8 Februari 2009

Abdul Rahman

Abd. Rahman bin Ismail(m20071000111)
Sek.Keb.Telok kepayang
32600 Bota
0195942045

Kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu yang dikenali sebagai komponen sastera( Komsas ) telah dijadikan komponen wajib dalam mata pelajaran bahasa Melayu.Kursus ini telah diperkenalkan secara berperingkat-peringkat mulai Mac 2000 di peringkat tingkatan satu dan tingkatan empat. Kemudian,pada tahun 2001,Komsas diperluas ke tingkatan dua dan tingkatan empat. Menjelang tahun 2003,Komsas telah dapat dilaksanakan sepenuhnya daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima. Calon sulung bagi sukatan bahasa Melayu edisi penyesuaian ini mula diuji secara rasmi dalam Peperiksaan Menengah Rendah dalam subjek Komsas mulai tahun 2002 manakala calon Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2001,setahun lebih awal daripada pelajar tingkatan 1,2000.

Melalui pengajaran dan pembelajaran Komsas,unsur atau bahan sastera dalam pendidikan bahasa akan menjurus kepada aspek nilai estetik,keindahan bahasa dan sosio budaya yang tergarap dalam sesebuah karya. Hal ini dapat dilihat melalui matlamat pengajaran dan pembelajaran Komsas Antara matlamat itu ialah untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis, meningkatkan kekuatan rohani dan intelek, memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa, mengenali dan mengurus perasaan pelajar serta meningkatkan kemahiran intrapersonel dan interpersonel.

Matlamat Komsas ini dapat digambarkan dalam kandungannya. Kandungan Komsas dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian A, Antologi yang disoal dalam Kertas 1 manakala bahagian B pula membicarakan novel dan diuji dalam Kertas 2. Antologi yang digunakan adalah mengikut peringkat tingkatan iaitu,
i) Tingkatan Satu:Antologi
Sehijau Warna Daun
ii) Tingkatan Dua: Antologi
Seuntai Kata Untuk Dirasa
iii)Tingkatan Tiga: Antologi Anak
Bumi Tercinta
iv) Tingkatan Empat: Antologi Anak
Laut
v) Tingkatan Lima: Antologi Kerusi
Misalnya, antologi ’ Seuntai Kata Untuk Dirasa’ yang diajar di tingkatan dua mengandungi beberapa buah genre seperti puisi tradisional,sajak,prosa tradisional,cerpen dan drama. Puisi tradisonal mengandungi pantun perpisahan,pantun Joget Pahang,pantun teka-teki,syair Pesanan Ibu,syair Nur Alam Syah Lela Putera dan syair Mungkir Janji. Prosa tradisional mengandungi cerita klasik dengan tajuk, ’Pak Kaduk’,’Putera Besar Lahir ke Dunia’, dan ’Kera dengan Buaya’. Kata orang, kalau ada yang lama tentu pula ada yang baharu. Bagi mengimbangi puisi dan prosa tradisonal maka puisi dan prosa baru turut diajar. Sajak mengandungi tajuk,’Mata Ayah',’Seuntai Kata Untuk Dirasa’, ’Bicara Buat Guru’,’Pesan Tangan Kepada Jari,’Cinta’, dan ’Ruang’ manakala genre cerpen pihak panel pemilih yang terdiri dalam kalangan nama-nama besar sastera seperti Othman Puteh, Rahman Shaari dll telah memilih enam buah cerpen.Cerpen yang dimaksudkan ialah Tina,Batu,Buku Catatan Farid Badrul,Mama,Erti Kasih Makna Sayang dan cerpen ’ Tangan Kanan, Kiri atau Kedua-duanya’. Drama dengan tiga buah tajuk iaitu Penunggu Pusaka, Angin dan Buyong merupakan genre yang terakhir yang terdapat dalam bahagian antologi. Di antara daya penarik yang terdapat di dalam genre cerpen ialah ’Tangan Kanan, Kiri atau Kedua-duanya ’,hasil nukilan penulis bukan Melayu,Tung Wai Chee yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Bahagian B atau Kertas 2 melibatkan beberapa buah novel dan diagihkan mengikut zon dan negeri.

Berikut merupakan maklumat berkenaan yang disusun mengikut negeri dan mengikut turutan yang dimulai novel tingkatan satu, dua, tiga, empat dan lima.

i)Negeri Selangor, Perlis,Negeri Sembilan dan WilayahPersekutuan:
Meniti Kaca, Pahlawan Pasir Salak,Panas Salju,Bukit Kepong dan Konserto Terakhir.
ii)Negeri Sabah,Sarawak, Pahang dan Terengganu:Limpahan Darah Di
Sungai Semur, Timulak Kapal Perang, Ekpsedisi,Terminal Tiga dan Seteguh Karang.
iii)Negeri Melaka Johor dan Kelantan:Anak Din Biola, Trajedi 4 Disember,Merdeka!Merdeka!,Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan.
iv)Negeri Perak, Kedah dan Pulau Pinang:Aku Anak Timur, Kapten Hassan Wira Bangsa, Kanang Cerita Seorang Pahlawan, Perlumbaan Kedua dan Julia.

Berdasarkan kandungan yang terdapat dalam Komsas,jelas menunjukkan komponen itu memberi pendedahan yang cukup tentang kesusasteraan.Kedua,melihat kepada enam genre teks(puisi tradisional,sajak,prosa tradisional,drama,cerpen dan novel) yang perlu dikuasai oleh pelajar maka pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan merupakan sebahagian daripada sukatan bahasa Melayu yang tidak boleh diasingkan dan tanpa pengecualian. Ketiga, terdapat enam buah puisi tradisional, enam buah puisi moden, empat buah prosa tradisional, tiga buah drama, enam buah cerpen sebuah novel yang perlu dipelajari oleh para pelajar dalam setahun. Keempat, beberapa konsep seperti ironi,sinis,woordopname dll yang terdapat dalam gaya bahasa dapat diterap secara tidak langsung kepada pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.


2.Sepuluh perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009. (1500 perkataan)

Perkara penting berkenaan dapat dihuraikan kepada tujuan ujian, ciri-ciri ujian, jenis-jenis ujian, asas penilaian, dan aras ujian sastera.
1.Tujuan Ujian
Proses pengajaran adalah edaran yang berterusan dan tujuan ujian diadakan dalam pendidikan ialah,
i)untuk mendapatkan kembali maklumat(kepada guru dan pelajar)
ii)untuk memastikan objektif pengajaran tercapai (mengawasi mutu pelajaran)
iii)untuk memberi gred kepada pelajar
iv)untuk menggerakkan para pelajar
v)untuk memudahkan penempatan pelajar mengikut kumpulan baik, sederhana dan lemah.(proses pemilihan melalui ujian)

2.Ciri-ciri Ujian
Dijelaskan seperti berikut:
2.1Kesahan Ujian
Ciri ini digunakan untuk menguji apa yang hendak diuji oleh guru. Dengan itu, guru akan dapat gambaran tentang ujian yang dibina.
2.2Kebolehpercayaan atau kestabilan ujian
2.3Keobjektifan atau ketepatan ujian
3.Jenis-jenis Ujian
3.1Ujian Penempatan(menguji kebolehan)
3.2Ujian Formatif(dijalankan secara berterusan)
3.3Ujian Diagnostik( mengenalpasti punca kelemahan)
3.4Ujian Sumatif(contoh Sijil Tnggi Persekolahan Malaysia)

4.Asas penilaian ada tiga domain.
4.1Domain kognitif
4.1.1kemampuan proses berfikir
4.1.2mempunyai aras rendah hingga tinggi
4.1.3ujian objektif,subjektif,ujian bulanan dll.

4.2Domain afektif
4.2.1Mengkaji hubungan sikap, pandangan serta nilai
4.2.2Contoh, temuramah,ujian pengamatan dan tingkahlaku dll
4.2.3Rujuk Skala Likert(5 skala)
4.2.4Jenis pilihan jawapan(Ya atau Tidak)

4.3Domain Psikomotor
4.3.1Aktiviti pergerakan tubuh badan
4.3.2Penilaian pengamatan berlainan dengan bidang sukan
4.3.3Contoh deklamasi sajak, berlakon dll.(domain afektif,kognitif)

5.Aras-aras Ujian Sastera
Ujian yang berkait dengan penggunaan Taksonomi Bloomfield.
5.1Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan
-pelajar mengungkapkan atau mengingat hal-hal yang
bersangkutan fakta, konsep, pengertian dan sebagainya.
-pelajar meluahkan butiran seperti fakta yang dibaca
-soalan secara terus dan jelas seperti menamakan.mendefinisi,nama
pengarang buku yang dihasilkan dll.Contoh, beri definisi’Cemara’.
5.2 Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman
-pelajar mampu memahami, membeza dan menjelaskan seperti hubungan antara konsep dll, boleh merangka novel, boleh mencari isi utama,
memahami prosa klasik dalam bentuk moden, membezakan genre syair dan
puisi.Contoh.Buatringkasan cerita cerpen yang berjudul, misalnya Buku Catatan Farid Badrul karya Mohd Tajudin Abdul Rahman.
5.3 Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi
-pelajar perlu mengaplikasi apa yang dipelajari.Contohnya ujian esei.
Diturunkan sebuah wacana berbentuk prosa, novel Senjakala, sepanjang lebih kurang satu muka surat( perlu diingatkan pemilihan wacana itu perlulah bersesuaian) dan pelajar ditugaskan supaya :
i)mengubahkan bentuk cerita yang dilampirkan menjadi sebuah dialog.
ii) sudut pandangan apakah yang digunakan dalam cerita di atas, ungkapkan kembali cerita di atas dengan sudut pandangan yang berbeza,contohnya daripada gaya dia kepada aku atau sebaliknya.
5.4 Ujian Kesusasteraan Aras
Analisis
-mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terdapat dalam sesebuah karya sastera. Kebolehan pelajar melihatperkaitan dan hubungan antara unsur-unsur yang dapat dikesan dan kebolehan menggunakan organisasi, susunan sistematik binaan, kesatuan yang membangunkan sesebuah karya sastera.Keupayaan menyelesaikan tugasan ini memberatkan identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman (lahiriah dan batiniah) karya
tersebut. Contoh soalan.
i)Bagaimanakah caranya pengarang melukiskan watak dan perwatakan
setiap tokoh dalam novel Senjakala ?
5.5Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian
Item-item ujian aras penilaian mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata,ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu
karya sastera. Keupayaan berfikir aras penilaian ini antara lain berbentuk kemampuan menilai sesuatu perkara. Contoh soalan aras penilaian ialah:
iBandingkan drama Anna karya Kemala dengan Jebat karya Hatta Azad Khandari segi:
a) Latar masa, latar tempat dan latar masyarakat yang terdapat dalam kedua- dua drama tersebut.
b) Unsur-unsur kemanusiaan.
ii)Mengapakah sajak-sajak ciptaan Amir Hamzah dikira lebih menampakkan permainan kata-kata dibandingkan dengan sajak-sajak yang dihasilkan sebelumnya?
6. Ujian Kesusasteraan Kategori Moody
Terdapat beberapa aras dalam ujian ini yang cukup sesuai untuk menguji kesusasteraan.
6.1 Ujian Kesusasteraan Aras Informasi untuk menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera
6.2 Ujian Kesusasteraan Aras Konsep untuk mempersepsi tentang maklumat atau unsur karya dibina. Unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera adalah hal pokok yang dipersoalkan dalam ujian aras ini. Contoh soalan untuk menguji pelajar pada aras konsep:
i) Apakah hubungan antara Kinto dengan Noor, apakah hubungan antara Damid dengan Dasima? Apakah konflik atau masalah utama yang terdapat dalam novel tersebut? Apakah faktor yang selalu membebani penderitaan batin dan jiwa Kinto? Mengapakah Kinto begitu sayang kepada Noor dan Dasima? Mengapa Kinto akhirnya tidak dapat terlepas daripada perasaan kesal yang berpanjangan
dalam hidupnya?
6.3Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif untuk mendapatkan pandangan pelajar atau pembaca karya.Contoh soalan.
i)Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel
Senjakala?Adakah sesuatu yang bersifat tipikal dalam novel Senjakala?Unsur apakah yang bersifat tipikal itu dan realiti kehidupan yang manakah yang anda maksudkan itu?
6.4Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi/Penghayatan yang ada kaitan dengan permasalahan dan atau yang berkaitan antara bahasa sastera dengan linguistik.
Contoh soalan.
i)Mengapakah Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan dan Azizi Hj. Abdullah dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung banyak memilih kata-kata dan ungkapan daerah utara ( Kedah ) bagi melahirkan maksud-maksud tertentu?


2. Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran sastera dalam bahasa Melayu. (1000 perkataan)

Pengujian dan penilaian Komsas dalam bahasa Melayu dijalankan dengan tujuan untuk mendapatkan kembali maklumat. Maklumat ini amat berguna kepada guru dan pelajar. Melalui pengujian dan penilaian yang dijalankan guru dapat melihat sama ada objektif pengajarannya telah mencapai objektif. Apabila guru sudahpun berjaya mencapai objektif maka guru dengan mudahnya boleh memberi gred dan menempatkan para pelajar dalam kumpulan tertentu. Hal ini akan memudahkan guru untuk mengurus kelas, lebih-lebih lagi bagi mata pelajaran bahasa Melayu. Pengujian dan penilaian juga melibatkan ciri-ciri ujian seperti kesahan ujian, kebolehpercayaan atau kestabilan ujian dan keobjektifan atau ketepatan ujian. Jenis-jenis ujian,asas penilaian dan aras ujian perlu juga diambilkira bagi memastikan tujuan dan objektif pengujian dan penilaian itu benar-benar melambangkan keperluan sesuatu ujian itu dibina dan diuji. Dengan memilih jenis ujian yang betul maka penguji akan mendapat kembali hasil daripada ujian yang dijalankan. Ini bermakna dalam menjayakan sesuatu ujian seperti ujian Komsas beberapa perkara yang disebut tadi amat perlu diambi berat, di samping beberapa aspek yang lain seperti masa menjawab bersesuaian dengan soalan, falasi logik, pengaruh bahasa dialek, kekurangan kosa kata, gaya bahasa, gaya penulisan dan sebagainya.

Menurut Azman Wan Chik ( 1981 ), konsep kesahan ditakrifkan sebagai sejauhmanakah sesuatu bahan ujian yang dtubuhkan dapat mengukur sesuatu proses pengajaran atau sejauh manakah sesuatu bahan ujian itu dapat menjalankan tugas-tugas yang diharapkan daripadanya. Dalam hal ini, pengujian dan penilaian Komsas haruslah mempunyai kesahan yang bergantung kepada kebolehpercayan markat-markat, sejauhmanakah kandungan bahan ujian Komsas merupakan satu sampel yang seimbang dan mewakili objektif pengajaran dan pembelajaran yang menjadi matlamat Komsas. Matlamat Komsas ialah untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis, meningkatkan kekuatan rohani dan intelek, memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa, mengenali dan mengurus perasaan pelajar serta meningkatkan kemahiran intrapersonel dan interpersonel. Sebagai contoh, sekiranya objektif pengajaran dan pemelajaran ialah untuk membolehkan para pelajar memberikan jawapan dalam bentuk esei, aras soalan ialah aras apresiasi yang ada kaitan antara bahasa sastera dengan linguistik seperti dalam contoh soalan (i) di bawah, guru/penguji harus berwaspada dan akur dengan dua perkara iaitu adakah soalan ( i) menepati aras apresiasi dan masa menjawab adalah mencukupi. Keduanya, adakah skima pemarkahan yang diberi bersifat seimbang. Maksudnya, adakah calon akan mempersembahkan jawapan yang hampir sama. Hal pertama tadi, dikatakan sebagai pengurusan tadbiran soalan, manakala hal kedua berkisar tentang skima yang adil dan saksama. Contoh soalan PMR.
(xii) Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Nordin)
Jelaskan secara ringkas tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

Guru atau penguji juga harus sedar bahawa soalan di atas harus sesuai dengan matlamat pengajaran pada hari itu atau matlamat yang mahu dicapai sekiranya soalan berkenaan hendak diuji dalam ujian bulanan, misalnya.. Tidak harus juga guru memberi markah atau mengambilkira jawapan yang diberi oleh pelajar sekiranya tidak mengikut skima jawapan yang telah disediakan bagi contoh soalan di atas tadi. Jika guru mengambil sikap toleransi maka objektif yang hendak dicapai dalam pengajaran kedua-dua buah novel akan gagal. Dalam hal ini juga, kesahan soalan boleh dicapai melalui pra pengujian atau melalui teknik menguji kesahan soalan, kesahan konkuren, konstruk dan sebagainya. Hal kesahan ini akan kelihatan rumit apabila penguji berhadapan dengan soalan objektif. Antara kegunaan ujian objektif ialah guru boleh menggalakkan pelajarnya mempelajari tentang gaya bahasa , teknik serta nilai dan pengajaran, tema dan sebagainya tetapi selalunya ujian objektif hanya tertumpu kepada pengetahuan asas sesebuah karya. Pelajar dikawal daya kreatif dan kritis. Perkara ini dapat dilihat daripada soalan sajak,’Ruang” Tingkatan Dua oleh Ahmad Razali Hj. Yusof yang telah dibina oleh seorang pengubal soalan Komsas.


1 Berdasarkan baris kedua sajak penyajak merupakan insan yang
A tahu bersyukur
B menunaikan janji
C sering berasa ragu-ragu
D suka mengembara

Pelajar hanya perlu membaca dan memahami sajak yang disediakan dan soalan yang dikemukakan adalah dalam bentuk langsung(direct question ) dan dikategorikan dalam aras kesukaran ingatan. Penguji asyik terpengaruh dengan budaya soalan daripada buku rujukan di pasaran dan terhad kepada aras Taksonomi Bloom sahaja. Aras pemikiran seperti pemikiran lateral tiada diketengahkan untuk benar-benar menguji tahap membaca,menghayati, kefahaman dan sebagainya. Jika alasannya, penggubal ingin mempelbagaikan aras soalan mengikut Taksonomi Bloom atau aras soalan kesusasteraan, kewajaran mencuba pada aras pemikiran yang lebih tinggi patut diberi pertimbangan.

Menurut Mana Sikana ( 1996 ),
”...Berfalsafah bererti berfikir.Ilmu falsafah membicarakan soal dasar manusia dan cuba mencari jawapan sebenar terhadap sesuatu persoalan.Dalam konteks sastera,falsafah membicarakan soal dasarnya iaitu kesusasteraan.Falsafah ialah satu seni berfikir secara kreatif, justeru itu menguasainya bererti akan mempertahankan daya kreatif para pengarangnya”.

Untuk melihat lebih jelas lagi, lihat soalan 31 berikut yang nyata tidak mempunyai penganggu yang mantap.Calon boleh tahu jawapan sekali imbas, D.

Soalan 31. Apakah teknik penceritaan yang tidak digunakan dalam petikan?
A pemerian C imbas kembali
B monolog D imbas muka

Oleh yang demikian, menguji bahan sastera bukanlah perkara biasa-biasa tetapi berkait rapat dengan falsafah kesusasteraan itu sendiri. Perkara seperti inilah yang perlu ada dalam minda pengajar,penguji dan calon bagi mencapai matlamat Komsas.
Dalam pengujian dan penilaian Komsas, jadual penentu ujian ( JPU ) juga turut mempengaruhi sesuatu ujian itu. Komsas telah menetapkan para pelajar harus tahu mengenai tema dan persoalan, plot, watak dan perwatakan, latar, gaya bahasa serta nilai dan pengajaran. Ini bermakna, JPU yang disediakan harus memberi pertimbangan yang sewajarnya, bahagian manakah yang harus diberi penekanan yang utama, sederhana utama dan kurang penting. Contohnya, sesebuah JPU yang ingin menguji novel Merdeka!Merdeka! boleh menekankan tema dan persoalan, watak dan perwatakan serta nilai dan pengajaran berbanding memberi penekanan kepada gaya bahasa dan plot. Sebaliknya jika plot dipilih, JPU seharusnya dibina dengan mengambilkira aspek permulaan, perkembangan, perumitan, puncak dan peleraian yang terdapat dalam plot bagi novel , Merdeka!Merdeka!.
Isu pengujian dan penilaian Komsas juga dapat dilihat daripada skop pengajaran dan pemelajaran dalam satu-satu tempoh. Adakala penguji tidak mengambil kira isi pelajaran yang telah diajar. Misalnya, penguji hanya berkesempatan mengajar satu daripada tiga buah novel yang telah ditetapkan tetapi dalam ujian berkenaan guru meminta pelajar membuat perbandingan antara dua buah novel maka ujian yang dijalankan dikatakan tiada kesahan isi.
Pengujian dan penilaian Komsas yang terdapat di dalam soalan Bahasa Melayu hanyalah melibatan 10 buah soalan dalam Kertas 1 dan Kertas 2, PMR. Peratusan kepentingan yang kecil tidak berpada dengan bahan-bahan sastera yang perlu dibaca. Bayangkan, seseorang pelajar harus membaca, memahami, menghayati, mengaplikasi dll tanpa pengecualian beberapa buah karya dalam masa tiga tahun sedangkan cabaran soalan hanya mempunyai kepentingan yang kecil.Selain kepentingan yang kecil, aras soalan dan format soalan yang seakan-akan boleh dihafal atau diramalkan membuatkan guru-guru tidak memberi penekanan yang sewajarnya.Sekiranya dipertaruhkan soalan berikut dalam PMR,didapati juga kekangan dialek dan kosa kata timbul dalam pengujian dan penilaian Komsas. Contoh.

i)Mengapakah Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan dan Azizi Hj. Abdullah dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung banyak memilih kata-kata dan ungkapan daerah utara ( Kedah ) bagi melahirkan maksud-maksud tertentu?

Bagi guru dan pelajar, mereka perlu peka dan tahu maksud kosa kata utara yang terdapat dalam kedua-dua buah novel yang bekenaan. Barangkali, pelajar di utara Semenanjung mampu untuk memahaminya tetapi bagi pelajar seperti di Johor, Sabah dan Sarawak agak suka untuk berbuat demikian. Begitu juga,dalam syair Kem Tambunan terdapat
perkataan, ”kakang ” yang membawa maksud abang ( lelaki ), juga membawa maksud kakak ( perempuan ) sekiranya yang membahasakan kakang itu seorang perempuan. Walaubagaimanapun, hal ini seumpama ini masih boleh lagi diterima kerana ianya adalah sastera sekalipun bertentangan dengan linguistik.
Menurut Azman Wan Cik ( 1981 ), dalam pengujian guru harus memahami penubuhan bahan ujian. Dalam ujian objkektif, kemahiran penubuhan bahan ujian penting tetapi dalam ujian esei, kebolehan pemarkahan menjadi pokoknya. Dalam esei, pemarkahan yang baik datangnya daripada sambutan jawapan yang hampir sama.Dalam hal berkaitan Komsas, didapati pihak penguji tidak mempunyai pengalaman tentang penubuhan bahan ujian. Skima jawapan juga didapati dirujuk terus daripada buku nota. Pengalaman belajar di dalam bilik darjah kadangkala tidak diberi perhatian sebaliknya penguji memfotostat soalan-soalan yang bukan mengikut kemahiran yang dipelajari dalam kelas pada sesuatu waktu pengajaran dan pembelajaran Komsas.


4. Bina lima soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah anda. (1000 perkataan)

Berikut merupakan lima soalan Komsas yang terdiri daripada Kertas 1 dan Kertas 2.

Soalan 1.
Kertas 1,soalan 31 hingga soalan 33

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Matain melihat anak-anak terungnya pada batasnya.Ada dua pohon yang lebih besar daripada semua pokok terung di batas Sitiawa Tingginya sudah lebih sejengkal.Pokok-pokok terung itu nampak layu dan tidak bermaya dalam panas terik tengah hari begitu,Matain tunduk mencabut sebatang pokok pegaga kecil pada umbi sebatang pokok terungnya.
Beberapa minggu dulu bapak membawa balik sekotak besa anak-anak terung yang hijau dan lemah. Besarnya Cuma dua ruas jari. Lalu emak semaikan di dalam kerek daun kelapa yang dibuat bulat-bulat seperti kerek untuk bubuh manisan kelapa. Sunguh cantik kerek-kerek yang dibuat ole emak.Emak aturkerek-kerek itu ada tempat lapang di belakng rumah. Matain tolong mengangkut dari hadapan tangg. Dan Matain tolong ambil air dari telaga untuk buat siram anak-anak terung yang baru disemai.
Pagi-pagi limun sebelum orang lain bangun,Matain sudah turun ke tanah meliha semaian anak-anak terung di dalam kerek di belakang rumah. Semua anak terung segar dan hijau.Matain amat gembira.
”Anak terung hidup segar,mak! Bagus betul! Tain mahu siram acap-acap!”.
Kemudian bapa pergi seperti biasa membawa pulang alat-alat buat rumah. Emak membekalkan nasi untuk makan tengah hari yang dibubuh ke dalam periu besi putih. Kemudian Kak Jarah dan Sitiawa pula pergi ke sekola. Lepas itu Abang Jali pula pergi kerja pukul kain batik di Penambang. Pagi itu, Matain tidak cuba toak basikal Abang Jali seperti hari-hari yang lain. Biasanya, Matain berbuat begitu untuk bergurau senda dengan Abang Jali.
(Dipetik daripada cerpen”Anak Bumi Tercinta”, karya Fatimah Busu,antologi Anak Bumi Tercinta,Tingkatan 3, DBP )

31Apakah yang dilihat oleh Matain di atas batasnya
A pokok pegaga kecil yang segar
B pokok terung yang tingginya lebih daripada sejengkal
C anak-anak terung Sitiawa yang layu dan tidak bermaya
D dua pokok terungnya yang lebih besar daripada pokok terung Sitiawa.

32Tujuan Matain bangun awal-awal pagi pada hari itu adalah...
A untuk melihat pokok-pokok terungnya di batas
B untuk menyiram acap-acap pokok terungnya.
C untuk melihat semaian anak-anak terungnya
D untuk melihat kerek di belakang rumahnya

33Yang manakah bukan perwatakan Matain?
A rajin C bersemangat
B prihatin D pemalas

34Apakah teknik penceritaan yang tidak digunakan dalam petikan?
A pemerian C imbas kembali
B monolog D imbas muka

35 Pengajaran yang berikut diperoleh daripada cerpen Anak Bumi Tercinta, kecuali...
A ibu bapa usah bertegas terhadap anak yang nakal.
B jangan membiarkan anak-anak berseorangan.
C kita hendaklah mengamalkan semangat kejiranan.
D isilah masa lapang dengan perkara yang berfaedah.

Kertas 1, Soalan 36 hingga 40
Baca syair di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Radin bertitah sambil berdiri,
”Kakang sekalian segeralah mari,
Kita pun mandi bersuci diri,
Panas nan keras tidak terperi.”

Tunduk menyembah sekaliannya,
Bersalin basahan mengiring tuannya,
Radin bersiram sangatlah sukanya,
Masing-masing dengan gurau sendanya.

Ramainya tidak lagi terperi,
Ada yang berenang ke sana ke mari
Bersimbah-simbah sesama sendiri
Menyukakan hati Radin Menteri.


Setengah lagi bercura lena,
Kelihatan rakit bunga angsana,
Rupanya indah pelbagai warna,
Segala yang menentang hairan semena

Rakitnya hanyut dari hulu,
Menurut air hilir selalu,
Segala yang memandang belas dan pilu,
Masing-masing berebut dahulu.


36Kata kakang dalam rangkap pertama syair bermaksud...
A adik C bapa
B isteri D abang

37Apakah pesanan mereka setelah melihat akit hanyut di air?
A simpati C gembira
B marah D malu

38.Nyatakan nilai murni yang digambarkan dalam rangkap kedua syair
A bertanggungjawab C taat setia
B merendah diri D gigih berusaha

39 Apakah rima akhir bagi setiap rangkap syair?
A abba C abab
B aaaa D baba

40 Apakah tema Syair Kem Tambunan?
A peranan rakyat terhadap
pemerintah
B misteri rakit hanyut
C taat setia kepada pembesar
D adab ketika mandi


Soalan 3.
Soalan 36 hingga Soalan 40
Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

RUANG
Tuhan memberikan ruang dan udara
untuk kita menghambat kehidupan
biarpun aku dalam panas sinar mentarimu
malammu terlalu lembut dengan udara dingin
yang mencengkamku hingga jauh di hujung malam.
yang cukup panjang untuk kita
mendaki bukit-bukit harapan
sambil mencari ketentuan
yang terapung di mana-mana
aku berterima kasih
kerana kau telah menjanjikan
sesuatu yang tak dapat aku pastikan.
Ahmad Razali Hj. Yusuf
(Dipetik daripada antologi Seuntai Kata untuk Dirasa,
Tingkatan 2, DBP)

36. Ruang dalam sajak ini mungkin sekali ialah tempat
A kediaman.
B untuk bernafas.
C untuk bekerja.
D untuk hidup.

37. Yang berikut manfaat “ruang dan udara” kepada manusia kecuali
A membolehkan kita mengejar kehidupan.
B melakukan apa-apa sahaja yang disukai.
C memberikan masa yang cukup untuk bertindak.
D menikmati perubahan cuaca pada waktu siang dan malam.


-----------------------------------
aku berterima kasih
kerana kau telah menjanjikan
sesuatu yang tak dapat aku pastikan.
-----------------------------------
38. Apakah perasaan yang digambarkan dalam baris sajak di atas?
A Lega
B Insaf
C Syukur
D Gembira

-----------------------------------
Tuhan memberikan ruang dan udara
yang cukup panjang untuk kita
mendaki bukit-bukit harapan
sambil mencari ketentuan
-----------------------------------
39. Unsur gaya bahasa yang terdapat pada baris ketiga bait kedua sajak di atas ialah
A simile C hiperbola
B metafora D personifikasi


40. Sajak “Ruang” bertemakan
A mensyukuri rahmat Tuhan.
B menikmati perubahan cuaca.
C bergerak bebas dalam kehidupan.
D melakukan sesuatu yang digemari.
Soalan 4

Kertas 2, Bahagian D, soalan novel
Bahagian D
[Masa yang dicadangkan : 10 minit]
[10 markah]
Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel-novel yang telah anda kaji sama
ada di Tingkatan 1, Tingkatan 2, atau Tingkatan 3 seperti senarai di bawah.
(i) Meniti Kaca (Raja Sabarudin Raja Abdullah)
(ii) Anak Din Biola (Maaruf Saad)
(iii) Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj. Yusuf)
(iv) Limpahan Drah di Sungai Semur (Zakaria Salleh)
(v) Pahlawan Pasir Salak (Mohd Ismail Sarbini)
(vi) Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnain)
(vii) Timulak Kapal Perang (Azmah Nordin)
(viii) Kapten Hassan Wira Bangsa (Harun Johari)
(ix) Panas Salju (Talib Samat)
(x) Merdeka! Merdeka! (A. Rahman Hanafiah)
(xi) Ekspedisi (Mohd. Ghazali Tocheh)
(xii) Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Nordin)

Jelaskan secara ringkas tiga watak sampingan yang terdapat dalam novel yang anda
kaji.

Soalan 5
Kertas 2, Bahagian D, soalan novel
Bahagian D
[Masa yang dicadangkan : 10 minit]
[10 markah]
Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel-novel yang telah anda kaji sama ada di Tingkatan1, Tingkatan 2, atau Tingkatan 3 seperti senarai di bawah.
(i) Meniti Kaca (Raja Sabarudin Raja Abdullah)
(ii) Anak Din Biola (Maaruf Saad)
(iii) Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj. Yusuf)
(iv) Limpahan Drah di Sungai Semur (Zakaria Salleh)
(v) Pahlawan Pasir Salak (Mohd Ismail Sarbini)
(vi) Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnain)
(vii) Timulak Kapal Perang (Azmah Nordin)
(viii) Kapten Hassan Wira Bangsa (Harun Johari)
(ix) Panas Salju (Talib Samat)
(x) Merdeka! Merdeka! (A. Rahman Hanafiah)
(xi) Ekspedisi (Mohd. Ghazali Tocheh)
(xii) Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Nordin)

Jelaskan secara ringkas tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

5. Dua cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa
ini. (1000 perkataan)

Pengajaran dan pembelajaran Komsas di sekolah berkaitan dengan falsafah kesusasteraan, matlamat Komsas, dasar pendidikan negara, dasar kebudayaan negara dan sebagainya. Matlamat Komsas antaranya untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis, meningkatkan kekuatan rohani dan intelek, memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa, mengenali dan mengurus perasaan pelajar serta meningkatkan kemahiran intrapersonel dan interpersonel Matlamat-matlamat yang dinyatakan jelas menunjukkan bahawa komponen penting dalam sukatan bahasa Melayu edisi perubahan ini bukan sekadar melepaskan batuk ditangga. Dengan menjadikan Komsas sebahagian daripada kandungan sukatan bahasa Melayu guru dan pelajar harus menghayati dari pelbagai aspek dan sudut sastera seperti puisi tradisional dan moden, prosa tradisional dan prosa moden, novel dan drama, ditokok dengan enam genre bahan teks yang harus dikuasai dan harus dibaca serta dibincang dalam masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah, baik guru mahupun pelajar.Di peringkat PMR, guru harus mendedahkan dan mengajar, pelajarnya belajar 18 buah puisi tradisional, 18 buah puisi moden,12 buah prosa tradisional,sembilan buah drama,18 buah cerpen dan tiga buah novel sudah mencerminkan kesungguhan itu ( Dalam Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005 )
Semenjak diajar di sekolah-sekolah dan diuji dalam Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) dan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) beberapa kebaikan dan kelemahan telah dapat dikenalpasti. Cadangan untuk penambahbaikan telah diutarakan oleh banyak pihak, lebih-lebih lagi dalam kalangan ahli panel yang dilantik oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum(BPK ).Tidak ketinggalan juga pihak seperti Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP )dan Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM )telah mengenalpasti beberapa masalah yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran Komsas. Bahagian Perkembangan Kurikulum bertugas untuk merangka kurikulum yang sesuai dengan Komsas dan sentiasa berusaha untuk penambahbaikan. Bahagian Teknologi Pendidikan pula sentiasa melakukan inovasi dalam teknologi pengajaran dan pembelajaran Komsas dengan memperkenalkan pelbagai jenis media dan software untuk menarik minat pelajar untuk mengikuti Komsas. Lembaga Peperiksaan yang tugasnya untuk menggubal soalan, di dapati kian berusaha untuk mempelbagaikan aras soalan Komsas dengan melantik penggubal soalan, pembina skima dan pemeriksa yang terdiri daripada guru-guru pakar dalam bidang kesusasteraan. Di peringkat sekolah pula, Komsas sudah menjadi sebahagian daripada aktiviti penting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kerana boleh mempengaruhi keputusan peperiksaan seperti PMR dan SPM. Kegagalan pelajar mencapai kejayaan dalam bahasa Melayu mungkin boleh dianggap sebagai kegagalan pihak panitia Bahasa Melayu dan seisi warga sekolah.Oleh yang demikian, usaha untuk memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran Komsas di sekolah-sekolah merupakan satu usaha yang berterusan.
Saya melihat peluang untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran Komsas dari dua sudut. Pertamanya, dari sudut pengujian. Keduanya, dari sudut inovasi pengajaran dan pembelajaran Komsas.
Pengujian dan penilaian bermaksud hasil pengajaran dan pembelajaran harus dinilai kembali untuk mendapatkan maklumat, adakah pelajar berjaya menguasai pembelajaran mereka. Jika berjaya, setakat mana. Sekiranya gagal, mengapa mereka gagal dan di bahagian manakah punca kegagalan itu. Menurut Mokhtar Ismai(1995 ), seseorang guru patut memikirkan berbagai-bagai cara untuk menjadikan pengujian di bilik darjah lebih menarik, di samping mempertingkatkan pembelajaran. Dengan demikian, cadangan Ebel boleh difikirkan bersama. Menurut Ebel ( 1979 ), dengan menggunakan ujian yang sama beberapa kali. Mengikut cara ini, pada pentadbiran kali pertama,ujian dijalankan seperti biasa iaiatu di bawah pengawasan guru, yang berbeza ialah pelajar diperlukan menanda jawapan pelbagai pilihan pada dua tempat, pertama pada kertas jawapan pelbagai pilihan, dan kedua pada kertas soalan itu sendiri. Kemudian pelajar dibenarkan untuk memiliki kertas soalan tadi. Sebaik sahaja selesai pentadbiran ujian pertama, pelajar disuruh membawa kertas soalan pulang ke rumah dan diwajibkan menjawab sekali lagi tanpa pengawasan guru (ujian bawa pulang ).Oleh itu, untuk tujuan ini dibekalkan sau lagi kertas jawapan pelbagai pilihan( Kertas OMR ).Sudah tentu pada kali ini mereka boleh berbincang dengan rakan-rakan dan juga membuka buku teks, buku rujukan atau buku catatan. Mereka digalakkan berbincang dalam kumpulan kecil dan boleh membandingkan jawapan antara satu sama lain. Jika jawapan mereka berbeza, mereka perlu memberi justifikasi bagi memilih alternatif lainnya. Matlamatnya supaya pelajar mendapat markah penuh atau hampir penuh.Kertas jawapan pelbagai pilihan akan diserahkan beberapa hari sesudah pentadiran ujian pertama. Markah, ”Ujian bawa pulang” akan dijumlahkan bersama dengan markah ujian pengawasan guru tempoh hari bagi mendapatkan markah keseluruhan.pengalaman menunjukkan bahawa pelajar akan bekerja keras dengan ujian bawa pulang dan banyak perkara dipelajari.Jumalah markat tentulah berbeza dan kebolehpercayaannya lebih tinggi. Walaupun ujian itu sama tetapi mempunyai pencapaian yang berbeza. Ujian Kelas menekankan aspek kecekapan intelek manakala ujian bawa pulang menekan ketekunan usaha. Dengan prosedur penilaian yang sistematik,lebih bermakna maka pengajaran dan pembelajaran Komsas boleh dipertingkatkan.
Menurut Sufean Husin(2002 ), inovasi ialah pembaharuan, modifikasi atau memperbaiki idea,benda,ilmu dan ciptaan seni budaya tamadun dengan tujuan memenuhi fungsi-fungsi tertentu atau memenuhi citarasa tertentu, atau memenuhi tunturan pasaran tertentu. Inovasi dilakukan oleh manusia kreatif untuk mebina trend baru dan meraih peluang maksima dalam ekosistem yang banyak persaingan. Dalam pengajaran dan pembelajaran Komsas, inovasi amat perlu bagi menjamin tercapai matlamat Komsas. Pengajaran dan pembelajaran Komsas setakat ini hanya melibatkan buku-buku seperti novel yang dibaca, dihayati dan sebagainya tanpa melibatkan penulis buku itu sendiri dan agak kekurangan alat bantu mengajar. Buku sungguh pun maujud tetapi intipati kandungannya perlu dihayati dengan mendalam, perlu difahami, perlu dibaca berulang-ulang dan sebagainya. Dalam soal ini, adalah lebih baik sekiranya penulis buku berkenaan diberikan ruang untuk berbicara secara langsung dengan pelajar, misalnya melalui tele-conference. Dengan adanya usaha seumpama ini, nikmat mempelajari sastera dapat dirasai oleh para pelajar. Sekiranya pula pihak sekolah berupaya menanggung kos, adalah baik jika dijemput penulis ke laman sekolah. Dengan cara ini, pelajar dapat berdiskusi dengan penulis. Dalam hal ini, gabungan beberapa buah sekolah boleh mengurangkan kos ceramah yang berkenaan. Di pihak penulis pula, diharapkan tidak meletakkan harga yang terlalu tinggi. Dengan pendekatan sebegini, faedahnya bukan sahaja dapat dinimati oleh para pelajar malahan pihak guru-guru yang mengajar akan dapat menimba ilmu melalui muzakarah bersama penulis dan kemudiannya akan dapat menyampaikan pengajaran mereka dengan baik, tepat dan bermakna. Selain daripada membawa penulis turun padang, tindakan seperti tele-coference sebenarnya adalah satu alat bantu mengajar Komsas yang cukup baik. Alat bantu mengajar yang sedia ada perlu diinovasi dalam bentuk digital sesuai dengan trend masa kini.

Normah Binti Ismail

Normah bt. Ismail (M20081000089)
Sek. Keb. Methodist (ACS),
Jalan Lahat,
30200 Ipoh.
No. telefon bimbit: 014 2546199


Jawapan untuk tugasan kuliah kelima pada 24 Januari 2009.

Soalan 1:
Kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu.

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu merupakan asas penting Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memenuhi Falsafah Pendidikan Negara. Mulai tahun 1999, Kementerian Pelajaran melalui Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah mengeluarkan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (Edisi Penyesuaian) yang memasukkan Kesusasteraan Melayu sebagai Komponen Wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Menurut Dr. Sharifah Maimunah Syed Zain, Timbalan Pengarah PPK dalam wawancara yang disiarkan dalam Dewan Sastera (Februari 2000), “Komponen Kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan memperkenalkan kepada pelajar tentang enam genre sastera yang meliputi genre novel, cerpen, drama, puisi dan prosa tradisional, dan puisi moden (sajak).”

Dua waktu daripada enam waktu seminggu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dikhususkan untuk menghayati teks sastera. Guru yang mengajar komponen sastera terdiri daripada guru bahasa Melayu dan kesusteraan Melayu yang sedia ada. Mereka telah dan akan diberikan pendedahan dan ilmu pedagogi tentang pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini.

Beberapa penekanan diberikan dalam pengajaran dan pembelajaran komponen sastera seperti tema dan persoalan, pemikiran, gaya bahasa, plot, watak dan perwatakan, nilai murni, pengajaran, falsafah di samping unsur luaran karya seperti biodata penulis dan sinopsis serta rumusan mahupun tanggapan.

Pada peringkat awal, ada pihak yang mempertikai tentang masa dan teknik pengajaran yang dicadangkan oleh pihak kementerian. Namun, anggapan itu telah diperjelas. Berkaitan perkara tersebut, Borhan Md. Zain menjelaskan, “Kebimbangan mengenai terlalu banyak genre yang akan diajarkan dalam waktu yang cukup terhad juga seharusnya tidak patut berlaku kerana pihak kementerian telah pun menyediakan modul yang sesuai dan sukatan yang relevan.”

Modul dasar bagi setiap tingkatan telah digubal oleh panel yang dilantik yang terdiri daripada kalangan guru dan sarjana sastera. Adalah wajar guru mematuhi kandungan modul ini di samping menyesuaikannya mengikut kreativiti sendiri dan suasana yang dihadapi. Jika berlainan atau bertentangan mungkin keseronokan dan penghayatan ilmu kesusasteraan akan terbantut.

Kesesuaian komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ini dapat dilihat dari segi beberapa perkara iaitu kesesuaian kandungan atau teks yang dipilih, pendekatan serta kaedah dan teknik pengajaran guru, pembelajaran yang dihadapi oleh para pelajar, dan penilaian yang dijalankan.

Kesesuaian Kandungan/ Teks
Teks dipilih oleh Kementerian Pendidikan melalui beberapa orang ahli panel secara berperingkat-peringkat bermula secara rawak hinggalah ke peringkat akhir yang lebih spesifik dan teliti. Garis panduan dan kriteria telah ditetapkan oleh pihak kementerian untuk dipatuhi oleh ahli panel. Antara ahli panel peringkat akhir ialah Dr. Othman Puteh, Prof. Madya Rahman Shaari, Mawar Shafie, T.Alias Taib, Prof. Madya Dr. Rahman Hanafiah, Prof. Madya Dr. Noriah Mohamad, dan Mahaya Mohd. Yassin.

Dari tingkatan satu hingga tingkatan lima, sebanyak 15 buah novel remaja dipilih. Antaranya ialah novel Meniti Kaca oleh Raja Sabaruddin Abdullah untuk tingkatan satu, Perlumbaan Kedua oleh Marwilis Haji Yusof untuk tingkatan dua, Merdeka! Merdeka! oleh A. Rahman Hanapiah, Panas Salju karya Talib Samat untuk tingkatan tiga, Di Hadapan Pulau oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (tingkatan empat), dan Julia oleh Abu Hassan Morad untuk tingkatan lima.

Sebanyak 28 buah cerpen, 30 buah puisi, dan 15 buah drama juga telah terpilih. Antara cerpen yang termasuk dalam senarai tersebut ialah “Di Sisi Rinda” oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, “Diari seorang Pengawas” oleh Ali Majod dan banyak lagi.

Karya-karya yang dipilih mengandungi mesej yang baik selain mempunyai keistimewaan yang tersendiri dari berbagai-bagai aspek meliputi tema, latar, plot, gaya, teknik, watak, dan sebagainya. Selain itu, karya yang dipilih juga mewakili karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara, sasterawan mapan dan berwibawa, pemenang hadiah-hadiah sastera, dan penulis-penulis muda yang berbakat besar.

Bagi karya puisi dan prosa tradisional pula kebanyakannya tidak mempunyai pengarang berdasarkan sifat karya itu yang berasal dari tradisi lisan dan sastera rakyat. Jika adapun hanyalah sebagai penyusun atau penyelenggara. Kebanyakan karya di atas telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Penerbit lain adalah seperti Marwilis Publisher dan Utusan Publication & Distributors.

Teks yang digunakan akan dibahagikan mengikut zon (utara, tengah, timur, selatan) Malaysia dan perincian serta modul setiap satunya telah dan akan diedarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah-sekolah. Tugas guru adalah untuk membaca dan mendalami isi karya untuk disampaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Teks dan bahan yang dipilih sudah semestinyalah bersesuaian dengan pelajar. Penerapan unsur moral dan penjanaan kreativiti tidak dikesampingkan dalam karya-karya yang dipilih. Walaupun banyak lagi bahan sastera yang bermutu dan baik tetapi tidak dipilih, teks atau bahan yang sedia ada ini adalah pemangkin atau pemula untuk pelajar menghayati karya sastera.


Soalan 2:
Sepuluh perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009.

Proses pengajaran adalah edaran yang berterusan. Tujuan ujian dalam pendidikan:
• mendapatkan kembali maklumat
• memastikan objektif pengajaran guru tercapai
• menggredkan pelajar
• sebagai penggerak (motivasi pelajar)
• tujuan penempatan – sederhana, baik, lemah

Ciri-ciri ujian:
• Kesahan ujian
Sejauh mana ujian itu menggambarkan atau menguji apa yang hendak diuji. Contoh: jika objektif guru mahu pelajar menguasai tema, maka ujian adalah berkaitan tentang tema.
• Kebolehpercayaan atau kestabilan ujian
• Keobjektifan atau ketepatan ujian

Jenis-jenis ujian:
• Ujian Penempatan – menguji ketrampilan yang disyaratkan bagi kursus.
• Ujian Formatif – ujian yang dilakukan dari semasa ke semasa.
• Ujian Diagnostik – ujian untuk mencari punca kelemahan pelajar.
• Ujian Sumatif – ujian untuk penggredan dan pensijilan, contohnya ujian PMR dan SPM.

Asas Penilaian:
• Penilaian Domain Kognitif
o Kemampuan proses berfikir.
o Bermula dari aras rendah hingga yang tertinggi.
o Bentuk ujian seperti ujian objektif, ujian subjektif, ujian lisan, tulisan dan ujian bulanan.
• Penilaian Domain Afektif
o Melihat hubungan sikap, pendangan dan nilai.
o Bentuk ujian seperti wawancara, pengamatan dan tingkah laku dan ujian bertulis.
o Skala Likert – contoh: sangat setuju, amat setuju, setuju, tidak setuju, sangat tidak setuju.
o Pilihan jawapan – YA atau TIDAK.
• Penilaian Domain Psikomotor
o Berhubung dengan aktiviti pergerakan yang menggunakan anggota tubuh badan.
o Penilaian menggunakan pengamatan berbeda dengan bidang sukan.
o Aktiviti seperti mendeklamasi puisi, berlakon, bergerak, beraksi dan lain-lain (ada kaitan dengan kognitif dan afektif).


Aras-aras Ujian Sastera
Ujian kesusasteraan melibatkan tingkat-tingkat ujian kognitif yang selalunya mempunyai enam aras utama (Taksonomi Bloom) iaitu bermula dengan tingkat ingatan sehingga menjurus kepada tingkat penilaian.
i. Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan hanya sekadar memerlukan pelajar berkeupayaan mengungkapkan kembali daya atau kebolehan mengingat hal-hal yang berhubungan dengan fakta, konsep, pengertian, definisi, deskripsi atau penamaan berkenaan sesuatu hal dan sebagainya. Ujiannya begitu mudah yang hanya menghendaki pelajar menamakan, memberi definisi, nama pengarang, buku-buku yang dihasilkan dan sebagainya.Tugasnya hanya meluahkan kembali butiran fakta yang dibacanya dengan secara langsung dan soalannya juga tidak disamar-samarkan. Contoh ujian aras ingatan ini seperti berikut:
• Apakah yang diertikan dengan perkataan ‘cemara’?
• Sebutkan pembahagian angkatan kesusasteraan yang terdapat di Malaysia.
• Siapakah yang dikenali sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden?
• Sebutkan dua antologi sajak yang ditulis oleh Usman Awang.

ii. Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman memerlukan para pelajar berkeupayaan memahami, membezakan dan menjelaskan fakta, atau hubungan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan sekadar untuk mengingat dan meluahkan kembali fakta yang dibaca sahaja. Pelajar berkeupayaan menangkap isi prosa atau puisi yang dipelajarinya, berkeupayaan meringkaskan atau membuat rangka novel atau cerpen atau mencari isi-isi utama dan menyalin kembali karya-karya klasik ke dalam bahasa moden. Pelajar juga berkemampuan dan berkeupayaan menyimpulkan beberapa ciri perbezaan antara syair dengan pantun umpamanya. Contoh-contoh butiran ujian dalam kelompok ini berbunyi seperti:
• Buat satu sinopsis cerpen berjudul Anak Bumi Tercinta karya Fatimah Busu.
• Apakah tema yang hendak dikemukakan oleh Rahman Shaari dalam sajaknya Bahasa?
• Terdapat beberapa perbezaan dibandingkan antara pantun dengan syair, apakah ciri-ciri persamaan dan perbezaan tersebut ?
• Buat ringkasan cerita cerpen yang berjudul Buku Catatan Farid Badrul karya Mohd. Tajudin Abdul Rahman.

iii. Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat-maklumat yang diperolehnya itu ke dalam suatu situasi baru. Misalnya penggunaan pengetahuan berkenaan ciri-ciri pantun untuk mencipta pantun. Kebolehan menggunakan maklumat yang diperolehi daripada prosedur kritikan bagi menilai sesebuah karya.
Bagi memanfaatkan ujian ke aras ini adalah dikira tugasan berbentuk esei dan perlakuan lebih menampakkan keserasian ujian. Ini kerana pelajar diberi kebebasan mengemukakan jawapan dan jawapan-jawapan sokongan bagi mempertahan dan menguatkan hujahnya. Contoh soalan berbentuk aplikasi ialah :
• Diturunkan sebuah wacana berbentuk prosa, misalnya daripada novel Senjakala, sepanjang lebih kurang satu muka surat (perlu diingatkan pemilihan wacana itu perlulah bersesuaian) dan pelajar ditugaskan supaya :
• Ubahkan bentuk cerita yang dilampirkan menjadi sebuah dialog.
• Sudut pandangan apakah yang digunakan dalam cerita di atas, ungkapkan kembali cerita di atas dengan sudut pandangan yang berbeza, contohnya daripada gaya dia kepada aku atau sebaliknya.
• Tunjukkan dan huraikan kembali semua gaya bahasa yang terdapat dalam wacana di atas.
Soalan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran juga boleh ditanyakan kepada pelajar. Puisi yang dipilih itu haruslah tidak terlalu panjang, contohnya sajak berjudul Ke Makam Bonda oleh Usman Awang dan tugaskan pelajar menjawab soalan seperti:
• Berikan tanda-tanda penjedaan ke atas puisi di atas ( tugasan ini berkaitan dengan psikomotor).
• Buatkan parafrasa puisi di atas atau tuliskan kembali puisi Ke Makam Bonda di atas menggunakan gaya dan bahasa anda sendiri.
• Tunjukkan beberapa gaya bahasa yang terdapat dalam puisi di atas.

iv. Ujian Kesusasteraan Aras Analisis berfungsi mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera. Kebolehan pelajar melihat perkaitan dan hubungan antara unsur-unsur yang dapat dikesan dan kebolehan menggunakan organisasi, susunan sistematik binaan, kesatuan yang membangunkan sesebuah karya sastera. Keupayaan menyelesaikan tugasan ini memberatkan identifikasi dan analisis terhadap unsur-unsur luaran dan dalaman (lahiriah dan batiniah) karya tersebut. Contoh soalan pada aras ini ialah :
• Bagaimanakah caranya pengarang melukiskan watak dan perwatakan setiap tokoh dalam novel Senjakala ?
• Bagaimanakah sifat-sifat watak utama novel Senjakala?
• Huraikan dengan contohnya sekali tema pokok dan tema sampingan, plot utama dan anak plot sebagaimana yang terdapat dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung.
• Jelaskan keberkesanan unsur-unsur bunyi dalam sajak yang berjudul Ketika Kami Bercerita Tentangnya karya Lim Swee Tin.

v. Ujian Kesusasteraan Aras Sintesis mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur karya sastera dan unsur-unsur antara karya sastera. Butiran soalan bagi mengukur kemampuan sintesis dapat dicontohkan seperti berikut:
• Jelaskan benarkah kaitan antara latar, perwatakan dan tema dalam novel Senjakala bersifat padu dan wajar.
• Jelaskan persamaan antara watak Saaman dalam Keluarga Gerilya dan Busat dalam novel Sandera.

vi. Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian adalah peringkat yang tertinggi dalam ukuran ujian aspek kognitif. Item-item ujian aras penilaian mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu karya sastera. Keupayaan berfikir aras penilaian ini antara lain berbentuk kemampuan menilai sesuatu perkara. Contoh soalan aras penilaian ialah:
• Bandingkan drama Anna karya Kemala dengan Jebat karya Hatta Azad Khan dari segi:
o Latar masa, latar tempat dan latar masyarakat yang terdapat dalam kedua-dua drama tersebut.
o Unsur-unsur kamanusiaan.
• Mengapakah sajak-sajak ciptaan Amir Hamzah dikira lebih menampakkan permainan kata-kata dibandingkan dengan sajak-sajak yang dihasilkan sebelumnya.


Ujian Kesusasteraan Kategori Moody
Aras ujian kategori Moody memang secara khusus direncanakan bagi menguji kesusasteraan dan ianya sama sekali berbeza dengan pendekatan Taksonomi Bloom.

i. Ujian Kesusasteraan Aras Informasi dimaksudkan berfungsi menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera. Contoh soalan yang boleh diuji antara lain:
• Siapakah pengarang novel Badai Semalam? Sekarang beliau tinggal di mana dan apakah pekerjaannya?
• Siapakah watak utama novel Badai Semalam? Ke manakah watak utama pergi di akhir cerita novel tersebut dan untuk apakah beliau pergi ke tempat baru tersebut?

ii. Ujian Kesusasteraan Aras Konsep berkaitan dengan persepsi bagaimanakah maklumat-maklumat atau unsur-unsur karya itu diorganisasikan. Unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya sastera adalah hal pokok yang dipersoalkan dalam ujian aras ini. Sebagai contoh di bawah ini diturunkan beberapa contoh soalan menguji pelajar pada aras konsep:
• Apakah hubungan antara Kinto dengan Noor, apakah hubungan antara Damid dengan Dasima? Apakah konflik atau masalah utama yang terdapat dalam novel tersebut? Apakah faktor yang selalu membebani penderitaan batin dan jiwa Kinto? Mengapakah Kinto begitu sayang kepada Noor dan Dasima? Mengapa Kinto akhirnya tidak dapat terlepas daripada perasaan kesal yang berpanjangan dalam hidupnya?

iii. Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif lebih diberi penumpuan kepada mendapatkan pandangan pelajar atau pembaca dengan karya sastera yang dibaca. Di bawah ini diturunkan beberapa soalan aras ujian perspektif:
• Apakah kesimpulan yang boleh anda buat dengan membaca novel Senjakala?
• Adakah sesuatu yang bersifat tipikal dalam novel Senjakala?
• Unsur apakah yang bersifat tipikal itu dan realiti kehidupan yang manakah yang anda maksudkan itu?

iv. Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi/Penghayatan selalunya berkisar pada permasalahan dan atau yang berkaitan antara bahasa sastera dengan linguistik. Item-item soalan yang dimaksudkan untuk mengungkapkan aras apresiasi ini seperti dicontohkan di bawah ini:
• Mengapakah Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan dan Azizi Hj. Abdullah dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung banyak memilih kata-kata dan ungkapan daerah utara (Kedah) bagi melahirkan maksud-maksud tertentu?
Dipungut beberapa buah sajak karya Amir Hamzah yang mengandungi kata-kata arkis, seperti dalam sajak “Hanya Satu”.
• Apakah fungsi dan efek penggunaan kata-kata arkaik dalam sajak itu?
• Seandainya kata-kata arkis itu digantikan dengan kata-kata lain yang ‘baru’, apakah ianya dikira tepat?


Soalan 3:
Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran sastera dalam bahasa Melayu.

Selain melaksanakan pengajaran, guru juga perlu menjalankan penilaian dan pengujian. Dalam usaha menilai dan menguji pemahaman pelajar terhadap sesebuah karya, beberapa aspek penting perlu diberi perhatian. Menurut Azman Wan Chik (1981) sebarang ujian mestilah menguji:
i. Penikmatan
ii. Penghayatan
iii. Pengalaman

Soalan-soalan boleh dibentuk secara objektif (aneka pilihan) seperti soalan pemahaman dan tatabahasa ataupun secara subjektif seperti melengkapkan teks, membuat rumusan, dan menulis karangan .Kedua-dua bentuk ini boleh dijalankan mengikut kesesuaian dan jenis ujian. Bagi peringkat menengah (Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia) terdapat kertas aneka pilihan dan secara subjektif dalam kertas Bahasa Melayu.

Bagi ujian biasa di dalam bilik darjah guru boleh menyediakan soalan ujian sendiri. Contohnya, soalan sastera yang bersifat subjektif boleh dibina mengikut kebolehan pelajar. Satu daripada caranya ialah menggunakan Taksonomi Bloom yang membahagikan objektif pendidikan kepada tiga bidang besar iaitu kognitif, afektif, dan psikomotor. Guru juga boleh menilai berdasarkan sudut yang difikirkan wajar seperti ketepatan memberi pendapat, membuat analisis, dan sebagainya.

Antara masalah dalam pengujian bahasa ialah:
• dialek yang berbeza
• tatabahasa
• falasi logik
• kekurangan kosa kata
• penulisan
• gaya

Semua pelajar dalam satu kumpulan atau tingkatan diuji dengan soalan atau masalah yang sama dan dengan cara yang sama di samping mendapat arahan yang sama. Markah atau skor yang diperolehi hasil daripada jawapan sesuatu ujian ialah sebagai indikator atau penunjuk numerik tentang prestasi pelajar. Numerik atau ketepatan inilah yang membedakan pencapaian antara pelajar dengan pelajar yang lain dan akan membantu guru membuat sesuatu keputusan berdasarkan ujian tersebut.

Maklumat daripada penilaian boleh digunakan untuk beberapa perkara. Pertama, guru dapat mendiagnos apakah kelemahan atau kekuatan bagi seseorang pelajar tentang sesuatu unit pelajaran atau sesuatu bahan sastera yang telah diajarkan di dalam kelas. Kedua, maklumat daripada penilaian boleh digunakan untuk memberi gred atau markah dan ketiga, untuk menempatkan pelajar dalam kelas-kelas tertentu mengikut aliran-aliran pengajian tertentu. Dalam konteks pendidikan, pencapaian objektif pengajaran boleh ditinjau dari tiga perspektif iaitu bidang kognitif, bidang afektif dan bidang psikomotor, tetapi adalah menjadi tugas guru untuk memastikan pelajar mereka menikmati dan menghargai apa yang telah dipelajari oleh pelajar.

Kesahan Ujian
Sesuatu ujian adalah sah jika ujian itu mengukur apa yang sepatutnya diukur. Contohnya jika sesuatu ujian sepatutnya mengukur penghayatan atau apresiasi pelajar terhadap suatu novel, soalan yang diajukan perlu ada kaitan dengan unsur penghayatan yang terdapat dalam novel tersebut, bukannya mengukur perubahan tingkah laku atau psikomotor pelajar tersebut. Begitu juga sekiranya guru ingin menguji tema yang terdapat dalam sesuatu bahan sastera, soalan yang diajukan mestilah berkaitan dengan tema.
Kesahan Isi
Terdapat beberapa cara untuk menentukan sama ada sesuatu ujian itu cukup sah dan berguna. Kaedah yang termudah ialah dari segi kesahan isi atau kandungan. Cara yang biasa digunakan adalah dengan menyemak sama ada soalan-soalan yang dikemukakan menepati isi yang patut diliputi oleh ujian tersebut. Kaedah ini adalah kaedah termudah bagi ujian untuk mengukur pencapaian kerana tidak sukar untuk menetapkan apa yang sepatutnya dimasukkan ke dalam isi sesuatu ujian. Bagi memudahkan lagi, seseorang guru yang hendak menggubal ujian sepatutnya merujuk pada objektif tingkah laku atau objektif perlakuan dan pelan tindakan atau jadual penentuan bagi memastikan soalan-soalan yang perlu dimasukkan ke dalam ujian. Satu masalah tentang kesahan isi adalah dari segi ujian yang kelihatan sah tapi sebenarnya tidak sah kerana ujian tersebut tidak mengukur apa yang sepatutnya diukur. Oleh itu, kesahan isi menjadi keperluan penting bagi sesuatu ujian yang berguna.
Kesahan Kriteria
Satu lagi bentuk kesahan ialah kesahan kriteria. Dalam menentukan kesahan kriteria, skor dari sesuatu ujian dikolerasikan dengan sesuatu kriteria luaran. Terdapat dua jenis kesahan kriteria iaitu kesahan serentak kriteria dan kesahan prediktif kriteria. Kesahan serentak kriteria melibatkan ukuran yang boleh dilaksanakan serentak dengan ukuran yang hendak disahkan. Kesahan prediktif kriteria merujuk pada setakat mana ujian itu dapat meramal tingkah laku pelajar pada masa hadapan. Bentuk kesahan ini contohnya amat berguna bagi ujian bakat yang cuba untuk meramal atau menjangkakan setakat mana pelajar yang menduduki ujian akan berjaya pada situasi akan datang.
Kebolehpercayaan Ujian
Konsep kebolehpercayaan memberi jawapan kepada soalan “Adakah hasil ujian itu boleh dipercayai?” atau “Adakah jawapan yang diberikan tidak berubah-ubah dan dapat mencerminkan kemahiran serta kebolehan pelajar?” atau “Adakah ujian yang diberi menghasilkan skor yang sama?” Ujian yang boleh dipercayai adalah ujian yang akan menghasilkan markah yang sama atau hampir sama apabila ujian tersebut diberi kepada pelajar yang sama berulang kali. Konsep kebolehpercayaan sesuatu ujian dibincang berdasarkan ciri ketekalan dan boleh ditelah (dependable). Contohnya, guru menyediakan satu ujian tentang watak yang terdapat dalam sesuatu karya cerpen. Untuk menentukan ujian itu tekal dan boleh dipercayai, guru tersebut boleh memberikan ujian itu sebanyak dua kali kepada pelajar yang sama. Ujian kedua diberi satu atau dua minggu selepas ujian pertama. Jika markah setiap pelajar dalam ujian pertama dan ujian kedua adalah lebih kurang sama, maka ujian itu dianggap tekal atau stabil. Selain daripada itu, hasil daripada penyediaan dan pentadbiran ujian tersebut dapat memberi maklumat yang boleh diguna pakai pada masa akan datang. Ujian yang telah dipastikan kebolehpercayaannya boleh digunakan pada masa akan datang untuk mengesan tahap kemahiran dan kebolehan pelajar serta menentukan persediaan lain yang diperlukan. Kedua-dua aspek tersebut (ketekalan dan boleh ditelah) merupakan aspek kebolehpercayaan yang penting.


Soalan 4:
Bina 5 soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah anda.

Soalan 1 : Puisi Tradisional – Pantun / Syair
PANTUN KANAK-KANAK

Baca pantun di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Jangan gergaji pohon
talas,
Nanti lesung dimakan pahat;
Jangan menjadi orang malas,
Perut kosong badan tak sihat.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendaklah dicari,
Apa yang dapat jangan dilupa.

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pokok kelapa ;
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada saudara, ibu dan bapa.

1. Berikan maksud rangkap pertama pantun ini.
A Orang yang malas tidak dapat menyara hidupnya dengan sempurna.
B Orang yang malas selalu mendapat sakit perut.
C Orang yang malas selalunya berpunca daripada badan yang tidak sihat.
D Orang yang malas selalunya berpunca daripada perutnya yang selalu sakit.

2. Apakah yang perlu dilakukan apabila kita telah mendapat ilmu ?
A Kita perlu mengamalkan ilmu itu untuk mencari kekayaan dan hidup mewah di dunia.
B Kita perlu mengucapkan terima kasih selepas mendapat ilmu daripada guru.
C Kita perlu mencari guru yang telah mengajar kita itu.
D Kita tidak melupakan pengajaran yang telah diperoleh.

3. Antara nilai kemanusiaan yang terdapat dalam pantun ini ialah...
A kerajinan.
B kesyukuran.
C kesetiaan.
D keadilan.

4. Apakah rima akhir pantun ini?
A abcd
B abab
C abba
D aabb

5. Yang berikut merupakan antara pengajaran yang dapat diperoleh daripada pantun ini, kecuali…
A sikap rajin perlu disemai sejak kecil lagi.
B ilmu penting untuk dipelajari sebagai bekalan hidup.
C kanak-kanak yang cerdas selalunya akan berjaya dalam hidup.
D kita perlu menunaikan tanggungjawab terhadap kedua-dua ibu bapa dan saudara mara.


Soalan 2 : Sajak – SEORANG GURU TUA, Gunawan Mahmood

Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Guruku yang baik
masih lagi mengajar
sedang aku kini sudah besar
dulu wajahnya muda
kini rambut memutih kepala
ada anak-anak muridnya
sudah menjadi menteri
ada anak-anak muridnya
kini memegang jawatan tinggi
tidak kurang pula
bergelar usahawan berjaya.

Guruku yang baik
masih di situ
masih memandu kereta lama
masih menuju sekolah yang sama
tiada kelihatan jemu
dari air mukanya
tiada kedengaran bosan
dari suara bibirnya
dia gigih menggenggam
tanggungjawab yang diamanahkan.

Seorang guru tua
dia masih di situ
berdiri sebagai guru
menabur jasa-jasa
dialah pendidik bangsa!

1. Perubahan nyata yang telah berlaku terhadap guru penyajak ialah…
A anak-anaknya sendiri sudah menjadi menteri.
B ada anaknya yang sudah menjadi usahawan.
C wajahnya sudah tua dan rambutnya sudah beruban.
D anak-anaknya juga sudah berjawatan tinggi.

2. Yang berikut merupakan antara penyataan yang benar tentang guru penyajak, kecuali…
A masih bertugas di sekolah yang sama.
B memiliki kereta yang sama seperti dahulu.
C masih setia dan tidak bosan dengan tugasnya.
D mendapat anugerah tertinggi dalam bidang pendidikan.

3. Frasa suara bibirnya dalam sajak ini ialah gaya bahasa…
A simile.
B personifikasi.
C peribahasa.
D hiperbola.


4. Apakah persoalan yang hendak dipaparkan oleh penyajak dalam sajak ini?
A Pendidik yang sangat mencintai ilmu.
B Dedikasi seorang pendidik walaupun sudah berusia.
C Kebanggaan anak kampung yang berjaya dalam bidang pendidikan.
D Perasaan megah seorang pendidik apabila berjaya melahirkan anak-anak muridnya yang kini berjawatan tinggi.

5. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penyajak dalam sajak Seorang Guru Tua ini?
A Setiap orang perlu bercita-cita untuk menjadi guru.
B Janganlah mudah melupakan kisah silam dalam hidup.
C Kita hendaklah menghormati insan yang banyak berjasa kepada masyarakat.
D Anggota masyarakat patut menambahkan pengetahuan dengan belajar.


Soalan 3 : Prosa Tradisional – TUJUH PUTERI TURUN KE DUNIA

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Maka Tuanku Malim Deman pun segeralah berangkat pergi merupakan dirinya orang tua yang teramat buruknya membawa sebaur kail lalu menghendap perlahan-lahan dekat ke tempat kain-kain layang dan baju layang Tuan Puteri Bongsu itu lalu diambilnya. Setelah dapat kepadanya ia pun langsung berjalan ke hilir sungai itu lalu mengail. Hatta, seketika lagi tuan puteri pun naiklah dari bersiram, tuan puteri enam pun lalulah bersalin kain basahan lalu memakai kain layang baju layangnya. Maka Tuan Puteri Bongsu pun naiklah bersalin kain basahan serta hendak memakai kain layang baju layang, dilihatnya sudah tiada, rata-rata dicarinya tiada dapat juga. Maka kata puteri enam, “Ayuhai adinda adik bongsu, sungguhlah seperti perkataan pantun adinda tadi: malam tadi kita berkampung adik-beradik; malam ini jikalau tiada dapat kain layang baju layang itu, tentulah kita bercerai, kerana kakanda yang keenam ini hendak kembalilah ke kayangan. Hari pun sudah petang; takut dimurkai oleh ayahanda bonda pula."
Telah didengari oleh Tuan Puteri Bongsu lalu ia menangis teramat sangat terkenangkan untung nasibnya sampai ia mencari kain layang baju layang juga ke sana ke mari ; tiada berhenti tiadalah dapat juga. Maka tuan puteri enam pun seraya bersabda, "Tinggallah adik bongsu, kakanda kembali ke kayangan, bolehlah kakanda sembahkan kepada ayahanda bonda akan hal adinda itu, jikalau ada upaya mengambil adinda."
Maka puteri enam pun langsung melayang ke kayangan masuk ke dalam istana mempersembahkan hal ehwal Puteri Bongsu itu. Maka sangat hairanlah ayahanda bonda mendengar dia, sepatah pun tiada apa katanya, diam sahaja.
Kalakian, tersebutlah perkataan Tuan Puteri Bongsu, antara beberapa lama ia mencari kain layang baju layang itu, ia pun berjalan ke hilir air itu. Maka dilihatnya seorang orang tua laki-laki mengail. Maka Tuan Puteri Bongsu pun segeralah datang mendapatkan orang itu seraya bersabda, "Ayuhai bapa, orang pengail adakah menengok kain layang baju layang saya tersangkut kepada ukiran taman itu ?"
(Antologi Sehijau Warna Daun,
halaman 29-30.)


1. Bagaimanakah cara Tuanku Malim Deman mengambil baju layang dan kain layang Tuan Puteri Bongsu ?
A menyamar sebagai seorang jejaka yang kacak
B bersembunyi di balik pokok-pokok di dalam taman itu
C menyamar diri menjadi seorang tua yang membawa kail
D meminta pertolongan daripada Nenek Kebayan untuk mengambilnya

2. Mengapakah puteri enam hendak pulang segera ke kayangan?
A kerana hendak meminta bantuan daripada ayahanda dan bondanya
B kerana hendak membantu Tuan Puteri Bongsu mencari baju dan kain layangnya
C kerana hendak mengambil kain dan baju layang yang lain
D kerana takut dimurkai oleh ayahanda dan bondanya

3. Berdasarkan petikan, kata berangkat dan bersiram ialah gaya bahasa…
A istana.
B klasik.
C peribahasa.
D asing.

4. Berdasarkan petikan, Tuan Puteri Bongsu ialah puteri yang…
A suka bernyanyi.
B penyedih.
C kuat azam.
D mudah marah.

5. Yang berikut merupakan antara nilai kemanusiaan yang terdapat dalam cerita Tujuh Puteri Turun ke Dunia, kecuali…
A hormat orang tua.
B gigih dan sabar.
C berbudi bahasa.
D kesyukuran.


Soalan 4 : Cerpen – ANAK BUMI TERCINTA, Fatimah Busu

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Matain melihat anak-anak terung pada batasnya. Ada dua pohon yang lebih besar daripada semua pokok terung di batas Sitiawa. Tingginya sudah lebih sejengkal. Pokok-pokok terung itu nampak layu dan tidak bermaya dalam panas terik tengah hari begitu. Matain tunduk mencabut sebatang pokok pegaga kecil pada umbi sebatang pokok terungnya.
Beberapa minggu dulu bapak membawa balik sekotak besar anak-anak terung yang hijau dan lemah. Besarnya cuma dua ruas jari. Lalu emak semaikan di dalam kerek daun kelapa yang dibuat bulat-bulat seperti kerek untuk bubuh manisan kelapa. Sungguh cantik kerek-kerek yang dibuat oleh emak. Emak atur kerek-kerek itu pada tempat lapang di belakang rumah. Matain tolong mengangkut dari hadapan tangga. Dan Matain tolong ambil air dari telaga untuk buat siram anak-anak terung yang baru disemai.
Pagi-pagi limun sebelum orang lain bangun, Matain sudah turun ke tanah melihat semaian anak-anak terung di dalam kerek di belakang rumah. Semua anak terung segar dan hijau. Matain amat gembira.
"Anak terung hidup segar, mak! Bagus betul! Tain mahu siram acap-acap!"
Kemudian bapak pergi seperti biasa membawa pulang alat-alat buat rumah. Emak membekalkan nasi untuk makan tengah hari yang dibubuh ke dalam periuk besi putih. Kemudian Kak Jarah dan Sitiawa pula pergi ke sekolah. Lepas itu Abang Jali pula pergi kerja pukul kain batik di Panambang. Pagi itu, Matain tidak cuba tolak basikal Abang Jali seperti pagi-pagi yang lain. Biasanya, Matain buat begitu untuk bergurau senda dengan Abang Jali. Kemudian seperti pagi-pagi yang lain,juga, dia tinggal berdua dengan emak di rumah untuk separuh hari sebelum Kak Jarah dan Sitiawa balik dari sekolah.
"Mari kita pergi bersihkan kebun ubi ketela. Kita tanam terung."
Matain bersorak-sorak riang mendengar emak mengajaknya ke kebun untuk tanam terung. Matain pakai seluar cepat-cepat. Emak sudah membawa cangkul dan parang. Matain ikut terkedek-kedek di belakang emak.
Emak mula membersihkan batas ubi ketela yang sudah digali dengan cangkul. Matain cabut pokok-pokok bayam peraksi dan membalingkannya ke luar pagar kebun.
(Antologi Anak Bumi Tercinta, halaman 128-129.)

1. Yang berikut merupakan keadaan anak-anak terung di batas Matain, kecuali…
A dua pokok terungnya lebih besar daripada pokok terung Sitiawa.
B tinggi pokok terung itu melebihi satu jengkal.
C anak-anak terungnya itu lebih subur daripada anak-anak terung Sitiawa.
D pokok-pokok terung itu kelihatan layu akibat terkena pancaran matahari.

2. Frasa pagi-pagi limun bermaksud…
A awal-awal pagi.
B tiap-tiap pagi.
C selepas waktu pagi.
D pagi semalam.


3. Berdasarkan petikan, perwatakan Matain yang menonjol adalah…
A jujur.
B rajin.
C suka menolong orang.
D menghormati orang lain.

4. Apakah gambaran masyarakat yang dipaparkan oleh pengarang dalam petikan cerpen di atas?
A masyarakat yang mengamalkan semangat kejiranan dan tolong-menolong antara satu sama lain
B masyarakat yang percaya akan kepercayaan tradisional dalam kehidupan
C masyarakat yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran dengan pekan
D masyarakat yang tinggal di tepi pantai dan bekerja sebagai nelayan yang mencari rezeki di laut.

5. Apakah tema cerpen Anak Bumi Tercinta?
A kehidupan masyarakat kampung yang miskin dan mengharungi rintangan dalam
meneruskan hidup
B pergaduhan sesama adik-beradik hingga menimbulkan pergolakan keluarga
C kehidupan sebuah keluarga yang dihujani pelbagai masalah
D pertengkaran kecil yang membawa kepada kematian


Soalan 5 : Drama – ANGIN, Basaruddin Abd. Razak

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

MATAHARI: (Marah bukan main) Cis! Angin. Kau pun apa kurangnya? Kau seperti lupa bahawa zaman sekarang tidak perlu ada kau lagi. Untuk mendinginkan tubuh manusia, mereka telah mencipta kipas angin dan penyaman udara!
ANGIN: Ahhhhhhh, bagaimana kalau penyaman udara mereka rosak? (Mengejek sinis) Tentu mereka akan memanggil aku. "Wahai angin, datanglah kau!Duhai Angin, berhembuslah… (Tersenyum lebar) Datanglah bertiup sepoi-sepoi bahasa, agar kami merasa nikmatnya…."
MATAHARI:Kau hanya berangan-angan, Angin! (Mengejek jijik) Kau juga lupa jika pakaian mereka lembap, mereka juga akan memanggil aku kau tahu?(Menyindir) Lalu mereka pun berkata dan merayu kepadaku. "Wahai Matahari, muncullah segera engkau untuk mengeringkan pakaianku.Muncullah Matahari, Matahariku tersayang!"
ANGIN : (Gelak-gelak mengejek) Nampaknya antara kita … tidak ada siapa pun yang mahu mengalah. Kita perlu beradu nasib. Aku cadangkan, satu pertandingan yang khusus perlu dilangsungkan. Dan kita mesti memanggil saksi-saksi serta panel hakim bagi penentuan. (Tersenyum lebar).
MATAHARI:(Mengangguk) Cadanganmu baik sekali! Dan aku terima cabaran itu! Sudahlah Angin. Memang dasar kamu begitu. Bila baik semuanya hakmu. Tapi kau jangan pula lupa, akibat kau juga manusia sering bergaduh! Ya, mereka mengatakan adanya khabar-khabar angin membuatkan fitnah berleluasa! Tapi tidak ada pula khabar matahari yang mengadu-dombakan manusia. Betul tak? (Menudingkan jarinya kepada Angin).
ANGIN: (Marah semula dengan meninggikan suaranya) Hei, Matahari! Kau masih berdegil, ya. Nanti aku akan panggilkan teman setiaku Ribut untuk menghapuskan kamu semua, baru padan muka kau itu…. (Ketawa bangga).
(Antologi Seuntai Kata untuk Dirasa, halaman 134)

1. Mengapakah Matahari mengatakan bahawa manusia tidak memerlukan Angin lagi pada masa kini?
A Manusia tidak memerlukan angin untuk meneruskan hidup.
B Manusia sendiri boleh menghasilkan angin tiruan.
C Manusia tidak memerlukan angin kerana angin yang kuat akan memusnahkan mereka.
D Manusia sendiri sudah ada banyak angin di dalam rumah.

2. Apakah kebaikan Matahari kepada manusia?
A menerangi alam semesta
B memberikan tenaga solar
C mengeringkan air hujan
D memudahkan pakaian dikeringkan

3. Berdasarkan petikan drama Angin, penyataan yang manakah yang tidak benar tentang perwatakan Matahari?
A sombong dan angkuh
B suka mengalah tetapi ganas
C suka membuat tuduhan
D suka mencabar orang lain

4. Latar masa peristiwa yang digambarkan dalam petikan drama Angin ini berlaku pada..
A waktu siang.
B waktu malam.
C waktu senja.
D waktu subuh.

5. Yang berikut merupakan antara mesej yang dapat diperoleh daripada drama Angin karya Basaruddin Abd. Razak, kecuali….
A setiap orang yang melakukan kekejaman pasti akan menerima balasannya.
B kita hendaklah menolong orang yang memerlukan bantuan dengan jujur.
C janganlah suka merendah-rendahkan kemampuan atau kebolehan orang lain.
D kelebihan yang ada pada diri kita harus digunakan untuk tujuan kebaikan.




Soalan 5:
2 cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa kini.
i. Pihak sekolah seharusnya memilih guru yang terlatih dalam bidang bahasa dan kesusasteraan untuk mengajarkan mata pelajaran ini. Guru bahasa Melayu bukanlah boleh dipilih sewenang-wenang sebaliknya dia mestilah terlatih dan membuat persediaan yang cukup.

Untuk lebih mendalami teks ini, buku-buku rujukan tambahan boleh digunakan selain bantuan bahan bacaan yang lain seperti majalah dan akhbar. Antaranya ialah majalah Dewan Siswa, Fokus, Dewan Sastera, dan Pelita Bahasa. Akhbar harian dan mingguan juga banyak membuat ulasan dan panduan tentang teks-teks yang dikaji seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Terdapat berbagai-bagai pendekatan, kaedah, dan teknik yang boleh digunakan dalam pengajaran kesusasteraan atau komponen sastera dalam bahasa ini. Fokus utama pendekatan ialah penekanan kepada isi dan tema serta keupayaan pelajar berdiri sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada guru.

Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah pendekatan sejarah (historis), pendekatan sosiologi (kemasyarakatan), pendekatan antropologi, psikologi, biografi, formal/struktural, dan moral. Selain itu dalam pengajaran dan pembelajaran pula, pendekatan deduktif, pendekatan induktif, dan pendekatan berfikir boleh digunakan.

Pada asasnya terdapat empat kaedah pengajaran kesusasteraan yang diterima pakai oleh kebanyakan guru dan juga disarankan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Keadah-kaedah tersebut ialah kaedah global, struktural, berfokus, dan mengalami serta menghayati.

Kaedah global merupakan kaedah pengajaran kesusasteraan yang konvensional. Kaedah ini memerlukan guru mengajar kesusasteraan secara keseluruhan teks. Pelajar seharusnya membaca dan mengetahui terlebih dahulu struktur karya.

Kaedah struktural memerlukan pengajaran mengikut srutktur karya dari sudut tema, plot, watak, latar, bahasa, dan sebagainya. Kaedah ini amat perlu untuk memperkenalkan pelajar tentang aspek-aspek struktur karya yang dikaji.

Kaedah berfokus pula diperkenalkan oleh PPK iaitu guru boleh memilih fokus pengajaran yang utama atau sampingan. Ini dapat membenarkan guru dan pelajar memberi perhatian terhadap aspek yang hendak diajarkan. Kaedah ini memudahkan pelajar memahami aspek yang harus diberi tumpuan.

Kaedah mengalami serta menghayati pula diharapkan dapat para pelajar menghayati karya beradasrkan pengalaman yang dialami dan juga mengaitkannya dengan pengalaman teman-teman atau orang lain berdasarkan karya yang dikaji. Kaedah ini memudahkan pemahaman sekaligus menjadikannya menarik.

Teknik pula ialah tindakan melaksanakan pendekatan dan kaedah yang telah difikir dan dirancang oleh guru. Ia adalah pelaksanaan sebenar di dalam bilik darjah. Teknik dapat direalisasikan di dalam kelas menjadi aktiviti. Beberapa teknik yang sesuai boleh digunakan oleh guru. Guru mestilah memikirkan teknik setelah membaca karya yang dikaji atau dibincangkan lalu memikirkan teknik mana yang mudah dijalankan selain menarik minat dan mengesankan.

Teknik merupakan perlaksanaan pengajaran dalam bilik darjah. Sama ada berjaya atau tidak teknik itu bergantung kepada praktikalnya juga kerjasama guru dengan pelajar serta faktor-faktor lain. Antara teknik yang popular dan sesuai dijalankan ialah teknik sketsa, teknik membaca teks, teknik bercerita, berlakon, mendengar rakaman, bersoal-jawab, perbincangan, ceramah, penerangan, tugasan, seminar, perbengkelan, dan ‘group-programme’.

Dalam teknik sketsa sebagai contoh, kaedah yang digunakan ialah keadah berfokus untuk mendalami tema dan watak utama sesebuah novel. Pelajar diminta membaca novel tersebut terlebih dahulu. Pelajar dipecahkan kepada beberapa kumpulan lalu berbincang tentang tema dan watak utama novel tersebut. Kemudian mereka dikehendaki membuat lakaran atau sketsa apa sahaja bentuk lukisan yang difikirkan memberi maksud tentang tema cerita tersebut. Seterusnya ketua kumpulan menjelaskan maksud sketsa atau lakaran kumpulannya di hadapan kelas. Pelajar lain boleh menambah atau memberi komen sebelum guru membuat ulasan dan pandangan.

ii. Para pelajar juga seharusnya bersedia untuk mendalami teks dan bahan yang dimestikan. Perbincangan, pendapat, komen, dan cetusan idea baru sangat perlu untuk menyemarakkan lagi bahasa dan sastera di dalam dan di luar kelas.

Faktor seperti kesediaan dan psikologi turut berperanan mempengaruhi pembelajaran. Kebanyakan pelajar tingkatan satu misalnya, masih belum mendalami kesusasteraan dan masih suka membaca cerita kanak-kanak. Apabila masuk ke sekolah menengah, mereka diperkenalkan dengan novel remaja dan ini menyebabkan mereka terasa agak ‘berat’. Namun begitu, pendekatan guru seharusnya lebih menenangkan dan menjadikan perkara baru itu tidak membosankan mereka. Tidak dinafikan peringkat awal ini adalah fasa terpenting pembelajaran komponen sastera.

Teks sastera yang digunakan tidaklah membebankan. Bagi tingkatan satu, novel yang digunakan (mengikut zon) ialah Meniti Kaca ataupun Anak Din Biola juga Aku Anak Timur. Novel-novel ini mengangkat tema kemanusiaan yang mudah difahami di samping penggunaan gaya bahasa dan teknik yang tidak begitu mencabar. Jadi, para pelajar diharap dapat menguasai teks dengan baik sehinggalah pembelajaran berlangsung dengan lancar.

Latar belakang pelajar yang berbeza juga mempengaruhi penerimaan sesuatu teks terhadap pelajar. Setiap novel atau karya sastera memaparkan kisah yang mengambil latar tertentu. Antaranya latar kampung, bandar, luar negara, dalam pesawat, kampus, dan sebagainya. Dalam kalangan pelajar, pengalaman tentang latar-latar tersebut mungkin tidak mereka miliki. Contohnya latar sungai atau kampung kurang didalami oleh pelajar yang menetap di bandar besar. Begitu juga kisah yang berkaitan budaya orang Melayu yang sukar difahami oleh kaum lain.

Dr. Misran Rokimin (1999) menyatakan, “Memang tidak dinafikan bahawa kecenderungan dan penerimaan novel tersebut mungkin ada perbezaan antara etnik. Umpamanya, bagi etnik Melayu, tidak timbul masalah menginterpretasi novel ini kerana berlaku dalam ‘milieu’ mereka, tetapi bagi etnik bukan Melayu, timbul sedikit kesulitan kerana latar, budaya, istilah yang berbeza dengan persekitaran mereka. Namun ini bukanlah benteng penghalang, kerana dilihat secara keseluruhan novel ini masih bersifat sejagat.” (Dr. Misran mengulas tentang penggunaan sebuah novel bagi tingkatan empat).

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, guru perlu bijak membaca suasana dan menggunakan kreativitinya untuk melaksanakan kaedah dan teknik yang sesuai. Ini penting untuk lebih mendekatkan pelajar agar tercapai objektif pengajaran dan pembelajaran.




Bibliografi:


1. Abdul Aziz Abdul Talib. 1996. Cetakan Ketiga. Menguji Kemahiran Bahasa: Prinsip, Teknik dan Contoh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Abu Bakar Nordin. 1995. Penilaian Afektif. Kajang: Masa Enterprise.

3. Bhashah Abu Bakar. 2003. Asas Pengukuran Bilik Darjah. Tg. Malim: Quantum.

4. Lado, R. (1962). Language Testing. New York: McGraw Hill.

5. Marohaini Yusoff. 1999. Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

6. Mohd. Khir Kassim. 2006. KOMSAS: Ulangkaji Total. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

2009 Januari 28 21:32

Normidza

Normidza binti Md.Kamel
SM Sains Kuala Selangor
Bandar Malawati
45000 Kuala Selangor
019-3307172

Soalan 1 - Kandungan kursus sastera dalam pengajaran bahasa Melayu

Pembelajaran unsur sastera bagi murid-murid sekolah mula diberikan penekanan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu 1988 sebagai unsur sastera. Mulai tahun 2000, pembelajaran unsur sastera dimantapkan melalui pelaksanaan komponen kesusasteraan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam pelaksanaannya, beberapa teks telah dipilih sebagai teks wajib oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Antara objektif pelaksanaannya ialah:
1.Meningkatkan dan mengukuhkan minat membaca pelbagai genre sastera
2.Mengenal, menghayati dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis

Komponen sastera dalam pengajaran bahasa Melayu harus difahami dengan tepat,iaitu:
1.Komponen ini bukan untuk mengajar sastera dalam kelas bahasa Melayu
2.Komponen sastera merupakan wahana untuk mencapai matlamat pendidikan bahasa Melayu iaitu mewujudkan ketrampilan berbahasa Melayu, serta penggunaan sistem bahasa

Penggunaan teks komponen sastera dalam pengajaran bahasa Melayu :
1.Memperkenalkan tema, persoalan, gaya bahasa, plot,pengajaran, dan sebagainya secara tidak terperinci dalam pengajaran bahasa Melayu
2.Teks dan karya sastera yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan bahan bantu mengajar bagi mencapai hasil pembelajaran
3.Bahan dalam teks komponen sastera digunakan sebagai bahan untuk mengajarkan tatabahasa dan mengembangkan kosa kata pelajar
4.Penggunaan teks komponen sastera mampu merealisasikan kemahiran bernilai tambah yang sesuai sama ada kemahiran berfikir, teknologi maklumat dan komunikasi, belajar cara belajar, kajian masa depan, kontekstual, konstruktivisme ata kecerdasan pelbagai

Teks Komponen Sastera dalam pengajaran bahasa Melayu
Bagi memantapkan lagi pengajaran sastera dalam bahasa Melayu, beberapa teks satera telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk dikaji dan dihayati oleh para pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Teks Komponen Sastera – Antologi dan Novel
Dalam pengajaran bahasa Melayu, teks antologi komponen sastera yang digunakan adalah berbeza mengikut tingkatan. Teks ini mengandungi puisi tradisional,puisi moden (sajak), prosa tradisional, cerpen dan drama. Antara teks yang digunakan ialah :
Tingkatan satu : Antologi Sehijau Warna Daun
Tingkatan dua : Antologi Seuntai Kata untuk Dirasa
Tingkatan tiga : Antologi Anak Bumu Tercinta
Tingkatan empat : Antologi Anak Laut
Tingkatan lima : Antologi Kerusi

Manakala novel yang dikaji oleh para pelajar adalah berbeza mengikut zon masing-masing. Antara novel yang dikaji :

Tingkatan satu :
1. Anak Din Biola(Maraof Mahmud)
2. Aku Anak Timur (Siti Aminah Haji Yusuf)
3. Limpahan Darah di Sungai Semur (Zakaria Salleh)
4. Meniti Kaca (R.Sabarudin R.Abdullah)

Tingkatan dua :
1. Pahlawan Pasir Salak (Mohd Ismail Sarbini)
2. Tragedi Empat Disember (Dzulkarnain Ithnain)
3. Timulak Kapal Perang (Azman Nordin)
4. Kapten Hasan Wira Bangsa (Harun Johari)

Tingkatan tiga :
1. Panas Salju (Talib Ismail)
2. Merdeka!Merdeka! (A.Rahman Hanafiah)
3. Ekspedisi (Mohd Ghazali Tocheh)
4. Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznah Nordin)

Tingkatan empat :
1. Bukit Kepong (Ismail Johari)
2. Terminal Tiga (Othman Puteh)
3. Perlumbaan Kedua (Marwillis Haji Yusuf)
4. Di hadapan Pulau (A.Samad Ismail)

Tingkatan lima :
1. Konserto Terakhir (Abdullah Hussin)
2. Seteguh Karang (Tuan Faridah Syed Abdullah)
3. Julia (Abu Hassan Morad)
4. Putera Gunung Tahan (Ishak Haji Muhammad)

Soalan 2 - Sepuluh perkara penting dalam kuliah pada 24 Januari 2009.

Penilaian dalam Pengajaran Bahan Sastera

Proses pengajaran merupakan satu pedaran yang berterusan dan melibatkan tiga proses yang utama iaitu objektif pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, dan penilaian yang dilaksanakan untuk menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Tujuan ujian
1. Mendapatkan kembali maklumat yang telah disampaikan kepada pelajar semasa proses pengajaran
2. Memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan di dalam bilik darjah telah tercapai
3. Menggredkan pelajar berdasarkan pencapaian yang diperoleh melalui penilaian yang dilakukan
4. Memotivasikan para pelajar untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam ujian yang dilaksanakan
5. Menempatkan pelajar berdasarkan tahap kemampuan intelektual (IQ).

Ciri-ciri Ujian
1. Kesahan ujian. Ujian yang dilaksanakan mestilah menggambarkan perkara-perkara yang hendak diuji. Kandungan ujian juga mestilah meliputi apa-apa yang telah dipelajari dan diajar kepada pelajar.
2. Kebolehpercayaan atau kestabilan.Setiap soalan dalam ujian mestilah tepat dan mengandungi ukuran tertentu yang mesti dipatuhi. Contohnya, pemberian markah untuk setiap soalan mestilah sama untuk semua pelajar.
3. Keobjektifan atau ketepatan ujian. Soalan-soalan yang dibina mestilah berbentuk objektif iaitu tidak memberi peluang kepada pelajar untuk membuat tanggapan/interpretasi yang berlainan terhadap soalan yang sama. Oleh itu, skema jawapan yang selaras hendaklah disediakan untuk setiap ujian/peperiksaan yang dilaksanakan.

Jenis-jenis Pengujian
Terdapat empat jenis pengujian :
1. Ujian penempatan. Ujian ini dilaksanakan untuk menempatkan pelajar berdasarkan syarat-syarat yang diperlukan untuk sesuatu kursus. Contohnya, ujian bertulis untuk penempatan pelajar ke tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
2. Ujian Formatif. Ujian yang dilakukan dari semasa ke semasa untuk menilai tahap kemampuan pelajar.
3. Ujian Diagnostik. Ujian yang dilakukan untuk mencari punca kelemahan pelajar.
4. Ujian Sumatif. Ujian yang dilaksanakan dengan tujuan penggredan dan pensijilan. Contohnya Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aras Penilaian
Aras penilaian dalam penilaian bahan sastera terbahagi kepada tiga, iaitu:
1. Penilaian Domain Kognitif. Penilaian jenis ini memerlukan proses pengetahuan berfikir. Aras soalan yang dikemukakan bermula daripada soalan aras rendah ke aras soalan yang lebih tinggi (kompleks). Terdapat pelbagai bentuk ujian yang boleh dikemukakan seperti soalan aneka pilihan, subjektif, lisan, penulisan, kuiz, dan sebagainya.
2. Penilaian Domain Afektif. Penilaian ini melihat hubungan dan perkaitan masalah sikap, pandangan, dan nilai-nilai yang didokong oleh seseorang. Penilaian domain ini dapat diuji dan dikesan melalui aktiviti wawancara, pengamatan terhadap tingkah laku sesaorang ataupun aktiviti secara bertulis. Pengukuran dilakukan dengan menggunakan skala Likert, contohnya sangat setuju (ss),setuju (s), amat tidak setuju (ats), tidak setuju (ts), dan sangat tidak setuju (sts), serta menggunakan pilihan jawapan ya atau tidak.
3. Penilaian Domain Psikomotor. Penilaian yang dilakukan ada hubungan dengan aktiviti otot dan pergerakan otot. Contohnya latihan fizikal untuk individu yang memohon untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Aras-aras ujian
Dalam penilaian bahan sastera terbahagi kepada dua kategori yang boleh digunakan dalam pengujian iaitu Kategori Moody dan Taksonomi Bloom.

A. Kategori Moody
Aras ujian Kategori Moody dikhususkan untuk menguji kesusasteraan dan pendekatannya adalah berbeza daripada pendekatan Taksonomi Bloom. Aras ujian Kategori Moody terbahagi kepada empat iaitu aras informasi, aras konsep, aras perspektif, dan aras apresiasi. Aras-aras ini diatur daripada aras yang sederhana sehingga ke aras yang semakin kompleks.Ujian Kategori Moody juga berorientasikan kepada sesuatu karya secara konkrit.

1. Ujian Kesusasteraan Aras Informasi
• Aras ini berfungsi untuk menguji kemampuan pelajar terhadap perkara-perkara dasar atau asas berhubung dengan sastera.
• Perkara-perkara asas ini boleh memberi maklumat berkenaan sesuatu karya dan boleh membantu pelajar membuat tafsiran tentang sesebuah karya sastera.
• Soalan sering berkaitan dengan apa, di mana, siapa, bagaimana, dan bila.
• Ujian aras ini memudahkan guru membina soalan kerana soalan yang dikemukakan merujuk kepada karya sastera yang telah diajar dan para pelajar hanya perlu melakukan aktiviti hafalan bagi mengingati kembali fakta-fakta penting dalam karya yang diuji.
• Ujian aras ini ada persamaan dengan Ujian Kognitif aras ingatan pada Taksonomi Bloom.
• Contoh soalan : Siapakah nama pengarang novel Konserto Terakhir? Sekarang beliau tinggal di mana dan apakah pekerjaannya?

2. Ujian Kesusasteraan Aras Konsep
• Soalan aras ini berkaitan dengan persepsi bagaimana maklumat-maklumat atau unsur-unsur karya sastera diorganisasikan.
• Unsur-unsur dalam sesebuah karya merupakan isu pokok yang akan dipersoalkan.
• Pelajar perlu mempunyai asas teori dan harus membaca karya yang dikaji secara kritikal, analitis ,dan bacaan matang.
• Kemampuan kognitif pelajar mestilah sehingga ke aras menganalisis dan menghubungkan pelbagai unsur dalam sesuatu karya.
• Soalan aras ini tidak hanya bersifat teori tetapi berorientasikan pada karya yang dikaji sama ada berbentuk prosa ataupun puisi.
• Contoh soalan : Apakah hubungan antara Helmi dan Dato’ Johari? Mengapakah Datin Salmah begitu benci akan Helmi?

3. Ujian Kesusasteraan Aras Perspektif
• Ujian aras ini memberi tumpuan kepada bagaimana pelajar memberikan pendapat atau pandangan mereka tentang karya yang dikaji.
• Pendapat dan pandangan pelajar akan ditentukan oleh tahap pemahaman mereka terhadap karya yang dibaca.
• Ujian aras ini memerlukan pelajar menghubungkan antara sesuatu yang terdapat dalam karya dengan sesuatu yang berada di luar sastera tersebut.
• Pelajar mampu menghubungkan karya sastera yang dikaji dengan karya-karya sastera yang terdapat di luar.
• Contoh soalan : Ceritakan keadaan sosial Helmi dan hayati dalam novel Konserto Terakhir pada waktu itu seperti antara kedua-duanya `tidak mungkin disatukan dalam alam perkahwinan’.
• Bentuk penyoalan yang sesuai ialah bentuk ujian esei untuk mengungkap tahap kemampuan pelajar.

4. Ujian Kesusasteraan Aras Apresiasi/Penghayatan
• Ujian aras ini berkisar pada permasalahan antara bahasa sastera dengan linguistik.
• Permasalahan timbul apabila bahasa sastera berbeza jika dibandingkan dengan penggunaan linguistik secara umum.
• Ujian aras ini memerlukan kemampuan kognitif aras tinggi.
• Pelajar perlu mampu mengenali, menganalisis, membanding, membuat generalisasi, dan menilai bentuk-bentul bahasa yang digunakan dalam sesebuah karya sastera.
• Pelajar mesti mempunyai sikap kritis dan mempunyai pengetahuan tentang ilmu linguistik untuk dijadikan panduan dan pegangannya.
• Contoh soalan : apakah pemakaian kata-kata dan ungkapan dialek dalam novel Konserto Terakhir berkesan dan tepat jika dibandingkan dengan ungkapan bahasa Malaysia baku.

B. Taksonomi Bloom
Aras ujian Taksonomi Bloom terbahagi kepada enam aras iaitu Aras Ingatan, Aras Pemahaman, Aras Aplikasi, Aras Analisis, Aras Sintesis, dan Aras Penilaian.

Ujian Kesusasteraan Aras Ingatan
• Memerlukan keupayaan pelajar mengungkap kembali daya atau kebolehan mengingat hal-hal yang berkaitan dengan fakta,konsep,pengertian,definisi, deskripsi, atau menamakan sesuatu.
• Pelajar perlu meluahkan kembali butiran fakta yang dibacanya kerana soalan yang dikemukakan amat jelas.
• Contoh soalan : Berikan maksud rangkai kata kasih sayang semakin tandus.

Ujian Kesusasteraan Aras Pemahaman
• Ujian aras ini memerlukan pelajar memahami,membezakan,menjelaskan fakta, dan menghubungkan antara konsep dan sifat-sifat lain yang tingkatnya bukan hanya mengingat dan meluahkan kembali fakta yang dibaca.
• Contoh soalan : Apakah tema yang terdapat dalam cerpen Lambaian Malar Hijau?
• Ujian aras ini juga boleh dilaksanakan dalam bentuk ujian aneka pilihan.
• Contoh soalan : Semua pengajaran yang berikut terdapat dalam Syair Pesanan Ibu, kecuali…
a. Kita haruslah berusaha untuk menuntut ilmu pengetahuan
b. Janganlah mudah terpedaya oleh gejala negatif
c. Jasa ibu bapa perlu dikenang dan dihargai oleh anak-anak
d. Kita janganlah membuang masa yang amat berharga

Ujian Kesusasteraan Aras Aplikasi
• Ujian aras ini menilai kebolehan pelajar mempraktikkan pengetahuan, teori-teori yang dipelajari dan maklumat-maklumat yang diperolehnya ke dalam situasi yang baru. Contohnya penggunaan pengetahuan berkenaan ciri-ciri pantun untuk mencipta pantun.
• Pelajar mampu mengubah,memodifikasi,mendemonstrasikan, mengoperasi dan menerapkan sesuatu hal atau kemampuan.
• Tugasan berbentuk esei adalah lebih sesuai.
• Contoh soalan : Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel konserto Terakhir.

Ujian Kesusasteraan Aras Analisis
• Berfungsi untuk mengukur kebolehan pelajar mengesan unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya.
• Pelajar mampu mengaitkan dan menghubungkan unsur-unsur yang didapati dan menggunakannya dalam organisasi.
• Pelajar mesti telah mambaca , mampu membuat analisis dan memberikan kritikan terhadap karya yang dikaji bagi mendapatkan pemahaman yang lebih bernas, tepat, dan jitu.
• Contoh soalan ; Bagaimanakah sifat watak utama dalam novel Konserto Terakhir
• Ujian berbentuk esei merupakan bentuk yang paling sesuai dan penyediaan soalannya adalah lebih mudah.

Ujian Kesusasteraan Aras Sintesis
• Ujian aras ini mengukur kebolehan pelajar mengkategorikan, menghubungkan dan mengkombinasikan, menjelaskan dan meramalkan hal-hal yang berkaitan dengan unsur-unsur sastera.
• Pelajar mampu menunjukkan dan menjelaskan perkaitan antara beberapa buah karya sastera.
• Ujian berbentuk esei adalah amat sesuai kerana mampu mengukur kemampuan berfikir yang kompleks.
• Ujian objektif masih boleh digunakan namun kurang berkeupayaan mencerminkan proses berfikir.
• Contoh soalan : Latar masyarakat yang terdapat dalam novel Bukit Kepong dimonopoli oleh masyarakat Melayu. Huraikan .

Ujian Kesusasteraan Aras Penilaian
• Aras yang tertinggi dalam pengukuran aspek kognitif
• Mengukur kemampuan pelajar menilai ketepatan fakta daripada kenyataan dan bukti-bukti yang tertulis, ketepatan pemilihan kata, ungkapan dan kalimat dan hubungannya dalam tema dan makna keseluruhan sesuatu karya sastera.
• Pelajar mampu melakukan penilaian terhadap sesuatu perkara.contohnya masalah pemilihan kata, ungkapan dan frasa dalam sesebuah sajak.
• Aras ujian ini mengarah kepada penilaian secara terperinci dan penilaian yang dilakukan memerlukan bukti dan alas an serta contoh yang kuat,jitu dan padu.
• Contoh soalan : Bandingkan latar masyarakat yang terdapat dalam novel Bukit Kepong dan novel Konserto Terakhir.

Soalan 3 - Isu-isu pengujian dan penilaian yang terlibat dalam pengajaran Sastera dalam bahasa Melayu

1. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu guru sering memberi penekanan terhadap jawapan pelajar yang menitikberatkan interpretasi yang tepat terhadap teks. Permasalah timbul terutamanya apabila pelajar perlu memberikan aprisiasi mereka terhadap teks yang dikaji terutamanya teks prosa tradisional yang menggunakan bahasa Melayu klasik, manakala dalam sajak, pelajar sering mengemukakan interpretasi yang berbeza berbanding dapatan penulis kerana tahap pemahaman mereka adalah berbeza.
2. Jawapan kepada penyoalan yang dikemukan tidak banyak membantu pelajar berfikir dan memberi respon mereka sendiri kerana pelajar sering merujuk kepada buku rujukan sedia ada dan bukannya merujuk kepada teks untuk mengemukakan idea mereka sendiri.
3.Guru kurang menekankan jawapan yang dikemukakan oleh pelajar yang menitikberatkan kebernasan idea yang disampaikan dan guru tidak seharusnya begitu menekankan aspek tatabahasanya. Dalam menjawab soalan pemahaman menengah atas, bentuk soalan yang dikemukakan berada pada aras pengetahuan, pemahaman, dan aplikasi. Setiap bahagian bagi soalan-soalan yang dikemukakan adanya peruntukan markah yang telah ditetapkan dan mesti dipatuhi oleh pelajar semasa menjawab soalan. Oleh itu, bagi memastikan setiap soalan dipatuhi adakalanya susunan tatabahasa yang digunakan oleh pelajar akan menjadi kurang gramatis dan menyebabkan wujudkan pemahaman yang berbeza.
4. Jawapan yang dikemukakan oleh pelajar seharusnya boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk seperti lukisan, pementasan drama,muzik,pergerakan dan penulisan kreatif. Tahap pemahaman dan penguasaan pelajar adalah berbeza dan untuk pelajar yang mempunyai tahap pemahaman yang rendah, mereka akan menjawab berdasarkan dapatan mereka. Contohnya untuk soalan yang berbunyi : gambarkan peralatan yang digunakan oleh tukang gunting dalam sajak Tukang Gunting. Pelajar yang mempunyai tahap pemahaman yang rendah akan melukis peralatan yang digunakan iaitu gunting, sikat, bangku kaki tiga,dan cermin yang telah sompek, tetapi bagi pelajar yang mempunyai aras pemahaman yang tinggi, mereka akan menjelaskan dalam bentuk ayat, peralatan-peralatan yang digunakan oleh tukang gunting iaitu sikat, gunting, cermin yang telah sompek dan bangku kaki tiga.
5.Guru yang mengajar tidak mempunyai kemahiran untuk mengajar sastera oleh itu apabila perlu diajarkan unsur-unsur sastera berlakunya pertindihan dari segi pemahaman terhadap unsur yang dikemukakan.
6. Skema jawapan bertentangan dengan tahap pemahaman pelajar. Keadaan ini berlaku terutamanya untuk soalan yang berunsurkan KBKK. Jawapan yang dikemukakan oleh pelajar tidak mematuhi skema jawapan kerana tahap pengetahuan dan pemahaman pelajar adalah berbeza jika dibandingkan dengan tahap pembina dan penggubal soalan dan jawapan.

Soalan 4 - Bina lima soalan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah anda (1000 patah perkataan)

Soalan 1

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SRISEGALA : Nanti!!...Aku fikir orang muda ini tentulah bukan sebarang pelakon. Kalau tidak tentunya dia tak akan mahu berlakon di hadapan kita di sini. Datangnya tidak diminta. Bukankah itu suatu keuntungan besar bagi kita? Kita akan berpeluang melihat lakonan daripada seorang pelakon handalan. Orang muda! Teruskan lakonanmu.

PUTRA : Bila aku melutut tidak bererti aku menyembahmu. Dan kalau aku meminta bukannya pada tempat dudukmu atau bunyi gong di belakangmu itu. Aku sekadar mahu berbicara dengan dirimu sebagai seorang manusia. Kerana aku cukup tahu, setiap haiwan yang bernama manusia hidup dengan fikiran dan perasaannya. Dan dia tidak akan terpisah dari apa yang dinamakan KEMANUSIAAN!

SRISEGALA : (Ketawa sinis) Orang muda! Kau tak pernah mengingati perkembangan dunia hari ini agaknya. Tahukah kau bahawa fikiran dan perasaan manusia itu adalah di bawah kekuasaan tempat duduknya? Kerusi ini lebih bijaksana daripadaku. Begitu juga bunyi sebuah gong, menguasai sesiapa sahaja yang menduduki tempat ini.

PUTRA : Tidak! Itu hanya alasanmu. Sejak bilakah kau berikan nyawa pada sebuah kerusi dan sebuah gong yang kaku? Kau adalah punca segala-galanya. Dah aku cukup tahu, selama kau di situ, hanya segelintir manusia saja yang akan berjaya mendaki gunung mencapai awan. Manusia yang sama bulunya denganmu. Aku dan orang-orang itu akan hanya dihiburkan dengan lakonanmu. Kau membawa kami ke dunia tiga penjuru dengan segala janji bahawa penjuru ini lebih dari yang itu, dan yang ini lebih baik lagi. Aku sudah tahu dunia tiga penjurumu itu sama semuanya. Tidak ada yang lebih baik!

SRISEGALA : (Ketawa) Apa sebenarnya yang kau mahu?
(Terus ketawa)
(Dipetik daripada “Kerusi” oleh Hatta Azad Khan dalam antologi Kerusi, DBP)


(i) Apakah yang dimaksudkan oleh Putra sebagai dunia tiga penjuru dalam petikan di atas?
[2 markah]

(ii) Berikan pendapat anda tentang ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin.
[3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Srisegala yang terdapat dalam petikan di atas dan dua perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]


Soalan 2

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah sudah besar, maka didudukkan baginda dengan anak Raja Sulaiman Raja Kota Mahaligai, bernama Putri Kamarul Ajaib, terlalu baik parasnya tiada pelbagai pada zaman itu. Maka ada seorang bendahari Raja Iskandar Syah, Sang Rajuna Tapa gelarnya, asalnya sedia orang Singapura. Maka ia beranak seorang perempuan, terlau baik parasnya. Maka dipakai oleh baginda, terlau sangat dikasihi baginda.

Maka difitnah oleh segala gundik raja yang lain, dikatakannya berbuat jahat. Maka Raja Iskandar pun terlalu murka, maka disuruh baginda sulakan di hujung pasar. Maka Sang Rajuna Tapa pun terlalu amat malunya melihat hal anaknya itu. Maka katanya, “Jika sungguh sekali pun anak hamba berbuat jahat, bunuhlah saja; mengapakah diberinya malu demikian.”

Maka Sang Rajuna Tapa pun berkirim surat ke Jawa, demikian bunyinya, “Jikalau Betara Majapahit hendak menyerang Singapura, hendaklah segera datang, kerana hamba belot dari dalam kota.”


(i) Apakah maksud maka didudukkan baginda dalam petikan di atas? [2 markah]

(ii) Apakah yang telah terjadi kepada anak Sang Rajuna Tapa? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah iktibar yang dapat diperoleh daripada peristiwa yang berlaku berdasarkan petikan di atas? [4 markah]

Soalan 3

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

DI KOTA KECILKU

Di sini aku pulang
tempat bersekolah dan dibesarkan
lewat padang Speedy
terus ke Durian Sebatang
semuanya kini terasa kecil
mengimbau rindu
dan kenangan

Di sini anak belasan tahun
mulai mengenal cinta dan ilmu
pengorbanan ayah dan emak
keakraban teman dan pergelutan
detik itu mengambang bagai mimpi
sewaktu kulewati kota kecilku ini

Sesaat tiba di muka sekolah
telah lama kutinggalkan
kini sudah berubah
terasa sepi
suara guru yang memberikan markah
pada pangkat pertama
buat si anak desa
dan ayahku tak berkata bangga.

Di sinilah anak desa
mengenal dunia
di kota kecilnya
padang Speedy
dan Durian Sebatang
meski berubah pandangan
mengimbau rindu dan kenangan
sayang.

Baha Zain
Antologi Kerusi
2000, DBP.

(i) Jelaskan peristiwa yang menjadi kenangan penyajak apabila kembali ke daerah kelahirannya? [3 markah]

(ii) Apakah yang akan anda lakukan sebagai cara untuk menghargai sekolah yang telah memberikan pendidikan kepada anda? [3 markah]

(iii) Huraikan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak Di Kota Kecilku. [3 markah]


Soalan 4

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Cikgu lihat keputusan ujian Mariah bulan lalu cukup mengecewakan.”
Mariah tersedak. Cikgu sudah memulakan satu perbicaraan mencari puncanya, fikirnya. Sekali ini dia diduga sama ada belajar berbohong atau menentang kemungkaran itu. Sekaligus juga Mariah berasa dia dicabar supaya memaniskan kata-kata supaya Cikgunya itu tidak berasa kecil hati.
Wajarkah rahsia-rahsia yang selama ini dibungkus dalam lipatan ingatannya didedahkan begitu senang? Apakah Cikgu Tini boleh menyelesaikan masalah muridnya ini?
Rasanya mustahil. Cikgu Tini terlalu muda dan hanya mampu mendengar rintihan. Apakah Cikgu Tini boleh memujuk ayahnya, untuk mengembalikan imej seorang ayah kepada tahap yang selayaknya?
Kalau Lebai Kudin sudah mengangkat tangan menyerah kalah, masakan pula Cikgu Tini.
Mariah memejamkan mata.
“Mariah ada masalah. Cakaplah terus terang,” Mariah mendengar suara Cikgu Tini seperti di hujung pernafasannya. Kecil dan ngilu. Dia terperangkap dan serba salah.
Sahlah Cikgu Tini sudah mengetahui. Sahlah juga Cikgu Tini menjemputnya sekadar untuk mendapatkan keterangan lanjut. Sahlah, dia tidak boleh berdalih. Sahlah, Tuhan tidak mengizinkan dia berbohong.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen Mariah, oleh Sharif Putera dalam antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah tujuan Cikgu Tini memanggil Mariah? [3 markah]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah seseorang itu perlu berterus terang apabila menghadapi sebarang masalah? [3 markah]

(iii) Nyatakan satu perwatakan Cikgu Tini dalam petikan di atas dan dua perwatakan Cikgu Tini dalam cerpen tersebut. [3 markah]










Soalan 5

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka Laksamana pun berseru-seru pula, katanya, “Hai Si Jebat derhaka! Sungguh engkau berani tiada berlawan. Marilah engkau turun dari istana ini bertikam sama seorang!” Maka suara itu pun terdengar kepada Hang Jebat, dikenalnya suara Laksamana. Maka Hang Jebat, ia pun naik ke peranginan; maka dibukanya peranginan itu, maka dilihatnya Laksamana berdiri di tengah halaman itu. Maka Hang Jebat pun berdebar-debar hatinya; ia pun fikir dalam hatinya: “Adapun Hang Tuah itu sudah mati dibunuh oleh Bendahara; sekarang Laksamana itu tiada dalam dunia ini, siapa pula yang datang ini seperti Laksamana pun sikapnya dan lakunya? Kalau mataku bekas tidur ini gerangan, maka jadi salah pemandanganku?”

Maka Hang Jebat pun turun dari peranginan itu lalu ia mandi pada pasu emas itu dan dibasuh mukanya. Setelah sudah maka Hang Jebat pun memakai pakaian kerajaan lalu ia membuka pintu itu. Maka Laksamana pun berseru-seru, katanya, “Hai Si Jebat, segeralah engkau turun! Jika engkau tiada turun, sekarang istana ini kunaiki, tetapi sukar kita bertikam.” Setelah Hang Jebat mendengar suara Laksamana itu, maka ia pun membuka pintu itu sedikit; maka dilihatnya Laksamana, diperamat-amatinya, dikenalnya itu Laksamana. Maka nyatalah Laksamana itu. Maka Hang Jebat pun hairan.

(Dipetik daripada Pertarungan Tuah dengan Jebat dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah maksud dibukanya peranginan? [2 markah]
(ii) Apakah reaksi Hang Jebat setelah mendengar seruan daripada Laksamana?
[3 markah]

(iii) Hang Jebat seorang hulubalang terbilang dan setia kepada raja. Pada pendapat anda, mengapakah Hang Jebat menderhaka? [3 markah]


Soalan 5 - Dua cadangan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa ini.

Pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah pada masa ini perlu diperbaiki untuk memastikan tahap pencapaian pelajar yang lebih baik jika dibandingkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik. Antara cadangan untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah ialah :

1. Kepelbagaian kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
Guru memainkan peranan penting apabila menggunakan kaedah yang berpusatkan pelajar atau sekurang-kurangnya kaedah berpusatkan guru tetapi melibatkan pelajar secara aktif. Penggunaan kaedah ini membolehkan pengajaran dan pembelajaran bahan sastera di dalam bilik darjah dipelbagaikan sejajar dengan kepelbagaian kecerdasan pelajar. Pengajaran dan pembelajaran yang aktif, menghubungkait latar belakang dan kehidupan masyarakat serta pengintegrasian muzik menjadikan kaedah guru lebih menarik minat dan mengekalkan perhatian pelajar. Mana Sikana (2001) menyeru agar teks sastera dihidupkan melalui panca media untuk memupuk minat pelajar membaca teks sastera. Pendapat ini selari dengan pendapat Noriah (1986),Fazilah (2000) & Azman yang menyatakan faktor guru dan pendekatan pengajaran guru amat mempengaruhi pencapaian pelajar dari segi kefahaman, peningkatan minat, dan perubahan sikap pelajar dalam pembelajaran sastera. Guru seharusnya menggunakan pendekatan pengajaran pemusatan pelajar agar pelajar dapat menikmati sastera. Guru juga harus peka dan dapat mengenal pasti tahap kebolehan dan gaya pembelajaran pelajar, merancang dan memilih teknik dan kaedah yang sesuai dengan gaya pembelajaran dan kecerdasan pelajar. Bagi memastikan pelaksanaan teknik dan kaedah ini,guru perlu mengambil inisiatif untuk berusaha meningkatkan kemahiran dan menghasilkan teknik pengajaran dan pembelajaran berkesan yang mampu menarik minat pelajar terhadap sastera dan memenuhi keperluan sukatan pelajaran.
Teknik untuk memberi kefahaman kepada pelajar mempelajari sastera dipengaruhi oleh keupayaan berbahasa guru. Bahasa yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran sastera. Penguasaan bahasa melalui teks sastera merupakan satu proses integrasi yang bukan sahaja berpusat kepada kemampuan untuk berbahasa tetapi bertujuan untuk menanam, dan mempertingkatkan kemampuan apresiasi teks sastera. Oleh itu, guru mesti menggunakan menggunakan bahan sastera yang berada dalam lingkungan pemahaman dan pengalaman para pelajar.
Penggunaan alat bantu mengajar (ABM) adalah penting dalam usaha untuk mengekalkan perhatian pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. ABM yang digunakan harus dipelbagaikan oleh pihak yang berwajib sejajar dengan perkembangan zaman teknologi pada hari ini. Oleh itu,teks sastera harus diubah (ditransformasikan) kepada bentuk-bentuk yang lain seperti penggunaan televisyen,radio,LCD,VCD,video tape,gambar berwarna-warni,komik, dan cerita jenaka yang mungkin dapat member kesan yang lebih baik dalam mempelajari sastera dan tidak terlalu jumud dengan hanya menggunakan teks sastera semata-mata. Penggunaan teknik dan kaedah ini amat berkesan kerana pelajar-pelajar hari ini suka akan media elektronik yang baru. Pengajaran yang menggunakan wahana ini akan dapat membuka selera dan mencambah minda pelajar kerana teknik ini membolehkan guru berinteraksi secara langsung dengan pelajar.

2. Peranan Kementerian Pelajaran Malaysia

Usaha untuk memartabatkan kesusasteraan Melayu terkandung dalam sukatan pelajaran pendidikan kebangsaan pada tahun 2001. Tujuan sastera dimasukkan sebagai komponen dalam pengajaran Bahasa Malaysia adalah untuk menjana minda, rohani, emosi, mengukuhkan jati diri,menyuburkan budaya bangsa dan memupuk sikap ke arah pembinaan insan bestari. Namun usaha ini kurang berkesan kerana apa yang diajarkan kepada pelajar ialah teori, laras dan yang penting berorientasikan peperiksaan. Selain itu, penerapannya di dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dianggap agak membebankan kepada para pelajar kerana mata pelajaran Bahasa Malaysia itu sendiri mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang perlu dikuasai seperti tatabahasa,pemahaman, dan penulisan.
Bagi mengatasi keadaan ini dicadangkan agar sastera dipisahkan daripada mata pelajaran Bahasa Malaysia dan harus dijadikan satu mata pelajaran tunggal. Kesusasteraan perlu berdiri dengan sendiri dan tidak perlu dijadikan komponen yang bertujuan untuk melengkapkan mata pelajaran Bahasa Malaysia kerana sesungguhnya mata pelajaran ini telah berdiri tegak sejak dahulu lagi. Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memperbaiki cara pelaksanaan pengenalan sastera di sekolah. Guru-guru perlu member penekanan kepada pengajaran seni dan teknik penghayatan bahan sastera dan tidak hanya member penekanan kepada laras dan teori yang perlu dihafal oleh pelajar. Penekanan kepada laras dan teori menimbulkan tahap kebosanan kepada pelajar kerana tiada kemesraan dalam mempelajari mata pelajaran ini.
Sastera juga mesti ajar oleh guru yang mahir dalam bidang ini kerana tidak semua guru Bahasa Malaysia mampu menguasai seni kesusasteraan dengan baik kerana sastera berkait rapat dengan bahasa tetapi bahasa tidak semesti berkaitan dengan sastera. Kewujudan guru yang khusus bagi mata pelajaran Sastera diharap dapat melahirkan generasi muda yang lebih menguasai dan menghayati kesusasteraan.