruskan hidup
B pergaduhan sesama adik-beradik hingga menimbulkan pergolakan keluarga
C kehidupan sebuah keluarga yang dihujani pelbagai masalah
D pertengkaran kecil yang membawa kepada kematian


Soalan 5 : Drama – ANGIN, Basaruddin Abd. Razak

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

MATAHARI: (Marah bukan main) Cis! Angin. Kau pun apa kurangnya? Kau seperti lupa bahawa zaman sekarang tidak perlu ada kau lagi. Untuk mendinginkan tubuh manusia, mereka telah mencipta kipas angin dan penyaman udara!
ANGIN: Ahhhhhhh, bagaimana kalau penyaman udara mereka rosak? (Mengejek sinis) Tentu mereka akan memanggil aku. "Wahai angin, datanglah kau!Duhai Angin, berhembuslah… (Tersenyum lebar) Datanglah bertiup sepoi-sepoi bahasa, agar kami merasa nikmatnya…."
MATAHARI:Kau hanya berangan-angan, Angin! (Mengejek jijik) Kau juga lupa jika pakaian mereka lembap, mereka juga akan memanggil aku kau tahu?(Menyindir) Lalu mereka pun berkata dan merayu kepadaku. "Wahai Matahari, muncullah segera engkau untuk mengeringkan pakaianku.Muncullah Matahari, Matahariku tersayang!"
ANGIN : (Gelak-gelak mengejek) Nampaknya antara kita … tidak ada siapa pun yang mahu mengalah. Kita perlu beradu nasib. Aku cadangkan, satu pertandingan yang khusus perlu dilangsungkan. Dan kita mesti memanggil saksi-saksi serta panel hakim bagi penentuan. (Tersenyum lebar).
MATAHARI:(Mengangguk) Cadanganmu baik sekali! Dan aku terima cabaran itu! Sudahlah Angin. Memang dasar kamu begitu. Bila baik semuanya hakmu. Tapi kau jangan pula lupa, akibat kau juga manusia sering bergaduh! Ya, mereka mengatakan adanya khabar-khabar angin membuatkan fitnah berleluasa! Tapi tidak ada pula khabar matahari yang mengadu-dombakan manusia. Betul tak? (Menudingkan jarinya kepada Angin).
ANGIN: (Marah semula dengan meninggikan suaranya) Hei, Matahari! Kau masih berdegil, ya. Nanti aku akan panggilkan teman setiaku Ribut untuk menghapuskan kamu semua, baru padan muka kau itu…. (Ketawa bangga).
(Antologi Seuntai Kata untuk Dirasa, halaman 134)

1. Mengapakah Matahari mengatakan bahawa manusia tidak memerlukan Angin lagi pada masa kini?
A Manusia tidak memerlukan angin untuk meneruskan hidup.
B Manusia sendiri boleh menghasilkan angin tiruan.
C Manusia tidak memerlukan angin kerana angin yang kuat akan memusnahkan mereka.
D Manusia sendiri sudah ada banyak angin di dalam rumah.

2. Apakah kebaikan Matahari kepada manusia?
A menerangi alam semesta
B memberikan tenaga solar
C mengeringkan air hujan
D memudahkan pakaian dikeringkan

3. Berdasarkan petikan drama Angin, penyataan yang manakah yang tidak benar tentang perwatakan Matahari?
A sombong dan angkuh
B suka mengalah tetapi ganas
C suka membuat tuduhan
D suka mencabar orang lain

4. Latar masa peristiwa yang digambarkan dalam petikan drama Angin ini berlaku pada..
A waktu siang.
B waktu malam.
C waktu senja.
D waktu subuh.

5. Yang berikut merupakan antara mesej yang dapat diperoleh daripada drama Angin karya Basaruddin Abd. Razak, kecuali….
A setiap orang yang melakukan kekejaman pasti akan menerima balasannya.
B kita hendaklah menolong orang yang memerlukan bantuan dengan jujur.
C janganlah suka merendah-rendahkan kemampuan atau kebolehan orang lain.
D kelebihan yang ada pada diri kita harus digunakan untuk tujuan kebaikan.




Soalan 5:
2 cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa kini.
i. Pihak sekolah seharusnya memilih guru yang terlatih dalam bidang bahasa dan kesusasteraan untuk mengajarkan mata pelajaran ini. Guru bahasa Melayu bukanlah boleh dipilih sewenang-wenang sebaliknya dia mestilah terlatih dan membuat persediaan yang cukup.

Untuk lebih mendalami teks ini, buku-buku rujukan tambahan boleh digunakan selain bantuan bahan bacaan yang lain seperti majalah dan akhbar. Antaranya ialah majalah Dewan Siswa, Fokus, Dewan Sastera, dan Pelita Bahasa. Akhbar harian dan mingguan juga banyak membuat ulasan dan panduan tentang teks-teks yang dikaji seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Terdapat berbagai-bagai pendekatan, kaedah, dan teknik yang boleh digunakan dalam pengajaran kesusasteraan atau komponen sastera dalam bahasa ini. Fokus utama pendekatan ialah penekanan kepada isi dan tema serta keupayaan pelajar berdiri sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada guru.

Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah pendekatan sejarah (historis), pendekatan sosiologi (kemasyarakatan), pendekatan antropologi, psikologi, biografi, formal/struktural, dan moral. Selain itu dalam pengajaran dan pembelajaran pula, pendekatan deduktif, pendekatan induktif, dan pendekatan berfikir boleh digunakan.

Pada asasnya terdapat empat kaedah pengajaran kesusasteraan yang diterima pakai oleh kebanyakan guru dan juga disarankan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Keadah-kaedah tersebut ialah kaedah global, struktural, berfokus, dan mengalami serta menghayati.

Kaedah global merupakan kaedah pengajaran kesusasteraan yang konvensional. Kaedah ini memerlukan guru mengajar kesusasteraan secara keseluruhan teks. Pelajar seharusnya membaca dan mengetahui terlebih dahulu struktur karya.

Kaedah struktural memerlukan pengajaran mengikut srutktur karya dari sudut tema, plot, watak, latar, bahasa, dan sebagainya. Kaedah ini amat perlu untuk memperkenalkan pelajar tentang aspek-aspek struktur karya yang dikaji.

Kaedah berfokus pula diperkenalkan oleh PPK iaitu guru boleh memilih fokus pengajaran yang utama atau sampingan. Ini dapat membenarkan guru dan pelajar memberi perhatian terhadap aspek yang hendak diajarkan. Kaedah ini memudahkan pelajar memahami aspek yang harus diberi tumpuan.

Kaedah mengalami serta menghayati pula diharapkan dapat para pelajar menghayati karya beradasrkan pengalaman yang dialami dan juga mengaitkannya dengan pengalaman teman-teman atau orang lain berdasarkan karya yang dikaji. Kaedah ini memudahkan pemahaman sekaligus menjadikannya menarik.

Teknik pula ialah tindakan melaksanakan pendekatan dan kaedah yang telah difikir dan dirancang oleh guru. Ia adalah pelaksanaan sebenar di dalam bilik darjah. Teknik dapat direalisasikan di dalam kelas menjadi aktiviti. Beberapa teknik yang sesuai boleh digunakan oleh guru. Guru mestilah memikirkan teknik setelah membaca karya yang dikaji atau dibincangkan lalu memikirkan teknik mana yang mudah dijalankan selain menarik minat dan mengesankan.

Teknik merupakan perlaksanaan pengajaran dalam bilik darjah. Sama ada berjaya atau tidak teknik itu bergantung kepada praktikalnya juga kerjasama guru dengan pelajar serta faktor-faktor lain. Antara teknik yang popular dan sesuai dijalankan ialah teknik sketsa, teknik membaca teks, teknik bercerita, berlakon, mendengar rakaman, bersoal-jawab, perbincangan, ceramah, penerangan, tugasan, seminar, perbengkelan, dan ‘group-programme’.

Dalam teknik sketsa sebagai contoh, kaedah yang digunakan ialah keadah berfokus untuk mendalami tema dan watak utama sesebuah novel. Pelajar diminta membaca novel tersebut terlebih dahulu. Pelajar dipecahkan kepada beberapa kumpulan lalu berbincang tentang tema dan watak utama novel tersebut. Kemudian mereka dikehendaki membuat lakaran atau sketsa apa sahaja bentuk lukisan yang difikirkan memberi maksud tentang tema cerita tersebut. Seterusnya ketua kumpulan menjelaskan maksud sketsa atau lakaran kumpulannya di hadapan kelas. Pelajar lain boleh menambah atau memberi komen sebelum guru membuat ulasan dan pandangan.

ii. Para pelajar juga seharusnya bersedia untuk mendalami teks dan bahan yang dimestikan. Perbincangan, pendapat, komen, dan cetusan idea baru sangat perlu untuk menyemarakkan lagi bahasa dan sastera di dalam dan di luar kelas.

Faktor seperti kesediaan dan psikologi turut berperanan mempengaruhi pembelajaran. Kebanyakan pelajar tingkatan satu misalnya, masih belum mendalami kesusasteraan dan masih suka membaca cerita kanak-kanak. Apabila masuk ke sekolah menengah, mereka diperkenalkan dengan novel remaja dan ini menyebabkan mereka terasa agak ‘berat’. Namun begitu, pendekatan guru seharusnya lebih menenangkan dan menjadikan perkara baru itu tidak membosankan mereka. Tidak dinafikan peringkat awal ini adalah fasa terpenting pembelajaran komponen sastera.

Teks sastera yang digunakan tidaklah membebankan. Bagi tingkatan satu, novel yang digunakan (mengikut zon) ialah Meniti Kaca ataupun Anak Din Biola juga Aku Anak Timur. Novel-novel ini mengangkat tema kemanusiaan yang mudah difahami di samping penggunaan gaya bahasa dan teknik yang tidak begitu mencabar. Jadi, para pelajar diharap dapat menguasai teks dengan baik sehinggalah pembelajaran berlangsung dengan lancar.

Latar belakang pelajar yang berbeza juga mempengaruhi penerimaan sesuatu teks terhadap pelajar. Setiap novel atau karya sastera memaparkan kisah yang mengambil latar tertentu. Antaranya latar kampung, bandar, luar negara, dalam pesawat, kampus, dan sebagainya. Dalam kalangan pelajar, pengalaman tentang latar-latar tersebut mungkin tidak mereka miliki. Contohnya latar sungai atau kampung kurang didalami oleh pelajar yang menetap di bandar besar. Begitu juga kisah yang berkaitan budaya orang Melayu yang sukar difahami oleh kaum lain.

Dr. Misran Rokimin (1999) menyatakan, “Memang tidak dinafikan bahawa kecenderungan dan penerimaan novel tersebut mungkin ada perbezaan antara etnik. Umpamanya, bagi etnik Melayu, tidak timbul masalah menginterpretasi novel ini kerana berlaku dalam ‘milieu’ mereka, tetapi bagi etnik bukan Melayu, timbul sedikit kesulitan kerana latar, budaya, istilah yang berbeza dengan persekitaran mereka. Namun ini bukanlah benteng penghalang, kerana dilihat secara keseluruhan novel ini masih bersifat sejagat.” (Dr. Misran mengulas tentang penggunaan sebuah novel bagi tingkatan empat).

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, guru perlu bijak membaca suasana dan menggunakan kreativitinya untuk melaksanakan kaedah dan teknik yang sesuai. Ini penting untuk lebih mendekatkan pelajar agar tercapai objektif pengajaran dan pembelajaran.




Bibliografi:


1. Abdul Aziz Abdul Talib. 1996. Cetakan Ketiga. Menguji Kemahiran Bahasa: Prinsip, Teknik dan Contoh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Abu Bakar Nordin. 1995. Penilaian Afektif. Kajang: Masa Enterprise.

3. Bhashah Abu Bakar. 2003. Asas Pengukuran Bilik Darjah. Tg. Malim: Quantum.

4. Lado, R. (1962). Language Testing. New York: McGraw Hill.

5. Marohaini Yusoff. 1999. Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

6. Mohd. Khir Kassim. 2006. KOMSAS: Ulangkaji Total. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

2009 Januari 28 21:32

Normidza

Normidza binti Md.Kamel
SM Sains Kuala Selangor
Bandar Malawati
45000 Kuala Selangor
019-3307172

Soalan 1 - Kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu

Pembelajaran unsur sastera bagi murid-murid sekolah mula diberikan penekanan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu 1988 sebagai unsur sastera. Mulai tahun 2000, pembelajaran unsur sastera dimantapkan melalui pelaksanaan komponen kesusasteraan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam pelaksanaannya, beberapa teks telah dipilih sebagai teks wajib oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Antara objektif pelaksanaannya ialah:
1.Meningkatkan dan mengukuhkan minat membaca pelbagai genre sastera
2.Mengenal, menghayati dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis

Komponen sastera dalam pengajaran bahasa Melayu harus difahami dengan tepat,iaitu:
1.Komponen ini bukan untuk mengajar sastera dalam kelas bahasa Melayu
2.Komponen sastera merupakan wahana untuk mencapai matlamat pendidikan bahasa Melayu iaitu mewujudkan ketrampilan berbahasa Melayu, serta penggunaan sistem bahasa

Penggunaan teks komponen sastera dalam pengajaran bahasa Melayu :
1.Memperkenalkan tema, persoalan, gaya bahasa, plot,pengajaran, dan sebagainya secara tidak terperinci dalam pengajaran bahasa Melayu
2.Teks dan karya sastera yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan bahan bantu mengajar bagi mencapai hasil pembelajaran
3.Bahan dalam teks komponen sastera digunakan sebagai bahan untuk mengajarkan tatabahasa dan mengembangkan kosa kata pelajar
4.Penggunaan teks komponen sastera mampu merealisasikan kemahiran bernilai tambah yang sesuai sama ada kemahiran berfikir, teknologi maklumat dan komunikasi, belajar cara belajar, kajian masa depan, kontekstual, konstruktivisme ata kecerdasan pelbagai

Teks Komponen Sastera dalam pengajaran bahasa Melayu
Bagi memantapkan lagi pengajaran sastera dalam bahasa Melayu, beberapa teks satera telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk dikaji dan dihayati oleh para pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Teks Komponen Sastera – Antologi dan Novel
Dalam pengajaran bahasa Melayu, teks antologi komponen sastera yang digunakan adalah berbeza mengikut tingkatan. Teks ini mengandungi puisi tradisional,puisi moden (sajak), prosa tradisional, cerpen dan drama. Antara teks yang digunakan ialah :
Tingkatan satu : Antologi Sehijau Warna Daun
Tingkatan dua : Antologi Seuntai Kata untuk Dirasa
Tingkatan tiga : Antologi Anak Bumu Tercinta
Tingkatan empat : Antologi Anak Laut
Tingkatan lima : Antologi Kerusi

Manakala novel yang dikaji oleh para pelajar adalah berbeza mengikut zon masing-masing. Antara novel yang dikaji :

Tingkatan satu :
1. Anak Din Biola(Maraof Mahmud)
2. Aku Anak Timur (Siti Aminah Haji Yusuf)
3. Limpahan Darah di Sungai Semur (Zakaria Salleh)
4. Meniti Kaca (R.Sabarudin R.Abdullah)

Tingkatan dua :
1. Pahlawan Pasir Salak (Mohd Ismail Sarbini)
2. Tragedi Empat Disember (Dzulkarnain Ithnain)
3. Timulak Kapal Perang (Azman Nordin)
4. Kapten Hasan Wira Bangsa (Harun Johari)

Tingkatan tiga :
1. Panas Salju (Talib Ismail)
2. Merdeka!Merdeka! (A.Rahman Hanafiah)
3. Ekspedisi (Mohd Ghazali Tocheh)
4. Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznah Nordin)

Tingkatan empat :
1. Bukit Kepong (Ismail Johari)
2. Terminal Tiga (Othman Puteh)
3. Perlumbaan Kedua (Marwillis Haji Yusuf)
4. Di hadapan Pulau (A.Samad Ismail)

Tingkatan lima :
1. Konserto Terakhir (Abdullah Hussin)
2. Seteguh Karang (Tuan Faridah Syed Abdullah)
3. Julia (Abu Hassan Morad)
4. Putera Gunung Tahan (Ishak Haji Muhammad)

Soalan 2 - Sepuluh perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009.

Penilaian dalam Pengajaran Bahan Sastera

Proses pengajaran merupakan satu pedaran yang berterusan dan melibatkan tiga proses yang utama iaitu objektif pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, dan penilaian yang dilaksanakan untuk menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Tujuan ujian
1. Mendapatkan kembali maklumat yang telah disampaikan kepada pelajar semasa proses pengajaran
2. Memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan di dalam bilik darjah telah tercapai
3. Menggredkan pelajar berdasarkan pencapaian yang diperoleh melalui penilaian yang dilakukan
4. Memotivasikan para pelajar untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam ujian yang dilaksanakan
5. Menempatkan pelajar berdasarkan tahap kemampuan intelektual (IQ).

Ciri-ciri Ujian
1. Kesahan ujian. Ujian yang dilaksanakan mestilah menggambarkan perkara-perkara yang hendak diuji. Kandungan ujian juga mestilah meliputi apa-apa yang telah dipelajari dan diajar kepada pelajar.
2. Kebolehpercayaan atau kestabilan.Setiap soalan dalam ujian mestilah tepat dan mengandungi ukuran tertentu yang mesti dipatuhi. Contohnya, pemberian markah untuk setiap soalan mestilah sama untuk semua pelajar.
3. Keobjektifan atau ketepatan ujian. Soalan-soalan yang dibina mestilah berbentuk objektif iaitu tidak memberi peluang kepada pelajar untuk membuat tanggapan/interpretasi yang berlainan terhadap soalan yang sama. Oleh itu, skema jawapan yang selaras hendaklah disediakan untuk setiap ujian/peperiksaan yang dilaksanakan.

Jenis-jenis Pengujian
Terdapat empat jenis pengujian :
1. Ujian penempatan. Ujian ini dilaksanakan untuk menempatkan pelajar berdasarkan syarat-syarat yang diperlukan untuk sesuatu kursus. Contohnya, ujian bertulis untuk penempatan pelajar ke tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
2. Ujian Formatif. Ujian yang dilakukan dari semasa ke semasa untuk menilai tahap kemampuan pelajar.
3. Ujian Diagnostik. Ujian yang dilakukan untuk mencari punca kelemahan pelajar.
4. Ujian Sumatif. Ujian yang dilaksanakan dengan tujuan penggredan dan pensijilan. Contohnya Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aras Penilaian
Aras penilaian dalam penilaian bahan sastera terbahagi kepada tiga, iaitu:
1. Penilaian Domain Kognitif. Penilaian jenis ini memerlukan proses pengetahuan berfikir. Aras soalan yang dikemukakan bermula daripada soalan aras rendah ke aras soalan yang lebih tinggi (kompleks). Terdapat pelbagai bentuk ujian yang boleh dikemukakan seperti soalan aneka pilihan, subjektif, lisan, penulisan, kuiz, dan sebagainya.
2. Penilaian Domain Afektif. Penilaian ini melihat hubungan dan perkaitan masalah sikap, pandangan, dan nilai-nilai yang didokong oleh seseorang. Penilaian domain ini dapat diuji dan dikesan melalui aktiviti wawancara, pengamatan terhadap tingkah laku sesaorang ataupun aktiviti secara bertulis. Pengukuran dilakukan dengan menggunakan skala Likert, contohnya sangat setuju (ss),setuju (s), amat tidak setuju (ats), tidak setuju (ts), dan sangat tidak setuju (sts), serta menggunakan pilihan jawapan ya atau tidak.
3. Penilaian Domain Psikomotor. Penilaian yang dilakukan ada hubungan dengan aktiviti otot dan pergerakan otot. Contohnya latihan fizikal untuk individu yang memohon untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Aras-aras ujian
Dalam penilaian bahan sastera terbahagi kepada dua kategori yang boleh digunakan dalam pengujian iaitu Kategori Moody dan Taksonomi Bloom.

A. Kategori Moody
Aras ujian Kategori Moody dikhususkan untuk menguji kesusasteraan dan pendekatannya adalah berbeza daripada pendekatan Taksonomi Bloom. Aras ujian Kategori Moody terbahagi kepada empat iaitu aras informasi, aras konsep, aras perspektif, dan aras apresiasi. Aras-aras ini diatur daripada aras yang sederhana sehingga ke aras yang semakin kompleks.Ujian Kategori Moody juga berorientasikan kepada sesuatu karya secara konkrit.

1. Ujian Kesusasteraan Aras Informasi
• Aras ini berfungsi untuk menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera.
• Perkara-perkara asas ini boleh memberi maklumat berkenaan sesuatu karya dan boleh membantu pelajar membuat tafsiran tentang sesebuah karya sastera.
• Soalan sering berkaitan dengan apa, di mana, siapa, bagaimana, dan bila.
• Ujian aras ini memudahkan guru membina soalan kerana soalan yang dikemukakan merujuk kepada karya sastera yang telah diajar dan para pelajar hanya perlu melakukan aktiviti hafalan bagi mengingati kembali fakta-fakta penting dalam karya yang diuji.
• Ujian aras ini ada persamaan dengan Ujian Kognitif aras ingatan pada Taksonomi Bloom.
• Contoh soalan : Siapakah nama pengarang novel Konserto Terakhir? Sekarang beliau tinggal di mana dan apakah pekerjaannya?

2. Ujian Kesusasteraan Aras Konsep
• Soalan aras ini berkaitan dengan persepsi bagaimana maklumat-maklumat atau unsur-unsur karya sastera diorganisasikan.
• Unsur-unsur dalam sesebuah karya merupakan isu pokok yang akan dipersoalkan.
• Pelajar perlu mempunyai asas teori dan harus membaca karya yang dikaji secara kritikal, analitis ,dan bacaan matang.
• Kemampuan kognitif pelajar mestilah sehingga ke aras menganalisis dan menghubungkan pelbagai unsur dalam sesuatu karya.
• Soalan aras ini tidak hanya bersifat teori tetapi berorientasikan pada karya yang dikaji sama ada berbentuk prosa ataupun puisi.
• Contoh soalan : Apakah hubungan antara Helmi dan Dato’ Johari? Mengapakah Datin Salmah begitu benci akan Helmi?

3. Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif
• Ujian aras ini memberi tumpuan kepada bagaimana pelajar memberikan pendapat atau pandangan mereka tentang karya yang dikaji.
• Pendapat dan pandangan pelajar akan ditentukan oleh tahap pemahaman mereka terhadap karya yang dibaca.
• Ujian aras ini memerlukan pelajar menghubungkan antara sesuatu yang terdapat dalam karya dengan sesuatu yang berada di luar sastera tersebut.
• Pelajar mampu menghubungkan karya sastera yang dikaji dengan karya-karya sastera yang terdapat di luar.
• Contoh soalan : Ceritakan keadaan sosial Helmi dan hayati dalam novel Konserto Terakhir pada waktu itu seperti antara kedua-duanya `tidak mungkin disatukan dalam alam perkahwinan’.
• Bentuk penyoalan yang sesuai ialah bentuk ujian esei untuk mengungkap tahap kemampuan pelajar.

4. Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi/Penghayatan
• Ujian aras ini berkisar pada permasalahan antara bahasa sastera dengan linguistik.
• Permasalahan timbul apabila bahasa sastera berbeza jika dibandingkan dengan penggunaan linguistik secara umum.
• Ujian aras ini memerlukan kemampuan kognitif aras tinggi.
• Pelajar perlu mampu mengenali, menganalisis, membanding, membuat generalisasi, dan menilai bentuk-bentul bahasa yang digunakan dalam sesebuah karya sastera.
• Pelajar mesti mempunyai sikap kritis dan mempunyai pengetahuan tentang ilmu linguistik untuk dijadikan panduan dan pegangannya.
• Contoh soalan : apakah pemakaian kata-kata dan ungkapan dialek dalam novel Konserto Terakhir berkesan dan tepat jika dibandingkan dengan ungkapan bahasa Malaysia baku.

B. Taksonomi Bloom
Aras ujian Taksonomi Bloom terbahagi kepada enam aras iaitu Aras Ingatan, Aras Pemahaman, Aras Aplikasi, Aras Analisis, Aras Sintesis, dan Aras Penilaian.

Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan
• Memerlukan keupayaan pelajar mengungkap kembali daya atau kebolehan mengingat hal-hal yang berkaitan dengan fakta,konsep,pengertian,definisi, deskripsi, atau menamakan sesuatu.
• Pelajar perlu meluahkan kembali butiran fakta yang dibacanya kerana soalan yang dikemukakan amat jelas.
• Contoh soalan : Berikan maksud rangkai kata kasih sayang semakin tandus.

Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman
• Ujian aras ini memerlukan pelajar memahami,membezakan,menjelaskan fakta, dan menghubungkan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan hanya mengingat dan meluahkan kembali fakta yang dibaca.
• Contoh soalan : Apakah tema yang terdapat dalam cerpen Lambaian Malar Hijau?
• Ujian aras ini juga boleh dilaksanakan dalam bentuk ujian aneka pilihan.
• Contoh soalan : Semua pengajaran yang berikut terdapat dalam Syair Pesanan Ibu, kecuali…
a. Kita haruslah berusaha untuk menuntut ilmu pengetahuan
b. Janganlah mudah terpedaya oleh gejala negatif
c. Jasa ibu bapa perlu dikenang dan dihargai oleh anak-anak
d. Kita janganlah membuang masa yang amat berharga

Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi
• Ujian aras ini menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat-maklumat yang diperolehnya ke dalam situasi yang baru. Contohnya penggunaan pengetahuan berkenaan ciri-ciri pantun untuk mencipta pantun.
• Pelajar mampu mengubah,memodifikasi,mendemonstrasikan, mengoperasi dan menerapkan sesuatu hal atau kemampuan.
• Tugasan berbentuk esei adalah lebih sesuai.
• Contoh soalan : Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel konserto Terakhir.

Ujian Kesusasteraan Aras Analisis
• Berfungsi untuk mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya.
• Pelajar mampu mengaitkan dan menghubungkan unsur-unsur yang didapati dan menggunakannya dalam organisasi.
• Pelajar mesti telah mambaca , mampu membuat analisis dan memberikan kritikan terhadap karya yang dikaji bagi mendapatkan pemahaman yang lebih bernas, tepat, dan jitu.
• Contoh soalan ; Bagaimanakah sifat watak utama dalam novel Konserto Terakhir
• Ujian berbentuk esei merupakan bentuk yang paling sesuai dan penyediaan soalannya adalah lebih mudah.

Ujian Kesusasteraan Aras Sintesis
• Ujian aras ini mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur sastera.
• Pelajar mampu menunjukkan dan menjelaskan perkaitan antara beberapa buah karya sastera.
• Ujian berbentuk esei adalah amat sesuai kerana mampu mengukur kemampuan berfikir yang kompleks.
• Ujian objektif masih boleh digunakan namun kurang berkeupayaan mencerminkan proses berfikir.
• Contoh soalan : Latar masyarakat yang terdapat dalam novel Bukit Kepong dimonopoli oleh masyarakat Melayu. Huraikan .

Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian
• Aras yang tertinggi dalam pengukuran aspek kognitif
• Mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu karya sastera.
• Pelajar mampu melakukan penilaian terhadap sesuatu perkara.contohnya masalah pemilihan kata, ungkapan dan frasa dalam sesebuah sajak.
• Aras ujian ini mengarah kepada penilaian secara terperinci dan penilaian yang dilakukan memerlukan bukti dan alas an serta contoh yang kuat,jitu dan padu.
• Contoh soalan : Bandingkan latar masyarakat yang terdapat dalam novel Bukit Kepong dan novel Konserto Terakhir.

Soalan 3 - Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran Sastera dalam bahasa Melayu

1. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu guru sering memberi penekanan terhadap jawapan pelajar yang menitikberatkan interpretasi yang tepat terhadap teks. Permasalah timbul terutamanya apabila pelajar perlu memberikan aprisiasi mereka terhadap teks yang dikaji terutamanya teks prosa tradisional yang menggunakan bahasa Melayu klasik, manakala dalam sajak, pelajar sering mengemukakan interpretasi yang berbeza berbanding dapatan penulis kerana tahap pemahaman mereka adalah berbeza.
2. Jawapan kepada penyoalan yang dikemukan tidak banyak membantu pelajar berfikir dan memberi respon mereka sendiri kerana pelajar sering merujuk kepada buku rujukan sedia ada dan bukannya merujuk kepada teks untuk mengemukakan idea mereka sendiri.
3.Guru kurang menekankan jawapan yang dikemukakan oleh pelajar yang menitikberatkan kebernasan idea yang disampaikan dan guru tidak seharusnya begitu menekankan aspek tatabahasanya. Dalam menjawab soalan pemahaman menengah atas, bentuk soalan yang dikemukakan berada pada aras pengetahuan, pemahaman, dan aplikasi. Setiap bahagian bagi soalan-soalan yang dikemukakan adanya peruntukan markah yang telah ditetapkan dan mesti dipatuhi oleh pelajar semasa menjawab soalan. Oleh itu, bagi memastikan setiap soalan dipatuhi adakalanya susunan tatabahasa yang digunakan oleh pelajar akan menjadi kurang gramatis dan menyebabkan wujudkan pemahaman yang berbeza.
4. Jawapan yang dikemukakan oleh pelajar seharusnya boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk seperti lukisan, pementasan drama,muzik,pergerakan dan penulisan kreatif. Tahap pemahaman dan penguasaan pelajar adalah berbeza dan untuk pelajar yang mempunyai tahap pemahaman yang rendah, mereka akan menjawab berdasarkan dapatan mereka. Contohnya untuk soalan yang berbunyi : gambarkan peralatan yang digunakan oleh tukang gunting dalam sajak Tukang Gunting. Pelajar yang mempunyai tahap pemahaman yang rendah akan melukis peralatan yang digunakan iaitu gunting, sikat, bangku kaki tiga,dan cermin yang telah sompek, tetapi bagi pelajar yang mempunyai aras pemahaman yang tinggi, mereka akan menjelaskan dalam bentuk ayat, peralatan-peralatan yang digunakan oleh tukang gunting iaitu sikat, gunting, cermin yang telah sompek dan bangku kaki tiga.
5.Guru yang mengajar tidak mempunyai kemahiran untuk mengajar sastera oleh itu apabila perlu diajarkan unsur-unsur sastera berlakunya pertindihan dari segi pemahaman terhadap unsur yang dikemukakan.
6. Skema jawapan bertentangan dengan tahap pemahaman pelajar. Keadaan ini berlaku terutamanya untuk soalan yang berunsurkan KBKK. Jawapan yang dikemukakan oleh pelajar tidak mematuhi skema jawapan kerana tahap pengetahuan dan pemahaman pelajar adalah berbeza jika dibandingkan dengan tahap pembina dan penggubal soalan dan jawapan.

Soalan 4 - Bina lima soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah anda (1000 patah perkataan)

Soalan 1

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SRISEGALA : Nanti!!...Aku fikir orang muda ini tentulah bukan sebarang pelakon. Kalau tidak tentunya dia tak akan mahu berlakon di hadapan kita di sini. Datangnya tidak diminta. Bukankah itu suatu keuntungan besar bagi kita? Kita akan berpeluang melihat lakonan daripada seorang pelakon handalan. Orang muda! Teruskan lakonanmu.

PUTRA : Bila aku melutut tidak bererti aku menyembahmu. Dan kalau aku meminta bukannya pada tempat dudukmu atau bunyi gong di belakangmu itu. Aku sekadar mahu berbicara dengan dirimu sebagai seorang manusia. Kerana aku cukup tahu, setiap haiwan yang bernama manusia hidup dengan fikiran dan perasaannya. Dan dia tidak akan terpisah dari apa yang dinamakan KEMANUSIAAN!

SRISEGALA : (Ketawa sinis) Orang muda! Kau tak pernah mengingati perkembangan dunia hari ini agaknya. Tahukah kau bahawa fikiran dan perasaan manusia itu adalah di bawah kekuasaan tempat duduknya? Kerusi ini lebih bijaksana daripadaku. Begitu juga bunyi sebuah gong, menguasai sesiapa sahaja yang menduduki tempat ini.

PUTRA : Tidak! Itu hanya alasanmu. Sejak bilakah kau berikan nyawa pada sebuah kerusi dan sebuah gong yang kaku? Kau adalah punca segala-galanya. Dah aku cukup tahu, selama kau di situ, hanya segelintir manusia saja yang akan berjaya mendaki gunung mencapai awan. Manusia yang sama bulunya denganmu. Aku dan orang-orang itu akan hanya dihiburkan dengan lakonanmu. Kau membawa kami ke dunia tiga penjuru dengan segala janji bahawa penjuru ini lebih dari yang itu, dan yang ini lebih baik lagi. Aku sudah tahu dunia tiga penjurumu itu sama semuanya. Tidak ada yang lebih baik!

SRISEGALA : (Ketawa) Apa sebenarnya yang kau mahu?
(Terus ketawa)
(Dipetik daripada “Kerusi” oleh Hatta Azad Khan dalam antologi Kerusi, DBP)


(i) Apakah yang dimaksudkan oleh Putra sebagai dunia tiga penjuru dalam petikan di atas?
[2 markah]

(ii) Berikan pendapat anda tentang ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin.
[3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Srisegala yang terdapat dalam petikan di atas dan dua perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]


Soalan 2

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah sudah besar, maka didudukkan baginda dengan anak Raja Sulaiman Raja Kota Mahaligai, bernama Putri Kamarul Ajaib, terlalu baik parasnya tiada pelbagai pada zaman itu. Maka ada seorang bendahari Raja Iskandar Syah, Sang Rajuna Tapa gelarnya, asalnya sedia orang Singapura. Maka ia beranak seorang perempuan, terlau baik parasnya. Maka dipakai oleh baginda, terlau sangat dikasihi baginda.

Maka difitnah oleh segala gundik raja yang lain, dikatakannya berbuat jahat. Maka Raja Iskandar pun terlalu murka, maka disuruh baginda sulakan di hujung pasar. Maka Sang Rajuna Tapa pun terlalu amat malunya melihat hal anaknya itu. Maka katanya, “Jika sungguh sekali pun anak hamba berbuat jahat, bunuhlah saja; mengapakah diberinya malu demikian.”

Maka Sang Rajuna Tapa pun berkirim surat ke Jawa, demikian bunyinya, “Jikalau Betara Majapahit hendak menyerang Singapura, hendaklah segera datang, kerana hamba belot dari dalam kota.”


(i) Apakah maksud maka didudukkan baginda dalam petikan di atas? [2 markah]

(ii) Apakah yang telah terjadi kepada anak Sang Rajuna Tapa? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah iktibar yang dapat diperoleh daripada peristiwa yang berlaku berdasarkan petikan di atas? [4 markah]

Soalan 3

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

DI KOTA KECILKU

Di sini aku pulang
tempat bersekolah dan dibesarkan
lewat padang Speedy
terus ke Durian Sebatang
semuanya kini terasa kecil
mengimbau rindu
dan kenangan

Di sini anak belasan tahun
mulai mengenal cinta dan ilmu
pengorbanan ayah dan emak
keakraban teman dan pergelutan
detik itu mengambang bagai mimpi
sewaktu kulewati kota kecilku ini

Sesaat tiba di muka sekolah
telah lama kutinggalkan
kini sudah berubah
terasa sepi
suara guru yang memberikan markah
pada pangkat pertama
buat si anak desa
dan ayahku tak berkata bangga.

Di sinilah anak desa
mengenal dunia
di kota kecilnya
padang Speedy
dan Durian Sebatang
meski berubah pandangan
mengimbau rindu dan kenangan
sayang.

Baha Zain
Antologi Kerusi
2000, DBP.

(i) Jelaskan peristiwa yang menjadi kenangan penyajak apabila kembali ke daerah kelahirannya? [3 markah]

(ii) Apakah yang akan anda lakukan sebagai cara untuk menghargai sekolah yang telah memberikan pendidikan kepada anda? [3 markah]

(iii) Huraikan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak Di Kota Kecilku. [3 markah]


Soalan 4

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Cikgu lihat keputusan ujian Mariah bulan lalu cukup mengecewakan.”
Mariah tersedak. Cikgu sudah memulakan satu perbicaraan mencari puncanya, fikirnya. Sekali ini dia diduga sama ada belajar berbohong atau menentang kemungkaran itu. Sekaligus juga Mariah berasa dia dicabar supaya memaniskan kata-kata supaya Cikgunya itu tidak berasa kecil hati.
Wajarkah rahsia-rahsia yang selama ini dibungkus dalam lipatan ingatannya didedahkan begitu senang? Apakah Cikgu Tini boleh menyelesaikan masalah muridnya ini?
Rasanya mustahil. Cikgu Tini terlalu muda dan hanya mampu mendengar rintihan. Apakah Cikgu Tini boleh memujuk ayahnya, untuk mengembalikan imej seorang ayah kepada tahap yang selayaknya?
Kalau Lebai Kudin sudah mengangkat tangan menyerah kalah, masakan pula Cikgu Tini.
Mariah memejamkan mata.
“Mariah ada masalah. Cakaplah terus terang,” Mariah mendengar suara Cikgu Tini seperti di hujung pernafasannya. Kecil dan ngilu. Dia terperangkap dan serba salah.
Sahlah Cikgu Tini sudah mengetahui. Sahlah juga Cikgu Tini menjemputnya sekadar untuk mendapatkan keterangan lanjut. Sahlah, dia tidak boleh berdalih. Sahlah, Tuhan tidak mengizinkan dia berbohong.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen Mariah, oleh Sharif Putera dalam antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah tujuan Cikgu Tini memanggil Mariah? [3 markah]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah seseorang itu perlu berterus terang apabila menghadapi sebarang masalah? [3 markah]

(iii) Nyatakan satu perwatakan Cikgu Tini dalam petikan di atas dan dua perwatakan Cikgu Tini dalam cerpen tersebut. [3 markah]










Soalan 5

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka Laksamana pun berseru-seru pula, katanya, “Hai Si Jebat derhaka! Sungguh engkau berani tiada berlawan. Marilah engkau turun dari istana ini bertikam sama seorang!” Maka suara itu pun terdengar kepada Hang Jebat, dikenalnya suara Laksamana. Maka Hang Jebat, ia pun naik ke peranginan; maka dibukanya peranginan itu, maka dilihatnya Laksamana berdiri di tengah halaman itu. Maka Hang Jebat pun berdebar-debar hatinya; ia pun fikir dalam hatinya: “Adapun Hang Tuah itu sudah mati dibunuh oleh Bendahara; sekarang Laksamana itu tiada dalam dunia ini, siapa pula yang datang ini seperti Laksamana pun sikapnya dan lakunya? Kalau mataku bekas tidur ini gerangan, maka jadi salah pemandanganku?”

Maka Hang Jebat pun turun dari peranginan itu lalu ia mandi pada pasu emas itu dan dibasuh mukanya. Setelah sudah maka Hang Jebat pun memakai pakaian kerajaan lalu ia membuka pintu itu. Maka Laksamana pun berseru-seru, katanya, “Hai Si Jebat, segeralah engkau turun! Jika engkau tiada turun, sekarang istana ini kunaiki, tetapi sukar kita bertikam.” Setelah Hang Jebat mendengar suara Laksamana itu, maka ia pun membuka pintu itu sedikit; maka dilihatnya Laksamana, diperamat-amatinya, dikenalnya itu Laksamana. Maka nyatalah Laksamana itu. Maka Hang Jebat pun hairan.

(Dipetik daripada Pertarungan Tuah dengan Jebat dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah maksud dibukanya peranginan? [2 markah]
(ii) Apakah reaksi Hang Jebat setelah mendengar seruan daripada Laksamana?
[3 markah]

(iii) Hang Jebat seorang hulubalang terbilang dan setia kepada raja. Pada pendapat anda, mengapakah Hang Jebat menderhaka? [3 markah]


Soalan 5 - Dua cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa ini.

Pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa ini perlu diperbaiki untuk memastikan tahap pencapaian pelajar yang lebih baik jika dibandingkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik. Antara cadangan untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah ialah :

1. Kepelbagaian kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
Guru memainkan peranan penting apabila menggunakan kaedah yang berpusatkan pelajar atau sekurang-kurangnya kaedah berpusatkan guru tetapi melibatkan pelajar secara aktif. Penggunaan kaedah ini membolehkan pengajaran dan pembelajaran bahan sastera di dalam bilik darjah dipelbagaikan sejajar dengan kepelbagaian kecerdasan pelajar. Pengajaran dan pembelajaran yang aktif, menghubungkait latar belakang dan kehidupan masyarakat serta pengintegrasian muzik menjadikan kaedah guru lebih menarik minat dan mengekalkan perhatian pelajar. Mana Sikana (2001) menyeru agar teks sastera dihidupkan melalui panca media untuk memupuk minat pelajar membaca teks sastera. Pendapat ini selari dengan pendapat Noriah (1986),Fazilah (2000) & Azman yang menyatakan faktor guru dan pendekatan pengajaran guru amat mempengaruhi pencapaian pelajar dari segi kefahaman, peningkatan minat, dan perubahan sikap pelajar dalam pembelajaran sastera. Guru seharusnya menggunakan pendekatan pengajaran pemusatan pelajar agar pelajar dapat menikmati sastera. Guru juga harus peka dan dapat mengenal pasti tahap kebolehan dan gaya pembelajaran pelajar, merancang dan memilih teknik dan kaedah yang sesuai dengan gaya pembelajaran dan kecerdasan pelajar. Bagi memastikan pelaksanaan teknik dan kaedah ini,guru perlu mengambil inisiatif untuk berusaha meningkatkan kemahiran dan menghasilkan teknik pengajaran dan pembelajaran berkesan yang mampu menarik minat pelajar terhadap sastera dan memenuhi keperluan sukatan pelajaran.
Teknik untuk memberi kefahaman kepada pelajar mempelajari sastera dipengaruhi oleh keupayaan berbahasa guru. Bahasa yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran sastera. Penguasaan bahasa melalui teks sastera merupakan satu proses integrasi yang bukan sahaja berpusat kepada kemampuan untuk berbahasa tetapi bertujuan untuk menanam, dan mempertingkatkan kemampuan apresiasi teks sastera. Oleh itu, guru mesti menggunakan menggunakan bahan sastera yang berada dalam lingkungan pemahaman dan pengalaman para pelajar.
Penggunaan alat bantu mengajar (ABM) adalah penting dalam usaha untuk mengekalkan perhatian pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. ABM yang digunakan harus dipelbagaikan oleh pihak yang berwajib sejajar dengan perkembangan zaman teknologi pada hari ini. Oleh itu,teks sastera harus diubah (ditransformasikan) kepada bentuk-bentuk yang lain seperti penggunaan televisyen,radio,LCD,VCD,video tape,gambar berwarna-warni,komik, dan cerita jenaka yang mungkin dapat member kesan yang lebih baik dalam mempelajari sastera dan tidak terlalu jumud dengan hanya menggunakan teks sastera semata-mata. Penggunaan teknik dan kaedah ini amat berkesan kerana pelajar-pelajar hari ini suka akan media elektronik yang baru. Pengajaran yang menggunakan wahana ini akan dapat membuka selera dan mencambah minda pelajar kerana teknik ini membolehkan guru berinteraksi secara langsung dengan pelajar.

2. Peranan Kementerian Pelajaran Malaysia

Usaha untuk memartabatkan kesusasteraan Melayu terkandung dalam sukatan pelajaran pendidikan kebangsaan pada tahun 2001. Tujuan sastera dimasukkan sebagai komponen dalam pengajaran Bahasa Malaysia adalah untuk menjana minda, rohani, emosi, mengukuhkan jati diri,menyuburkan budaya bangsa dan memupuk sikap ke arah pembinaan insan bestari. Namun usaha ini kurang berkesan kerana apa yang diajarkan kepada pelajar ialah teori, laras dan yang penting berorientasikan peperiksaan. Selain itu, penerapannya di dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dianggap agak membebankan kepada para pelajar kerana mata pelajaran Bahasa Malaysia itu sendiri mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang perlu dikuasai seperti tatabahasa,pemahaman, dan penulisan.
Bagi mengatasi keadaan ini dicadangkan agar sastera dipisahkan daripada mata pelajaran Bahasa Malaysia dan harus dijadikan satu mata pelajaran tunggal. Kesusasteraan perlu berdiri dengan sendiri dan tidak perlu dijadikan komponen yang bertujuan untuk melengkapkan mata pelajaran Bahasa Malaysia kerana sesungguhnya mata pelajaran ini telah berdiri tegak sejak dahulu lagi. Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memperbaiki cara pelaksanaan pengenalan sastera di sekolah. Guru-guru perlu member penekanan kepada pengajaran seni dan teknik penghayatan bahan sastera dan tidak hanya member penekanan kepada laras dan teori yang perlu dihafal oleh pelajar. Penekanan kepada laras dan teori menimbulkan tahap kebosanan kepada pelajar kerana tiada kemesraan dalam mempelajari mata pelajaran ini.
Sastera juga mesti ajar oleh guru yang mahir dalam bidang ini kerana tidak semua guru Bahasa Malaysia mampu menguasai seni kesusasteraan dengan baik kerana sastera berkait rapat dengan bahasa tetapi bahasa tidak semesti berkaitan dengan sastera. Kewujudan guru yang khusus bagi mata pelajaran Sastera diharap dapat melahirkan generasi muda yang lebih menguasai dan menghayati kesusasteraan.

Siti Mahirah

Siti Mahirah binti Ramlay @ Ramly.
M20071000109.
Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kompleks Sukan Negara, 57000 Kuala Lumpur.
012-3333952.

Tugasan Kuliah Kelima pada 24 Januari 2009.

Soalan 1 : Kandungan kursus sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu.

Pengenalan

Insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipercayai akan dapat dicapai melalui pendidikan bahasa dan kesusasteraan. Menyedari hal ini, pada 22 Jun 1999 Menteri Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa semua pelajar sekolah menengah aliran sastera, sains, teknik, vokasional, dan agama diwajibkan mempelajari Kesusasteraan Melayu. Bagi memastikan semua pelajar sekolah menengah rendah dan atas mempelajari kesusasteraan, maka penggunaan karya sastera diwajibkan sebagai komponen dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Komponen Sastera dalam Pendidikan Bahasa Melayu (Komsas) dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, bermula pada Mac 2000 untuk tingkatan satu dan tingkatan empat. Kemudian, pada tahun 2001 Komsas diperluas ke tingkatan dua dan tingkatan lima. Pengajaran Komsas dilaksanakan sepenuhnya daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima pada tahun 2003 dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sulung mengambil peperiksaan dengan kurikulum baru ini pada tahun 2001, manakala calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2002.

Matlamat

Matlamat pengajaran dan pembelajaran Komsas ialah :
i. melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis
ii. meningkatkan kekuatan rohani dan intelek
iii. memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa
iv. mengenali dan mengurus perasaan pelajar
v. meningkatkan kemahiran interapersonal dan interpersonal

Senarai judul pilihan

Kementerian Pelajaran Malaysia menetapkan dua teks digunakan di setiap tingkatan. Dua teks tersebut ialah sebuah novel daripada pilihan empat judul dan sebuah prosa tradisional, enam cerpen, dan tiga drama.

Antologi

i. Sehijau Warna Daun (tingkatan1)
ii. Seuntai Kata untuk Dirasa (tingkatan 2)
iii. Anak Bumi Tercinta (tingkatan 3)
iv. Anak Laut (tingkatan 4)
v. Kerusi (tingkatan 5)

Novel

Zon 1 : Selangor. Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis
Tingkatan 1 : Meniti Kaca (Raja Sabarudin Raja Abdullah)
Tingkatan 2 : Pahlawan Pasir Salak (Mohd Ismail Sarbini)
Tingkatan 3 : Panas Salju (Talib Samad)
Tingkatan 4 : Bukit Kepong (Ismail Johari)
Tingkatan 5 : Konserto Terakhir (Abdullah Hussain)

Zon 2 : Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang
Tingkatan 1 : Limpahan Darah di Sungai Semur (Zakaria Salleh)
Tingkatan 2 : Timulak Kapal Perang (Azmah Nordin)
Tingkatan 3 : Ekspedisi (Mohd Ghazali Tocheh)
Tingkatan 4 : Terminal Tiga (Othman Puteh)
Tingkatan 5 : Seteguh Karang (Tuan Faridah Syed Abdullah)

Zon 3 : Melaka, Johor dan Kelantan
Tingkatan 1 : Anak Din Biola (Maaruf Mahmud)
Tingkatan 2 : Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnain)
Tingkatan 3 : Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznah Nordin)
Tingkatan 4 : Di Hadapan Pulau (A. Samad Said)
Tingkatan 5 : Putera Gunung Tahan (Ishak Hj. Muhammad)

Zon 4 : Kedah, Pulau Pinang dan Perak
Tingkatan 1 : Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj. Yusuf)
Tingkatan 2 : Kapten Hassn Wira Bangsa (Harun Jihari)
Tingkatan 3 : Merdeka! Merdeka (A. Rahman Hanafiah)
Tingkatan 4 : Perlumbaan Kedua (Marwilis Hj. Yusof)
Tingkatan 5 : Julia (Abu Hassan Nordin)

Aspek yang dikaji

Aspek yang dikaji dalam antologi, iaitu:
i. sinopsis genre
ii. bentuk
iii. jenis
iv. tema / persoalan
v. gaya bahasa
vi. nilai murni
vii. pengajaran
Aspek yang dikaji dalam novel, iaitu:
i. sinopsis
ii. tema / persoalan
iii.plot
iv. watak dan perwatakan
v. latar
vii. gaya bahasa
viii. sudut pandangan
ix. teknik penceritaan
x. nilai murni
xi. pengajaran

Dalam masa yang sama, penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu dapat meningkatkan keupayaan pelajar dalam menggunakan bahasa yang meluas dan tinggi kerana karya-karya sastera mengandungi bahasa-bahasa yang indah, tinggi dan perbendaharan kata yang banyak. Aspek kemahiran asas bahasa juga diberi penekanan termasuklah kemahiran lisan, membaca dan menulis.
Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana kedua-dua aspek ini lahir daripada sosio budaya masyarakatnya. Tumpuan kepada pembelajaran bahasa semata-mata tidak memadai kerana pelajar mungkin dapat menguasai bahasa dengan baik dari aspek tatabahasanya, tetapi dalam aspek keindahan bahasa, diksi, daya intelek, daya kreatif dan seumpamanya dapat dikuasai melalui ilmu sastera. Atas dasar itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah tidak memisahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dan sastera. Hal ini harus disedari bukan sahaja oleh guru, tetapi juga oleh pelajar bagi mengikis sikap penguasaan ilmu bahasa dan sastera hanya untuk peperiksaan. Tetapi sebaliknya, penguasan ilmu bahasa dan sastera untuk membina dan meningkatkan jati diri pelajar. Hal ini jelas tergambar dalam matlamat pengajaran Komsas.

Kesimpulan

Pengajaran kesusasteraan dalam pengajaran Bahasa Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang, matang, prihatin, dan beretika tinggi. Pelajaran kesusasteraan penting kepada pelajar, bukan setakat menghafal cerita, malah karya kesusasteraan kaya dengan khazanah ilmu, nilai, budaya, pengalaman, dan etik. Malah, didapatidi dalamnya terangkum dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak ada akhrnya yang sekali gus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu bangsa, termasuklah budaya dan evolusi masyarakatnya.



Soalan 2 : Sepuluh perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009.

Kuliah oleh En. Arif bin Mohamad
Pensyarah Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

En. Arif telah menerangkan tentang tujuan ujian, ciri-ciri ujian, jenis-jenis ujian, aras-aras penilaian, aras-aras ujian kesusasteraan kategori Moody dan aras-aras ujian kesusasteraan taksonomi Bloom.

1. Tujuan ujian dalam pendidikan :
i. mendapatkan kembali maklumat
ii. memastikan objektif pengajaran guru tercapai
iii. menggredkan pelajar
iv. sebagai penggerak (motivasi belajar)
v. tujuan penempatan (lemah, sederhana dan baik)

2. Ciri-ciri ujian :
i. Kesahan ujian, iaitu sejauh mana ujian tu menggambarkan atau menguji apa yang hendak diuji.
ii. Kebolehpercayaan atau kestabilan, iaitu dilihat dari segi ketepatan dan kejituan ukuran dibuat.
iii. keobjektifan atau ketepatan ujian, iaitu item yang dibina tidak memberi peluang kepada sesuatu interpretsi berlainan daripada apa yang telah ditentukan dan skema pemarkahan disediakan terlebih dahulu.

3. Jenis ujian :
i. penempatan, iaitu menguji pelajar mempunyai keterampilan yang disyaratkan
ii. formatif, iaitu menguji pelajar dari masa ke masa
iii. diagnostik, iaitu mencari punca kelemahan pelajar
iv. sumatif, iaitu penggredan dan pensijilan

4. Aras penilaian

i. Penilaian domain kognitif
Penilaian ini lebih banyak ditumpukan kepada kemampuan pelajar. Proses berfikir dititik beratkan. Iaitu bermula dengan aras yang rendah kepada aras yang tinggi. Penilaian ini berupa aneka pilihan, subjektif, lisan, tulisan, ujian bulanan dan kuiz.

ii. Penilaian domain afektif
Penilaian ini berkaitan hubungan dengan masalah sikap, pandangan dan nilai-nilai yang dipercayai oleh seseorang. Penilaian ini juga dapat diuji dan dikesan melalui aktiviti wawancara dan pengaatan tingkah laku.

iii. Penilaian domain psikomotor
Penilaian ini melibatkan aktiviti otot dan pergerakan yang menggunakan anggoa tubuh badan. Pengamatan yang dibuat berbeda dengan bidang sukan, contohnya deklamasi puisi, berlakon, bergerak dan beraksi

4. Aras-aras ujian

i. Kategori Moody:
a. aras informasi
b. aras konsep
c. aras perspektif
d. aras apresiasi atau penghayatan

ii. Taksonomi Bloom
a. aras pengetahuan atau ingatan
b. aras pemahaman
c. aras aplikasi
d. aras analisis
e. aras sintesis
f. aras penilaian

Aras-aras ujian kesusasteraan kategori Moody

Aras 1 : Ujian kesusasteraan aras informasi

Ujian kesusasteraan aras informasi dimaksudkan berfungsi menguji kemapuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubungdengan sastera.

Contoh : Siapakah watak utama cerpen Lambaian Malar Hijau oleh Saroja Theavy?

Aras 2 : Ujian kesusasteraan aras konsep

Ujian kesusasteraan aras konsep berkaitan dengan persepsi bagaimanakah maklumat atau unsur karya sastera diorganisasikan.

Contoh : Apakah hubungan Mei Ling dengan Siti dalam cerpen Sehijau Warna Daun?

Aras 3 : Ujian kesusasteraan aras perspektif

Ujian kesusasteraan aras perspektif memberi tumpuan kepada mendapatkan pandangan pelajar tentang karya yang dibaca. Aras ini juga memerlukan pelajar berkeupayaan menghubungkan antara sesuatu yang ada dalam lingkungan karya dengan yang berada di luar karya tersebut.

Contoh : Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel Konserto Terakhir?

Aras 4 : Ujian kesusasteraan aras apresiasi atau penghayatan

Ujian kesusasteraan aras apresiasi atau penghayatan selalunya berkisar pada permasalahan atau yang berkaitan antara bahasa sastera dengan linguistik. Sering terdapat seolah-olah percanggahan dan perbezaan pendapat antara amalan bahasa mengikut rumus tatabahasa berbanding bahasa yang digunakan oleh ahli sastera.

Contoh : Apakah pemakaian kata-kata dan ungkapan dialek dalam Seorang Tua di Kaki Gunung itu berkeas,dan apakah memamng tepat dan jelas dibandingkan dengan kata-kata dan ungkapan bahasa Melayu baku?

Aras-aras ujian sastera taksonomi Bloom

Aras 1 : Ujian kesusasteraan aras ingatan

Ujian kesusasteraan aras ingatan ini hanya sekadar memerlukan pelajar berkeupayaan mengungkapkan kembali daya atau kebolehan mengingati hal-hal yang berhubung dengan fakta, konsep, pengertian, definisi, nama pengarang, buku-buku yang dihasilkan dan sebagainya. Butiran ujian boleh juga direncanakan dalam bentuk anke pilihan.

Contoh : Sebutkan dua antologi sajak yang ditulis oleh A. Samad Said..

Aras 2 :Ujian kesusasteraan aras pemahaman

Ujian kesusasteraan aras pemahaman memerlukan pelajar berkeupayaan memahami, membezakan dan menjelaskan fakta atau hubungan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan sekadar untuk mengingatkan dan meluahkan kembali fakta yang dibaca sahaja.

Contoh : Buat satu sinopsis cerpen yang berjudul Sayang Ayah karya Omar Mamat.

Aras 3 :Ujian kesusasteraan aras aplikasi

Ujian kesusasteraan aras aplikasi menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat yang diperolehnya itu ke dalam suatu situasi baru. Dengan cara ini membolehkan pelajar menerapkan pengetahuan teori ke dalam kegiatan praktis dan konkrit.

Contoh : Ubahkan bentuk sajak Tasik Biru, Bau, Sabah karya Kemala dalam bentuk dialog.

Aras 4 :Ujian kesusasteraan aras analisis

Ujian kesusasteraan aras analisis berfungsi mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera. Kebolehan pelajar melihat perkaitan dan hubungan antara unsur-unsur yang dapat dikesan dan kebolehan membangunkan organisasi, susunan sistemtik binaan, kesatuan yang membangunkan sesebuah karya sastera. Keupayaan menyelesaikan tugasan analisis ini memberatkan identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman karya tersebut secara kritis.

Contoh : Jelaskan dengan terperinci cara pengarang mengembangkan jalinan plot novel Konserto Terakhir oleh Abdullah Hussain

Aras 5 :Ujian kesusasteraan aras sintesis

Ujian kesusasteraan aras sintesis mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur karya sastera dan unsur-unsur antara karya sastera. Kemampuan menyelesaikan tugasan berbentuk sintesis ini antara lain pelajar berkeupayaan mengkategorikan sesuatu ciri atau keadaan yang sejenis.

Contoh : Jelaskan perbezaan watak Hang Tuah dan Hang Jebat dalam Pertarungan Tuah dengan Jebat.

Aras 6 :Ujian kesusasteraan aras penilaian

Ujian kesusasteraan aras penilaian adalah peringkat yang tertinggi dalam kayu ukur aspek kognitif. Item-item ujian aras penilaian mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis,ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatau karya sastera.

Contoh : Bandingkan drama Serunai Malam karya Usman Awang dengan Titik-titik Perjuangan karya Kala Dewata daripada segi unsur-unsur kemanusiaan.



Soalan 3 : Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran sastera dalam bahasa Melayu.

a. Latar belakang budaya pelajar

Latar belakang budaya pelajar, termasuklah persepsi mereka tentang kemasyarakatan, politik dan ekonomi banyak menentukan pemahaman mereka tentang teks. Ada teks yang agak mudah dijangka dapat difahami oleh pelajar seperti teks yang berkaitan dengan sejarah tuntukan kemerdekaan tanah air. Namun,tidak mudah pelajar menghayati teks yang latar budayanya milik masyarakat luar yang tidak ada dalam jangkauan kognitifnya.

b. Latar belakang sastera pelajar

Ada pelajar yang dari awal terdedah kepada bahan sastera, baik prosa mahupun puisi. Bahan bacaan dalam bentuk buku cerita, misalnya cukup memeberi kesan positif kepada pelajar apabilia didedahkan kepada bahan sastera dalam pelajaran bahaasa. Mereka sudah ada pengalaman menghayati karya sastera dan sudah mempunyai kesediaan menerima karya sastera sebagai bahan pelajaran bahasa. Sebaliknya, ada pula pelajar yang kurang atau sama sekali tidak terdedah kepada bahan sastera dari usia awalnya dan tidak mempunyai kesediaan untuk menghayati sastera dalam pelajaran bahasa. Sastera menjadi sesuatu yang asing dalam kehidupannya.

c. Keterampilan linguistik pelajar

Aspek ini pun sukar dijadikan landasan yang tepat kerana tahap penguasaan bahasa pelajar yang berlainan antara satu sama lain. Ada pelajar yang pada tahap menguasai bahasa gaya sederhana. Ada pelajar yang menguasai bahasa yang baik sekalipun belum tentu mempunyai kecekapan sastera.

Kemahiran sastera yang diperlukan oleh seseorang untuk membaca dan menghayati sesebuah karya sastera amat penting. Sebelum menggunakan sesuatu teks sastera, guru perlu memastikan tahap kemahiran sastera pada pelajar-pelajarnya terlebih dahulu. Jika tahap kemahiran mereka cukup, mereka mestilah diperkenalkan pula secara sepintas lalu kepada beberapa konvensi, bentuk, aliran, dan gaya yang terdapat dalam sastera Melayu. Dengan persiapan seperti ini barulah sesebuah teks yang digunakan di dalam kelas itu boleh dihayati dan dimanfaatkan dengan baik oleh para pelajar.
Keistimewaan sastera sebenarnya terletak pada hakikat bahawa sastera menampilkan sebuah dunia imaginatif dengan latar, peristiwa, watak, imej, suasana, dan sebagainya. Konteks ini membolehkan pelajar meninjau manusia dan budaya sekali gus menganalisis struktur bahasa dan menikmati keindahannya. Pelajar yang dimaksudkan seharusnya sudah berada pada peringkat pertengahan atau maju, dan mempunyai kemahiran bahasa Melayu untuk merakamkan dan melaporkan mak1umat. Untuk memanfaatkan teks sastera ini sepenuhnya, maka perlulah guru memastikan bahawa pelajar dapat memasuki konteks tersebut dalam erti kata menghayati dunia cereka yang ditampilkan. Biasanya teks ini menampilkan peristiwa-peristiwa yang menarik dan yang dapat dikaitkan dcngan pengalaman peIajar.

Pelajar yang telah menguasai peringkat di atas mempunyai potensi untuk memasuki peringkat seterusnya bagi menghayati tema dan wawasan pengarang teks sastera berkenaan dengan baik. Perkara ini bukannya mudah, kerana pelajar perlu menggemblengkan daya intelektualnya bersama-sama kemahiran bahasa Melayunya. Pelajar harus dapat mengaitkan unsur-unsur yang konkrit dalam teks bagi menjana dan merumuskan makna serta membulatkan pemahamannva terhadap wawasan pengarang tentang manusia dan persoalan hidup yang ditampilkan sebagai tema karyanya. Pelajar yang mempunyai kebolehan menerawang pada peringkat abstrak seperti ini biasanya kurang bermasa1ah untuk berdepan dengan apa-apa sahaja teks, termasuk teks klasik dan teks-teks lain yang jauh jarak budayanya.

d. Bahan

Kemahiran sastera di pihak pelajar seperti yang dijelaskan, mempunyai kaitan terus dengan tingkat dan perspektif tentang teks sastera itu sendiri, yang perlu pula difahami oleh guru. Dalam konteks pengajaran bahasa terdapat sekurang-kurangnya empat tingkat berserta perspektif tentang teks sastera. Pertama, tiap-tiap teks sastera terdiri daripada struktur bahasa. Kedua, bahasa teks sastera memperlihatkan kepelbagaian gaya. Ketiga, setiap teks sastera menampilkan sebuah dunia cereka yang mengandungi watak, imej, latar, peristiwa, suasana, dan sebagainya yang semuanya dapat diteliti oleh pelajar secara konkrit. Akhirnya, setiap teks sastera mengungkap tema dan wawasan pengarangnya tentang manusia dan kehidupan. Guru bahasa Melayu yang menggunakan teks sastera dalam pengajarannya mestilah sentiasa peka tentang tingkat dan perspektif ini kerana kedua-duanya berkait rapat dengan tahap pembelajaran.
Sebagai bahan yang menampilkan struktur bahasa, teks sastera berpotensi dimanfaatkan oleh semua peringkat pelajar. Yang penting diperhatikan ialah kesesuaian teks dengan kelompok pelajar tertentu. Teks yang mengandungi struktur bahasa yang mudah sesuai digunakan untuk pelajar bahasa Melayu peringkat awal. Struktur-struktur ini senang digarapkan dan boleh diulang di dalam kelas serta diingati. Bagi pelajar peringkat pertengahan eloklah digunakan teks-teks dengan struktur yang agak rumit sedikit. Pelajar peringkat maju bolehlah digalakkan mendekati teks vang lebih rumit.

Teks sastera memang menampilkan gaya bahasa yang pelbagai. Justeru itu, pemilihan yang teliti hendaklah dibuat agar teks yang digunakan sesuai dengan keperluan pelajar. Bagi kelompok pelajar peringkat awal, dan mereka yang hanya inginkan kemahiran berbahasa secara fungsional, teks yang menampilkan gaya biasa adalah bersesuaian. Teks seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Abdullah eloklah digunakan hanya untuk pelajar peringkat maju. Dengan itu, mereka dapat diperkenalkan kepada gaya bahasa Melayu klasik dan gaya bahasa abad ke-19.

Kesimpulan

Teks sastera Melayu memang boleh dan amat wajar diintegrasikan da1am pengajaran bahasa Melayu. Cuma guru perlu sedar tentang wujudnya had-had sumbangan sastera, dan isu-isu yang berkaitan dengan penggunaannya. Guru juga perlu mengikuti prinsip-prinsip tertentu yang berkaitan dengan pedagogi umumnya dan pengajaran serta penghayatan sastera khususnya. Prinsip ini meliputi perkara yang berkait dengan tahap kebolehan pelajar, pemilihan tcks yang bersesuaian, dan penjanaan aktiviti yang wajar dan bermanfaat. Paling penting, guru yang ingin mengintegrasikan sastera dalam pengajaran bahasanya perlu sentiasa merancang dengan rapi, membuat persiapan dengan sistematik, dan mengajar dengan penuh minat.


Soalan 4 : Lima soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah.

Baca pantun di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pantun Kiasan

Tikar pucuk, tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Buah bacang masak serangkai,
Burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.

Tebang gelam, tebang kenanga,
Batangnya tumbang menimpa gedung;
Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.

Pokok terap tumbuh di bukit,
Belat berbanjar panjang ke hulu;
Jangan diharap guruh di langit,
Kilat memancar hujan tak lalu.

Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Kononlah pulak cicak mengkarung.

Antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

i. Senaraikan unsur flora dan fauna yang terdapat dalam pantun ini.
ii. Nyatakan nasihat yang tersirat dalam rangkap keempat pantun di atas.
iii. Nyatakan tiga persoalan yang tergambar dalam pantun ini.
vi. Mengapakah kita menggunakan kiasan untuk mengungkapkan sesuatu tujuan?
v. Pada pendapat anda, mengapakah amalan nasihat-menasihati sangat baik diamalkan dalam kehidupan kita?

Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Gurindam Baris Hadapan

Tidak berbuat walaupun tahu,
diambil pengayuh dibuang perahu.

Tidak tahu tapi berbuat,
kayuh perahu di atas darat.

Banyak bercakap tak baca buku,
macam membawa duit tak laku.

Kurang berfikir rajin membangkang,
bila-bila pun di baris belakang.

Jika ilmu dikaji teliti,
di sungai cabaran tersedia titi.

Ilmu dituntut dengan tabah,
yakin diri bertambah-tambah.

Membaca buku karangan tokoh,
bagai berpaut di dahan kukuh.

Kembang ilmu tegap wibawa,
seluruh rakyat tidak kecewa.

Rahman Shaari

i. Apakah maksudrangkap keempat guridam ini?
ii. Berdasarkan maksud rangap keempat gurindam, mengapakah penulis berpendapat demikian?
iii. Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam gurindam ini.
iv. Mengapakah kita diseru untuk menuntut ilmu?
v. Bagaimanakah caranya kita dapat menjadi pelajar yang berjaya?

Baca seloka di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.

i. Apakah tindakan sia-sia yang dilakukan oleh Pak Kaduk?
ii. Apakah peristiwa yang menggambarkan Pak Kaduk tidak membuat perancangan yang baik sebelum melakukan sesuatu perkara?
iii. Apakah yang perlu kita lakukan sebelum melakukan sesuatu perkara?
iv. Bincangkan latar masyarakat yang tergambar dalam seloka ini.
v. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat memandang rendah kepada orang yang melakukan perbuatan yang sia-sia?

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

SI ANAK : Apa kau buat di sini?
PERTAPA : Aku sentiasa di sini.
SI ANAK : Agaknya kau yang bawa celaka. Setiap hari tangkapan kami terlalu sedikit. Syaitankau. Berlalu kau dari sini!
NELAYAN TUA : Usah begitu kasar, anakku. Dia juga manusia…
SI ANAK : Dia bukan manusia. Dia syaitan. Dia bawa celaka. Kerana dia kita tak dapat banyak tangkapan. Cis! Berlalu kau!
PERTAPA : Aku selalu di sini. Ini tempatku!
NELAYAN TUA : Usah kasar begitu anakku. Belajarlah berbahasa walaupun pada orang yang kita tak tahu siapa. Budi bahasa itu lebih nilainya daripada ringgit dan harta.
PERTAPA : Orang tua yang bijaksana.
SI ANAK : Ahh, persetan budi bahasa! Aku mahu kaya. Mewah. Bukan budi bahasa. Budi bahasa boleh datang kemudian.
PERTAPA : Anak yang gopoh.
NELAYAN TUA : Maafkan dia, orang tua. Anak muda begitulah, darahnya panas, hatinya, mudah membara.
PERTAPA : Aku maafkan.
SI ANAK : Ah, bapak terlalu fikrkan budi bahasa! Puas sudah kita berbudi bahasa, tapi emas juga dipandang orang.
PERTAPA : Carilah emas.

(Dipetik daripada drama “Baju Emas Sang Maharaja” dalam antologi Sehijau Warna Daun, DBP)

1. Mengapakah Si Anak menaganggap bahawa Pertapa membawa celaka dalam hidupnya?
A. Ikan tidak suka berada di kawasan Pertapa.
B. Pertapa itu ialah syaitan yang menyamar sebagai manusia.
C. Hasil tangkapan ikannya semakin berkurang.
D. Banyak ikan yang mati di situ.

Puas sudah kita berbudi bahasa,
tapi emas juga dipandang orang.

2. Mengapakah Si Anak berpendapat seperti peribahasa di atas?
A. Orang yang berbudi bahasa akan disanjung sekiranya mereka kaya.
B. Orang yang berbudi bahasa belum pasti dihormati seperti orang kaya.
C. Orang yang kaya lebih disanjung tinggi daripada orang yang berbudi bahasa.
D. Orang yang kaya belum pasti disanjung seperti orang yang berbudi bahasa.

3. Apakah nilai yang cuba dipupuk oleh Nelayan Tua kepada anaknya?
A. berbudi bahasa
B. berani
C. pemurah
D. berterus terang

4. Yang berikut merupakan perwatakan Si Anak, kecuali
A. tidak menghormati orang tua.
B. suka menurut kata orang lain.
C. tamak dan mementingkan diri.
D. tidak berbudi bahasa.

5. Yang manakah bukan pengajaran yang terdapat dalam drama Baju Emas Sang Maharaja?
A. Janganlah bersikap gopoh.
B. Janganlah memungkiri janji.
C. Janganlah menyalahgunakan kuasa.
D. Janganlah mencari kesalahan ibu bapa.

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Seorang Guru Tua

Guruku yang baik
masih lagi mengajar
sedang aku kini sudah besar
dulu wajahnya muda
kini rambut memutih kepala
ada anak-anak muridnya
sudah menjadi menteri
ada anak-anak muridnya
kini memegang jawatan tinggi
tidak kurang pula
bergelar usahawan berjaya.

Guruku yang baik
masih di situ
masih memandu kereta lama
masih menuju sekolah yang sama
tidak kelihatan jemu
dari air mukanya
tiada kedengaran bosan
dari suara bibirnya
dia gigih menggenggam
tanggungjawab yang diamanahkan.

Seorang guru tua
dia masih di situ
berdiri sebagai guru
menabur jasa-jasa
dialah pendidik bangsa!

(Dipetik daripada antologi Sehijau Warna Daun, DBP)

1. Apakah perubahan fizikal yang dapat dilihat pada guru penyajak?
A. wajah guru penyajak sudah berkedut
B. langkah guru penyajak semakin perlahan
C. air muka guru penyajak tidak tenang
D. rambut guru penyajak sudah beruban

2. Penyataan yang berikut ialah tentang guru penyajak, kecuali
A. masih bekerja sebagai guru
B. masih memandu kereta lama
C. masih bergelar usahawan berjaya
D. masih berkhidmat di sekolah yang sama

3. Nilai murni yang tidak terdapat pada guru penyajak ialah
A. rajin
B. cekap
C. berdedikasi
D. bertanggungjawab

4. Pada pendapat anda, apakah nilai murni utama yang perlu ada pada bekas murid guru penyajak?
A. ketabahan
B. keinsafan
C. mengenang budi
D. bertimbang rasa

5. Apakah pengajaran yang terdapat dalam sajak Seorang Guru Tua?
A. Kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menjadi guru
B. Kita hendaklah menghargai jasa dan pengorbanan guru
C. Janganlah kita sombong setelah menjawat jawatan tinggi
D. Janganlah kita memandang rendah terhadap guru yang telah tua



Soalan 5 : Dua cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa ini.

Pengenalan

Menurut Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001: 31), melalui pembacaan karya sastera sebagai bahan pengajaran, murid-murid akan dapat menikmati serta menghayati kesusasteraan Melayu yang disampaikan dalam struktur bahasa yang indah. Bahan sastera biasanya digunakan untuk mengajar kefahaman, perbendaharaan kata, tatabahasa, lisan dan sebagainya. Kaedah dan teknik yang digunakan terpulang kepada guru, untuk menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran menarik minat murid-muridnya. Fokus pengajaran guru menggunakan bahan sastera ini ialah kepada objektif khusus bagi meningkatkan kemahiran berbahasa seperti membaca, lisan, menulis serta mempelajari peribahasa dan tatabahasa.

a. Pemilihan Bahan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Guru Bahasa Melayu perlu bijak dalam memilih bahan sastera untuk digunkan dalam pengajaran Bahasa Melayu. Guru perlu mengambil kira tentang objektif pengajaran, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan serta latar belakang pelajar yang akan diajar. Guru boleh saja memilih bahan daripada buku teks, tetapi tidak seharusnya bersandarkan kepada buku teks semata-mata. Guru perlu berusaha mencari atau memilih dari sumber-sumber lain yang bersesuaian seperti buku cerita rakyat, koleksi-koleksi sajak, pantun, cerpen dan sebagainya. Seterusnya akan disenaraikan beberapa prinsip pemilihan bahan sastera yang dianjurkan oleh ahli-ahli bahasa.

Menurut Asmah Hj Omar (1984), terdapat tiga aspek dalam pemilihan bahan berupa petikan seperti berikut:

i. Pandangan guru Bahasa Melayu. ‘Apakah tujuan ia memilih sesuatu petikan itu?’
ii. Kemampuan pelajar yang bergantung kepada umur, tingkat kesedaran, pengalaman, pencapaian bahasa, jantina dan sebagainya.
iii. Linguistik dan pedagogi. ‘Adakah teks yang dipilih sesuai dengan laras bahasa yang akan diajarkan?’

Selain itu, guru juga perlu menitikberatkan aspek lain seperti gaya bahasa yang baik, mempunyai unsur-unsur moral, nilai-nilai murni yang boleh diterapkan kepada pelajar, teknik penceritaan yang baik dan sebagainya. Pergerakan proses pembelajaran, iaitu daripada yang mudah kepada yang sukar dan daripada perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui juga menjadi sukat-sukat bagi prinsip pemilihan bahan sastera dalam pengajaran bahasa.

Manakala menurut EL Moody dalam Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001), selain prinsip-prinsip yang dikemukan, aspek psikologi juga perlu diambil kira kerana ia berkait rapat dengan dengan minat dan sikap pelajar dalam kesusasteraan. Peringkat tahap perkembangan psikologi kanak-kanak terbahagi kepada empat peringkat iaitu tahap khayal (umur 8-9 tahun), tahap romantik (umur 10-12 tahun), tahap realistik (umur 13-16 tahun) dan tahap generalisasi (umur 16 tahun).

Pemilihan bahan yang bersandarkan kepada tahap psikologi pelajar akan memudahkan pelajar memahami isi karya sastera yang guru sampaikan. Sebaliknya, jika guru menggunakan bahan seperti yang di luar dari latar belakang dan budaya pelajar, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi kurang berkesan atau tidak berkesan sama sekali.

Dalam pada itu EL Moody seterusnya menyatakan, terdapat empat prinsip penting dalam pemilihan bahan, iaitu:
i. Bahan-bahan hendaklah disusun daripada yang senang kepada yang sukar.
ii. Bermula daripada konkrit kepada yang abstrak.
iii. Adanya urutan kronologi.
iv. Disusun berdasarkan kepada strategi yang telah dirancangkan.

Daripada saranan mengenai prinsip pemilihan bahan sastera yang dianjurkan oleh ahli-ahli bahasa dan sastera, dapat dirumuskan bahawa prinsip-prinsip pemilihan bahan tersebut haruslah dilakukan dengan teliti serta mempertimbangkan perkara seperti latar belakang pelajar, bahan yang digunakan, objektif pengajaran dan sebagainya. Pemilihan bahan yang kurang teliti akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran tidak akan membuahkan hasil yang membanggakan dan tidak berkesan.

b. Penerapan Kemahiran Berfikir

Pengajaran dan pembelajaran sastera dalam bahasa Melayu dapat ditingkatkan dengan menerapkan kemahiran berfikir. Socrates menggalakkan pelajar-pelajarnya berfikir secara kritis dengan menggunakan soalan apa, mengapa dan bagaimana. Bloom (1956) pula menggalakkan pelajar berfikir dengan mengemukakan aras taksonomi, iaitu tahap-tahap soalan dari aras yang rendah ke aras yang tinggi :
a. aras pengetahuan atau ingatan
b. aras pemahaman
c. aras aplikasi
d. aras analisis
e. aras sintesis
f. aras penilaian

Menurut Raths, Jonas, Rothstein dan Wassermann (1967) penyerapan kemahiran berfikir dapat dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan menyuruh pelajar menjalankan operasi-operasi tertentu :
a. membuat perbandingan
b. merumus
c. membuat pemerhatian
d. mengkelaskan
e. membuat interpretasi
f. mengkritik
g. membuat andaian
h. mengimaginasi
i. mengumpul dan mengorganisasi data
j. membuat hipotesis
k. mengaplikasikan pengetahuan dalam situsi yang baru
l. membuat keputusan
m. mereka bentuk projek atau menjalankan penyiasatan
n. menilai atau mengedit penulisan orang lain

Dalam masa yang sama, sastera dalam pengajaran bahasa Melayu boleh dipulihkan melalui pemantapan pedagogi guru dengan menerapkan kemahiran berfikir melalui penggunaan komputer dan perisiannya seperti Power Point, Autoware, Flash dan Flip-album. Tidak ketinggalan, penggunaan bahan sastera dapat dipertingkatkan keberkesanannya apabila guru berupaya memberi kesegaran kepada mata pelajaran berkenaan melalui penyediaan animasi, muzik, grafik dan pergerakan aksi.

Kesimpulan

Kunci kejayaan pengajaran Bahasa Melayu bukan hanya terletak pada kecanggihan kurikulum atau kelengkapan kemudahan di sekolah. Namun ia terletak kepada kredibiliti guru dalam mengatur dan memanfaatkan bahan pengajaran di bilik darjah. Begitu halnya dalam penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa memerlukan kekreatifan guru dalam mengolah bahan-bahan tersebut mengikut kesesuaian dan keperluan murid-murid di bilik darjah.

Selain tujuan kita ingin memupuk minat murid terhadap karya-karya sastera terutamanya karya sastera tempatan, guru perlu juga memotivasi dirinya sendiri agar lebih kerap menggunakan dan mengenal karya-karya sastera yang pelbagai ini. Guru perlu rajin dalam mencari sumber lain selain daripada hanya bergantung kepada penggunaan buku teks sahaja.

Akhirnya, untuk memupuk minat murid terhadap karya sastera aktiviti berterusan juga perlu diusahakan bukan sahaja di bilik darjah, malahan aktiviti susulan di luar darjah seperti, pihak sekolah mengadakan pertandingan mendeklamasikan sajak, berbalas pantun, berpidato dan peraduan berbahas. Dengan yang demikian khazanah, kesusasteraan kita akan sentiasa disanjung dan menjadi kebanggaan oleh generasi masa kini.

Rujukan

Antologi Anak Laut (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Antologi Kerusi (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Antologi Sehijau Warna Daun (2004). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud. (2001). Integrasi Media; Pengajaran Bahasa dan Sastera. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Asmah Hj Omar. (1984). Kaedah Pengajaran Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka