20 Disember 2008

Kuliah 1 (20 Disember 2008); Penyerapan Unsur Baru dalam BM

KONSEP PENYERAPAN DALAM MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU

Hjh. Zahirah Abd. Aziz
Ketua Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu
Pusat Perkembagan Kurikulum
Kementerian Pelajran Malaysia

1.0 Pengenalan

Dalam buku Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu konsep penyerapan ialah proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu, nilai murni, dan kemahiran bernilai tambah. Penyerapan ini diterangkan seperti yang berikut:

1. Isi pelajaran Bahasa Melayu menyerapkan pelbagai bidang ilmu serta pelbagai tema yang mencakupi hal-hal persendirian dan kemasyarakatan.
2. Semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia yang berlandaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan hendaklah diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Meskipun penyerapan dilakukan secara sedar dan terancang, namun murid menyerap ilmu dan nilai tersebut secara natural.
3. Kemahiran berfikir hendaklah diserapkan secara terancang dengan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu memberikan penekanan pada kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran berfikir wajib diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa adalah seperti yang berikut:

Mencirikan
Mengelaskan, mengumpulkan, mengkategorikan
Membuat kaitan dan perhubungan
Membanding dan membeza
Menyusun atur
Mengenal pasti kenyataan benar atau palsu
Membezakan fakta dengan pendapat
Menganalisis
Mengesan kecondongan pendapat
Mengenal pasti sebab akibat
Meramal
Mensintesis
Mengitlak
Membuat analogi
Membuat inferens
Membuat kesimpulan
Menginterpretasikan, mentafsir
Mengenal pasti idea utama dan idea sokongan
Menilai
Menjana idea
Merumus, meringkas
Membuat keputusan
Menyelesaikan masalah

Kemahiran berfikir yang dinyatakan di atas bertujuan untuk membolehkan kemahiran berfikir tersebut dikuasai oleh murid. Alat berfikir seperti penyusun grafik, soalan (bertumpu, bercapah, dan lingkaran soalan) serta peta minda perlu digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kemahiran bernilai tambah yang lain, iaitu kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme dan pembelajaran kontekstual juga perlu diserapkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dengan hasil pembelajaran yang ingin dicapai, kebolehan murid, serta sumber yang ada.

2.0 Konsep Penggabungjalinan Kemahiran Berbahasa

Satu strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sebagaimana yang terkandung dalam Huraian Sukatan Pelajaran ialah penggabungjalinan. Ini merupakan proses yang sangat penting kerana melalui penggabungjalinan, beberapa kemahiran berbahasa dapat dikuasai oleh murid serentak. Penggabungjalinan ini berlaku antara kemahiran berbahasa daripada bidang yang berlainan, iaitu inter bidang atau kemahiran berbahasa dalam bidang yang sama, iaitu intra bidang. Selain itu, aspek tatabahasa, kosa kata, dan peribahasa juga digabungjalinkan. Penggabungjalinan unsur-unsur tertentu dihuraikan seperti yang berikut:

Kemahiran bahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis boleh digabungkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekurang-kurangnya antara dua kemahiran. Misalnya kemahiran berbahasa mendengar dan bertutur digabungjalinkan dengan kemahiran berbahasa membaca. Penggabungjalinan ini bertujuan untuk mencapai hasil pembelajaran.
Tatabahasa boleh digabungkan secara terancang dalam konteks dengan kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.
Kosa kata dan peribahasa yang hendak diajarkan harus digabungkan secara terancang dengan semua aktiviti kemahiran bahasa, misalnya melalui aktiviti lakonan atau perbahasan; membaca teks yang mengandungi kosa kata (sama ada kata umum atau istilah), dan peribahasa; serta melalui latihan menggunakan kosa kata dan peribahasa yang betul dalam pelbagai genre penulisan.

3.0 Penyerapan dalam Konsep Penggabungjalinan Kemahiran Berbahasa

Kertas kerja ini memberikan fokus kepada penyerapan ilmu, kemahiran bernilai tambah dan kepintaran emosi dalam konsep penggabungjalinan kemahiran berbahasa.

3.1 Penyerapan Ilmu dalam Penggabungjalinan Kemahiran Berbahasa

Menurut Kamus Dewan, ilmu bermakna pengetahuan, kepandaian (dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin). Ilmu merangkumi pelbagai bidang dan disiplin yang luas. Ilmu bukan sekadar merentas kurikulum seperti ilmu dalam bidang sains, matematik, geografi, sejarah atau agama, tetapi juga meliputi seluruh kehidupan bermasyarakat.

Penggabungjalinan kemahiran berbahasa dan penyerapan ilmu merupakan dua perkara yang berjalan seiring semasa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) Bahasa Melayu. Pengabungjalinan kemahiran berbahasa merupakan strategi manakala ilmu merupakan bahan. Guru diberi sepenuh kebebasan untuk menggunakan pelbagai disiplin ilmu (asalkan tidak bertentangan dengan nilai norma masyarakat Malaysia) agar murid merasakan keseronokan meneroka sesuatu bidang dan melihat manfaatnya dalam kehidupan mereka.

Dalam contoh Lampiran 1 yang diberikan, penggabungjalinan berlaku antara kemahiran mendengar dan bertutur sebagai fokus utama [ 10.6 Aras 2 (iv) ] dengan kemahiran menulis [ 3.3 Aras 3 (i) ] sebagai fokus sampingan. Berdasarkan kemahiran berbahasa yang dipilih, objektif yang hendak dicapai pada akhir pelajaran ialah murid dapat:

menyebut dan menganalisis watak dan perwatakan;
menegaskan pendirian dengan mengemukakan hujah yang sesuai secara lisan;
Menulis jurnal dengan menggunakan kata adjektif yang telah dikenal pasti.

Lihat hasil pembelajaran berikut:

Fokus Utama [aktiviti kemahiran mendengar dan bertutur]

10.6
Mengulas karya sastera dari aspek watak dan perwatakan, latar, plot, gaya bahasa dan sudut pandangan.

Aras 2 (iv)
Menganalisis watak dan perwatakan serta latar.

Fokus Sampingan [aktiviti kemahiran menulis]

3.3
Menyatakan pendirian yang jelas dengan mengemukakan maklumat yang relevan.

Aras 3 (i)
Menegaskan pendirian dengan mengemukakan hujah yang sesuai.

Penggabungjalinan antara kemahiran mendengar dan bertutur dengan kemahiran menulis ini menyerapkan ilmu bidang veterina sebagai bahan dalam proses p&p. Bahan yang digunakan ialah cerpen ‘Pertemuan’. Secara keseluruhannya cerpen ini memberikan ilmu tentang kucing. Antara beberapa perkara baru yang dapat murid terokai ialah:

Jenis kucing (kucing parsi, baka kucing)
Cara penjagaan kucing (earmites, flea colar)
Penyakit kucing (kurap, Feline Leukemia, Feline Panleukopenia, Rabies)
Maklumat tambahan (Persatuan Pencinta Kucing Malaysia)

(Rujuk Buku KOMSAS Tingkatan 3; Antologi Anak Bumi Tercinta; ‘Pertemuan’ oleh Faizati Mohd. Ali; m/s 72-82)

Murid bukan sahaja menimba pelbagai ilmu tentang kucing melalui cerpen ‘Pertemuan’, namun melalui pelbagai aktiviti murid turut dapat meneroka ilmu baru yang lain tentang kucing. Misalnya murid boleh diminta mencari maklumat tentang cara penjagaan kucing yang betul (anatomi kucing, rawatan cacing setiap tiga bulan, suntikan vaksin setiap 12 bulan, meletakkan kucing di tempat yang sesuai apabila tuannya tiada di rumah atau jenis makanan yang sesuai untuk kucing mengikut umur dan keperluan mereka).

Semua maklumat semasa proses p&p sekiranya diterokai dengan baik dan terancang akan membekalkan murid dengan ilmu yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan mereka.

3.2 Penyerapan Kemahiran Bernilai Tambah (KBT) dalam Konsep Penggabungjalinan Kemahiran Berbahasa

KBT ialah kemahiran yang diajarkan dalam bilik darjah serta dapat diaplikasikan dalam dunia sebenar murid dan senario dunia yang global. Dalam kurikulum sekolah, KBT yang dimaksudkan ialah:

Kemahiran berfikir (wajib)
Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
Kemhiran belajar cara belajar
Kajian masa depan
Kecerdasan pelbagai (visual ruang, muzik kinestetik, interpersonal, intrapersonal, naturalis)
Pembelajaran konstruktivisme
Pembelajaran kontekstual

Dalam contoh Rancangan Pelajaran yang dikemukakan (Lampiran 1), kemahiran bernilai tambah yang diserapkan ialah teori kecerdasan pelbagai, naturalis (fauna: haiwan kucing). Dalam aktiviti 1 (mendengar dan bertutur), murid diminta mengenal pasti menyebut nama watak dan menganalisis perwatakan watak tersebut. Secara tidak langsung, murid akan meneliti anatomi kucing (fizikal, tingkah laku serta persekitaran hidup) dan kemudian diminta melakonkan aksi, meniru suara serta mengenal pasti ciri-ciri seekor haiwan bernama kucing. Semasa menjalankan aktiviti ini, kemahiran berbahasa dari aspek tatabahasa yang dapat dikuasai oleh murid ialah kata adjektif. Antara kata adjektif yang akan dikuasai oleh murid adalah seperti lebat, cantik, panjang, rapi, jingga, besar, gemuk, kurus, kotor, buruk, baik, hebat, kerdil, kurap, sihat, lembut, bersih, bulat gebu, indah, mahal. Antara kosa kata baru yang murid pelajari dan boleh diterokai ialah jingga, hebat, kurap dan gebu.

Seterusnya murid dibimbing agar mereka dapat mengenal dan mengklasifikasi haiwan peliharaan kucing. Proses ini dapat merangsang rasa ingin tahu murid serta menggalakkan mereka belajar berkumpulan. Antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah seperti mengelompokkan murid dalam kumpulan kecil dan meminta mereka menulis catatan tentang jenis-jenis kucing, penjagaan kucing, penyakit kucing, serta cara untuk melatih kucing agar cergas dan sihat. Setiap kumpulan akan melawat beberapa stesen untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya menulis laporan. Antara stesen yang boleh mereka lawati ialah:

klinik veterina swasta
Klinik veterina kerajaan
Fakulti Veterina UPM
SPCA (Society for the Prevention of Cruelty to Animals)
Pecinta kucing seperti En. J. Sham
Kelab Pencinta Kucing Malaysia
Laman web di internet
Perpustakaan

Sekiranya guru memilih teori kecerdasan pelbagai naturalis sebagai KBT, maka semasa proses p&p, guru mesti membimbing melalui tahap berikut:
Strategi penyelesaian masalah menggunakan contoh haiwan kucing dan kehidupan persekitarannya untuk mengkaji sesuatu masalah dan penyelesaiannya. (Masalah kucing terbiar dan cara mengatasinya)

Memperluas pemikiran murid mencari cara menggunakan bahan alam semula jadi sebagai bahan sumber penghasilan sesuatu yang baru dan luar biasa. (Bahan alam semula jadi seperti bulu ayam untuk menghasilkan alat permainan bagi kucing)

Perkembangan kognitif Bloom menilai perkembangan kognitif murid mengikut tahap berikut:

Pengetahuan (tahu fizikal kucing)
kefahaman (mengenal pasti sifat kucing)
aplikasi (menggunakan teknik yang betul untuk memelihara kucing)
analisis (menentukan masalah misalnya kucing terbiar)
sintesis (mengatasi masalah kucing terbiar)
penilaian (membuat persembahan hasil dapatan dan mendapat maklum balas)

3.3 Penyerapan Kepintaran Emosi dalam Konsep Penggabungjalinan Kemahiran Berbahasa

Kepintaran Emosi (EQ) merupakan elemen baru yang cuba diserapkan dalam proses p&p. EQ ialah kebolehan menggunakan emosi dengan baik apabila berfungsi dalam kehidupan seharian. Menurut Dr. Noriah Mohd. Ishak, emosi boleh dikaitkan dengan dua jenis kompetensi iaitu kompetensi peribadi, kompetensi sosial, kerohanian dan kematangan. Guru boleh memasukkan mana-mana elemen kompetensi berikut semasa menyerapkan kepintaran emosi dalam p&p. Kompetensi tersebut ialah:

1. Kompetensi peribadi
a. Kesedaran kendiri
b. Kesedaran emosi
c. Penilaian kendiri yang tepat
d. Keyakinan kendiri
e. Niat yang baik
f. Regulasi kendiri (kawalan kendiri, kebolehpercayaan, bertanggung jawab, penyesuaian, inovasi)
g. Motivasi kendiri (dorongan pencapaian, komitmen, inisiatif, optimis, minat)

2. Kompetensi Sosial
a. Empati (memahami orang lain, membantu, mengembangkan potensi orang lain, berorientasikan perkhidmatan, mencungkil kepelbagaian bakat, kesedaran politik, penyayang)
b. Kemahiran soaial (pengurus, komunikasi, pengurusan konflik, kepimpinan, pemangkin perubahan, pembina hubungan, kolaborasi dan kerjasama, keupayaan kerja berpasukan).
c. Kerohanian (sabar, beriman, takwa, ikhlas)
d. Kematangan (usia, pengalaman, pengetahuan)

Dengan mengambil contoh cerpen ‘Pertemuan’ dalam teks komponen sastera tingkatan 4, kepintaran emosi yang boleh diserapkan ialah kompetensi sosial (komunikasi, empati) serta kompetensi peribadi (penilaian kendiri yang tepat dan keyakinan diri). Semasa proses p&p berjalan, guru membimbing murid tentang etika perbincangan yang sihat (komunikasi berkesan). Dalam aktiviti lakonan watak dan perwatakan, murid dibimbing merasai apa yang dialami oleh watak tersebut (empati). Dari sini murid dilatih menanam rasa bertanggung jawab dan kasih sayang terhadap haiwan yang terbiar. Semasa menulis jurnal pula, murid sebenarnya menunjukkan tahap EQ mereka tanpa disedari. Guru memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu murid membina sahsiah diri yang positif serta menjadi insan yang berketerampilan.

4. Rumusan

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, pengabungjalinan kemahiran berbahasa berlaku di antara kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, atau kemahiran menulis. Konsep ini diadun baik dengan menyerapkan ilmu, nilai murni, kewarganegaraan, peraturan sosio budaya, kemahiran bernilai tambah atau kepintaran emosi. Guru boleh memilih mana-mana elemen yang hendak diserapkan. Namun elemen yang dipilih mestilah dirancang dengan teliti dan jelas agar pengajaran dan pembelajaran berfokus dan murid dapat meneroka sesuatu bidang dengan baik.

Matlamat kurikulum Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan murid yang dapat menguasai kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, atau kemahiran menulis dengan baik. Selain melahirkan murid yang dapat berbahasa dengan baik, konsep penyerapan dapat membantu murid menjadi insan yang berilmu, berketerampilan, dapat berkomunikasi dengan berkesan, mampu memenuhi keperluan diri serta bijak dalam perhubungan sosial dan urusan harian.


PPK: Mac 2005

1 ulasan:

Abd.Rahman berkata...

ABD.RAHMAN BIN ISMAIL
M20071000111
SEMESTER 4, 2008-2009
SEK.KEB.TELOK KEPAYANG
32600, BOTA
HP 0195952045

1.Apakah kemahiran bahasa yang mahu diajarkan dalam Sukatan Bahasa Melayu?


Sukatan pelajaran Bahasa Melayu ialah dokumen bertulis yang menyatakan kandungan yang perlu diajar bagi mata pelajaran berkenaan mengikut peringkat persekolahan.Di negara ini, sukatan pelajaran Bahasa Melayu terbahagi kepada dua sukatan iaitu sukatan pelajaran untuk sekolah rendah dan sukatan pelajaran untuk sekolah menengah. Di peringkat sekolah rendah sukatan pelajaran disediakan untuk tiga jenis sekolah yang berlainan bahasa pengantarnya. Jenis sekolah yang dimaksudkan ialah sekolah kebangsaan( SK ),sekolah jenis kebangsaan Cina(SRJKC)dan sekolah jenis kebangsaan Tamil(SRJKT). Sukatan pelajaran Bahasa Melayu untuk setiap aliran dibina mengikut kesesuaian di sekolah-sekolah tersebut. Sungguhpun dibina mengikut aliran, sukatan pelajaran di sekolah rendah masih merangkumi dua tahap iaitu Tahap Satu(Tahun 1 hingga Tahun 3) dan Tahap Dua(Tahun 4 hingga Tahun 6). Sukatan Pelajaran bahasa Melayu untuk sekolah menengah adalah sama bagi semua aliran tadi dan dibahagikan kepada sukatan pelajaran Bahasa Melayu menengah rendah ( Tingkatan 1 hingga Tingkatan Tiga ) dan menengah atas ( Tingkatan Empat hingga Tingkatan 5 ) serta sukatan pelajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Enam Rendah dan Tingkatan Enam Atas.

Sukatan pelajaran bahasa Melayu mengandungi empat kemahiran bahasa yang meliputi kemahiran mendengar,bertutur,membaca dan menulis dan dihuraikan maksudnya seperti berikut iaitu,
.
i)Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas.

ii)Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbicara secara lisan untuk menjalin hubungan,menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif, dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul.

iii)Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan. Di samping itu, murid berupaya menghayati teks yang dibaca.

iv)Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untukmenghasilkan penulisan bahan ilmu dan imaginatif.

Secara umumnya, sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat rendah, didapati memberi penekanan kepada penguasaan kecekapan berbahasa yang dikendalikan melalui aspek penerimaan dan penghasilan. Aspek pertama, iaitu penerimaan dikendalikan menerusi pengajaran dan pembelajaran kemahiran-kemahiran mendengar dan membaca manakala aspek penghasilan pula dikendalikan melalui kemahiran bertutur dan menulis. Aspek pertama dan kedua disebut sebagai empat kemahiran terpenting pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.Murid-murid diajar sehingga berjaya menguasai keempat-empat kemahiran berkenaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) menyatakan bahawa bahasa Melayu akan terus memainkan peranannya yang terpenting sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bahasa perhubungan yang utama dan bahasa perpaduan. Penguasaan yang baik dalam kemahiran berbahasa akan membantu murid-murid mengikuti pelajaran mereka dengan lebih mudah dan berkesan. Atas hakikat ini, maka kemahiran berbahasa diberi penekanan yang berat dalam kurikulum sekolah rendah supaya di akhir persekolahan nanti, murid-murid akan dapat menggunakan bahasa sejajar dengan peringkat perkembangan umur mereka. Program bahasa Melayu peringkat rendah merangkumi asas berbahasa dalam kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis yang meliputi aspek-aspek mekanis, penggunaan dan penaakulan. Memandangkan bahawa perhubungan di dalam dan di luar bilik darjah adalah melalui pertuturan dan penulisan, semua murid-murid hendaklah menguasai kemahiran lisan iaitu mendengar dan bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Pada Tahap I, murid-murid dipimpin untuk mendengar, menyebut,mengenal dan membentuk lambang huruf dan perkataan serta menggunakan kemahiran-kemahiran tersebut dalam penulisan. Pada Tahap II, penekanan diberi kepada kemahiran belajar melalui pembacaan,perbincangan dan penulisan serta penggunaan bahasa untuk berfikir dan berkomunikasi.
Selain penguasaan kecekapan berbahasa, aspek tatabahasa bahasa Melayu dan ciri-ciri bahasa Melayu yang lain seperti penjodoh bilangan dan peribahasa ikut dijadikan kandungan sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah ( Teo Kok Seong,1999 ). Di peringkat sekolah rendah, sungguhpun diajar aspek tatabahasa, aspek berkenaan masih di tahap asas dan merupakan komponen sampingan. Di antara aspek tatabahasa yang diajar ialah golongan perkataan, frasa,klausa dan ayat. Sekadar contoh,golongan perkataan diajarkan secara tidak langsung. Murid-murid didedahkan tentang kata nama,kata kerja dll melalui petikan cerita atau ayat. Ciri-ciri bahasa Melayu yang lain seperti penjodoh bilangan dan peribahasa diajar secara langsung dalam masa pengajaran dan pembelajaran. Keperluan belajar penjodoh bilangan dan peribahasa dapat dilihat dengan jelas apabila terdapat soalan-soalan yang berkaitan dengan penjodoh bilangan dan peribahasa dalam Ujian Penilian Sekolah Rendah ( UPSR ).

Sukatan Pelajaran di sekolah menengah pula didapati masih meneruskan kemahiran mendengar,bertutur,membaca dan menulis tetapi pada peringkat menengah ini dipertingkat aras kemahirannya. Kalau di peringkat sekolah rendah, tatabahasa merupakan komponen sampingan tetapi di sekolah menengah tatabahasa merupakan komponen penting yang ditekankan bersama peribahasa dan unsur sastera. Pada tahun 2000, sukatan bahasa Melayu telah melalui satu lagi pembaharuan.Unsur sastera yang diajar bersama-sama tatabahasa telah dijadikan komponen wajib dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu ini dikenali sebagai komponen sastera ( Komsas ).Kursus ini telah diperkenalkan secara berperingkat-peringkat mulai Mac 2000 di peringkat tingkatan satu dan tingkatan empat. Kemudian, pada tahun 2001, Komsas diperluas ke tingkatan dua dan tingkatan empat. Menjelang tahun 2003, Komsas telah dapat dilaksanakan sepenuhnya daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima. Calon sulung bagi sukatan bahasa Melayu edisi penyesuaian ini mula diuji secara rasmi dalam Peperiksaan Menengah Rendah dalam subjek Komsas mulai tahun 2002 manakala calon Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2001, setahun lebih awal daripada pelajar tingkatan 1, 2000.
Melalui pengajaran dan pembelajaran Komsas, unsur atau bahan sastera dalam pendidikan bahasa akan menjurus kepada aspek nilai estetik, keindahan bahasa dan sosio budaya yang tergarap dalam sesebuah karya. Hal ini dapat dilihat melalui matlamat pengajaran dan pembelajaran Komsas. Antara matlamat itu ialah untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis, meningkatkan kekuatan rohani dan intelek, memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa, mengenali dan mengurus perasaan pelajar serta meningkatkan kemahiran intrapersonel dan interpersonel.
Matlamat Komsas ini tergambar dalam kandungannya. Kandungan Komsas dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian A, Antologi yang disoal dalam Kertas 1 manakala bahagian B pula membicarakan novel dan diuji dalam Kertas 2. Ini bermakna dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu terdapat empat kemahiran bahasa yang diajar kepada para pelajar iaitu aspek tatabahasa, Komsas, perbendaharaan kata, istilah dan peribahasa dan sebutan serta intonasi.

Bagi sukatan pelajaran bahasa Melayu baik untuk sekolah rendah dan menengah prinsip penggabungjalinan, penyerapan, nilai murni, kemahiran bernilai tambah, patriotisme dan sebagainya turut diajar bersama-sama kemahiran bahasa.

Sukatan pelajaran dibina berdasarkan kurikulum, dan mengandungi topik, objektif, kemahiran dan penerangan tentang cara penilaian. Sukatan pelajaran Bahasa Melayu, di negara ini dibentuk oleh sebuah panel yang dilantik oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, di bawah kelolaan Bahagian Pembangunan Kurikulum ( dahulunya PPK, kini BPK ). Memandangkan sukatan bahasa Melayu yang direkabentuk mengikut acuan FPN, maka tiga perkara diberikan perhatian dalam perubahan sukatan 2003 agar selari dengan arus globalisasi. Pertama, kemahiran bahasa yang mahu diajarkan adalah bersifat lokal dan global.Bersifat lokal bermaksud bercirikan tempatan dan bersifat global berkait dengan antarabangsa. Kedua, terdapat empat kemahiran bahasa yang diberikan perhatian utama iaitu kemahiran lisan ( mendengar dan bertutur ), kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Sukatan pelajaran bahasa Melayu yang dibina menekankan keempat-empat kemahiran ini hingga ke akar umbi. Ketiga, sukatan pelajaran Bahasa Melayu memasukkan perkara-perkara seperti penggabungjalinan, penyerapan, nilai murni, ilmu merentasi kurikulum, sistem bahasa/nahu, kemahiran bernilai tambah dan sebagainya. Perkara ketiga ini lebih kepada satu usaha membentuk dan memperkasa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang lebih kukuh.
Dengan garis panduan yang ada, perkara seperti tema, tajuk, objektif, hasil pembelajaran, fokus utama dan fokus sampingan akan tertumpu kepada perkara yang pertama, bersifat lokal dan bersifat global. Misalnya, tema dan tajuk tempatan akan diperkenalkan terlebih dahulu dalam sukatan bahasa Melayu, diikuti oleh tema dan tajuk tentang masyarakat, negara dan hal ehwal antarabangsa.

Akhirulkalam, di sini disertakan satu contoh pengajaran dan pembelajaran kemahiran bahasa, sedikit huraian tentangnya dan apa yang dimaksudkan dengan gabungjalin. Contoh.

Minggu 1
Kelas: Tahun 3
Tema 1: Sekolahku
Tajuk 1: Belajar di Taman Sains
Objektif: Pada akhir pelajaran ini, murid-murid akan dapat,
i)Berbual tentang sesuatu perkara
yang dilihat atau didengar.
iiMembaca bahan yang diberikan
dengan sebutan dan intonasi yang
betul.
iiiMembina dan menulis ayat
tunggal dengan tulisan mekanis.
iv)Menyatakan watak-watak atau
cerita yang didengar atau
ditonton.
v) Bercerita secara bebas tentang
perkara yang dialami atau
didengar.
vi)Mendapatkan maklumat penting
daripada tes yang dibaca.
viiMembina ayat tunggal dan ayat
majmuk

Fokus Utama

Kemahiran Mendengar

1.1Berbual tentang sesuatu perkara yang berkaitan kehidupan seharian dengan menggunakan kata, ungkapan, ayat, sebutan, intonasi dan nada yang sesuai

Kemahiran Membaca

5.1Membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan intonasi yang betul dan memahami perkara yang dibaca.

Kemahiran Menulis

3.1Membina dan menulis ayat tunggal dan ayat majmuk.

Fokus sampinga

2.1Bercerita dengan menggunakan frasa, kata, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.
6.5Membaca pantas secara imbasan untu mendapatkan maklumat khusus.
Kosa kata: ceria, indah, luas,cantik, kerjasama, gotong-royong

Nilai Murni: Bergotong royong

Imu: Pendidikan Seni Visual dan Kajian Tempatan

Tatabahasa ( Sistem Bahasa): Kata kerja, kata adjektif, kata hubung

Kemahiran Bernilai Tambah: Kemahiran Berfikir- membuat inferens

Patriotisme: Kerjasama

Berpandukan contoh rancangan pelajaran di atas, kita dapati ketiga-tiga kemahiran asas diajar kepada pelajar-pelajar dalam satu waktu pengajaran dan pembelajaran bahasa. Adakalanya, rancangan pelajaran hanya memuatkan dua kemahiran asas sahaja seperti kemahiran bacaan dan kemahiran menulis. Perkara ini berlaku apabila guru cuba memberi penekanan kepada salah satu kemahiran tadi, misalnya ,dua sub kemahiran membaca dan satu sub kemahiran menulis. Contoh 2.

Kemahiran Membaca

2.1 Membaca petikan cerita
2.5 Membaca perkataan,rangkaikata daripada petikan.

Kemahiran Menulis

3.1 Menulis semula petikan cerita yang dibaca mengikut kreativiti dan daya imaginasi murid dengan menggunakan ayat sendiri.

Hal yang dinyatakan dalam contoh-contoh tadi dinamakan penggabungjalinan. Menurut Zahirah Abd Aziz( 2003), kemahiran bahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis boleh digabungkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekurang-kurangnya antara dua kemahiran. Misalnya kemahiran berbahasa mendengar dan bertutur digabungjalinkan dengan kemahiran berbahasa membaca. Penggabungjalinan ini bertujuan untuk mencapai hasil pembelajaran. Tatabahasa boleh digabungkan secara terancang dalam konteks dengan kemahiran mendengar, bertutur, membaca,danmenulis.Kosa kata dan peribahasa yang hendak diajarkan harus digabungkan secara terancang dengan semua aktiviti kemahiran bahasa, misalnya melalui aktiviti lakonan atau perbahasan; membaca teks yang mengandungi kosa kata (sama ada kata umum atau istilah), dan peribahasa; serta melalui latihan menggunakan kosa kata dan peribahasa yang betul dalam pelbagai genre penulisan.

Rujukan

Buku

Teo Kok Seong,1999.Sosiolinguistik..Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lain-lain

Zahirah Abd Aziz,2003.Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia ( semakan ).Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum,Kementerian Pelajaran Malaysia.





4. Huraikan isu-isu berikut dengan menggunakan contoh sendiri.

a)Pembina ujian tidak memahami tujuan utama dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu?

Membina ujian memerlukan kefahaman menggubal soalan. Bagi seorang penggubal soalan yang baik, beliau mesti memahami beberapa aspek seperti menguasai sukatan pelajaran, kebolehan membina konstruk, menggunakan Jadual Penentu Ujian ( JPU ), mencari pengganggu yang terbaik sekiranya soalan itu soalan objektif, mampu menganalisis item dan sebagainya. Pengalaman mengajar sahaja tidak dapat membantu seseorang itu membina ujian. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum
(2001),pembina ujian bahasa Melayu harus menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, kaedah penilaian dan instrumen penilaian yang perlu digunakan
( Penilaian Kendalian Sekolah, Pusat Perkembangan Kurikulum,
2001 ).

Sukatan pelajaran bahasa Melayu (SPBM ) dibina bukan secara sembrono tetapi mengikut aras kemampuan dan keperluan pelajar. Perkara ini dapat dilihat melalui matlamat sukatan pelajaran semakan yang berbunyi, antara matlamat sukatan pelajaran bahasa Melayu di sekolah menengah ialah untuk melengkapkan pelajar-pelajar dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi memenuhi keperluan diri dalam urusan harian, pendidikan dan pekerjaan
(Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, Tingkatan 5,2003 ) Sukatan pelajaran ini pula dihuraikan dengan panjang lebar dengan pengisian seperti matlamat,objektif,organisasi kurikulum,penerangan tentang huraian sukatan pelajaran, strategi pengajaran dan pembelajaran,sistem bahasa,Komsas dll. Oleh yang demikian, prasyarat pertama untuk memahami tujuan utama ujian bahasa Melayu, pembina ujian mestilah menguasai sukatan pelajaran. Penguji perlu menyediakan soalan-soalan yang menguji kebolehan pelajar berpandukan pengisian-pengisian yang dinyatakan tadi.Sebagai contoh, kita rujuk objektif (vi) dalam SPBM iaitu pelajar dapat melahirkan idea dan pendapat dalam bentuk lisan dan penulisan jenis maklumat dan imaginatif secara kreatif dan berkesan. Objektif berkenaan adalah berkait rapat dengan kemahiran menulis/ mengarang dengan memberi kebebasan para pelajar untuk menyampaikan hasil penulisan mereka secara kreatif dan berkesan. Kreatif dan berkesan di sini bermaksud para pelajar boleh mengolah jalinan cerita dengan baik, menggunakan sistem bahasa yang betul ( ayat yang gramatis ), memasukkan ciri-ciri bahasa Melayu yang lain seperti peribahasa dalam karangan dan mempunyai aura apabila dibaca. Hasil penulisan ini pula dalam konteks peperiksaan kebangsaan seperti SPM, mestilah menepati kehendak skima soalan yang disediakan.

Selain objektif, sukatan pelajaran dihuraikan secara terperinci melalui huraian sukatan pelajaran ( HSP ). HSP mengandungi tiga lajur yang terdiri daripada hasil pembelajaran, huraian hasil pembelajaran dan cadangan aktiviti.Pada lajur hasil pembelajaran terdapat hasil pembelajaran utama ( HPU ) dan hasil pembelajaran sampingan ( HPS ) yang meliputi empat kemahiran penting iaitu kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. HPS dan HPU menjadi sumber kepada objektif pengajaran dan pembelajaran dan akan digunakan dalam pengujian dan penilaian di akhir sesuatu pelajaran atau dalam ujian selaras dan ujian semester. Ujian yang dijalankan di akhir sesuatu pelajaran, berguna kepada guru untuk memperbaiki kelemahan pengajarannya di samping melakukan penambahbaikan, pengkayaan dan pemulihan di dalam kelas.Murid-murid pula dapat menilai kembali keupayaan dan penguasaan mereka dalam sesuatu kemahiran yang dipelajari pada hari itu. Ini bermakna keempat-empat kemahiran bahasa itu perlu diuji berulang kali agar para pelajar mampu menguasainya.Ujian untuk kempat-empat kemahiran bahasa yang dijalankan pula haruslah dikaitkan dengan elemen-elemen seperti nilai murni, kemahiran bernilai tambah,patriotisme dan sebagainya.

Kesimpulannya, tujuan utama sukatan pelajaran bahasa Melayu ialah di akhir persekolahan sekolah menengah, para pelajar akan dapat menggunakan kemahiran bahasa Melayu yang dipelajari oleh mereka semasa di bangku sekolah untuk menghadapi alam kehidupan dan pekerjaan. Dengan demikian ujian yang dijalankan haruslah menepati ciri-ciri sebuah ujian yang akan dapat mencapai tujuan utama sukatan pelajaran bahasa Melayu.

Rujukan

Pusat Perkembangan Kurikulum,2001. Penilaian Kendalian Sekolah. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003.Huraian Sukatan Bahasa Malaysia Tingkatan 5 ( semakan). Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.




b) Tatabahasa Bahasa Dewan yang digunakan sebagai panduan mengandungi beberapa masalah ( 500 perkataan )

Tatabahasa Dewan telah dipilih sebagai buku pegangan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menggantikan tatabahasa Za’aba.Menurut Nik Safiah Karim et all. (1993),buku Tatabahasa Dewan diusahakan dengan tujuan untuk menyediakan satu huraian tentang bahasa Melayu yang dapat digunakan sebagai sumber rujukan oleh semua penutur bahasa Melayu, terutama oleh guru dan murid sekolah. Buku ini diterbitkan bagi menggantikan tatabahasa Za’aba yang sudah tidak sesuai dengan arus zaman. Tatabahasa Dewan juga menjadi asas pegangan kepada pengguna-pengguna bahasa dalam menghadapi persoalan tentang struktur dan binaan tatabahasa Melayu yang menimbulkan kerumitan. Di samping itu, Tatabahasa Dewan akan menjadi panduan bagi usaha-usaha yang selanjutnya,khususnya dalam penulisan buku-buku pelajaran bahasa Melayu bagi kegunaan murid-murid sekolah.

Melihat kepada tujuan dan harapan yang dinyatakan oleh pihak penulis maka kita dapat katakan bahawa Tatabahasa Dewan,
i) merupakan tatabahasa dimensi
baru selepas nahu Za’aba,
ii)ialah tatabahasa pegangan dan
sumber rujukan nahu
iii)ialah panduan untuk penulisan
buku pelajaran.

Secara umum,masalah pertama yang dikesan oleh pengguna dalam edisi sulongnya ialah segi bentuk dan susunan. Edisi awal terbahagi kepada Jilid I dan Jilid II. Keadaan sedemikian telah menyukarkan pengguna untuk membuat rujukan secara serentak mengenai golongan kata dan ayat.Setelah dikesan masalah berkenaan maka dalam edisi baharu 1993 telah digabungkan kedua-dua jilid. Bagi mengimbangi bab Morfologi:Satu Pengenalan maka dimasukkan pula bab, Sintaksis: Satu Pengenalan. Menjelang tahun 2008 telah dimasukkan pula kata adverba dan wacana. Tatabahasa Dewan merupakan tatabahasa pegangan yang mengandungi contoh dan huraian yang ringkas dan tidak memasukkan sebahagian besar kata adverba, kata sendi dan kata hubung. Bilangan kata tugas yang sebegitu luas perlu diklasifikasikan bersesuaian agar memudahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Tatabahasa Dewan Edisi Baharu
( 1993 ),menerangkan mengapa tiada golongan kata adverba. Alasannya, golongan kata adverba tidak perlu dan tidak tepat bagi bahasa Melayu. Konsep kata adverba membawa pengertian bentuk kata yang berfungsi menerangkan kata kerja dalam predikat. Contoh yang diberi ialah,
1a. Dia berjalan cepat.

Penerangan yang diberi mendapat tentangan daripada banyak pihak terutama ahli bahasa struktural. Menurut Abdullah Hassan ( 2005 ) dalam Manuskrip Edisi Semakan 2005, barulah kata adverba dikatakan wujud sebagai sejenis kata tugas dan menjelang tahun 2008, Tatabahasa Dewan telah menerima kata adverba sepenuhnya dengan menyatakan kata adverba adalah perkataan yang menerangkan kata kerja,kata adjektif dan frasa keterangan. Sebelum kata adverba diterima oleh Tatabahasa Dewan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu mengalami masalah untuk membina frasa dan ayat. Ini berikutan para guru sukar untuk mengajar frasa kerja dan frasa adjektif yang mengandungi kata adverba. Setelah kata adverba diterima, masalah lain pula yang timbul. Biasanya, jika kita gunakan kata keterangan maka frasanya pula frasa keterangan. Sebaliknya, Tatabahasa Dewan menggunakan kata adverba tetapi frasanya dinamakan frasa keterangan.Guru- guru bahasa Melayu di sekolah menyuarakan, sekiranya kita gunakan kata adverba maka frasanya pula kita haruslah frasa adverba. Hal ini akan memudahkan guru dan pelajar di sekolah untuk mengajar dan belajar.Pemakaian istilah frasa sendi nama juga didapati mengelirukan guru dan pelajar di sekolah. Cuba lihat bagaimana frasa keterangan yang dikatakan oleh Tatabahasa Dewan adalah frasa sendi nama (diubahsuai daripada Tatabahasa Pedagogi ).Contoh, 2a dan 2b.
2a. membasuh dengan sabun wangi.
2b membasuh dengan menggunakan
sabun wangi.

Contoh 2a., didapati kata sendi dengan dikuti oleh frasa nama sabun wangi adalah sesuai tetapi bagi ayat 2a., didapati kata sendi dengan merupakan sendi kepada kata kerja menggunakan. Jelas sekali, istilah frasa sendinama yang disebut dalam tatabahasa Dewan sepatutnya dinamakan sebagai frasa sendi sahaja supaya tidak mengelirukan pengguna. Hal ini ditegaskan Tatabahasa Pedagogi melalui contoh berikut:

i) Kata sendi menunjukkan perkaitan perkataan dengan perkataan

3a. Mendongak ke atas (KK + KS + KN(arah)

ii)Kata sendi yang menunjukkan perkaitan antara perkataan dengan frasa.

3b. mengamuk sebab mahu menuntut keadilan( KK + KS + FK )

Saya bersetuju dengan Tatabahasa Pedagogi.Sekiranya digunakan istilah frasa sendi ini bermakna selepas kata sendi boleh juga kata nama,kata kerja dan sebagainya. Teguran ini berpada kerana sekiranya disebut frasa sendinama maka hanya wujud kata nama sahaja selepas kata sendi.

Ketidaksesuaian istilah sendi nama yang digunakanoleh Tatabahasa Dewan turut disuarakan oleh Seri Lanang(2007),Arbak Othman
( 1983),Asraf (1989) yang menggunakan kata sendi bukannya kata sendi nama. Contoh yang diberikan oleh Seri Lanang ialah,

’Bagi Selvam,tidak ada kerja yang paling mengembirakan hatinya selain daripada menolong membina hospital tersebut ( MA 188).

Contoh lain yang menggunakan kata sendi dengan,kita lihat ayat 4a pula.

4a. Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kaduk itu kepadanya dengan memegang gadaian kampung itu.( dalam Prosa Tradisional, Pak Kaduk)

Berdasarkan contoh di atas saya bersetuju, kata sendi nama
( istilah Tatabahasa Dewan) adalah tidak kena pada tempatnya kerana kata sendi daripada terletak di depan kata kerja menolong .Begitu juga yang berlaku kepada kata sendi dengan yang terletak di depan kata kerja memegang. Berpandu kepada bukti-bukti yang ada, istilah kata sendi amat berpada digunakan apabila kita merujuk kata sendi bukannya kata sendi nama kerana didapati istilah itu mengelirukan guru dan pelajar.

Kelangsungan membincangkan hal kata sendi, didapati Tatabahasa Dewan(2008 ) masih tidak banyak membincangkan tentang kata sendi. Dalam hal ini,mereka menyenaraikan sebanyak 23 buah kata sendi sahaja. Kata sendi yang dinyatakan ialah,
di,ke,dari,daripada,kepada,pada,bagi,demi,tentang,seperti,bagai,umpama,laksana,sejak,terhadap,akan,oleh,hingga,antara,untuk,dengan,dalam,sampai.
Kajian oleh Seri Lanang
( 2007 ), mendapati ada 31 buah kata sendi semuanya. Kajian berkenaan dijalankan berdasarkan korpus.Antara contoh yang diberi ialah kata sendi sama dengan,lihat ayat 5a.

5a. Suara herdikan begitu selalu didengarnya selama ini,tetapi tidak sama dengan yangdirasakannya bila mendengarnya kali itu ( Sal).

Contoh lain, ayat 5b.( disesuaikan mengikut korpus )

5b. Kekuatan Badang kadang-kadang sama dengan sepuluh ekor gajah , malah kadang- kadang sepuluh ekor gajah itu pun kalah olehnya.

Kedua-dua ayat boleh diterbitkan dengan menggunakan kata sendi sama dengan yang tidak terdapat dalam 23 buah kata sendi yang disenaraikan oleh Tatabahasa Dewan. Sekadar bicara, saya dapati ada kata sendi gabungan dengan demikian,dengan hal,dengan secara tetapi saya sendiri kurang pasti, adakah dengan apa juga tergolong dalam kata sendi gabungan kerana tiada dicatat oleh mana-mana buku tatabahasa. Contohnya,

* Dia dukacita dengan apa yang menimpa dirinya.

Tatabahasa Dewan juga didapati tidak membenarkan penggunaan oleh kerana. Mereka berpendapat oleh kerana masih menyerupai acuan tatabahasa bahasa Inggeris. Contoh ayat 6a dan 6b

6a. Pembinaan bangunan itu tergendala oleh kerana bantahan tuan tanah yang tidak berpuas hati dengan wang pampasan ( salah )

6b. Pembinaan bangunan itu tergendala oleh sebab bantahan tuan tanah yang tidak berpuas hati dengan wang pampasan (betul)
Penerangan tentang hal ini terdapat dalam perkara b
( Tatabahasa Dewan Edisi Baharu 2002:269 ) yang menyatakan penggunaan kata sendi oleh yang menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab digugurkan secara pilihan. Menurut Tatabahasa Dewan
( 2002 ), oleh dalam penggunaan ayat 6a. boleh bertukar ganti dengan kata sendi lantaran yang membawa maksud sama.Penggunaan oleh yang diikuti dengan kerana dalam ungkapan oleh kerana untuk menunjukkan hubungan sebab merupakan penggunaan yang salah.Sepatutnya bentuk yang betul ialah oleh sebab. Alasannya, oleh merupakan kata sendi yang mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama, sedangkan kerana bukan kata nama tetapi kata hubung keterangan.

Untuk menjawab pegangan Tatabahasa Dewan, kata sendi oleh kerana didapati sudah pun digunapakai dalam teks yang lain dan prosa lama, yang saya yakini merupakan rujukan penting dalam nahu bahasa Melayu bukannya acuan daripada bahasa Inggeris. Misalnya, ayat 7a, dan 7b. di bawah ini.

7a.Oleh kerana kegawatan ekonomi dunia, ramai pekerja di sektor elektronik dibuang kerja.

7b.Pihak polis mengambil tindakan melepaskan gas pemedih mata oleh kerana tindakan perusuh semakin liar. (diubahsuai daripada Tatabahasa Pedagogi)

Sistem morfologi bahasa Melayu, juga didapati menimbulkan masalah iaitu dari sudut fonologi dan morfologi. Dalam hal ini, saya akan menyentuh tentang morfologi yang melibatkan imbuhan rangkap’ memper...’. Menurut Nik Safah Karim, imbuhan memper- merupakan morfem terikat sendiri dan bukannya suatu gabungan di antara dua morfem terikat awalan ( memper bukan mem + per ). Penjelasannya seperti berikut,

Tatabahasa Dewan( 2002:170 ) menyatakan,
"... awalan mempeR- juga awalan kata kerja yang wujud dalam satu bentuk, iaitu memper-. Dalam Bahasa Melayu bentuk ini biasanya dirujuk sebagai awalan per-. Namun dalam ayat aktif per- tidak boleh wujud tanpa awalan meN-. Bentuk ini berubah menjadi diper- dalam ayat pasif...”

Dalam pemerian di atas, berlaku percanggahan kerana sistem imbuhan awalan bahasa Melayu hanya terdiri daripada satu suku kata sahaja ( suku kata terbuka atau suku kata tertutup ). Sekiranya pernyataan Nik Safiah Karim diambilkira, keadaan berkenaan akan membenarkan pula imbuhan’ mempel, member,menter, dan mempeng’ dalam perkataan seperti mempelbagaikan,memberangsangkan,menterbalikkan dan mempengerusikan.
Begitu juga halnya mengenai kata ganda. Tatabahasa Dewan tidak menyentuh atau cuba mengkaji kata ganda masa kini seperti mahu semahu-mahunya, malu semalu-malunya dll. Kata ganda bentuk begini didapati semakin segar digunakan dan sepatutnya dibincangkan, jika sesuai boleh dijadikan sebahagian daripada bentuk kata ganda yang baharu.
Kesimpulannya, banyak mufti bahasa yang cuba untuk membina sebuah buku tatabahasa pegangan tetapi Tatabahasa Dewan didapati telah berjaya menjadi tatabahasa pegangan selepas tatabahasa Za’aba. Namun demikian, banyak masalah tatabahasa yang masih boleh difikir-fikirkan seperti masalah kata sendi dan klasifikasi kata tugas yang perlu dipertimbang-timbangkan oleh mufti Tatabahasa Dewan.

Rujukan

Buku

Abdullah Hassan,2008.Tatabahasa Pedagogi,Kuala Lumpur:PTS Professional Publishing.

Nik Safiah Karim et all., 1993.Tatabahasa Dewan, Edisi Pertama. Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jurnal

Seri Lanang,2007.Huraian Kata Sendi Berdasarkan Korpus.Jurnal PENDETA, Jilid III:57-75.






c) Tatabahasa Dewan bukanlah sebuah tatabahasa pedagogi. Ia tidak mengandungi latihan. (500 perkataan).

Lazimnya, kita jarang peduli mengenai buku tatabahasa kerana kita tidak pentingkan isi kandungannya kecuali guru, penuntut-penuntut di menara gading dll yang tahu buku Tatabahasa Dewan merupakan tatabahasa pegangan dan bukan buku tatabahasa pedagogi. Sebelum membincangkan soalan di atas, lebih baik kita melihat dahulu definisi tentang tatabahasa pegangan dan tatabahasa pedagogi.Abdullah Hassan ( 2008 ) mendefinisikan tatabahasa pegangan sebagai tatabahasa yang dipilih oleh pihak berwajib bagi menentukan sesuatu tatabahasa dijadikan pedoman umum untuk semua sekolah, institut perguruan dan universiti. Pedagogi berkaitan dengan pengajaran dan pemelajaran. Oleh itu,tatabahasa pedagogi adalah tatabahasa yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran.

Berdasarkan definisi di atas, dapatlah kita buat satu perbandingan di antara kedua buah tatabahasa berkenaan.

Tatabahasa Dewan sama sepertimana buku tatabahasa yang lain mengandungi rumus-rumus tatabahasa. Perbezaannya, Tatabahasa Dewan telah dipilih oleh pihak yang berwajib di Malaysia iaitu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk diajar kepada murid-murid di sekolah rendah, pelajar-pelajar di sekolah menengah, guru-guru pelatih di Institut Perguruan dan penuntut-penuntut di universiti pula menggunakannya atas arahan pihak Kementerian Pengajian Tinggi.
Keduanya, isi kandungan Tatabahasa Dewan terdiri daripada huraian rumus-rumus dan contoh-contoh sahaja,huraiannya ringkas dan tidak disertai latihan-latihan. Rumus-rumus dan contoh-contoh yang diberikan perlu disesuaikan untuk penggunaan pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap pengguna.”Disesuaikan” di sini bermaksud, rumus-rumus dan contoh-contoh yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan perlulah dipinda mengikut tahap penggunanya.Adalah tidak wajar sama sekali,murid-murid di sekolah rendah diajar morfem bebas dan morfem terikat,apalagi ilmu linguistik. Tentulah istilah seperti fon, alomorf dll tidak wajar diajarkan kepada mereka kerana bersifat abstrak. Keadaan Tatabahasa Dewan sedemikian rupa disebabkan penerbitannya merupakan satu usaha pengekodan bahasa yang amat penting sebagai ciri utama dalam proses pembinaan suatu bahasa standard dan sebagai rujukan.
( Dalam Prakata Tatabahasa Dewan, Hassan Ahmad, 1986 )

Ketiganya, pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah rendah, di sekolah menengah, di institut perguruan dan universiti adalah mengikut tahap keperluan yang berbeza-beza. Di peringkat sekolah rendah,tatabahasa diajar secara tidak langsung manakala di peringkat sekolah menengah, tatabahasa merupakan komponen penting yang diajar secara formal. Formal di sini merujuk kepada strategi pengajaran dan pembelajaran sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah menengah iaitu penggunaan tatabahasa mestilah tepat.Untuk mencapai tujuan tersebut, guru perlu merancang dan memilih aspek tatabahasa yang hendak diajarkan berserta contoh penggunaannya dalam pelbagai konteks dan kegiatan bahasa yang bermakna sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Ini bermakna pada peringkat sekolah menengah Tatabahasa Pedagogi sesuai dijadikan rujukan sampingan yang utama selain Tatabahasa Dewan. Abdullah Hassan ( 2008 ) menyatakan Tatabahasa Pedagogi adalah sebuah buku tatabahasa pedagogi yang menggunakan semua huraian yang ada dalam Tatabahasa Dewan untuk tujuan mengajarkan bahasa Melayu. Rumus-rumus tatabahasa dalam Tatabahasa Dewan dihuraikan semula supaya sesuai dengan tahap pembelajaran di sekolah rendah, sekolah menengah,institut perguruan dan universiti.Saya katakan Tatabahasa Pedagogi sesuai digunakan di peringkat sekolah menengah kerana rumus tatabahasa yang dihuraikan, contoh dan latihannya adalah lebih mendalam.Contohnya di dalam Tatabahasa Pedagogi muka surat 75 hingga 85 terdapat latihan-latihan yang berkaitan imbuhan, kata ganda dll.Untuk mengenal kata kerja, menurut Tatabahasa Pedagogi kita cuba beri kata bantu. Kalau boleh maka sudah tentu perkataan itu kata kerja. Di peringkat institut penguruan dan universiti, baharulah Tatabahasa Dewan dapat digunapakai dalam ertikata sebenar ilmu nahu.. Contoh-contoh dan huraian yang ringkas itu sudah boleh diperinci,diperdebatkan atau dibuat perbandingan tatabahasa. Dalam hal ini, kajian perbandingan tatabahasa boleh dilakukan oleh penuntut di menara gading dengan menggunakan Tatabahasa Dewan,Tatabahasa Pedagogi, Nahu Melayu Muktahir dll. Di antara isu yang pernah diketengahkan mengenai Tatabahasa Dewan ialah mengapa tiada golongan kata adverba, istilah sifatnama mengapa bukannya kata sifat, mengapa kata sendi tidak diperincikan, mengapa adanya transformasi dan sebagainya.

Kesimpulannya, Tatabahasa Dewan tidak mempunyai latihan kerana fungsinya menstabilkan bahasa Melayu standard melalui sistem pengekodan,penghasilan panduan pembentukan istilah,penyediaan sistem ejaan muktahir dan penghasilan kamus-kamus.Sekiranya dimasukkan segala macam kandungan maka Tatabahasa Dewan akan kelihatan satu hasil yang sembrono. Jadi, usaha menokok yang kurang untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran bolehlah digunapakai Tatabahasa Pedagogi yang menyertakan contoh,latihan dan huraian yang lebih mendalam untuk membantu guru dan pelajar di sekolah.


Rujukan

Buku

Abdullah Hassan,(2008).Tatabahasa Pedagogi,Kuala Lumpur:PTS Professional Publishing.

Nik Safiah Karim et all., ( 1993)Tatabahasa Dewan, Edisi Pertama. Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Pustaka.


d) Pengajaran Bahasa Melayu tidak memberatkan kemahiran budaya.

Dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu (SPBM) terdapat bahagian organisasi kurikulum yang menerangkan tentang penggunaan bahasa,kemahiran berbahasa,hasil pembelajaran, sistem bahasa,Komsas, dan pengisian kurikulum.Berikut merupakan penerangan yang terdapat dalam SPBM mengenai sistem bahasa, Komsas dan pengisian kurikulum.

i)Sistem bahasa

Sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaranbahasa Melayu terdiri daripada tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, dan peribahasa. Pelaksanaan sistem bahasa dalam pendidikan BahasaMelayu membolehkan murid menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu baku.

ii)Komponen Kesusasteraan Melayu

Komponen kesusasteraan Melayu diajarkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merangkumi genre novel,cerpen, prosa tradisional, drama, puisi moden, dan puisi tradisional. Melalui komponen ini diharapkan minat membaca, keseronokan membaca, dan penghayatanterhadap bahan sastera dapat dipupuk.

iii)Pengisian Kurikulum

Pengisian kurikulum terdir i daripada elemen yang mencantumkan teras utama dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan perkembangan terkini dalam pendidikan, iaitu ilmu, nilai murni, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya,dan kemahiran bernilai tambah iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan pembelajaran kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, pendidikan nilai murni, serta patriotisme dan kewarganegaraan diberikan penekanan selaras dengan matlamat negarauntuk membangunkan masyarakat madani.

Berdasarkan 3 keterangan di atas, didapati sukatan pelajaran bahasa Melayu ada menekankan kemahiran berbudaya tetapi masih ditahap penyerapan. Maknanya, sukatan pelajaran banyak memberi tumpuan kepada linguistik berbanding sosiolinguitik. Pandangan ini turut disuarakan oleh Teo Kok Seong. Menurut Teo Kok Seong
( 1999), Bahasa Melayu tidak dapat digunakan secara berkesan berlandas komponen linguistik semata-mata. Sosolinguisik adalah sama penting malah lebih penting daripada komponen lingusitk. Ini adalah kerana bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat kuat terikat pada konteks sosial atau budaya. Istilah ”Bahasa” kepada masyarakat Melayu adalah sama dengan agama,oganisasi sosial, adat resam, kepercayaan,norma,larangan, nilai dll. Masyarakat Melayu telah dididik untuk mematuhi,’ rumus penggunaan bahasa Melayu’ semasa berkomunikasi supaya tidak dianggap sebagai,’tidak tahu bahasa’. Maksud tidak tahu bahasa bukan berkait dengan linguistik tetapi merujuk kepada penggunaan bahasa yang tidak mengikuti lunas-lunas rumus budaya. Contohnya, lihat ayat 1a dan 1b dalam situasi 1,di bawah.

Situasi 1.

1a.Pelayan restoran A:Abang,mau
minum,makan apa? Macam-macam
ada.
1b.Pelayan restoran B:
Assalamualaikum tuan. Tuan,
restoran kami menyediakan
banyak jenis makanan dan
minuman.Boleh saya ambil
pesanan tuan.

Ayat 1a.masih betul dari segi linguistiknya dan difahami oleh pengguna tetapi pengunaan perkataan,’ abang’ melanggar rumus budaya orang Melayu, iaitu ,
’tidak tahu bahasa’ Sebaliknya ayat 1b. lebih tepat dan sesuai sebagai, ’tahu bahasa’.Asmah Hj. Omar( 1996) memanggilya sebagai bahasa halus atau cakap berlapik.

Situasi 2.

2a.Kamu ini suka benar kerja macam babi. (neka tempatan )

2b. Kamu ini suka benar kerja mengkhinzir/membabi buta. (neka tempatan )

Ayat 2a, sekiranya ditujukan kepada orang Melayu barangpasti akan terkena buku lima si penuturnya.Sebaliknya, ayat 2b. lebih sesuai dan kena pada tempatnya dan masih dianggap bersopan santun dan tahu bahasa. Hal semacam ini berlaku disebabkan juga oleh tanggapan penutur,taboo dll.Apalah rasanya jika disebut eufemisme seperti ’khinzir’ dalam hal gila babi sebagai gila khinzir, membabi buta sebagai mengkhinzir buta kepada orang Melayu. Sungguhpun khinzir berasal daripada leksikon bahasa Arab namun bagi orang Melayu perkataan babi itu melambangkan sesuatu yang haram, kotor,jijik dan sebagainya dan boleh menimbulkan rasa marah. ( isu khinzir dibicarakan dengan meluas, contoh oleh Salbiah Ani, Berita Minggu 7 Mac 1999 ).Oleh demikian, ayat 2a. sama sekali dilarang penggunaannya dalam konteks rumus penggunaan bahasa Melayu, sebaliknya ayat 2b dikatakan lebih halus.

Berdasarkan dua situasi tadi, saya yakin sukatan pelajaran Bahasa Melayu telah dapat menyerap kemahiran budaya dalam masyarakat Malaysia,khususnya mereka yang ada mengikuti dan mempelajari bahasa Melayu di sekolah-sekolah. Keyakinan saya ini berpandu kepada tiga bahagian yang disebut di atas tadi iaitu, sistem bahasa, Komsas dan pengisian kurikulum, cuma tidak disebut dan diajarkan secara khusus sebagai sosiolinguistik.

Dalam bahagian sistem bahasa, terdapat peribahasa yang perlu diajar kepada para pelajar dalam konteks yang meliputi hal-hal seperti simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan dan kata hikmat. Pemilihan peribahasa pula hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia. Ini bermakna sekiranya ayat 2a digunakan oleh penutur maka jelas penutur itu mungkin tidak pernah belajar atau mengikuti pembelajaran bahasa Melayu atau sememangnya tidak kisah.Lazimnya, mereka yang bersekolah akan,” tahu berbahasa’ melainkan tidak dititikberatkan oleh pihak sekolah,guru atau tiada pengetahuan mengenainya.

Dalam bahagian Komsas, karya berbentuk cerpen,novel,drama,prosa tradisional, sajak, puisi tradisional ( syair, gurindam, seloka dan bahasa berirama) juga diajar di sekolah sebagai komponen wajib. Ini bermakna kemahiran budaya turut diajar secara formal dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu. Komsas itu sendiri telah dapat membentuk satu acuan kepada masyarakat Malaysia perihal budaya masyarakat Melayu.Contohnya dalam prosa tradisonal bertajuk, Pak Kaduk, lihat ayat 3a.

3a. ... Maka titah baginda ” Hai Pak Kaduk, apa taruhnya kita menyabung ayam ini?Soronglah dahulu supaya beta lihat.”Maka sembah Pak Kaduk,”Ampun tuanku beribu- ribu ampun,patik tiada apa harta yang ada, hanya kampung
sebuah itu sahaja.”.

Jika diperhatikan, Sultan boleh menggelar Pak Kaduk dengan gelaran Kaduk sahaja tetapi sultan menggunakan gelaran ’Pak’ untuk Pak Kaduk. Ini menunjukkan seorang yang berstatus tinggi ketika itu masih menghormati rakyat bawahan. Pak Kaduk sendiri telahmenggunakan pengucapan bertatasusila mengikut adat resam pada waktu itu. Hal ini menjelaskan bahawa dengan mengajar dan menekankan konsep budaya orang Melayu seperti dalam ayat 3a.,maka kemahiran berbudaya sememangnya diajarkan dalam bahasa Melayu di sekolah-sekolah.

Peraturan sosiobudaya yang terdapat dalam bahagian pengisian kurikulum juga mencerminkan kemahiran budaya ada ditekankan. Hal itu diterangkan seperti berikut,
”Peraturan sosiobudaya dalam pendidikan Bahasa Melayu meliputi kesantunan bahasa, laras bahasa, dan peribahasa.Peraturan ini mencerminkan falsafah dan keperibadianmasyarakat Malaysia”.

Berdasarkan keterangan di atas bermakna kemahiran budaya turut ditekankan dalam kategori peraturan sosiobudaya dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu.

Persoalan sama ada kemahiran berbudaya diajar atau tidak di sekolah dapat kita lihat seperti berikut,

i)Penggunaan ganti nama yang sesuai

Jenis Mufrad Jamak

Orang pertama saya kami/kita
aku*
Orang kedua awak* awak semua*
engkau* engkau semua*
Orang ketiga dia/ia mereka

Bentuk yang bertanda asteris* dianggap sebagai bentuk bahasa kurang ajar/kasar kecuali dalam kes-kes tertentu. Misalnya, apabila seorang kenalan lama yang betul-betul rapat boleh menggunakan bahasa’ aku’ tatkala menyebut ganti namanya tetapi diangap kasar apabila digunakan untuk berinteraksi dengan orang yang lebih tua,berbeza generasi, pangkat,status sosial dll.Sebenarnya sistem panggilan dalam masyarakat Melayu bersifat ganti nama,pronominal,panggilan kekeluargaan, gelaran dan sebagainya.

ii)Larangan/Tabu bahasa

Semasa di sekolah, guru-guru mengajar pelajar menggunakan eufemisme supaya kelihatan berbudaya. Contohnya, ’buang air besar’,buang air kecil’,’kentut’. Pelajar dilarang untuk menggunakan perkataan asal.

Perkataan asal Eufemisme

Berak Buang air besar
Kencing Buang air kecil
Kentut Melepas

iii) Bahasa Tidak Berterus Terang

Budaya Melayu mengizinkan bahasa tidak berterus terang, adakalanya berbohong sunat.Misalnya, untuk meminta air daripada tuan rumah, orang Melayu akan menggunakan bahasa berbunyi,” Panas betul hari ini, kering tekak jadinya”. Bahasa tidak berterus terang ini digunakan untuk menunjukkan adab sopan sipenutur dan sipendengar akan memahami bahawa tetamunya meminta air. Interaksi yang berlaku adalah perkara normal dalam budaya Melayu.

Kesimpulannya, walaupun komponen sosioliguitik/kemahiran budaya tidak dinyatakan secara langsung namun tetap mendapat tempat dalm sukatan pelajaran bahasa Melayu.Terdapat banyak lagi contoh kemahiran budaya Melayu yang telah ditekankan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu kerana bahasa Melayu bukan sahaja mementingkan ilmu linguistik tetapi hidup bersama budaya Melayu itu sendiri.

Rujukan

Buku

Asmah Hj. Omar, ( 1996 ).Wacana Perbincangan,Perbahasan dan Perundingan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lado, Robert,(1961).Language Testing,New York:McGraw-Hill Book Company.

Teo Kok Seong,1999. Sosiolinguistik, Modul ML2054. Bangi: Penerbitan Universiti
Kebangsaan Malaysia



5. Bab3, Lado dan buat tugasan berikut.Apa hubungan pengujian bahasa dan pembelajaran bahasa? Beri contoh sendiri ( 500 pp )

Dalam bab 3, Robert Lado telah menyentuh mengenai tajuk,’Hubungan antara pengujian bahasa dan pembelajaran bahasa’.

Pembelajaran bahasa dan pengujian bahasa adalah saling berkaitan. Pembelajaran bahasa dalam kalangan pelajar perlu diberi penilaian dan diuji untuk melihat kesan atau hasil daripada pembelajaran bahasa itu.. Di dalam korpus sesuatu ujian yang hendak ditubuhkan, kita perlu mengambilkira apa yang dipelajari oleh pelajar. Contohnya, sekiranya kita mengajar pelajar perihal golongan kata maka ujian yang kita jalankan perlu mengenai golongan kata sahaja,bukan ada tokok tambah.Dalam hal ini, pelajar mempelajari bahasa maka bahasalah yang perlu diuji kepada mereka.
Untuk membina ujian, kita perlu pula memilih contoh bahan yang hendak diajar.Contoh-contoh bahan berkenaan perlu dipilih secara kebarangkalian. Bahan-bahan yang datangnya daripada pengalaman lampau atau pengetahuan sedia ada pelajar perlu diasingkan daripada korpus. Tindakan ini akan membolehkan kita menguji masalah pembelajaran bahasa kerana kita benar-benar melakukan pengujian bahasa.

Semasa kita cuba membentuk pengujian bahasa berdasarkan apa yang diajar, pada ketika yang sama kita juga mengalami beberapa masalah. Masalah-masalah yang dimaksudkan ialah perbezaan dialek dan pengaruh bahasa ibunda, kekhilafan logik, kekurangan kosa kata, kemahiran menulis dan gaya.
Guru mengajar bahasa dengan menggunakan bahasa Melayu baku di sekolah dan pelajar-pelajar mempelajarinya mengikut acuan/objektif yang telah ditetapkan oleh huraian sukatan pelajaran( HSP ). Semasa pelajar-pelajar belajar bahasa Melayu baku itu, mereka turut membawa bersama pengaruh bahasa ibunda dan dialek daerah masing-masing. Pengaruh bahasa ibunda dan dialek ini amat kuat kerana bagi sesetengah kaum seperi orang Melayu, bahasa ibunda dan dialek merupakan satu identiti dan martabat diri. Apatah lagi bagi kaum Cina dan India.Cara pelajar menyebut sesuatu perkataan atau membaca sepotong ayat, loghat bahasa ibunda atau dialek itu akan terkeluar. Contoh pertama, jika kita meminta seorang pelajar keturunan Melayu Lambor bercerita mengenai sesuatu perkara berdasarkan gambar pemandangan Sungai Perak secara spontan, semakin banyak yang diceritakan olehnya maka semakin banyaklah loghat-loghat Lambor itu akan kedengaran. Pada peringkat awal/sedar, pelajar akan cuba mengawal keadaan dengan menggunakan bahasa Melayu baku. Lama kelamaan pengaruh dialek Lambor itu akan mula menyelit di bahagian-bahagian tertentu sewaktu bercerita. Di antara perkataan yang barangkali akan tersasul ialah tebing sungai [ tebiŋ], air [ay כ] , saya [ayε] , sungai [suŋa ], ( brochat) ikan haruan . Keadaan yang sedemikian juga turut dialami oleh pelajar keturunan Cina dan India. Contoh kedua, kita ambil bahasa lisan yang dituturkan oleh orang Cina berketurunan Kanton.Bahasa ibunda mereka ialah bahasa Kantonis dan sebagai rakyat Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa kedua buat mereka. Urutan ayat dalam bahasa Kantonis tidak sama dengan urutan ayat dalam bahasa Melayu ( termasuk cara mengeja yang salah dan kesilapan imbuhan ).Contoh ayat 1a dan 1b.

1a. Halimau busat sudah mali,o! ( Harimau besar )
1b. Saya mensampah sama itu orang.(Saya menyampah dengan orang itu )

Ayat 1a,barangkali,boleh didengari dan difahami sebagai,” Ha, limau besar itu sudah datang”,walhal orang Cina itu cuba memberitahu ada harimau besar yang datang.Sementara ayat 1b. pula, orang Cina itu bermaksud dia menyampah dengan orang itu.
Justeru itu, faktor seperti pengaruh bahasa ibunda dan pengaruh dialek akan mempengaruhi pembelajaran bahasa dalam kalangan pelajar di sekolah dan sekaligus mempunyai hubungan dengan pengujian. Jawapan yang akan dipersembahkan oleh pelajar-pelajar akan bercampur aduk dengan pengaruh bahasa ibunda dan dialek.Jika pelajar Cina menggunakan pola ayat 1b, maka ayat itu adalah salah strukturnya. Hal ini bertepatan dengan pandangan Lado. Lado ( 1961:23),individu yang mempelajari bahasa asing akan menerapkan cara yang sama sepertimana bunyi, jalan bahasa,pola ayat dll dalam bahasa ibundanya.Bagi pelajar Cina, ayat 1b adalah betul kerana itu adalah struktur ayat bahasa ibundanya tetapi salah apabila digunakan (transfer) ke dalam pola ayat bahasa Melayu. Perbezaan dialek juga berpunca daripada faktor sosial yang disebut ragam jenis sosiolek.

Lado ( 1961 ) juga menyatakan masalah bahasa berpunca daripada kekhilafan logik. Ketidaksejajaran dalam turutan logik merupakan petanda kepada bahasa yang belum diusahakan ,selain berkait rapat dengan kurang bijaksana, kurang pengalaman, kecuaian dll berbanding penguasaan bahasa itu sendiri.Oleh itu, pembelajaran bahasa yang hendak dijalankan perlu mengambilkira kekhilafan logik sebelum boleh mula menguji pelajar.

Kemahiran menulis merupakan sebahagian daripada kemahiran penting yang perlu diajarkan kepada para pelajar. Menulis bukanlah aspek terpenting dalam berbahasa dan dipelajari oleh semua lapisan budaya/masyarakat. Ada masyarakat yang tidak tahu menulis tetapi mash berupaya untuk berhubung melalui bahasa lisan atau bahasa tubuh badan..Oleh itu kemahiran menulis perlu diajar secara berasingan sehingga tercapai setiap peringkat penguasaan menulis.Adalah mustahil untuk menguji atau mengenepikan elemen menulis dalam bahasa kerana menulis adalah lambang-lambang yang mewakili apa yang terdapat di dalam pemikiran. Lambang-lambang tulisan ini boleh difahami dengan jelas oleh penutur dan pengguna bahasa itu sendiri kecuali dipelajari sebagai bahasa asing. Oleh demikian, untuk menulis lambang-lambang yang digunakan oleh sesuatu bahasa itu, kita perlu belajar bahasa dan tulisannya. Kemudian baharulah kita boleh diuji dengan menggunakan bahasa dan tulisan yang kita telah pelajari itu.Contohnya, untuk bertutur bahasa Jepun, kita hanya perlu belajar perbendaharaan kata, urutan ayat yang betul dll. Namun untuk kita menulis bahasa Jepun kita memerlukan dua jenis tulisan Jepun.

Gaya memainkan peranan yang penting bagi sesuatu bahasa. Dengan mempelajari bahasa sahaja tidak mencukupi, gaya bahasa itu diperlukan.Penggunaan gaya dalam penulisan secara tidak langsung akan menimbulkan nada ( tone ) sesebuah penulisan. Contohnya, gaya menulis sastera lama tidak akan sama dengan gaya menulis bahasa moden. Gaya seorang penulis untuk memujuk pembaca tentulah menggunakan penulisan bernada memujuk.Hubungan gaya bahasa dan nada dalam penulisan mempunyai hubungan yang erat dan saling melengkapi.Gaya juga berkaitan dengan situasi dan suasana
( atmosphere ) sesebuah penulisan.Maka dalam hal pembelajaran bahasa, aspek-aspek gaya bahasa dan gaya menulis cukup mempengaruhi pengujian bahasa.

Sebagai kesimpulan, pembelajaran bahasa dan pengujian bahasa mempunyai hubungan yang saling memerlukan antara satu sama lain.Memandangkan bahan yang hendak diuji adalah bahasa maka pengujiannya juga adalah bahasa. Sekiranya bahasa itu bahasa ibunda atau dialek bagi sesuatu daerah maka pembelajaran bahasa akan mengalami penyelitan pengaruh bahasa ibunda dan dialek.Begitu juga halnya dengan kekhilafan bahasa, kemahiran menulis dan gaya yang turut mempunyai hubungan yang erat dengan pengujian bahasa dan saling melengkapi.


Rujukan

Lado, Robert,(1961).Language Testing,New York:McGraw-Hill Book Company.


6. Menguji bahasa ibunda.Tuliskan mengenai tajuk berikut :

a)Masalah


Setiap bayi manusia yang lahir dalam keadaan normal dan membesar dalam sesebuah masyarakat secara semulajadi akan berupaya bertutur bahasa ibu bapanya dan bahasa lingkungan masyarakatnya kecuali dalam kes gejala kerosakan bahasa( communication disorder ),kecacatan dll.Mengikut Stern ( 1983:90 ),pemerolehan bahasa sejak lahir ini diberi pelbagai istilah seperti pemerolehan bahasa pertama ( B1), bahasa natif,bahasa ibunda,bahasa utama,bahasa kuat dll. Istilah pemerolehan itu pula digunakan kerana bahasa ibunda (B1) diperolehi, sebaliknya bahasa kedua (B2 ) memerlukan pembelajaran( Ismail Salleh, 1999).

Untuk kita memahami pengujian bahasa ibunda, kita perlu melihat kepada ciri-ciri pemerolehan bahasa ibunda terlebih dahulu. Pertamanya, bahasa ibunda ialah bahasa turunan.Individu tiada mempunyai pilihan selain menguasai bahasa ibunda untuk berkomunikasi dengan orang dipersekitarannya. Kedua,bahasa ibunda berfungsi sebagai bahasa penyatuan yang menimbulkan rasa kekitaan dan membezakan kita dengan kelompok bahasa ibunda yang lain.Ketiga, dalam proses penguasaan bahasa ibunda aspek pengajaran lisan dan pembetulan tidak wujud. Keempat, penguasaan bahasa ibunda dikuasai oleh kanak-kanak normal sekitar umur lima tahun. Kelima, penguasaan bahasa ibunda berlaku secara menyeluruh dan utuh.Keenam, penutur mempunyai ikatan emosi yang kukuh dengan bahasa ibunda sebagai bahasa.Ketujuh,pemerolehan bahasa ibunda tidak melalui proses perancangan ataupun kurikulum bahasa.Kelapan, bahasa ibunda bersifat tasit (tacit ) dan berkaitan dengan ciri-ciri natif dan intuitif.Kesembilan,penguasaan bahasa lisan dalam bahasa ibunda memadai setakat tujuan komunikasi( Ismail Salleh, 1999 ).

Berdasarkan sembilan ciri-ciri pemerolehan bahasa ibunda tadi, jelas untuk kita menjalankan pengujian bahasa, kita akan berhadapan dengan bermacam ragam masalah seperti perbezaan dialek, kekhilafan logik, kemahiran menulis dan gaya yang bersangkut paut pula dengan sembilan ciri-ciri pemerolehan bahasa ibunda.
Dialek dikatakan sebagai satu bentuk bahasa yang substandard, berstatus rendah, dituturkan oleh mereka yang tidak berpendidikan tinggi. Dialek juga mewakili
bentuk bahasa yang digunakan di kawasan pedalaman atau kampung-kampung terpencil yang membezakan identiti sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain. mereka.Dialek juga didefinisikan sebagai subbahagian kepada sesuatu bahasa.

Terdapat dua jenis ragam dialek iaitu dialek daerah (regional dialects) atau dialek
kawasan dan satu lagi yang berkaitan dengan kelas sosial yang disebut sosiolek. Kedua-dua ragam dialek inilah yang dikatakan oleh Lado mendatangkan masalah semasa kita menguji bahasa ibunda.

Umumnya,bahasa ibunda bagi orang Melayu ialah bahasa Melayu.Tidak kiralah, sama ada bahasa Melayu itu bahasa Banjar, Mandeling, Rawa,Kampar dll, asalkan daripada rumpun bahasa Melayu.Hal ini dapat dihuraikan melalui contoh ayat 1a.1b.dan 1c di bawah ini.
Contoh, ayat 1a, 1b,1c.
1a.Mentang-mentangle dia udah jadi
Menteri Beso, tak endak jenguk
kampung sendiri. Getik aku.
( neka tempatan Bota )

1b.Mentang-mentang dia dah jadi
Menteri Beso, tak mau balik
ke kampung. Teman benci
nengoknya.( neka tempatan Kuala
Kangsar )

1c.Mentang-mentang dia dah jadi Mentri Besak,dia tak mau balik kampung.Menyampah cek.(neka tempatan Taiping )

Pengaruh dialek kelihatan mempengaruhi ayat 1a,1b,dan 1c iaitu,

i)ayat yang dibentuk merupakan kesan langsung ayat ujaran/pertuturan sehari-harian.
ii)ayat yang digunakan lebih ringkas dan bersifat untuk menyampaikan maksud komunikasi,
iii)sekiranya ayat 1a.1b. da 1c. diberikan ciri-ciri prosodi ( bunyi sebutan,intonasi dll. ) akan menampakkan situasi marah dan mengherdik.
iv)orang yang menuturnya dapat diteka lingkungan daerah pertuturannya.
v)mencerminkan taraf pendidikan yang diikuti oleh penutur atau individu yang menuturkan cuba menjadi sebahagian daripada sekumpulan penutur dialek berkenaan.Sekiranya ayat 1a.1b dan 1c dipersembahkan dalam ujian mengarang, barang pasti ayat-ayat berkenaan menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu tetapi sebaliknya kita menerima ayat 1d. sebagai ayat yang baik dan gramatis. Begitu juga apabila kita menguji kemahiran lisan.Contohnya, pelajar dari daerah Lambor, diminta bercerita mengenai Pak Kaduk. Pada peringkat awal, pelajar dalam keadaan berwaspada dan terkawal akan menggunakan intonasi dan sebutan dalam bahasa baku tetapi lama-kelamaan apabila terleka mereka akan menyelitkan sebutan, intonasi, perkataan dll dalam dialek Lambor.Di antara perkataan yang akan tersebut bersekali dengan loghatnya ialah
sungai [suŋa], tebing [tebin], ayam laga [ ayam lagε], kena
[ kenε] dll. Tatkala menguji kemahiran membaca, sekali lagi guru akan berhadapan dengan masalah yang sama seperti ujian lisan tadi. Bezanya,dari segi cara pelajar mereka membaca sesuatu petikan. Pada peringkat awal/
sedar, sebutan dan intonasi baku akan digunakan oleh mereka, tetapi apabila bertembung dengan perkataan yang mempunyai vokal hadapan separuh luas(ε) seperti laga [lagε], vokal belakang separuh sempit( כ) seperti orang [ כraŋ] dll maka cara membaca tadi akan berubah sedikit demi sedikit dan mulai mengikut rentak dialek Lambor.

Dengan demikian, untuk menguji bahasa ibunda, kita perlukan satu mekanisme seperti sistem bahasa, kamus, peristilahan, kaedah menguji, tenaga pengajar, sistem sebutan dll bagi membezakannya dengan dialek itu selain keesahan, kebolehpercayaan dll sesuatu ujian itu. Dalam kes ini,bahasa baku/standard diperlukan untuk mengatasi masalah yang berbangkit ini.Awang Sariyan ( 1984:222)mencadangkan supaya guru bahasa Melayu dilengkapi pengetahuan tentang pelbagai dialek,baik dialek daerah mahupun dialek sosial.Tujuannya bukan supaya guru dapat mengajarkan dialek kepada pelajar kerana pengajaran bahasa Melayu dalam konteks keperluan sekarang ini harus menjurus kepada pengajaran bahasa Melayu baku.Maksud yang sebenarnya supaya guru dengan segera dapat mengesan bentuk-bentuk bahasa yang dianggap menyimpang daripada norma bahasa Melayu baku.

Lado ( 1961), menyatakan kekhilafan logik juga merupakan faktor yang mempengaruhi ujian bahasa ibunda. Ketidaksejajaran dalam turutan logik merupakan petanda kepada bahasa yang belum diusahakan ,selain berkait rapat dengan kurang bijaksana, kurang pengalaman, kecuaian,kurang teliti dll berbanding penguasaan bahasa itu sendiri.Oleh itu,pembelajaran bahasa yang hendak dijalankan perlu mengambilkira kecuaian, ketelitian, kesilapan dll sebelum boleh mula menguji pelajar dalam bahasa ibunda

Masalah lain yang terdapat dalam pengujian bahasa ibunda ialah kemahiran menulis.Bukan semua bangsa mempunyai budaya menulis atau mempunyai tulisan kerana tulisan bukan merupakan aspek terpenting dalam berbahasa. Terdapat bangsa yang hanya tahu bahasa lisan kerana bahasa lisan itu adalah alat komunikasi terpenting sesama mereka.Untuk sesuatu bahasa itu mempunyai lambang ( kemudiannya kita fahami sebagai tulisan) kepada perkataan-perkataan unsur rujukan
( konsep ), kata dan makna mestilah dibentuk terlebih dahulu.Kita sedia maklum bahawa kemahiran menulis memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menguasainya.Ia memerlukan kemahiran penglihatan untuk mengecam lambang-lambang atau lakaran-lakaran dan memerlukan juga kekuatan tangan untuk membuat lakaran.( dalam Modul Pendidikan Jarak Jauh, UKM, Bangi, 1999:5 ). Pandangan ini sesuai dengan Lado (1961:21) yang menyatakan memandangkan menulis bukanlah sebahagian daripada bahasa dan budaya yang dipelajari oleh segenap lapisan budaya maka kemahiran ini perlu diajar secara berasingan sehingga tercapai setiap peringkat penguasaan menulis bahasa ibunda.

Gaya juga dikatakan oleh Lado turut mempengaruhi pengujian bahasa ibunda. Menurut Nik Hassan Basri ( 2005:3),keupayaan dan kebijaksanaan penulis memanipulasi bahasa melalui gaya itulah yang menentukan nilai estetik sesebuah karya. Dalam menghasilkan penulisan yang berkesan, selain kegramatisan, keselarian, kepelbagaian dan ekonomi, gaya bahasa memainkan peranan yang sangat penting untuk menarik perhatian pembaca. ( Mohammad Fadzeli Jaafar, 1999, Modul Bahasa Melayu, MZ 1123, UKM ).Sulaiman Masri ( 1988:97 ),menyatakan gaya juga boleh dikaitkan dengan peraturan menulis huruf besar, singkatan,tanda baca, tatabahasa, kesan grafik dll kerana hal sedemikian mendatangkan kesan yang cukup besar dalam mengarang bahasa dan itulah perkara yang seringkali menjadi masalah dalam pengujian bahasa dalam kalangan pelajar di sekolah.

Sebagai kesimpulan terdapat beberapa masalah yang timbul seperti perbezaan dialek, kekhilafan logik, kemahiran menulis dan gaya yang mempengaruhi pengujian bahasa ibunda.Perbezaan dialek akan menyebabkan perkara seperti menyelitkan perkataan-perkataan yang terdapat dalam sesuatu dialek dalam penulisan, kekhilafan logik kerana bahasa yang belum mantap,kemahiran menulis yang perlu dikuasai sebelum diuji dan gaya bahasa dan gaya penulisan yang benar-benar boleh menarik perhatian pembaca atau pemeriksa dan boleh diberi markah yang baik.


b)Perbezaan Dialek.

Dialek dikatakan bentuk bahasa yang substandard, berstatus rendah,digunakan oleh mereka yang berpendidikan rendah atau bentuk bahasa yang digunakan secara meluas di kampung-kampung terpencil dan di kawasan-kawasan pedalaman. Dialek juga dikatakan sebagai subbahagian kepada sesuatu bahasa.Oleh itu, dapat kita fahami bahawa di bawah sesuatu bahasa itu terdapat pelbagai dialek. Dalam hal bahasa Melayu, dapatlah kita nyatakan di bawah bahasa itu, terdapat dialek-dialek seperti dialek Perak, dialek Kelantan, dialek Terengganu ,dialek Negeri Sembilan dan dll.Kesemua dialek yang disebutkan tadi memperlihatkan perbezaan dari sudut fonologi,morfologi,sintaksis dan juga leksikal.Contohnya dialek Terengganu memperlihat ciri menghilangkan kesemua konsonan nasal di akhir kata. tebing [ tebi ŋ], sungai [suŋa] dll.

Dialek dikatakan dapat dibahagian kepada dua ragam iaitu ragam dialek kawasan atau daerah
( regional dialects ) dan keduanya sosiolek. Kedua-dua ragam memperlihatkan perbezaan dari segi fonologi,morfologi, sintaksis. Menurut Lado (1961 ), bahasa selalunya berkembang melampaui sempadan daerah atau kawasan dan mengikut kelas sosial.Bentuk sesuatu bahasa itu berasosiasi dalam lingkungan pertuturannya dan dalam kumpulan kelas sosial yang menggunakannya..Kita dapat menduga seorang individu atau kumpulan yang bertutur dalam dialek tertentu datangnya daripada daerah berkenaan.Dalam hal ini, kajian oleh Ajid Che Kob ( 1985) mendapati bahawa kawasan geografi yang wujud, seperti adanya banjaran gunung,bukit bukau, paya, sungai sempadan,politik dll memperlihatkan perbezaan dalam pengunaan bahasa dari segi fonologi,morfologi,sintaksis,semantik, dan juga leksikal.Maka tidak hairanlah sekiranya kita cuba menguji pelajar membina ayat daripada perkataan’pepatung’
( Crocothemis servilla ) maka situasi dalam ayat 1a.,1b,1c dan 1d berikut barangkali akan berlaku.

1a. Pepatung itu sangat cantik.
1b. Cecibo itu sangat cantik.
1c. Sibur-sibur itu sangat
cantik.
1d. Sesibar itu sangat cantik.

Ayat 1a.,1c dan1d, itu barangkali masih boleh difahami bahawa benda yang dimaksud itu ialah sejenis serangga yang berterbangan yang dipanggil pepatung, sibur-sibur dan sesibar tetapi panggilan cecibo untuk sibur-sibur hanya diketahui oleh orang sebelah Perak sahaja.Perbezaan perkataan sahaja sudah cukup untuk menggambarkan betapa rumitnya untuk pelajar yang sudah melekat dengan dialeknya boleh mempersembahkan karangan dengan baik.Seperkara lagi, perbezaan dialek ini bukan sahaja wujud dalam masyarakat berlainan kawasan tetapi boleh berlaku dalam kawasan yang sama. Contohnya, di kawasan Bota. Untuk menyebut perkataan bagi ’air ’ terdapat tiga bentuk yang dapat dilihat walaupun dalam daerah yang sama iaitu,

Kawasan Sebutan
Parit 16 ayak [aya?]
Titi Gantung banyu dingin
Bota Kanan ayo
Seri Iskandar air

Sungguhpun demikian, dalam menguji bahasa ibunda kes perkataan seperti air tidak banyak mempengaruhi karangan pelajar.Cuma yang menjadi halangan ialah perkataan-perkataan yang sudah begitu sebati digunakan di rumah. Contohnya, beronyeh ( air melimpah membasahi lantai ), engkohnya (
rupanya ) dll kerapkali diselitkan dalam karangan pelajar.Menurut Ajid Che Kob
( 1985 ), hal yang lebih ketara berlaku di jajahan Pasir Mas Kelantan, perkataan ‘siput babi’ telah mendokong makna yang pelbagai bentuk seperti [kəča lutŏ ], [kəča], [sipu? babi ], [sipu? bulέ], [ litבh bulέ] mengikut kawasan yang sama( Modul Bahasa Melayu ML1014,Universiti Kebangsaan Malaysia)

Sosiolek pula dikaitkan dengan faktor sosial. Penggunaan bahasa dan kedudukan sosial seseorang dalam sesebuah masyarakat amat berkaita rapat. Di Malaysia faktor seperti keturunan, pendidikan, pekerjaan, tingkah laku dll dapat menunjukkan kedudukan sosial seseorang itu.Seorang bangsawan yang berkedudukan tinggi, berpangkat tinggi, jutawan dll dianggap mempunyai kedudukan yang lebih baik berbanding orang biasa yang hanya lulus sekolah menengah,tukang sapu sampah, harta yang sedikit dll.Menurut Teo Kok Seong ( 1999 ), kedudukan sosial yang berbeza di negara ini terpancar melalui pelbagai wadah.Hal ini dapat dilihat melalui jeinis tempat tinggal, jenama kereta yang dimiliki, jenis pakaian dll.Perbezaan yang wujud antara kedua kelas sosial tadi dalam konteks bahasa, barangkali individu bangsawan akan berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Inggeris, dwibahasa atau menggunakan bahawa Melayu Tinggi.Contohnya, kita dapat membezakan perbualan orang Melayu yang berpendidikan luar bandar dengan mereka yang mendapat pendidikan di bandar. Orang Melayu di luar bandar akan menggunakan bahasa Melayu bercampur dengan dialek, sebaliknya orang Melayu bandar akan menggunakan bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Inggeris. Tujuan Melayu di luar bandar menggunakan bahasa yang seumpama itu ialah untuk mengekalkan identiti,kesopanan dan kemesraan ketika berkomunikasi sementara Melayu bandar cuba menunjukkan taraf dan status pendidikan yang diikuti oleh mereka. Maka tidak hairanlah mengapa perkataan, intonasi, sebutan dll antara kedua golongan Melayu berkenaan berbeza.

Kesimpulan yang dapat dibina, perbezaan dialek memang mewujudkan masalah dalam membina ujian bahasa kerana dialek merupakan subbahagian kepada sesuatu bahasa.Untuk mendapatkan hasil ujian yang lebih baik maka dialek perlu diketepikan. Dengan itu,hal perbezaan dialek dan perbezaan kelas sosial yang mempengaruhi ujian bahasa ibunda dapat diselesaikan.

Rujukan

Buku

Awang Sariyan,1984.Isu-isu Bahasa Malaysia.Petaling Jaya:Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Ismail Salleh, (1999).Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama dan Bahasa Kedua.Bangi:Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lado, Robert,(1961).Language Testing,New York:McGraw-Hill Book Company.

Mohammad Fadzeli Jaafar, 1999. Penulisan Berkesan.Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nik Hassan Basri Nik Nik Ab Kadir, 2005.Stilistik Komsas. Tanjong Malim:Penerbitan
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Lain-lain

Teo Kok Seong,1999. Sosiolinguistik,Modul ML2054. Bangi: Penerbitan Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Modul Bahasa Melayu ML1014, Universiti Kebangsaan Malaysia.



c. Kemahiran Menulis

Selepas kita mampu untuk bercakap mengenai sesuatu perkara atau dapat mengungkap sesuatu hajat secara lisan baharulah kita boleh menulis kerana kemahiran menulis perlu dipelajari.Kemahiran menulis itu pula perlu diajar kepada para pelajar secara berperingkat-peringkat.Hal ini dinyatakan oleh Lado( 1961 ), menyebut kemahiran ini perlu diajar secara berasingan sehingga tercapai setiap peringkat penguasaan menulis bahasa. Kemahiran menulis bukanlah aspek terpenting dalam berbahasa. Ada budaya/masyarakat yang tidak mempunyai tulisan tetapi masih boleh berhubung/interaksi sesama sendiri

Kita boleh menguji bahasa ibunda melalui kemahiran menulis hanya setelah pelajar sudah mampu memahami idea yang menjadi inti penulisan ( relevan, jelas,asli, logik dll ), cara penyusunan idea yang baik ( pemerengganan, penghuraian dll ), pemilihan kata ( kosa kata, perumpamaan ), khalayak pembaca, suara penulis, tema dan persoalan, hajat penulisan,mekanis ( ejaan,tanda baca dll ), kenahuan ( morfologi, sintaksis,semantik dll ) dan gaya penulisan ( Modul Bahasa Melayu II MZ1123, PJJ, UKM,1999 ).Sulaiman Masri ( 1988:3) menyatakan penulisan yang baik merupakan sesuatu yang sukar dihasilkan. Kebanyakan penulis yang bagus sering menyatakan bahawa penulisan merupakan perkara yang paling sukar dilaksanakan.Malahan terdapat penulis yang berasa benci untuk menulis kerana mendapatinya sungguh sukar dilakukan.Terdapat peraturan tertentu dan umum dalam penulisan seperti susunan, tanda baca dan ejaan. Dengan demikian, untuk kita menguji bahasa ibunda
( dalam hal ini, bahasa Melayu ), pelajar-pelajar perlulah didedahkan dengan sukatan pelajaran yang memuatkan dan mementingkan sekurang-kurangnya enam perkara iaitu,

i)Pelbagai ciri kebahasaan seperti
perkataan,frasa dan ayat,
ii)Peraturan-peraturan tertentu
dan umum seperti susunan,tanda
baca dan ejaan.
iii)Penulis menyelami penulisan
sendiri iaitu kefahaman di
pihak penulis dan kefahaman di
pihak pembaca/khalayak dan
matlamatnya kepuasan kepada
pembaca.
iv)Memahami bahasa keupayaan
menulis merupakan sumber
ekonomi seperti menulis buku
cerita, menulis novel dan
sebagainya.
v)Menitikberatkan ciri-ciri budaya seperti panggilan hormat,dll.
vi)Mempelajari penulisan daripada penulis terkenal.

Menyentuh tentang ciri kebahasaan seperti perkataan,frasa dan ayat, setelah pelajar didedahkan dengan perbendaharaan kata yang luas
( mencukupi untuk mengarang ), frasa dan ayat yang jelas. Contoh dalam penulisan berita, jarang sekali akan menurut susunan, sebaliknya penyampaian maklumat adalah dalam bentuk piramid terbalik kerana waktu membaca pembaca yang terbatas.Oleh demikian, penggunaan kata yang biasa,ayat-ayat yang pendek dan mudah, dibina dengan kata kerja aktif dll. Menurut Sulaiman Masri
( 1988 ), purata panjang ayat yang baik ialah kurang daripada 16 perkataan.Sekiranya purata panjang ayat sebanyak lapan perkataan maka kita tidak boleh memasukkan banyak idea di dalam satu ayat.Namun ada kekangan lain iaitu ayat yang pendek akan menjemukan pembaca. Untuk mengatasi masalah ini, kita bina perenggan yang mengandungi ayat-ayat pendek dan mudah ke dalam perenggan yang mengandungi ayat-ayat majmuk.Berkaitan perkataan pula, sekiranya sudah ada perkataan yang biasa, kita gunakan. Tidak perlulah perkataan yang bombastik.

Peraturan mekanis seperti tanda baca dan ejaan amat mempengaruhi gaya penulisan.Dengan adanya tanda baca dan ejaan yang betul, kelancaran membaca, menghayati tema dan persoalan, mengikuti cerita, keseronokan dan sebagai akan menyerlahkan hajat penulisan. Kemahiran in sangat penting untuk diuji dalam pengujian bahasa.

Penulis perlu memahami kehendak dan selera pembaca. Contohnya, buku Harry Potter karangan J.K Rowling yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia sehingga difilemkan. J.K Rowling telah berjaya memilih target yang tepat dan memahami selera pembaca. Di dalam cerita berkenaan diselitkan beberapa unsur humor. Menurut Abd. Rahman Abd. Aziz et all. (2007 ) humor adalah perkataan/perbuatan yang menggelikan hati, lucu, mengurangkan tekanan dan sebagainya.Dengan demikian, pembaca akan diajak untuk membaca sambil bersantai dan terus mengikuti setiap episod yang ada hingga ke muka surat yan terakhir. Dalam konteks menguji kemahiran menulis, pelajar perlulah didedahkan terlebih dahulu dengan tujuan menulis, hala tuju yang hendak dicapai,jenis kumpulan pembaca dan sebagainya sebelum kita menguji mereka.

Pelajar juga harus berupaya untuk menggunakan kesopanan bahasa. Dalam konteks bahasa Melayu,kita sedia maklum bahawa bahasa Melayu kaya dengan bahasa berangkap
( pantun, gurindam dll), sistem panggilan ( pakcik,tuan, Mak Engku dll ), perumpamaan dan sebagainya. Kita seharusnya mengambilkira dan memberi perhatian semasa menguji bahasa Melayu tentang hal-hal yang sedemikian.

Semasa menguji bahasa ibunda, kita perlu memerhatikan kecenderungan pelajar menulis seperti seorang penulis terkenal. Kejayaan Taiwan, Thailand, Hong Kong menjadi naga kecil Asia adalah melalui peniruan atau mengeluarkan barang-barang tiruan pada peringkat awalnya. Setelah kukuh, baharulah mereka mengeluarkan hasil barangan jenama tempatan.Begitu jugalah dalam menyampaikan maksud penulisan. Kita perlu belajar daripada penulis yang terkenal.Tidak salah sekiranya pelajar meniru gaya menulis orang lain asalkan jangan menciplak.Oleh yang demikian, apabila kita menguji bahasa, kita perlu memberi markah bonus kepada mereka yang mampu menulis stail penulis yang terkenal.

Sebagai kesimpulan, kemahiran menulis perlu dipelajari secara berperingkat-peringkat, diajar beberapa perkara penting seperti melahirkan inti penulisan, cara penyusunan idea yang baik , pemilihan kata , khalayak pembaca, suara penulis, tema dan persoalan, hajat penulisan,mekanis, kenahuan dan gaya penulisan penulis terkenal. Perkara-perkara yang disebut tadilah yang seharusnya diberi perhatian semasa menguji kemahiran menulis bahasa ibunda.


Rujukan

Lado, Robert,1961.Language Testing,New York:McGraw-Hill Book Company.

Sulaiman Masri,1988.Penulisan Dalam Bahasa Malaysia Baku.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jurnal

Abd. Rahman Abd. Aziz et all.,2007.Humor dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal PENDETA, Jilid III:77-86.

Lain-lain

Modul Bahasa Melayu II MZ1123, PJJ, UKM,1999.




d) Gaya

Apabila kita bercakap tentang gaya maka pelbagai definisi yang bermain dalam minda kita Menurut Lado ( 1961), sama ada rupabentuk bahasa itu dalam keadaan betul, padan dan indah, ia bergantung kepada gaya. Umumnya, gaya menulis merujuk kepada cara kita menulis, misalnya menulis dengan tangan kiri. Gaya penulis ialah cara penulis mempersembahkan penulisannya termasuklah idea, susunan, pemerengganan,perkataan dan ayat,kategori pembaca yang menjadi pilihan penulis dll. Menurut Nik Hassan Basri
( 2006 ),gaya bahasa merujuk kepada cara atau ragam bahasa yang digunakan oleh seseorang dalam lisan atau penulisan ataupun cara pemakaian bahasa dalam sesebuah karya yang dihasilkan. Gaya penulisan pula terdiri daripada gaya sastera,gaya ilmiah dan dll( Modul Bahasa Melayu II,MZ1123, UKM Bangi,1999 ). Sulaiman Masri ( 1988), menyatakan gaya penerbitan ialah suatu peraturan menulis huruf besar, singkatan, pernomboran,tanda baca dan tanda kutip yang seragam dalam apa jua bentuk penerbitan. Untuk menguji bahasa ibunda ( dalam hal ini,bahasa Melayu ) gaya yang dimaksudkan ialah gaya bahasa,gaya penulisan, gaya penerbitan dan retorik. Namun begitu, dalam perbincangan ini tumpuan akan diberikan kepada gaya bahasa yang sesuai dengan alam persekolahan.

Menurut Rahman Shaari
(1993:vii),sekiranya seseorang penulis tidak memilih cara menyampaikan fikirannya,maka karyanya tidak bergaya.Dalam hal ini,penulis harus memilih, misalnya perkataan-perkataan yang sesuai untuk berkarya.Pendapat yang hampir sama turut disuarakan oleh Kridalaksana ( 1982:49),gaya bahasa sebagai pemanfaatan atas kekayaan bahasa oleh seseorang dalam bertutur atau menulis
( Modul Bahasa Melayu II, MZ 1123,UKM,1999).Gaya bahasa yang digunakan oleh penulis haruslah sesuai dan berlandaskan pertimbangan-pertimbangan yang mantap.Gagasan penulis pula semestinya dapat menyalurkan gagasan tanpa pembaziran kata-kata.Dengan pemilihan gaya bahasa yang baik, nada( tone ) sesebuah karya akan timbul kerana kedua-duanya saling melengkapi.Gaya bahasa juga akan mewujudkan situasi dan suasana ( atmosphere) sesebuah karya.Suasana ini akan menambat hati pembaca.

Gaya bahasa dapat dilihat dari berbagai-bagai sudut seperti gaya bahasa sebagai penggunaan bahasa dan teknik,gaya bahasa sebagai kemahiran dan alat untuk menyampaikan tujuan,gaya bahasa dan pemilihan kata,gaya bahasa dan tema karangan.Contohnya, kita ambil gaya bahasa dan pemilihan kata untuk kita kupas sedikit.Dalam penulisan, pemilihan kata amat penting kerana dari situlah gagasan yang ingin disampaikan akan tersalur dengan berkesan.Untuk itu, pemilihan kata memerlukan cara penyampaian yang baik dan sempurna agar pembaca dapat mengesan aura penulisan atau menangkap maksud yang hendak disampaikan oleh penulis.
Sudah pasti gaya bahasa mempunyai unsur-unsur.Kita sedar gaya bahasa dapat mengungkapkan fikiran melalui bahasa yang digunakan selain dapat menundukkan jiwa dan keperibadian seseorang penulis.Keraf ( 1987:113) menyatakan terdapat tiga kandungan gaya bahasa yang baik iaitu kejujuran,sopan-santun dan menarik. ( Modul Bahasa Melayu II, MZ 1123,UKM,1999 ).Secara ringkasnya, kejujuran bermaksud mengikut kaedahkaedah dan peraturan yang baik dalam penggunaan bahasa.Sopan-santun bermaksud memberi penghargaan atau menghormati pembaca.Menarik pula bersangkutan dengan gaya bahasa yang bervariasi dan penulis mempunyai perbendaharaan kata yang luas untuk berkarya.

Gaya bahasa bukan setakat mempunyai unsur-unsur malahan ragamnya dapat kita kelompokkan kepada empat jenis iaitu, gaya bahasa perbandingan,gaya bahasa pertautan,gaya bahasa pertentangan dan gaya bahasa perulangan. Nik Hassan Basri Nik Ab Kadir
( 2006 ), pula telah mengelompokkan gaya bahasa kepada lima dengan menambah gaya bahasa penyirnaan

Untuk kita menguji gaya bahasa dalam bahasa ibunda ( bahasa Melayu ),kita boleh memberi penilaian menggunakan empat jenis gaya ini.Pilih satu.Misalnya,gaya perbandingan yang mengandungi perumpamaan, metafora, personifikasi, alegori, antitesis, tautalogi atau pleonasme.Kita boleh menilai pelajar sekolah rendah berdasarkan alegori. Contohnya, kisah anjing dengan bayang-bayang. Cerita ini mengandungi sifat-sifat moral dan spritual manusia.Pelajar diminta menonton,kemudian menceritakan kembali kisah yang ditonton sebentar tadi dengan gaya dan teknik yang telah dipelajari.Bagi pelajar di sekolah menengah, kita boleh memilih gaya pertautan untuk menguji pelajar khususnya yang berkaitan dengan Komsas.Contohnya, kita boleh menyediakan soalan objektif aras pengetahuan mengenai epitet.Contoh soalan.

1.“Putri malam menjadi saksi penantiannya yang sudah lama”.

Gaya bahasa yang digunakan ialah
A Eufemisme C Ironi
B Epitet D Litotes

Seperti juga gaya bahasa, gaya penulisan dan gaya penerbitan turut menyumbang kepada menyampaikan hajat penulis kepada pembaca.Cuma kepentingan tidak sama. Untuk kita menguji gaya penerbitan di peringkat sekolah perkara seperti huruf besar dan tanda baca sahaja sudah cukup memadai untuk menguji mereka. Kita tidak perlulah menguji sehingga ke peringkat kata singkatan dan akronim,sistem pernomboran dll.Dengan menguji gaya penerbitan, guru sebenarnya telah cuba meningkatkan kemahiran menulis pelajar. Setelah menjadi kebiasaan, maka kesilapan yang dilakukan akan kian berkurang.Ini bermakna, kita akan terus menerus menguji dan memperbaiki kelemahan pelajar.

Gaya penulisan seperti gaya sastera ( dalam hal ini disebut gaya Komsas) merujuk kepada gaya bahasa penulis menghasilkan sesebuah karya kreatif yang berbentuk antologi atau novel.Gaya sastera berbeza dari gaya bahasa biasa. Menurut Nik Hassan Basri,Nik Ab Kadir ( 2006), gaya Komsas ialah gaya yang digunakan oleh penulis untuk menghasikan karya kreatif yang termuat dalam penulisan sama ada yang berbentuk antologi atau novel yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Komsas.Untuk menguji gaya Komsas beberapa set panduan menguji telah disediakan sebagai panduan untuk guru-guru seperti penggunaan diksi,frasa,ungkapan,ayat,wacana yang sesuai dan bermakna daripada pembacaan karya-karya penulisan kreatif dan kritis atau penulisan sastera yang berbentuk gaya bahasa pertautan, pengulangan,penyirnaan, pengimbuhan,penggandaan,pemajmukan dan bahasa figuratif yang lain.Hal yang disebutkan tadi, sungguhpun sama seperti gaya bahasa biasa tetapi perbezaannya,gaya Komsas sudah pun disediakan teks terpilih untuk dibicara dan dikupas oleh guru dan murid-murid.

Sebagai kesimpulan, gaya memainkan peranan yang amat penting dalam penulisan dan kemahiran-kemahiran gaya yang telah diajar perlu diuji supaya guru dapat menilai kembali hasil pengajaran dan pembelajaran.



Rujukan

Nik Hassan Basri Nik Nik Ab Kadir, 2005.Stilistik Komsas. Tanjong Malim:Penerbitan
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Rahman Shaari,1993.Memahami Gaya Bahasa.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lain-lain

Modul Bahasa Melayu II,MZ1123, UKM Bangi,1999